Saudara Teofilus a yang terhormat. Di dalam kitab saya yang pertama, b saya telah menerangkan segala perkara yang dilakukan dan diajarkan oleh Yesus, sejak Dia memulakan pekerjaan-Nya, c 2 sehingga pada hari Dia diangkat ke syurga. Sebelum Yesus diangkat ke syurga, Dia dengan kuasa Roh Allah memberikan petunjuk kepada rasul-rasul yang telah dipilih-Nya. d 3 Selama empat puluh hari e setelah kematian-Nya, banyak kali Yesus menunjukkan diri dengan nyata sekali f kepada rasul-rasul itu, sehingga tidak dapat diragukan lagi bahawa Dia benar-benar hidup. Mereka melihat Dia, dan Dia berkata-kata dengan mereka tentang Pemerintahan Allah g. 4Apabila mereka berkumpul, Yesus memberikan arahan ini kepada mereka, “Janganlah tinggalkan Yerusalem, h tetapi tunggulah pemberian yang sudah dijanjikan oleh Bapa-Ku, dan yang sudah Aku beritahukan kamu dahulu. a 5Yohanes membaptis kamu dengan air, tetapi beberapa hari lagi kamu akan dibaptis dengan Roh Allah.” j
a Teofilus bererti “yang mengasihi Allah” atau “disayang Allah”. Besar kemungkinan dia merupakan seorang pegawai atasan Roma atau seorang yang kaya dan berkuasa kerana dalam buku pertama Lukas, iaitu Injil Lukas, dia dipanggil sebagai ‘Tuan Teofilus’ (Luk 1:3). Kedua-dua buku Kisah Rasul-Rasul dan Injil Lukas didedikasikan kepada Teofilus. Dedikasi seperti itu adalah perkara biasa dalam penulisan pada zaman tersebut.
b Lukas merujuk kepada Injil Lukas. Ia menunjukkan bahawa Lukas sengaja menulis Injil Lukas serta Kisah Rasul-Rasul sebagai sebuah buku yang mempunyai dua jilid. Pada zaman tersebut, penulis biasa menjilidkan karyanya daripada beberapa tulisan atau ‘buku’ seperti ini serta menulis pengenalan pendek bagi setiap jilid buku tersebut.
c Lukas menerangkan tujuannya menulis Injil Lukas (Luk 1:4), tetapi dia tidak berbuat demikian untuk Kisah Rasul-Rasul. Dia seakan-akan membayangkan dia akan menulis tentang apa yang terus dilakukan dan diajarkan oleh Yesus selepas pengangkatan-Nya. Hal ini dilaksanakan oleh rasul-rasul dengan kuasa Roh Allah.
d Istilah ‘rasul’ berasal dari perkataan Yunani apostolos yang bermaksud ‘yang diutus’. Lukas menghadkan penggunaan gelaran ini kepada dua belas murid Yesus (Luk 6:13-16) kecuali Yudas Iskariot yang telah digantikan oleh Matias (ayt. 26). Rasul-rasul adalah mereka yang bersama-sama Yesus semasa pelayanan-Nya di bumi dan yang telah menyaksikan kebangkitan-Nya.
e ‘Empat puluh’ merupakan angka genap yang kerap digunakan di dalam Alkitab. Ia lebih digunakan untuk menunjukkan angka bulat daripada jumlah sebenar. Nombor ini memberikan satu gambaran kesempurnaan atau kematangan (lihat Bab 7, nota k).
f Yesus menampakkan diri-Nya dengan cara berikut:
i) Berjalan bersama dengan dua orang murid ke Emaus (Luk 24:13-32)
ii) Bertemu dengan Petrus (Luk 24:34)
iii) Menunjukkan tangan dan kaki-Nya serta makan di hadapan
para murid (Luk 24:36-49)
iv) Menunjukkan diri kepada Thomas (Yoh 20:26-29)
v) Bertemu dengan Petrus dan murid-murid-Nya di Laut Galilea (Yoh 21)
g Tema ‘Pemerintahan Allah’ sering muncul dalam PL dan PB. Ia merujuk kepada kedaulatan atau takhta pemerintahan Allah dalam kehidupan dan sejarah manusia. Pada zaman PL, martabat seorang raja ditunjukkan atau disingkapkan oleh Allah di bumi dalam kehidupan umat Israel. Dengan kejatuhan kerajaan Israel, orang Yahudi percaya bahawa pemerintahan Allah yang sempurna akan disingkapkan di bumi pada masa yang akan datang. Inilah harapan orang Yahudi pada zaman Yesus. Mereka menantikan kebangkitan kerajaan Israel yang baru.
Walau bagaimanapun, kerajaan Allah dalam Injil ditunjukkan dengan kedatangan dan pelayanan Yesus. Perkara ini menjadi tema utama dalam khutbah dan pengajaran Yesus. Ia terus menjadi tema kepada kesaksian rasul-Nya dan seterusnya kepada gereja awal. Tetapi kini ia melibatkan penyelamatan melalui kematian dan kebangkitan Yesus.
h Yerusalem merupakan kota yang paling penting dalam sejarah karya Allah, di mana karya penebusan-Nya digenapi. Ia merupakan kota diraja, Kota Daud. Di tempat ini Rumah Tuhan didirikan dan di sini korban bakaran menjadi penyembahan yang benar semasa pemerintahan Israel. Yerusalem adalah kota para nabi dan raja-raja dari keturunan Daud. Di tempat ini jugalah Yesus, Anak Daud yang teragung telah mati, dibangkitkan dan diangkat ke syurga. Ia terletak kira-kira 23 km (14 batu) di barat Laut Mati dengan ketinggian 797 m (2,550 kaki) dari aras laut.
i Yerusalem adalah tempat di mana Roh Kudus akan diberikan kepada seperti yang dijanjikan oleh Yesus (Luk 24:49). Kota yang tidak menerima Yesus ini akan menjadi tempat orang bersaksi tentang Dia.
j Janji Yesus dikuatkan dengan satu peringatan tentang kesaksian Yohanes Pembaptis (Luk 3:16). Baptis bermaksud membenamkan seseorang di dalam air atau membuatnya benar-benar dilitupi oleh air, biasanya membawa erti pembersihan. Apabila istilah ini digunakan untuk Roh Allah, ia merujuk kepada curahan Roh Kudus dari Allah ke atas umat-Nya.
6Apabila rasul-rasul itu berkumpul dengan Yesus, mereka bertanya kepada-Nya, “Tuhan, adakah sekarang Tuhan mahu memulihkan Pemerintahan bangsa Israel?” k
7Yesus menjawab, “Kamu tidak perlu mengetahui masa dan waktu yang sudah ditetapkan oleh Bapa-Ku, kerana hal itu hak-Nya. l 8Tetapi kamu akan menerima kuasa, apabila Roh Allah datang kepada kamu. Lalu kamu akan menjadi saksi-saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea, m dan Samaria, n serta sampai ke hujung bumi.” o 9Setelah Yesus berkata demikian, Dia diangkat ke syurga, sementara mereka memandang Dia. Lalu awan p menutupi Dia daripada pandangan mereka.
10Mereka masih memandang ke langit sementara Yesus diangkat, apabila dengan tiba-tiba dua orang berpakaian putih q berdiri di sisi mereka. 11“Hai orang Galilea,” r kata kedua-dua orang itu, “mengapa kamu berdiri menengadah ke langit? Yesus, yang kamu lihat diangkat ke syurga, akan kembali lagi dengan cara yang sama seperti yang kamu lihat tadi.”
k Para rasul masih menaruh harapan untuk melihat Pemerintahan Allah berlaku melalui pemulihan dan kemerdekaan bangsa Israel. Jadi apabila mereka mendengar Guru mereka bercakap tentang kurnia Roh yang akan datang, petanda zaman baru, mereka bertanya jika inilah masanya bagi Israel untuk menjadi pemerintah bangsanya sendiri.
l Yesus tidaklah memberikan jawapan ‘Tidak’ secara langsung. Walau bagaimanapun, apa pun rancangan Allah untuk bangsa Israel, itu bukan masalah bagi semua pembawa berita Kristus. Tugas mereka adalah untuk mengisyitiharkan Berita Baik tentang anugerah penyelamatan Allah melalui Yesus Kristus setelah mereka menerima Roh Allah. Mereka tidak akan diberikan kuasa politik. Sebaliknya, mereka akan diberikan kuasa dari syurga.
m Yudea merujuk kepada bahagian selatan wilayah Palestina di mana terletaknya Yerusalem.
n Samaria merupakan sebuah kawasan di Palestina yang terletak di antara Galilea di bahagian utara dan Yudea di selatan.
o Bidang tugas mereka agak luas. Ia bermula dari kota Yerusalem, kemudian ke Yudea (Yerusalem terletak di kawasan ini) dan Samaria (kawasan di utara Yudea), and akhirnya ke seluruh dunia. Konsep ‘saksi’ adalah amat penting dalam buku Kisah Rasul-Rasul (perkataan ini muncul sebanyak 39 kali dalam perlbagai bentuk dalam Kisah Rasul-Rasul) sehingga ia harus diberi keutamaan berbanding hal-hal lain.
p Awan tersebut mungkin sekali melambangkan shekinah, suatu manifestasi atau pewahyuan yang boleh dilihat tentang kemuliaan dan hadirat Allah yang nyata (Kel 24:15-17). Awan seperti ini menyelubungi Gunung Sinai apabila Musa mendakinya untuk bertemu dengan Allah; ia juga melitupi Yesus dan tiga orang murid-Nya di atas gunung ketika wajah Yesus berubah (transfigurasi) sebagai tanda hadirat Allah yang nyata (Luk 9:34-35). Perkara yang sama terjadi di sini. Yesus diselubungi dengan awan shekinah, manifestasi kemuliaan dan hadirat Allah yang boleh dilihat dengan mata kasar.
q Lukas mahu para pembaca untuk memahami orang ini sebagai malaikat, seperti dua orang lelaki yang muncul di hadapan wanita yang berada di kubur Yesus yang kosong (Luk 24:4). Dalam kedua-dua contoh ini, dua orang tersebut mengusulkan bahawa mereka akan menjadi saksi. Ini adalah kerana dalam hukum orang Yahudi, mesti ada dua orang saksi untuk mengesahkan keterangan atau kesaksian seseorang. Dalam Injil Lukas, mereka menjadi saksi kepada kebangkitan Yesus. Di sini, mereka menjadi saksi kepada pengangkatan (diangkat ke syurga) Yesus dan parousia-Nya, iaitu apabila Dia kembali lagi untuk kedua kalinya dalam kuasa dan kemuliaan.
r Kesemua dua belas orang rasul berasal dari Galilea kecuali Yudas, dan dia tidak bersama dengan mereka lagi. Yudas dikatakan berasal dari Yudea.
12Kemudian rasul-rasul itu kembali ke Yerusalem dari Bukit Zaitun, s yang kira-kira satu kilometer jauhnya dari bandar. t 13Setibanya di Yerusalem, mereka pergi ke rumah tempat mereka menumpang, lalu naik u ke bilik di tingkat atas. Rasul-rasul itu v Petrus, Yohanes, Yakobus dan Andreas, Filipus dan Tomas, Bartolomeus dan Matius, Yakobus anak Alfeus, Simon Patriot w dan Yudas anak Yakobus. 14Dengan sehati mereka sering berkumpul dan berdoa bersama-sama wanita-wanita, x termasuk Maria ibu Yesus, dan saudara-saudara Yesus. y
s Bukit Zaitun merupakan rabung bukit sepanjang kira-kira 1.6 km (1 batu) yang terletak di timur Yerusalem dan mempunyai ketinggian 824 m (2,700 kaki). Pemandangan Yerusalem yang sangat indah terutamanya Rumah Tuhan dapat dilihat dari atas puncaknya. Dalam Luk 24:50, Yesus dikatakan membawa murid-murid-Nya untuk pergi ke Betania yang terletak di cerunan bahagian timur Bukit Zaitun. Pengangkatan Yesus berlaku di cerun sebelah timur bukit di antara Yerusalem dan Betania.
t Versi lain mengatakan ia adalah kira-kira ‘perjalanan satu hari Sabat’ dari kota. Perjalanan satu hari Sabat merupakan pepatah orang Yahudi dan dianggarkan (berdasarkan beberapa ayat PL seperti Kel 16:29 dan Bil 35:4-5) sejauh 1 km. Seorang Yahudi yang sejati tidak akan berjalan lebih dari itu pada hari Sabat.
u Bilik tingkat atas di rumah-rumah kota Palestina biasanya menjadi kegemaran penumpang kerana ia jauh dari bunyi bising kota dan sukar dilihat oleh orang yang lalu-lalang. Bagi orang berada, bilik tingkat atas dijadikan ruang tamu. Ada kalanya ianya disewakan kepada orang lain. Bilik ini juga biasa dijadikan tempat berkumpul, belajar & berdoa.
Bilik seperti ini jugalah menjadi tempat Yesus merayakan Paskah bersama para murid sebelum penyaliban-Nya. Besar kemungkinan Dia juga menampakkan diri kepada beberapa orang pengikut selepas kebangkitan-Nya di bilik seperti ini.
v Lukas telah menyenaraikan Dua Belas rasul dalam Injil yang ditulisnya (Luk 6:14-16). Dalam Kisah Rasul-Rasul, dia mengulang senarai ini tetapi tanpa nama Yudas Iskariot, menunjukkan kumpulan rasul yang tidak lengkap dan akhirnya menyebabkan mereka untuk mencari pengganti Yudas. Adalah penting untuk melengkapkan jumlah 12 kerana ia mewakili 12 suku Israel. Hal ini penting bagi Kristian awal sekiranya mereka mahu orang Yahudi melihatnya sebagai kemuncak harapan Israel dan umat sebenar Penyelamat orang Israel.
15 Beberapa hari kemudian, pengikut-pengikut z Kristus berkumpul. Kira-kira seratus dua puluh a’ orang pengikut hadir dan Petrus berdiri untuk berkata-kata. 16 Dia berkata, “Saudara-saudara! Apa yang tertulis di dalam Alkitab harus berlaku. Dahulu Roh Allah melalui Daud b’ bernubuat tentang Yudas, yang memimpin kumpulan orang yang menangkap Yesus. 17 Yudas salah seorang daripada kita, kerana dia pun dipilih supaya bekerja bersama-sama kita.”
18 (Yudas membeli sebidang tanah dengan upah yang diterimanya kerana melakukan perbuatan jahat. Di situ dia jatuh lalu mati; perutnya terbelah dan isi perutnya terburai. 19 Semua orang yang tinggal di Yerusalem mendengar kejadian itu. Itulah sebabnya dalam bahasa mereka sendiri, mereka menamakan tanah itu Akeldama, c’ yang bererti “Tanah Darah.”) d’ 20 Petrus berkata lagi, “Hal itu berlaku, kerana di dalam kitab Mazmur tertulis, ‘Biarlah rumahnya menjadi kosong, janganlah tempat itu didiami orang’. e’ Ada tertulis juga, ‘Hendaklah orang lain mengambil alih tugasnya.’ f’
21 Oleh itu seseorang harus menyertai kita untuk menjadi saksi bahawa Tuhan Yesus sudah bangkit daripada kematian. g’ Orang itu haruslah salah seorang daripada orang yang sentiasa bersama-sama kita, pada masa kita mengikut Tuhan Yesus ke serata tempat. 22 Dia harus sudah menyertai kita sejak Yohanes membaptis orang sehingga pada hari Yesus diangkat ke syurga.”
23 Orang yang hadir di situ mencadangkan dua orang: Yusuf yang disebut Barsabas h’ (dia juga dipanggil Yustus), dan Matias. 24-25 Lalu mereka berdoa, “Ya Tuhan, Engkau mengetahui hati semua orang. Yudas sudah meninggalkan tugasnya sebagai rasul dan sudah menerima ganjarannya. Tunjukkanlah yang mana antara dua orang ini yang akan Engkau pilih untuk menjalankan tugas itu bagi menggantikan Yudas.” 26 Kemudian mereka menentukan pilihan dengan undi i’ dan Matias terpilih menjadi rasul untuk menyertai sebelas orang rasul yang lain.
z Istilah untuk ‘pengikut-pengikut’ di sini adalah perkataan untuk ‘saudara’. Lukas selalu menggunakan perkataan ‘saudara’ untuk merujuk kepada orang Kristian dalam bukunya.
a’ Hukum Yahudi menetapkan sekurang-kurangnya 120 orang lelaki perlu ada untuk membentuk satu komuniti dengan majlis tersendiri. Lukas ingin menekankan bahawa mereka mempunyai jumlah yang cukup untuk membentuk satu komuniti baru.
b’ Oleh kerana Yesus ialah Penyelamat dari keturunan Daud, banyak pengalaman Daud seperti yang dicatatkan dalam mazmur boleh dikatakan sebagai nubuatan yang berkaitan dengan Yesus. Oleh sebab itu, setiap orang yang menjadi musuh kepada Daud yang diurapi Allah ditafsirkan sebagai musuh Yesus juga. Sebab itu tidak sukar untuk mendapatkan petikan dari PL terutamanya dalam Mazmur, untuk ditujukan kepada Yudas. Petrus mengesahkan bahawa penulis sebenar ialah Roh Allah yang berkata-kata melalui Daud dalam mazmurnya.
c’ Ini adalah satu istilah dalam bahasa Aramaik. Besar kemungkinan ia digunakan oleh orang-orang yang tahu akan kejadian tersebut dan bahawa tanah itu dibeli dengan ‘wang darah’, wang yang diterima oleh Yudas setelah mengkhianati Yesus, kerana dia membunuh seorang lelaki yang tidak bersalah (Mat 27:4).
d’ Dua kata ini menunjukkan bahawa ia bukan sebahagian daripada ucapan Petrus. Lukas menyimpang seketika untuk memaklumkan kepada pembacanya tentang perkara yang terjadi kepada Yudas. Kenyataan di sini berbeza dengan apa yang dinyatakan di Mat 27:3-10. Beberapa kemungkinan telah dikemukakan untuk mengaitkan kedua-dua kenyataan tersebut:
i) Tanah tersebut telah dibeli oleh ketua imam dengan menggunakan nama Yudas dengan harga 30 keping wang perak.
ii) Yudas menggantung dirinya dan apabila tubuhnya mula reput dan jatuh, ataupun seseorang telah memotong talinya, mayatnya yang reput itu putus di bahagian tengah dan mengeluarkan semua isi perutnya.
iii) Lukas cuba membayangkan dengan terperinci kengerian keadaan semasa Yudas membunuh dirinya.
e’ Ini dipetik dari Maz 69:25. Ia merupakan sebuah doa supaya kediaman musuh si pemazmur akan ditinggalkan. Mazmur 69 diaplikasikan oleh penganut Kristian awal dalam pelbagai keadaan kepada Yesus Kristus sebagai Orang Benar Yang Menderita dan Hamba Allah.
f’ Ayat ini dipetik dari Maz 109:8. Di sini, pemazmur sedang berdoa supaya musuh-musuh tertentu akan mati sebelum masanya dan tanggungjawabnya akan digantikan oleh orang lain.
Kedua-dua ayat ini diletakkan bersama-sama untuk mengusulkan bahawa Yudas telah meninggalkan satu kedudukan dan kekosongan itu kini harus diisi.
g’ Terdapat dua syarat kelayakan yang ditetapkan untuk memilih pengganti Yudas. (i) Dia harus pernah bersama dengan Yesus serta murid-murid yang lain sejak dari pelayanan Yohanes Pembaptis sehingga pengangkatan Yesus; (ii) Dia harus adalah salah seorang yang telah menyaksikan kebangkitan Yesus sama seperti rasul-rasul yang lain.
h’ Barsabas bererti ‘anak Sabat’. Nama ini mungkin diberi kepadanya kerana dia dilahirkan pada hari Sabat. Seperti ramai orang Yahudi yang lain, dia juga mempunya nama bukan Yahudi iaitu ‘Yustus’.
i’ Pengundian ini menjadi satu alat untuk membolehkan Allah membuat pilihan-Nya (Ams 16:33). Ia merupakan satu kebiasaan di Israel (lihat Taw 26:13-16, Neh 11:1, Luk 1:9) dan dunia purba. Ia dilakukan dengan objek seperti batu atau kayu yang telah ditandakan.
Copyright © 2026, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.