Bab 16 Lukas 16

Perumpamaan Pengurus yang Licik (ay. 1-13)

1Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya,a “Ada seorang kaya mempunyai seorang pekerja yang mengurus harta bendanya. Orang kaya itu diberitahu bahawa pengurusb itu memboroskan wang majikannya. 2Lalu orang kaya itu memanggil pengurusnya dan berkata, ‘Apakah yang aku dengar tentang dirimu? Serahkan kira-kiramu yang lengkap bagi semua hartaku, kerana mulai sekarang kamu berhenti menjadi pengurus.’ 3Pengurus itu berfikir, ‘Apakah harus aku lakukan?c Aku akan diberhentikan kerja. Aku tidak kuat mencangkul dan aku malu meminta sedekah. 4Aku tahu akan apa yang harus aku lakukan,d supaya apabila aku diberhentikan kerja, aku mempunyai banyak kawan yang mahu menyambut aku ke rumah mereka.’ 5Lalu dia memanggil semua orang yang berhutang kepada majikannya. Dia bertanya kepada orang yang pertama, ‘Berapakah hutangmu kepada majikanku?’ 6Orang itu menjawab, ‘Seratus buah tempayan minyak zaitun.’ Pengurus itu berkata kepadanya, ‘Inilah kira-kiramu; duduklah dan tulislah lima puluh.e7Kemudian dia berkata kepada orang yang kedua, ‘Berapakah hutangmu?’ Orang itu menjawab, ‘Seribu pikul gandum.f’ Pengurus itu berkata kepadanya, ‘Inilah kira-kiramu; tulislah lapan ratus.’ 8 Majikan pengurus itu memuji kecerdikan pengurus yang tidak jujur ini, kerana orang dunia ini lebih bijak mengurus urusan mereka daripada orang yang hidup dalam terang.g
9Yesus berkata lagi, “Dengarlah! Gunakanlah kekayaan dunia ini untuk mendapat sahabat, supaya apabila kekayaan duniah ini lenyap, kamu akan disambut ke dalam tempat kediaman yang abadi. 10Sesiapa yang setia dalam perkara kecil, akan setia juga dalam perkara besar. Tetapi sesiapa yang tidak jujur dalam perkara kecil, tidak akan jujur dalam perkara besar. 11Jika kamu tidak menggunakan kekayaan duniaj ini dengan setia, bagaimanakah kamu dapat menggunakan kekayaan sejatik dengan baik? 12Jika kamu tidak setia kepada milik orang lain, siapakah mahu memberi kamu apa yang menjadi milik kamu?
13Tidak ada seorang hamba dapat melayani dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain, atau dia akan setia kepada yang seorang dan menghina yang lain. Demikianlah kamu tidak dapat bekerja untuk Allah dan untuk kekayaanl juga.”

Teropong:

a Kemungkinan besar merujuk kepada murid-murid Yesus secara umum (rujuk 6:17; 10:1)
b Di dalam konteks Roma, pengurus harta adalah seorang hamba ataupun lelaki bebas yang diberi hak mengurus harta benda tuannya. Dia menguruskan semua hal ehwal perniagaan tuannya. Pengurus sedemikian mempuyai status sosial tertentu.
c Baginya, kehilangan kedudukan sebagai pengurus mungkin bermaksud hilangnya status sosial. Ini menyebabkan satu-satunya pilihan yang dapat difikirkan adalah untuk menjadi buruh kasar ataupun peminta sedekah.
d Pengurus tersebut tidak mempunyai sebarang penyesalan ataupun keraguan di dalam menggunakan kedudukannya untuk kepentingan diri, walaupun ini bermaksud untuk menipu tuannya. Oleh kerana sedia maklum yang dia akan kehilangan pekerjaannya, pengurus tersebut merancang masa depannya dengan mengurangkan jumlah hutang para pemiutang kepada tuannya supaya pemiutang merasa terhutang kepadanya.
e Tidak ada kata sepakat daripada para penafsir sama ada tindakan yang dilakukan oleh pengurus tersebut adalah tidak jujur ataupun sebaliknya. Mereka tidak pasti sama ada dia memberikan harta benda tuannya ataupun sekadar membatalkan bunga bayaran yang tidak sepatutnya dikenakan oleh tuannya. Salah satu tafsiran adalah pengurus tersebut mengurangkan jumlah hutang oleh itu tuannya akan kehilangan bahagian yang dipinjamkannya. Tafsiran lain pula mencadangankan bahawa pengurus tersebut mungkin telah mengenakan bayaran yang berlebihan kepada peminjam untuk mencari jalan di dalam Hukum Taurat yang mengharamkan bayaran bunga untuk dikenakan sesama orang Yahudi. Untuk mengurangkan hutang, pengurus tersebut mungkin telah mengembalikan jumlah asal dan tidak menyebabkan kerugian kepada tuannya. Ini akan memuaskah hati tuannya dan juga memenangkan hati para peminjam pada masa yang sama. Walau bagaimanapun, pengurus tersebut adalah sangat licik untuk menggunakan pelbagai cara dalam merancang bagi kesejahteraannya sendiri.
f Jumlah yang dinyatakan adalah tidak diketahui (hasil dari lebih kurang 100 ekar tanah) tetapi ia lebih besar daripada jumlah gandum yang terlibat. Oleh kerana ia melibatkan hutang, si peminjam wang tersebut diandaikan agak kaya. Dengan menurunkan jumlah hutang dengan penuh belas kasihan, pengurus tersebut telah memberikan bantuan yang signifikan kepada mereka. Oleh itu, menurut peraturan sosial pada waktu itu, si peminjam wang kini harus mengembalikan kebaikan yang diterima dengan mengalu-alukan pengurus itu ke rumahnya.
g Ini merujuk kepada umat Allah.
h, j Perkataan ini datang daripada bahasa Aramia ‘mammon’ yang bermaksud wang ataupun kekayaan secara umum.
i Umat Allah harus menjadi bijak di dalam menggunakan pemberian Allah untuk membantu mereka yang memerlukan. Mereka yang menerima bantuan akan menunjukkan rasa bersyukur kepada insan yang telah membantu mereka untuk masuk ke syurga. Dengan cara ini, kekayaan dunia dapat digunakan dengan bijak untuk kebaikan abadi.
k Kekayaan sebenar merujuk kepada semua perkara abadi yang Allah telah berikan kepada kita.
l Perkataan ini diterjemahkan daripada perkataan ‘mammon’ (rujuk nota di atas) yang sama seperti di ayat 9 dan 11. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai kekayaan dunia.

Mari Fikir Sejenak:

  • Bagaimanakah anda melihat wang dan harta benda anda? Adakah mereka lebih penting daripada Allah?
  • Bagaimanakah anda boleh menggunakan wang untuk memberkati orang lain?

Ajaran-Ajaran Yesus (ay. 14-18)

14Orang Farisi mendengar segala yang dikatakan oleh Yesus. Lalu mereka mencemuh Yesus kerana mereka suka akan wang. 15Yesus berkata kepada mereka, “Kamulah orang yang berpura-pura benar di hadapan manusia, tetapi Allah mengetahui isi hati kamu. Apa yang dianggap berharga oleh manusia, dibenci oleh Allah.
16Sebenarnya Taurat Musam dan ajaran nabi-nabin berlaku hanya sehingga masa Yohanes Pembaptis. Selepas itu, Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah diberitakan dan orang berasak-asak hendak menikmatinya.p 17 Tetapi lebih mudah bagi langit dan bumi ini lenyap daripada satu titikq pun dalam Taurat ditiadakan.
18Sesiapa yang menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, berzina.r Demikian juga lelaki yang berkahwin dengan wanita yang telah diceraikan, berzina juga.”

Teropong:

m “Hukum Musa” merujuk kepada lima kitab terawal di dalam Perjanjian Lama, iaitu dari kitab Kejadian sehingga Ulangan.
n Istilah gabungan ‘Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi’ merujuk kepada keseluruhan Perjanjian Lama.
o Pelayanan Yohanes Pembaptis yang menyediakan jalan untuk kedatangan Yesus Penyelamat adalah garis pemisah di antara perjanjian Allah yang lama dan baru. Pelayanan Yesus adalah permulaan bagi era perjanjian Allah yang baru manakala Perjanjian Lama adalah era untuk perjanjian Allah yang lama.
p Terdapat beberapa variasi terjemahan untuk perkara ini tetapi ia mungkin merujuk kepada semangat yang ditunjukkan orang ramai terhadap Injil. Orang ramai berasak-asak untuk mendengar Yesus dan menerima pesanan-Nya.
q Ini adalah rujukan terhadap ‘titik’ kecil yang terdapat di dalam huruf tulisan Ibrani. Apa yang dimaksudkan oleh Yesus adalah Hukum Taurat akan dipenuhi sehingga perinciaan yang sangat kecil. Yesus meyakinkan para pendengar-Nya bahawa Dia bukan datang untuk meng-hapuskan Hukum Taurat, tetapi untuk menggenapi setiap perincian yang ada padanya. Ia adalah cara orang Farisi dan guru Taurat mentafsir Hukum Taurat yang membawa kritikan terhadap-Nya.
r Yesus mengesahkan kesinambungan bagi kewibawaan Hukum Taurat dengan berkata perzinahan tetap melanggar hukum dan adalah dosa.

Perumpamaan Orang Kaya dan Lazarus (ay. 19-31)

19“Ada seorang kaya; pakaiannya mahal-mahals dan hidupnya mewah setiap hari.t 20Ada pula seorang miskin bernama Lazarus.u Tubuhnya penuh dengan kudis yang bernanah. Lazarus biasa dibawa ke hadapan pintu rumah orang kaya itu. 21Dia berharap dapat mengisi perut dengan sisa-sisa yang dibuang dari meja orang kaya itu. Kadang-kadang anjing datang menjilat kudisnya. 22Orang miskin itu meninggal lalu dibawa oleh malaikat ke sisi Abrahamv di syurga. Orang kaya itu pun meninggal dan dikebumikan. 23Di alam mautw dia sangat menderita. Apabila dia memandang ke atas, dia nampak Abraham jauh di sana dengan Lazarus di sisinya. 24‘Bapa Abraham,’ seru orang kaya itu, ‘kasihanilah saya. Suruhlah Lazarus mencelupkan jarinya ke dalam air dan membasahkan lidah saya, kerana saya sengsara di dalam api ini!’ 25Tetapi Abraham menjawab, ‘Ingatlah, anak-ku, seumur hidupmu kamu sudah mendapat segala yang baik, sedangkan Lazarus mendapat segala yang buruk. Tetapi sekarang Lazarus seronok di sini, sebaliknya kamu menderita sengsara. 26Selain itu, ada pula jurang yang dalamx di antara kamu dan kami, sehingga orang dari sini tidak dapat ke sana dan orang dari sana tidak dapat ke mari!’ 27‘Jika demikian, Bapa Abraham,’ kata orang kaya itu, ‘saya memohon supaya bapa menyuruh Lazarus pergi ke rumah ayah saya. 28Saya mempunyai lima orang saudara. Biarlah Lazarus pergi memberikan amaran kepada mereka, supaya setidak-tidaknya mereka tidak akan datang ke tempat penderitaan ini.’ 29Abraham berkata kepadanya, ‘Tidakkah mereka mempunyai Kitab Musa dan Kitab Nabi-Nabiy yang memberikan amaran kepada mereka? Sepatutnya mereka mendengarkan amaran kitab-kitab itu!’ 30Tetapi orang kaya itu menjawab, ‘Hal itu tidak cukup, Bapa Abraham. Jika ada seorang bangkit daripada kematian lalu datang kepada mereka, tentu mereka akan bertaubat daripada dosa.’ 31Tetapi Abraham berkata kepadanya, ‘Jika mereka tidak mendengarkan ajaran Musa dan nabi-nabi, mereka tidak akan percaya juga sekalipun ada orang bangkit daripada kematian.’”

Teropong:

s Terjemahan lain mempunyai ayat ‘kain linen warna ungu yang berkualiti’. Hanya orang kaya sahaja yang mampu mewarnakan kain mereka kepada warna ungu. Memakai jubah putih (melambangkan status sosial yang tinggi) di bawah jubah ungu adalah tanda kekayaan yang melampau.
t Sesetengah terjemahan mempunyai perkataan ‘berpesta dengan mewah’, mencadangkan bahawa lelaki tersebut mengadakan pesta makan besar-besaran setiap hari. Dia digambarkan sebagai seorang yang sangat kaya.
u Ini adalah satu-satunya perumpamaan di mana Yesus memberikan nama kepada watak dalam cerita-Nya.
v Sesetengah terjemahan mempunyai perkataan ‘dada Abraham’. Buku Talmud, iaitu buku penjelasan bagi Mishnah (rujuk ‘Tradisi Pemimpin Agama’, ms 9), mengatakan sisi ataupun dada Abraham sebagai rumah bagi orang salih. Ia adalah tempat penuh berkat yang akan dituju oleh orang salih apabila mereka meninggal dunia sambil menunggu Hari Penghakiman. Idea yang dimaksudkan adalah Lazarus sedang menikmati waktu penuh gembira bersama Abraham, bapa leluhur yang agung di dalam jamuan syurgawi.
w Terdapat dua perkataan yang diterjemahkan sebagai “neraka” di dalam Perjanjian Baru. Perkataan pertama adalah “Hades”. Ia digunakan untuk menterjemah perkataan ‘Sheol’ yang terdapat di dalam Perjanjian Lama. Sheol adalah tempat yang dituju oleh orang mati untuk menunggu penghakiman terakhir. Ia juga difahami sebagai tempat yang dituju oleh orang yang jahat, mereka yang mati di bawah kemurkaan Allah. Perkataan kedua yang diterjemahkan sebagai ‘neraka’ di dalam bahasa Yunani adalah Gehenna. Ia adalah satu simbol kepada tempat untuk hukuman abadi. Hades dan Gehenna tidak pernah digunakan sebagai tempat untuk umat Allah di dalam Perjanjian Baru. Hades adalah antonim bagi tempat dan keadaan Lazarus yang dipenuhi berkat (rujuk Bab 12, nota f).
x Gambaran ini digunakan untuk menunjukkan bahawa tidak ada peluang untuk menukar keadaan di alam maut nanti.
y ‘Musa’ bermaksud hasil tulisan Musa, dan gabungan dengan ‘nabi-nabi’ merujuk kepada keseluruhan Perjanjian Lama. Oleh itu, orang kaya tersebut menderita bukan kerana kekayaannya tetapi kerana telah mengabaikan Firman Allah dan ajarannya. Sekiranya minda seseorang telah tertutup kepada Firman Allah, maka tidak ada bukti, mahupun kebangkitan orang mati yang mampu mengubah orang tersebut.

Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.