1Pada hari Ahad,a ketika hari masih subuh, wanita-wanita itu pergi ke kubur dan membawa ramuan yang sudah disediakan oleh mereka.b 2 Mereka mendapati batu penutup pintu kubur sudah digulingkan.c 3 Lalu mereka masuk ke dalam kubur itu, tetapi tidak mendapati jenazah Tuhan Yesus.d
4Sementara mereka berdiri di situ dan kehairanan memikirkan hal ini, tiba-tiba dua orang lelaki yang mengenakan pakaian yang berkilau-kilauane berdiri di sisi mereka. 5Kerana ketakutan, wanita-wanita itu bersujud. Lalu kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu mencari orang hidup antara orang mati? 6Dia tidak ada di sini; Dia sudah bangkit! Ingatlah akan apa yang telah dikatakan-Nya kepada kamu sewaktu Dia di Galilea: 7‘Anak Manusia mesti diserahkan kepada orang berdosa, lalu disalibkan, dan bangkit pada hari ketiga.’”
8Barulah semua wanita itu ingat akan kata-kata Yesus. 9Setelah mereka balik dari kubur itu, mereka memberitahukan segala perkara itu kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain.f 10 Kumpulan wanita itu terdiri daripada Maria Magdalena,g Yohana, dan Maria ibu Yakobus. Bersama dengan wanita-wanita lain, mereka memberitahukan perkara itu kepada rasul-rasul. 11Tetapi rasul-rasul itu menyangka wanita-wanita itu mengatakan yang bukan-bukan. Mereka tidak percaya akan cerita itu. 12Tetapi Petrus bangun lalu lari ke kubur. Dia membongkok, lalu menengok ke dalam dan nampak hanya kain kafanh di situ. Dia pulang ke rumah dengan kehairanan kerana memikirkan apa yang telah berlaku.
a Versi-versi lain menterjemahkannya sebagai ‘pada hari pertama minggu itu’. Hari Sabat adalah hari ketujuh dan jatuh pada hari Sabtu. Oleh itu, hari pertama adalah hari Ahad. Keempat-empat Injil menandakan bahawa hari pertama adalah hari Kebangkitan. Hari ini kemudian dijadikan sebagai hari ibadah Kristian.
b Bagi pengiraan masa Yahudi, hari Ahad bermula ketika matahari terbenam pada hari Sabat (Sabtu). Selepas itu barulah aktiviti membeli rempah boleh dilakukan dan mereka bersedia untuk berangkat awal pagi keesokan harinya. Hari masih gelap ketika mereka ke kubur Yesus (Yoh 20:1) dan apabila mereka tiba di sana, ia masih subuh (rujuk Mrk 16:2).
c Pintu masuk kubur selalunya ditutup untuk mengelakkan jenazah daripada diganggu oleh haiwan ataupun pihak yang tidak bertanggungjawab. Batu penutup yang digunakan berbentuk cakera yang sangat besar. Ia diselitkan di dalam sebuah alur yang dikorek di hadapan lubang kubur. Pintu masuk tersebut boleh ditutup dengan mudah, ia hanya perlu digolekkan ke dalam alur. Akan tetapi, setelah ia ditutup, batu penutup tersebut adalah sangat sukar untuk dibuka (rujuk Mrk 16:3). Tambahan lagi, batu penutup ini telah dikedapkan oleh pihak berkuasa Roma (rujuk Mat 27:62-66).
d Dengan menggunakan frasa ‘Tuhan Yesus’, Lukas memberikan isyarat tentang apa yang akan diketahui oleh murid-murid Yesus setelah menyedari kesignifikan identiti Yesus yang sebenarnya.
e Lukas mengenal pasti identiti dua orang lelaki ini sebagai malaikat di ayat ke 23 dan juga di dalam huraiannya berkenaan pakaian mereka yang bersinar.
f ‘Yang lain’ merujuk kepada murid-murid Yesus yang kebanyakannya datang dari Galilea.
g Maria Magdalena berasal daripada Magdala (rujuk 8:2). Dia bukan Maria dari Betania, saudari Lazarus (Yoh 11:1). Dia disebut terlebih dahulu daripada semua wanita yang berkunjung ke kubur dan merupakan orang pertama melihat Yesus yang telah bangkit (Yoh 20:13-18).
h Kain ini adalah kain linen yang disebut di dalam 23:53 untuk membungkus jenazah Yesus. Kain tersebut masih ada di sana tetapi tubuh Yesus sudah hilang.
13Pada hari itu juga, dua orang daripada pengikut Yesusi sedang pergi ke pekan bernama Emaus, kira-kira sebelas kilometer jauhnya dari Yerusalem. 14Mereka berbincang tentang peristiwa yang sudah berlaku. 15Sedang mereka bercakap dan bertukar pendapat, Yesus datang menghampiri mereka dan berjalan bersama-sama mereka. 16Mereka nampak Yesus, tetapi entah bagaimana mereka tidak mengenalj Dia. 17Yesus berkata kepada mereka, “Apakah yang kamu percakapkan dalam perjalanan kamu ini?” Mereka berhenti dengan muka yang sedih. 18Lalu seorang daripada mereka yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, “Adakah tuan satu-satunya orang di Yerusalem yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku akhir-akhir ini?”
19“Apakah yang telah berlaku?” tanya Yesus. “Perkara-perkara yang berlaku kepada Yesus, orang Nasaret itu,” jawab mereka. “Dia seorang nabi.k Di sisi Allah dan pada pandangan semua orang, Dia berkuasa kerana kata-kata-Nya mahupun perbuatan-Nya. 20Para ketua imam dan penguasa bangsa kita menyerahkan Dia supaya dihukum mati, lalu mereka menyalibkan Dia! 21Kami berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel! Lagi pula hari ini hari ketigal sejak kejadian itu. 22Beberapa orang wanita daripada golongan kami memeranjatkan kami. Pada waktu fajar mereka pergi ke kubur, 23tetapi tidak mendapati jenazah Yesus. Lalu mereka kembali dan berkata bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahukan bahawa Yesus hidup. 24Beberapa orang di kalangan kami pergi ke kubur dan mendapati keadaannya seperti apa yang dikatakan oleh wanita-wanita itu, tetapi mereka tidak nampak Yesus.”
25Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Alangkah bodohnya kamu! Alangkah lambatnya kamu mempercayai semua yang dikatakan oleh nabi-nabi! 26Bukankah Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan itu bagi mencapai kemuliaan-Nya?” 27Kemudian Yesus menerangkan apa yang tertulis tentang diri-Nya di dalam seluruh Alkitab kepada mereka, mulai dari Kitab-Kitab Musa dan tulisan para nabi.m
28Mereka hampir tiba di pekan yang ditujui. Yesus kelihatannya seolah-olah hendak meneruskan perjalanan. 29Tetapi mereka menjemput Dia bermalam. Mereka berkata, “Tinggallah dengan kami. Hari hampir malam, lagi pun sudah mulai gelap.” Oleh itu Yesus masuk ke rumah untuk bermalam dengan mereka. 30Dia makan bersama-sama mereka. Kemudian Dia mengambil roti, mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagi roti itu, dan memberikannya kepada mereka. 31Maka sedarlahn mereka bahawa orang itu Yesus. Tetapi Yesus lenyap daripada pandangan mereka. 32Mereka bercakap sesama sendiri, “Tidakkah hati kita berasa seperti meluap, ketika Dia berkata-kata kepada kita di tengah jalan dan menerangkan isi Alkitab kepada kita?”
33Mereka terus bangkit lalu balik ke Yerusalem. Di situ mereka mendapati sebelas orang rasul sedang berkumpul dengan pengikut yang lain. 34Mereka berkata, “Memang benar Tuhan sudah bangkit! Dia sudah menampakkan diri kepada Simon!”
35Lalu kedua-dua orang pengikut itu menerangkan apa yang berlaku di tengah jalan dan bagaimana mereka mengenali Tuhan pada masa Dia membahagi roti.
36Sedang mereka bercerita tentang perkara itu, tiba-tiba Yesus berdiri di tengah-tengaho mereka dan berkata, “Sejahteralahp kamu!”
37Mereka terkejut dan ketakutan, kerana menyangka mereka nampak hantu.q 38Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Mengapa kamu takut? Mengapa hati kamu ragu-ragu? 39Lihatlah tangan-Ku dan kaki-Ku.r Inilah Aku! Jamahlah Aku, maka kamu akan tahu bahawa Aku bukan hantu kerana hantu tidak mempunyai daging atau tulang, sedangkan Aku mempunyainya.”
40Yesus berkata demikian sambil menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka. 41Mereka masih tidak dapat percaya, kerana terlalu gembira dan hairan. Yesus bertanya kepada mereka, “Adakah kamu mempunyai makanan di sini?”s 42Mereka memberikan sepotong ikan yang sudah dimasak kepada-Nya. 43Yesus mengambil ikan itu dan makan di hadapan mereka.
44Kemudian Dia berkata kepada mereka, “Inilah perkara-perkara yang telah Aku beritahu kamu tatkala Aku masih bersama-sama kamu: Setiap perkara yang tertulis tentang diri-Ku di dalam Taurat Musa, Kitab Nabi-Nabi dan Mazmurt mesti berlaku.”
45Kemudian Yesus membuka fikiranu mereka supaya memahami maksud Alkitab. 46Yesus berkata kepada mereka, “Sudah tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah mesti mengalami penderitaan dan mesti bangkit daripada kematian pada hari ketiga. 47Demi nama-Nya, perkhabaran bahawa manusia mesti bertaubat daripada dosa dan bahawa Allah akan mengampunkan dosa, mesti diisytiharkan kepada semua bangsa mulai dari Yerusalem. 48Kamu-lah saksi semua perkara ini. 49Aku akan mengirim apa yang telah dijanjikanv oleh Bapa kepada kamu. Tetapi kamu mesti menunggu di kota ini sehingga kuasa daripada Allah turun kepada kamu.”
i Mereka bukan salah seorang daripada sebelas rasul. Mereka adalah pengikut Yesus yang datang ke Yerusalem untuk merayakan Paska. Salah seorang daripada mereka bernama Kleopas (ayat 18).
j Sesetengah terjemahan mempunyai frasa ‘ada sesuatu yang menghalangi mata mereka’. Implikasi yang ada menunjukkan Allah telah menghalang mereka daripada mengenali Yesus. Sudah menjadi rancangan-Nya untuk mereka mengenali Yesus di kemudian nanti (ayat 31).
k Mereka menghormati Yesus sebagai nabi tetapi selepas kematian-Nya mereka mungkin teragak-agak untuk memanggil Dia sebagai Mesias.
l Mereka mungkin teringat nubuat Yesus bahawa Dia akan bangkit semula pada hari ketiga. Akan tetapi, mereka masih tidak mampu memahami maksud penderitaan dan kematian Yesus.
m ‘Kitab-Kitab Musa dan tulisan para nabi’ adalah merujuk kepada keseluruhan Perjanjian Lama.
n Adalah tidak jelas apakah penyebab mereka mampu mengenali Yesus. Ia mungkin disebabkan aksi-Nya ketika membahagi roti (ayat 35) ataupun bekas luka paku di tangan-Nya. Penjelasan yang lebih baik adalah detik tersebut adalah waktu Allah untuk menunjukkan kepada mereka bahawa lelaki tersebut adalah Anak-Nya. Bandingkan ini dengan ayat 16 ketika mereka dihalang daripada mengenali Yesus.
o Menurut Injil Yohanes, Yesus dikatakan masuk ke dalam rumah walaupun pintu telah dikunci. Tubuh Yesus yang telah dibangkitkan semula tidak lagi terikat kepada had-had fizikal. Ini jelas dilihat melalui kemunculan dan keghaiban-Nya secara tiba-tiba. Tubuh yang baru ini adalah tubuh fizikal kerana boleh disentuh oleh mereka tetapi ia juga sangat berbeza. Inilah tubuh kebangkitan yang telah dimuliakan.
p Ini adalah kata salam Yahudi yang lazim. ‘Sejahtera’ datang daripada perkataan Ibrani Shalom.
q Kemunculan Yesus yang mengejutkan pasti memeranjatkan walaupun mereka baru sahaja bercakap-cakap tentang Dia. Tambahan lagi, Dia muncul secara mengejut meskipun pintu telah dikunci. Mereka menganggap Yesus sebagai hantu kerana masih belum faham bahawa Dia telah bangkit semula.
r Yesus memanggil mereka untuk melihat dan menyentuh bahagian yang ditembusi oleh paku demi meyakinkan mereka bahawa Dia nyata dan bukannya hantu.
s Permintaan-Nya untuk mendapatkan makanan membuktikan bahawa Dia benar-benar hidup dan tubuh-Nya nyata secara fizikal.
t ‘Taurat Musa, Kitab Nabi-Nabi dan Mazmur’ adalah tiga bahagian di dalam Alkitab Ibrani. Yesus menunjukkan di sini bahawa tidak ada sebahagian pun daripada Firman Allah yang tidak memberikan kesaksian akan-Nya.
u Dengan menjelaskan Firman Allah, Dia membantu mereka untuk memahami bahawa Kitab Suci menghala kepada seorang Mesias yang akan menderita dan bangkit kembali. Dia juga menunjukkan kepada mereka bahawa Dia adalah Mesias tersebut.
v Yesus merujuk kepada Roh Allah sebagai janji ‘kuasa daripada Allah’. Kedatangan-Nya menjadi kenyataan di dalam Kis 2:4. Murid-murid Yesus tidak seharusnya memikul tanggungjawab menyebarkan Injil dengan sendirian. Mereka harus menunggu Roh Kudus yang akan menjadi sumber kuasa untuk mereka.
Ketika Yesus memanggil kita untuk menjadi saksi-Nya, Dia hanya sekadar memanggil kita untuk mengongsikan perkara yang telah dilakukan-Nya di dalam hidup kita.
50Kemudian Yesus membawa mereka ke luar kota sehingga ke Betania.w Di situ Dia mengangkat tangan-Nya lalu memberkatix mereka. 51Sementara Yesus memberkati mereka, Dia terangkat ke syurga,y lalu meninggalkan mereka. 52Mereka sujud menyembah Dia, lalu balik ke Yerusalem dengan penuh kegembiraan. 53Mereka sentiasa di Rumah Tuhana’ dan memuji Allah.
w Betania adalah tempat di mana Yesus memulakan perjalanan masuk ke Yerusalam dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, adalah amat berpatutan bagi-Nya untuk diangkat ke syurga dari tempat tersebut.
x Berkat terakhir Yesus untuk murid-murid-Nya sangat menyerupai kelakuan seorang imam. Sebagai Mesias yang telah dibangkitkan, Yesus mempunyai kewibawaan untuk memberkati umat-Nya dan memberikan jaminan bahawa Dia akan memberikan pertolongan syurgawi.
y Perkara ini menandakan pemergian Yesus yang terakhir dari bumi dan juga status-Nya sebagai Anak Allah yang telah dimuliakan. Kemuliaan dan kuasa agung Yesus menjadi nyata kepada pengikut-pengikut-Nya. Kini mereka mempunyai bukti kukuh yang tidak boleh disangkal bahawa penghinaan di kayu salib adalah sebahagian daripada rancangan Allah untuk Anak-Nya. Kini setelah menyempurnakan rancangan Allah, Dia kembali ke syurga untuk bersama dengan Bapa-Nya.
z Penyembahan yang dilakukan menunjukkan kini murid-murid Yesus telah mengenali identiti sebenar Yesus, Anak Allah yang ilahi.
a’ Selang beberapa ketika selepas pengangkatan Yesus, mereka masih bertemu di Rumah Tuhan (rujuk Kis 2:46) di mana terdapat banyak bilik yang boleh digunakan untuk perjumpaan dilakukan.
Akhirnya, murid-murid Yesus mengenali identiti sebenar Yesus dan respon mereka adalah untuk menyembah Dia.
Anda kini telah tiba di penghujungan pembelajaran tentang Injil Lukas dan respon anda seharusnya menyerupai mereka.
Yesus adalah Tuhan dan Penyelamat Anda. Dia kini telah ditinggikan di dalam hadirat Allah di syurga. Ambilah sedikit masa untuk memuji dan menyembah Dia.
Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.