Bab 15 Lukas 15

Perumpamaan Domba yang Hilang (ay. 1-7)

1Pada suatu hari banyak pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat datang mendengar Yesus. 2Lalu orang Farisi dan guru Taurat mula bersungut-sungut.a Mereka berkata, “Lihatlah, orang ini menyambut orang yang dihina masyarakat, bahkan makan bersama-sama mereka!” 3Oleh itu Yesus menceritakan perumpamaan ini,
4“Andaikata seorang daripada kamu mempunyai seratus ekor domba,b lalu kehilangan seekor, apakah yang akan dilakukannya? Tentu dia akan meninggalkan domba yang sembilan puluh sembilan ekor di padang rumput,c lalu pergi mencari yang hilang itu sehingga dapat. 5Apabila dia menjumpai domba itu, dia memikulnya pada bahu.d 6Dengan sukacita dia membawa domba itu pulang. Setelah itu dia memanggil kawan dan jirannya, lalu berkata kepada mereka, ‘Marilah kita bergembira! Dombaku yang hilang sudah aku jumpai semula!’ 7Ketahuilah bahawa demikian juga di syurga ada kegembiraan yang lebih besar kerana seorang berdosa bertaubat,e daripada kegembiraan kerana sembilan puluh sembilan orang berhormatf yang berpendapat mereka tidak perlu bertaubat.”

Teropong:

a Orang Farisi dan guru Taurat menentang Yesus kerana menerima golongan sedemikian. Ini kerana peraturan mereka adalah untuk tidak melibatkan diri dengan orang yang tidak salih. Sikap ini sangat dipandang serius sehing-gakan para rabbi langsung tidak akan mengajar Hukum Taurat kepada mereka. Makan bersama dengan golongan ini dipandang lebih buruk daripada melibatkan diri dengan mereka, kerana makan bersama menunjukkan penerimaan. Tetapi Yesus tidak membenarkan sikap ini daripada mempengaruhi pelayanan-Nya kepada golongan yang lapar akan Firman-Nya.
b Situasi yang dijelaskan oleh Yesus adalah sesuatu yang lazim. Seratus ekor domba adalah saiz ternakan yang biasa, jumlah tersebut hanyalah satu anggaran.
c ‘Padang rumput’ ataupun ‘tempat terbuka’ adalah ruang yang selamat untuk meninggalkan kawanan domba, walau-pun mereka akan diserahkan kepada penjagaan orang lain.
d Domba yang ketakutan, bingung dan terluka harus dipikul.
e Keprihatinan dan kegembiraan Allah terhadap pertaubatan orang berdosa adalah sangat berbeza dengan sikap orang Farisi dan guru Taurat.
f Golongan ini mungkin merujuk kepada orang Farisi dan guru Taurat yang menganggap diri mereka sebagai salih dan tidak memerlukan pertaubatan.

Mari Fikir Sejenak:

  • Pernahkah anda terfikir bahawa Allah dan syurga akan bergembira apabila anda mempercayai Yesus untuk menjadi anak Allah?

Waktu Untuk Berdoa:

Ambil sedikit masa untuk berterima kasih dan memberikan pujian kepada Allah kerana sangat menyayangi anda.

Perumpamaan Syiling yang Hilang (ay. 8-10)

8“Atau andaikata seorang wanita mempunyai sepuluh keping wang perak,g lalu kehilangan sekeping, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan memasang pelita, menyapu rumah lalu mencari wang itu dengan telitih sehingga dapat. 9Apabila dia menjumpai mata wang itu, dia memanggil kawan dan jirannya, lalu berkata kepada mereka, ‘Mari kita bergembira! Wangku yang hilang sudah aku jumpai semula!’ 10Percayalah, malaikat Allah juga bersukacita apabila seorang berdosa bertaubat.”

Teropong:

g Duit syiling yang dimaksudkan adalah satu Dirham Yunani. Ia bersamaan dengan gaji sehari seorang buruh. Nilainya adalah lebih kurang sama dengan satu dinar Roma (rujuk Bab 12, nota g). Duit syiling ini mungkin adalah duit simpanan wanita tersebut. Ada kajian yang mengatakan biasanya duit seperti ini diikat bersama sebagai hiasan kepala. Kegunaan sebenar syiling tersebut adalah tidak penting, apa yang penting adalah ia sangat penting bagi wanita tersebut.
h Reka bentuk rumah di Palestina tidak mempunyai tingkap menjadikan usaha pencarian sangat sukar. Dia memerlukan lampu walaupun di siang hari serta menyapu dengan penuh cermat untuk mencari syiling tersebut.

Perumpamaan Anak yang Hilang (ay. 11-32)

11Yesus berkata lagi, “Ada seorang bapa mempunyai dua orang anak lelaki. 12Yang bongsu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, berikanlah harta bahagiani saya sekarang juga.’ Lalu bapanya membahagi hartanya antara kedua-dua orang anaknya. 13Beberapa hari kemudian, anak yang bongsu menjual bahagian hartanya, lalu meninggalkan rumah. Dia pergi ke negeri yang jauh, dan di sana dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya. 14Dengan cepat wangnya habis. Pada masa itu kebuluran yang teruk melanda seluruh negeri itu, lalu hidupnya melarat kerana dia tidak mempunyai apa-apa. 15Oleh itu dia bekerja bagi seorang penduduk negeri itu, yang menyuruh dia menjaga babij di ladang. 16Dia begitu lapar sehingga ingin mengisi perut dengan makanan babi, tetapi tidak seorang pun memberikan makanan kepadanya. 17Akhirnya dia sedar dan berkata, ‘Semua orang gaji ayahku mendapat makanan yang berlebihan tetapi di sini aku hampir mati kelaparan! 18 Aku akan berangkat dan pergi kepada ayahku lalu berkata begini: Ayah, saya sudah berdosa terhadap Allah dan terhadap ayah. 19Tidak layak lagi saya disebut anak ayah. Anggaplah saya sebagai orang gaji ayah.’ 20Dia pun pulang kepada bapanya.
“Dia masih jauh dari rumah apabila bapanya nampak dia. Dengan penuh kasihan, bapanya lari menemui dia, lalu memeluk, dan menciumnya. 21‘Ayah,’ kata anak itu, ‘Saya sudah berdosa terhadap Allah dan terhadap ayah. Tidak layak lagi saya disebut anak ayah.’ 22Tetapi bapanya memanggil hamba-hambanya dan berkata, ‘Cepat, bawalah jubah yang terbaik dan pakaikan pada dia. Kenakan cincin pada jarinya dan kasut pada kakinya.k 23Pilihlah anak lembu yang gemukl lalu sembelih. Marilah kita rayakan kepulangannya dengan perjamuan. 24Anakku ini sudah mati, tetapi sekarang hidup pula; dia sesat, tetapi sekarang ditemui semula.’ Lalu perjamuan itu dimulakan.
25Sementara itu anaknya yang sulung di ladang. Dalam perjalanan pulang, apabila dekat rumah, dia mendengar muzik dan tari-tarian. 26Dia memanggil salah seorang hambanya lalu bertanya, ‘Apakah yang sedang berlaku?’ 27Hamba itu menjawab, ‘Adik tuan sudah kembali! Bapa tuan menyembelih anak lembu yang gemuk, kerana bapa tuan sudah mendapat anak-nya kembali dalam keadaan selamat.’
28Anak sulung itu begitu marah sehingga dia tidak mahu masuk ke rumah. Lalu bapanya keluar dan memujuk dia. 29Tetapi dia berkata kepada bapanya, ‘Lihatlah, bertahun-tahun saya bekerja seperti seorang hamba untuk ayah. Tidak pernah saya membantah ayah. Tetapi apakah balasan ayah? Tidak seekor kambingm pun disembelih, supaya saya boleh ber-sukaria dengan kawan-kawan saya! 30Tetapi anak ayah ini telah memboroskan segala harta ayah dengan pelacur, dan apabila dia kembali ayah menyembelih anak lembu yang gemuk untuknya!’ 31Bapanya menjawab, ‘Anakku, kamu sentiasa di sini dengan ayah. Segala yang ayah miliki juga milikmu. 32Patutlah kita adakan perjamuan dan bersukacita, kerana adikmu sudah mati, tetapi sekarang hidup pula; dulu dia sesat, tetapi sekarang sudah ditemui semula.’”

Teropong:

i Bahagian yang diterima oleh anak lelaki yang lebih muda adalah satu per tiga kerana mengikut Hukum Taurat, anak lelaki sulung akan mendapat dua pertiga daripada warisan harta (Ul 21:17). Seorang ayah Yahudi mungkin memba-hagikan warisan tersebut tetapi dia akan tetap mendapat pendapatannya sehingga dia mati. Untuk memberikan anak lelaki yang lebih muda bahagian warisannya sewaktu diminta adalah sesuatu yang di luar daripada kebiasaan.
j Ini adalah kejatuhan maruah mutlak bagi seorang Yahudi. Bukan sahaja pekerjaan memberikan makanan kepada babi adalah memalukan, tetapi babi juga dianggap sebagai binatang yang ‘kotor’.
k ‘Jubah terbaik’, ‘cincin’ dan ‘kasut’ adalah tanda kedudukan dan penerimaan. Jubah yang dipakai adalah jubah istiadat bagi tetamu kehormat. Cincin menandakan kewibawaan dan kuasa manakala kasut tidak akan dipakai oleh seorang hamba (hamba selalunya berkaki ayam).
l ‘Anak lembu yang gemuk’ ataupun ‘terbaik’ atau ‘digemukkan’, seperti yang diterjemahkan oleh versi lain, adalah anak lembu yang disimpan untuk perayaan istimewa.
m Ini adalah makanan yang lebih murah daripada anak lembu yang gemuk.

Mari Fikir Sejenak:

  • Daripada ketiga-tiga watak di dalam perumpa-maan ini, watak yang mana satukah menyerupai anda – ayah, anak lelaki sulung ataupun yang lebih muda? Mengapa?
  • Apakah yang Allah ingin katakan kepada anda melalui perumpamaan ini?

Copyright © 2026, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.