Bab 5 Lukas 5

Yesus Memanggil Pengikut Terawal-Nya (ay. 1-11)

1 Pada suatu waktu, sedang Yesus berdiri di pantai Tasik Genesareta, orang ramai berasak-asak hendak mendengar berita daripada Allah. 2 Yesus nampak dua buah perahu di pantai itu, tetapi nelayan sudah meninggalkan perahu dan sedang mencuci jala. 3 Yesus menaiki salah sebuah perahu itu, iaitu perahu Simon. Lalu Dia menyuruh Simon menolak perahu itu sedikit jauh dari pantai. Yesus duduk b di perahu itu, lalu mengajar orang ramai.
4 Setelah selesai mengajar, Dia berkata kepada Simon, “Dayunglah perahu ke tempat yang dalam lalu tebarkanlah jala untuk menangkap ikan.”
5 “Guru c ,” jawab Simon, “sepanjang malam kami berjerih tetapi tidak menangkap apa-apa pun! Tetapi kerana guru yang menyuruh, baiklah, saya akan menebarkan jala.” 6 Mereka menebarkan jala, lalu mendapat sedemikian banyak ikan sehingga jala itu hampir koyak. 7 Oleh itu mereka minta pertolongan rakan-rakan di perahu lain. Mereka memenuhi kedua-dua buah perahu itu dengan ikan sehingga perahu hampir tenggelam. 8 Apabila Simon nampak apa yang telah berlaku, dia berlutut di hadapan Yesus sambil berkata, “Tinggalkanlah aku, ya Tuhan! Aku orang berdosa! d ”
9 Simon dan semua orang yang bersama-sama dia kagum melihat banyaknya ikan yang dijala oleh mereka. 10 Demikian juga halnya dengan rakan Simon yang lain, iaitu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Yesus berkata kepada Simon, “Jangan takut! Mulai sekarang kamu akan menjalae orang supaya menjadi pengikut-Ku.”
11 Mereka menarik perahu-perahu itu ke pantai dan meninggalkan segala-galanya, lalu mengikut Yesusf.

Teropong:

a Lukas adalah satu-satunya penulis Injil yang memanggil-nya sebagai tasik. Ia juga dikenali sebagai dua nama yang lain – Laut Galilea dan Laut Tiberias. Ia mempunyai ukuran seluas 21 km (13 batu) kali 11 km (7 batu). Ia terletak kira-kira 213 meter (700 kaki) di bawah aras laut.
b Posisi duduk adalah postur lazim sewaktu mengajar (rujuk Bab 4, nota n). Bot yang ada menyediakan susunan yang baik kerana ia terpisah daripada kelompok orang ramai yang lalu-lalang, tetapi cukup dekat untuk dilihat dan didengar.
c Dalam versi lain, Petrus memanggil Yesus sebagai ‘Tuan’, suatu panggilan bukan khusus seperti ‘rabbi’ (panggilan yang tidak pernah Lukas gunakan terhadap Yesus) tetapi tetap menunjukkan tentang seseorang yang berwibawa dan berkuasa.
d Petrus adalah seorang nelayan. Dia sedia maklum akan masa terbaik untuk memancing menggunakan pukat adalah pada waktu malam dan bukannya pada waktu siang. Ini kerana ikan mampu melihat jala (yang dibuat daripada linen) dan mengelaknya. Petrus melihat perkara yang terjadi sebagai suatu keajaiban. Dia melihat tangan Allah di dalam hidup Yesus dan itu mendorong Petrus untuk mengenali perbezaan di antara dirinya dengan Yesus. Dia bertindak balas dengan tersungkur di kaki Yesus dengan rendah diri serta mengakui dirinya sebagai seorang yang berdosa.
e Kata kerja ‘menangkap’ secara harafiah bermaksud ‘tangkap hidup-hidup’ ataupun ‘menyelamatkan nyawa’. Murid-muid Yesus tidak lagi menangkap ikan-ikan yang telah mati untuk dijual di pasaran tetapi menangkap manusia dan memberikan mereka kebebasan.
f Ini bukanlah kali yang pertama di mana mereka bersama-sama dengan Yesus (rujuk Yohanes 1:40-42). Tetapi ini adalah kali pertama mereka meninggalkan semuanya untuk menjalinkan persahabatan intim dengan Yesus sebagai Tuan mereka.

Mari Fikir Sejenak:

Perhatikan bagaimana Petrus mentaati Yesus walau-pun dia berfikir bahawa dia lebih berpengetahuan kerana dia adalah seorang nelayan. Perhatikan hasil yang terjadi disebabkan ketaatannya di dalam mengikiuti Yesus.

  • Pernahkah anda melalui masa di mana semuanya kelihatan menhadapi jalan buntu dan Allah seakan-akan meminta anda untuk mempercayai Dia, namun anda mendapati sangat susah untuk berbuat demikian?
  • Apakah yang Allah ingin katakan kepada anda melalui petikan Firman ini?

Yesus Menyembuhkan Seorang Lelaki Berpenyakit Kulit (ay. 12-16)

12 Pada suatu hari, Yesus berada di sebuah kota. Di situ ada seorang lelaki berpenyakit kulitg yang mengerikan. Ketika dia nampak Yesus, dia bersujud di hadapan Yesus dan memohon, “Tuan, jika tuan mahuh, tuan boleh menyembuhkan saya!”
13 Yesus menghulurkan tangan-Nya lalu menjamahi dia. “Aku mahu,” kata-Nya, “sembuhlah!” Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi. 14 Yesus memerintah dia, “Jangan beritahukan hal ini kepada sesiapa pun. Pergilah temui imam supaya dia mengesahkan kesembuhanmu. Lalu persembahkanlah korban sebagaimana yang diperintahkan oleh Musa, j sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu sudah sembuh.”
15 Tetapi berita tentang Yesus semakin tersebar luas. Banyak orang datang untuk mendengar Dia dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. 16 Tetapi Yesus pergi ke tempat yang sunyi dan berdoa.k

Teropong:

g Di dalam terjemahan lain, istilah ‘kusta’ digunakan. Kusta ialah nama yang diberikan kepada pelbagai jenis penyakit kulit di dalam Alkitab. Ada yang boleh dirawat, ada juga yang sebaliknya. Di dalam keadaan yang paling buruk, ia boleh membawa maut. Ia adalah penyakit sosial yang paling utama. Ini kerana mereka yang menghidap penyakit tersebut dilabelkan sebagai tidak suci dan harus dipisahkan daripada orang lain. Mereka dihalang daripada mendekati orang lain. Untuk mengelakkan daripada sentuhan yang tidak disengajakan, mereka dimestikan untuk berteriak ‘tidak suci, tidak suci’. Mereka tidak mempunyai cara untuk mendapatkan pekerjaan dan terpaksa bergantung kepada kebajikan. ‘Orang berpenyakit kusta’ adalah glongan yang dipinggirkan oleh masyarakat dan mereka menderita kerana rasa malu dan ditolak. Mereka juga tidak dialu-alukan untuk memasuki kota.
h ‘Jika tuan mahu’ mungkin menunjukkan rasa tidak layak dan bukannya keraguan ke atas Yesus di dalam kebolehan ataupun kemahuan-Nya untuk memberikan kesembuhan. Perhatikan bahawa dia tidak meminta untuk disembuhkan tetapi untuk disucikan. Penyakit kusta dianggap oleh orang ramai sebagai penyakit yang kotor kerana ia menjadikan mereka yang menghidap penyakit tersebut sebagai tidak suci, sama ada secara fizikal dan dari segi hukum istiadat.
i Yesus menunjukkan belas kasihan-Nya ke atas lelaki tersebut dengan melawan semua hukum sosial dan istiadat dengan menyentuhnya. Penghidap kusta dijauhi oleh orang ramai dan kemungkinan besar lelaki ini sudah tidak pernah disentuh oleh orang lain selama bertahun-tahun. Mereka yang menyentuh penghidap kusta akan mengotorkan diri sendiri, iaitu menjadikan dirinya tidak suci secara istiadat. Dan seorang yang kotor secara istiadat akan menjadikan semua benda yang disentuh menjadi tidak suci. Mereka diharamkan untuk beribadah di dalam Rumah Tuhan sebelum melalui upacara penyucian. Akan tetapi, dengan menyentuh lelaki tersebut, Yesus tidak menjadikan Diri-Nya tercemar malahan memberikan kesembuhan dan pemulihan kepadanya. Penyakit tersebut meninggalkannya dan dia menjadi tahir.
j Sekali lagi, Yesus menghalang lelaki tersebut daripada mengkhabarkan kesembuhannya kepada orang ramai. Dia diminta untuk mematuhi hukum dengan berjumpa dengan imam. Hukum Musa memestikan mereka yang telah sembuh daripada penyakit kusta untuk berjumpa dengan seorang imam untuk diperiksa. Jika imam tersebut berpuas hati, korban akan diberikan, kemudian barulah mereka dibenarkan untuk bergaul di dalam komuniti kembali.
k Sekali lagi kita diberitahu bahawa Yesus mengasingkan diri untuk berdoa. Di tengah-tengah semua aktiviti dan orang ramai yang mengerumuni-Nya, Yesus mendapati adalah penting bagi-Nya untuk berseorangan dan berdoa kepada Allah.

Mari Fikir Sejenak:

  • Bagaimanakah perasaan anda sekiranya anda sering dikerumuni oleh orang ramai yang meminta perhatian di mana juga anda berada?

Itulah keadaan yang dialami oleh penyanyi pop terkenal dengan peminat mereka! Perhatikan apa yang dilakukan oleh Yesus, untuk mengekalkan kewarasan, tenaga, kesabaran dan belas kasihan – Dia mengasingkin diri untuk berdoa!

  • Apakah yang akan anda lakukan apabila anda menghadapi dan mengalami tekanan?

Suatu Pegangan Hidup:

Mungkin seperti Yesus, anda harus mencari masa untuk mendapatkan pertolongan daripada Allah di dalam doa.

Yesus Menyembuhkan Seorang Lumpuh (ay. 17-26)

17 Pada suatu hari ketika Yesus sedang mengajar, beberapa orang Farisi dan guru Tauratl duduk di situ. Mereka datang dari Yerusalem, dari semua kota di Galilea dan Yudea. Kuasa Tuhan ada pada Yesus untuk menyembuhkan orang sakit. 18 Pada waktu itu, beberapa orang datang membawa seorang lumpuh yang berbaring di atas tikar. Mereka cuba membawa dia ke dalam rumah supaya dapat meletakkannya di hadapan Yesus. 19 Tetapi kerana orang di situ terlalu banyak, mereka tidak dapat membawa dia masuk. Oleh itu mereka membawa dia ke atas bumbung rumah.m Kemudian mereka membuka bumbung rumahn itu dan menurunkan dia dengan tikarnya di hadapan Yesus di tengah-tengah orang ramai itu. 20Apabila Yesus melihat betapa besarnya iman mereka, Dia ber-kata kepada orang itu, “Hai kawan, dosamu sudah diampunkan.”
21Semua guru Taurat dan orang Farisi di situ mula bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini? Dia mengkufurio Allah! Tidak seorang pun dapat mengampunkan dosa, kecuali Allah!”
22 Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata, “Mengapa kamu berfikir demikian? 23 Manakah yang lebih mudah, mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah dan berjalan’?p 24Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikanq bahawa di atas bumi ini Anak Manusiar berkuasa untuk mengampunkan dosa.” Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu, bangunlah, angkatlah tikarmu, dan pulanglah!”
25 Dengan segera orang itu bangun di hadapan mereka semua, lalu mengangkat tikarnya dan pulang sambil memuji Allah. 26 Orang ramai kehairanan lalu memuji Allah. Dengan perasaan takut mereka berkata, “Sungguh menghairankan perkara yang kita saksikan hari ini!”

Teropong:

l Ini adalah kali pertama orang Farisi dan guru-guru Taurat (rujuk ‘Orang Farisi’ ms.14) disebut di dalam Lukas. Golongan Farisi adalah kumpulah keagamaan yang mementingkan kesucian Hukum Taurat dan juga tradisi. Mereka sangat tegas di dalam mengikuti segala perincian di dalam Hukum, malah mengasingkan diri daripada mereka yang tidak berbuat demikian. Mereka ialah pemimpin agama tidak rasmi dan menerajui tentangan terhadap Yesus. Guru Taurat pula ialah mereka yang mempelajari, mentafsir, mengajar hukum Taurat dan juga tradisi. Kebanyakan daripada mereka ialah orang Farisi. Kemungkinan besar reputasi Yesus telah menarik perhatian dan tentangan daripada badan keagamaan ini. Oleh itu, orang Farisi dan guru Taurat dari serata kampung termasuk Yersalem, datang untuk memerhatikan segala tingkah laku-Nya dengan teliti.
m Reka bentuk rumah di Palestina mempunyai atap rata serta anak tangga di tepi rumah untuk tujuan naik ke atas bumbung rumah. Ia diperbuat daripada alang kayu dengan ranting-ranting kayu yang diselaputi dengan lumpur serta dicampurkan dengan jerami.
n Oleh kerana kebanyakan bumbung rumah di tanah Palesti-na diperbuat daripada lumpur, terdapat para sarjana yang beranggapan bahawa Lukas mungkin menjelaskan bumbung rumah Yunani yang berjubin kerana ia lebih dikenali oleh pembacanya yang bukan berbangsa Yahudi.
o Orang Farisi menganggap kata-kata kufur sebagai dosa paling serius yang boleh dilakukan oleh manusia. Menurut teologi Yahudi, bahkan Mesias juga tidak mampu mengampuni dosa. Oleh itu mereka melihat tindakan Yesus mengampunkan dosa sebagai dakwaan untuk men-jadi setaraf dengan Allah dan ini adalah sangat kufur bagi mereka.
p Soalan yang Yesus berikan bukan bertujuan untuk meminta pendengar-Nya menilai mana yang lebih sukar: mengampunkan dosa ataupun menyembuhkan orang yang lumpuh. Dia ingin menunjukkan kepada mereka bahawa kuasa untuk mengampunkan dosa serta menyembuhkan penyakit adalah sejajar dan Dia membuktikannya kepada mereka dengan meminta lelaki tersebut untuk berdiri. Lelaki tersebut kemudian menjadi sembuh. Dengan menunjukkan kewibawaan dan kuasa di dalam alam fizikal, Dia membuktikan kepada mereka bahawa Dia juga turut mempunyai kewibawaan dan kuasa di alam rohani untuk mengampunkan dosa.
ql Orang Yahudi pada waktu tersebut menganggap semua sakit-penyakit sebagai kesan daripada dosa dan orang yang sakit akan sembuh sehingga semua dosanya diampuni. Kuasa Yesus untuk menyembuhkan memberikan pengakuan jelas kepada mereka akan kuasa-Nya di dalam mengampunkan dosa.
rl Ini adalah kali pertama Lukas menggunakan istilah ‘Anak Manusia’. Dia menggunakannya sebanyak 26 kali di dalam injil tulisannya. Panggilan ini tidak pernah digunakan oleh sesiapapun selain daripada Yesus. Di dalam buku Daniel, Anak Manusia digambarkan sebagai seorang individu syurgawi yang menerima kewibawaan, kemuliaan dan kuasa agung di akhir zaman. Yesus menggunakannya di sini untuk merujuk kepada kemasehian-Nya di dalam konteks mengampunkan dosa.

Yesus Memanggil Lewi (ay. 27-32)

27 Setelah itu Yesus keluar dan nampak seorang pemungut cukai bernama Lewis sedang duduk di tempat memungut cukai.t Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku.” 28 Lewi berdiri, meninggalkan semuanya, lalu mengikut Yesus u.
29 Kemudian Lewi mengadakan jamuan besar di rumahnya untuk Yesus. Banyak pemungut cukai dan orang lain makan bersama-sama mereka. 30 Beberapa orang Farisi dan guru Taurat bersungut-sungut kepada pengikut-pengikut Yesus. Mereka bertanya, “Mengapa kamu makan dan minum bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?” v
31Yesus menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor, hanya orang sakit. w 32 Aku datang bukan untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi orang yang berdosa supaya mereka bertaubat daripada dosa.”

Teropong:

s Lewi juga dikenali sebagai Matius (Matius 9:9)
t Istilah ini mungkin merujuk kepada pondok tol ataupun bangunan kastam di mana barangan yang diangkut akan dikenakan cukai.
u Oleh kerana Yesus telah melayani di Kapernaum untuk beberapa ketika, kemungkinan besar Lewi sedia maklum akan Yesus ataupun telah mengenali-Nya.
v Orang-orang ini adalah merupakan golongan yang ditolak oleh masyarakat seperti para pemungut cukai. Mereka mungkin tidak bermoral ataupun terlibat di dalam pekerjaan yang dipandang bercanggah dengan Hukum Taurat, misalnya pelacur, pencuri, dsbnya.
w Yesus tidak bermaksud bahawa orang Farisi adalah lebih sihat secara fizikal. Setiap orang harus menyedari bahawa mereka adalah orang berdosa sebelum mampu melihat kepentingan Allah untuk menyelamatkan mereka daripada dosa.

Mari Fikir Sejenak:

  • Siapakah ‘pemungut cukai’ di sekolah anda, iaitu mereka yang dipandang rendah serta dipulaukan oleh orang ramai?
  • Apakah perasaan anda terhadap orang sedemikian? Apakah yang boleh anda pelajari daripada Yesus berkenaan dengan cara melayan mereka?

Pertanyaan Tentang Puasa (ay. 33-39)

33 Beberapa orang berkata kepada Yesus, “Pengikut Yohanes dan pengikut orang Farisi kerap kali berpuasa dan berdoa.x Tetapi pengikut-Mu makan dan minum.”
34 Yesus menjawab, “Dapatkah kamu menyuruh tetamu di jamuan perkahwinany berpuasa selama pengantin lelaki z bersama-sama mereka? Tentu tidak! 35 Tetapi akan tiba masanya pengantin lelaki itu akan diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka akan berpuasa.” a’
36 Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka, “Tidak ada orang yang menampal pakaian lama dengan secebis kain daripada pakaian baru. Jika dia berbuat demikian, dia akan merosakkan pakaian baru itu; lagi pula kain penampal yang baru itu tidak berpadan dengan pakaian lama.b’ 37 Demikian juga tiada seorang pun menuang wain baru ke dalam kirbat kulit lama. c’ Jika dia berbuat demikian, wain baru itu akan memecahkan kirbat itu. Wain itu terbuang dan kirbat itu pun rosak. 38 Wain baru mesti dituang ke dalam kirbat kulit baru! 39 Tidak seorang pun mahu minum wain baru setelah minum wain tua. d’ ‘Wain tua lebih baik, e ’’ katanya.”

Teropong:

x Yohanes Pembaptis membesar di padang gurun serta mengamalkan gaya hidup yang ringkas dan tegas. Dia memakai pakaian yang dibuat daripada bulu unta dan hidup dengan diet belalang dan juga madu liar (rujuk Markus 1:6). Orang Farisi juga turut mempunyai gaya hidup yang tegas. Akan tetapi, Yesus melibatkan diri di dalam pesta dan murid-murid-Nya menikmati kebebasan yang tidak dialami oleh orang Farisi.
y Perkahwinan Yahudi adalah suatu keramaian yang paling meriah. Perayaan yang berkaitan dengannya selalu berlanjutan selama seminggu.
z Yesus membandingkan diri-Nya dengan pengantin lelaki dan para murid-Nya sebagai para jemputan pengantin lelaki tersebut. Adalah tidak masuk akal untuk berpuasa sewaktu pesta perkahwinan berlangsung kerana puasa lazimnya dikaitkan dengan rasa sedih semasa berkabung.
a’ Di dalam Perjanjian Lama, puasa hanya dimestikan pada Hari Penebusan. Akan tetapi ia juga diamalkan secara sukarela sebagai tanda berkabung, sewaktu berlaku bencana dan malapetaka nasional. Ia juga dikaitkan sebagai tanda pertaubatan. Akan tetapi, beredar dengan waktu, ia kehilangan inti keagamaan. Ia telah menjadi amalan tetap orang Farisi pada waktu Yesus. Orang ramai juga berpuasa dua kali seminggu dengan tujuan hanya untuk menunjuk-nunjuk dan penuh dengan kemunafikan. Apabila Yesus, si pangantin lelaki diambil daripada mereka melalui maut, barulah puasa wajar dilakukan. Meskipun Yesus menolak puasa dengan tujuan pameran legalistik, Dia sendiri berpuasa secara diam-diam (Matius 4:2) dan mengajar tentangnya (Matius 6:16-18).
b’ Tindakan menampal kain lama dengan cebisan kain yang baru akan merosakkan kedua-dua helai kain tersebut. Ini kerana kain yang baru akan dikoyakkan manakala yang lama tidak akan kelihatan padan dengan tampalan tersebut.
c’ Kirbat kulit dihasilkan daripada kulit haiwan, terutamanya kulit kambing. Kulit akan disiat daripada isi dan tulang haiwan tersebut. Ia akan digunakan sebagai bekas untuk wain ataupun cecair lain. Pada mulanya, mereka adalah lebih anjal. Akan tetapi mengikut perjalanan masa, ia akan kehilangan kualti ini, malah, akan menjadi mudah bocor. Wain baru akan menapai dan mengembang. Oleh itu jika ia dimasukkan di dalam kirbat kulit yang lama, bekas tersebut akan pecah.
d’ Ayat ini hanya boleh didapai di dalam Injil Lukas. Ia mungkin merupakan sebuah bidalan Yahudi. Ia menjelaskan satu sikap yang tidak ingin berubah dan sangat berpuas hati dengan cara yang lama.
e’ Yesus menunjukkan ketidak-inginan sesetengah orang untuk meninggalkan cara keagamaan tradisional dan mempertimbangkan cara Injil yang baru.

Copyright © 2026, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.