Pada suatu hari, a Petrus dan Yohanes pergi ke Rumah Tuhan b pada pukul tiga petang, iaitu masa berdoa. c 2Di situ, di pintu yang disebut Pintu Indah, d ada seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak dia dilahirkan. Tiap-tiap hari dia dibawa ke situ untuk meminta sedekah e daripada orang yang masuk ke Rumah Tuhan. 3 Apabila dia nampak Petrus dan Yohanes sedang masuk ke Rumah Tuhan, dia meminta sedekah daripada mereka. 4Mereka memandang dia, lalu Petrus berkata, “Pandanglah kami!” 5Kemudian orang itu memandang mereka dan berharap akan mendapat sesuatu daripada mereka.
6 Tetapi Petrus berkata kepadanya, “Aku sama sekali tidak mempunyai wang, tetapi apa yang ada padaku akan aku berikan kepadamu: dengan kuasa Yesus Kristus orang Nasaret f itu, berjalanlah!” 7 Lalu Petrus memegang tangan kanan orang lumpuh itu dan menolong dia bangun. Seketika itu juga kaki dan pergelangan kaki orang lumpuh itu menjadi kuat. 8 Lalu dia melompat bangun, dan mula berjalan ke sana ke mari. Kemudian dia masuk ke Rumah Tuhan bersama-sama Petrus dan Yohanes, sambil berjalan dan melompat-lompat serta memuji Allah. 9 Semua orang melihat dia berjalan dan memuji Allah. 10 Apabila mereka mengenali dia sebagai peminta sedekah yang biasa duduk di hadapan Pintu Indah di Rumah Tuhan, mereka hairan dan kagum melihat apa yang berlaku kepadanya.
a Selepas perayaan Pentakosta, Lukas menyatakan bahawa banyak ‘mukjizat dan keajaiban’ yang terjadi melalui rasul-rasul. Dia kini menceritakan kisah yang sebenarnya di sini. Petrus dan Yohanes merupakan individu-individu yang terpenting di kalangan rasul-rasul (Gal 2:9). Bersama dengan saudara Yohanes iaitu Yakobus, mereka bertiga merupakan rasul yang paling rapat dengan Yesus.
b Para rasul terus mengamalkan cara hidup orang Yahudi, menghadiri ibadah yang telah ditetapkan di Rumah Tuhan.
c Waktu yang telah ditetapkan untuk berdoa dalam agama Yahudi ialah (i) pada jam yang ketiga (kira-kira pada pukul 9 pagi) semasa upacara korban pagi, (ii) pada jam yang kesembilan (kira-kira pada pukul tiga petang) semasa upacara korban pada waktu petang, dan (iii) sewaktu matahari terbenam.
Walaupun orang Yahudi memulakan hari mereka dari matahari terbenam, hari orang Ibrani bermula pada waktu matahari terbit sehingga ia terbenam, kira-kira dari pukul 6 pagi sehingga 6 petang. Tempoh satu jam merupakan satu per dua belas dari waktu siang. Akan tetapi, oleh kerana matahari tebit dan terbenam pada masa yang berlainan menurut peredaran musim sepanjang tahun, tempoh masa dalam Alkitab tidak boleh diterjemah secara langsung kepada kiraan masa moden.
d Ini merupakan pintu masuk utama di bahagian timur serambi Rumah Tuhan. Pintu gerbang ini sangat indah, setinggi kira-kira 23m (75 kaki) dengan sebuah pintu berkembar yang sangat besar. Jarak keluasaannya bermula dari Halaman Orang Bukan Yahudi sehingga ke Halaman untuk Para Wanita (rujuk kepada ‘Rumah Tuhan’, ms. 30). Ia juga dikenali sebagai Gerbang Nikanor.
e Oleh kerana memberi sedekah menjadi salah satu cara untuk mendapat berkat Tuhan, lelaki tersebut ditempatkan di kawasan laluan orang-orang yang taat agama ke tempat ibadah mereka.
f Lelaki itu bukan disembuhkan dengan kuasa mereka tetapi mereka memerintahkan hal penyembuhan itu dalam nama Yesus Kristus.
Mari kita meluangkan masa untuk bersyukur dan memuji Tuhan atas kasih dan kebaikan-Nya.
11 Orang itu masih mengikuti Petrus dan Yohanes. Apabila mereka tiba di serambi yang disebut Serambi Salomo, g semua orang berlari mengerumuni mereka kerana kagum. 12 Apabila Petrus melihat orang ramai itu, dia berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Israel, mengapa saudara semua hairan akan perkara ini? Mengapa saudara-saudara merenung kami? Adakah saudara-saudara menyangka bahawa orang ini boleh berjalan kerana kuasa kami atau kerana kami taat kepada Allah? h 13 Allah yang disembah oleh Abraham, Ishak, Yakub, dan nenek moyang kita, sudah mempermuliakan Hamba-Nya, i Yesus. Yesus itulah yang saudara-saudara serahkan kepada pihak berkuasa, dan yang saudara-saudara tolak di hadapan Pilatus j, meskipun Pilatus hendak membebaskan Dia. 14 Dia suci dan baik, tetapi saudara-saudara menolak Dia dan meminta Pilatus melepaskan seorang pembunuh. k 15 Saudara-saudara membunuh Dia yang memberikan hidup sejati kepada semua orang! Tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian, dan kami menyaksikan perkara itu. 16 Dengan kuasa Yesus l orang lumpuh ini dikuatkan. Apa yang saudara-saudara lihat dan saksikan ini berlaku kerana dia percaya kepada Yesus dan kuasa-Nya. Kerana orang itu percaya kepada Yesus, m dia sembuh, seperti yang sudah saudara-saudara lihat sendiri.
17 Saudara-saudara, sekarang saya tahu, bahawa apa yang saudara-saudara dan para pemimpin saudara lakukan terhadap Yesus, tidak saudara-saudara fahami maknanya. 18 Dahulu kala melalui nabi-nabi, Allah memberitahu bahawa Penyelamat yang diutus-Nya harus menderita. Demikianlah perkara itu berlaku seperti yang dikehendaki-Nya. 19 Oleh itu, bertaubatlah daripada dosa dan kembalilah kepada Allah, supaya Dia menghapus dosa saudara-saudara. 20 Jika saudara-saudara bertaubat, saudara sekalian akan mengalami kesegaran rohani. Tuhan akan menyuruh Yesus datang kepada saudara-saudara, kerana Dia sudah ditetapkan oleh Tuhan untuk menjadi Penyelamat saudara-saudara. 21 Dia harus tinggal di syurga sehingga tiba masanya bagi Allah menjadikan semuanya baru, seperti yang difirmankan oleh Allah melalui nabi-nabi-Nya yang suci pada zaman dahulu. 23 Musa pernah berkata, n ‘Tuhan, Allah kamu akan mengutus seorang nabi kepada kamu seperti Dia mengutus aku. Nabi itu akan datang daripada bangsa kamu sendiri. Kamu harus mendengar semua yang dikatakan-Nya. 23Sesiapa yang tidak mahu mentaati kata-kata nabi itu, akan disingkirkan daripada umat Allah dan dibinasakan.’ 24 Semua nabi yang menyampaikan berita daripada Allah, termasuk Nabi Samuel dan nabi-nabi yang kemudian daripadanya, memberitakan apa yang berlaku pada zaman ini. 25 Janji-janji Allah yang disampaikan oleh nabi-nabi itu untuk saudara-saudara juga. Dalam perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan nenek moyang saudara-saudara, Allah berfirman kepada Abraham, o ‘Melalui keturunanmu Aku akan memberkati semua bangsa di bumi.’ Perjanjian itu untuk saudara-saudara juga. 26 Demikianlah Allah memilih dan mengutus Hamba-Nya kepada saudara-saudara terlebih dahulu untuk memberkati saudara sekalian. Dia berbuat demikian dengan menyebabkan saudara sekalian bertaubat daripada cara hidup yang jahat.”
g Ini adalah serambi berbumbung yang terletak di sepanjang bahagian timur di luar Rumah Tuhan. Ia berhampiran dengan tembok dalaman Rumah Tuhan dengan tiang-tiang batu yang berukuran 8 meter (27 kaki).
h Orang ramai mungkin menganggap mereka sebagai orang yang mempunyai kuasa hebat atau orang yang sangat setia kepada Allah sehingga Allah menjawab doa mereka dengan tanda-tanda yang ajaib. Apapun anggapan mereka, Petrus bertujuan untuk mengalihkan perhatian mereka dari Yohanes dan dirinya kepada sumber mukjizat yang sebenar iaitu Yesus.
i Ayat ini dipetik dari Yes 52:13, ayat pertama dari fasal yang terakhir dan terpenting yang memperkatakan tentang Hamba Yahweh. Petrus menjelaskan bahawa nubuatan ini telah digenapi dalam Yesus. Allah telah memuliakan Yesus dan Yesuslah yang menyembuhkan lelaki itu.
j Pontius Pilatus adalah gabenor Roma di Yudea dari 26-36 Masehi. Majlis Agama (Sanhedrin), iaitu sidang kehakiman Yahudi yang tertinggi pada masa itu mengadili Yesus dan menjatuhkan hukuman ke atas-Nya sebagai bersalah. Walau bagaimanapun, mereka tidak berkuasa untuk menjatuhkan hukuman mati. Oleh sebab itu mereka menghantar Yesus untuk diadili oleh Pilatus, gabenor Roma (Luk 23:1-25).
k Dia adalah Barabas yang telah dipenjarakan kerana terlibat dalam pembunuhan serta rusuhan di kota (Luk 23:18-19).
l Petrus ingin menekankan bahawa mukjizat yang terjadi bergantung kepada kuasa yang diberikan oleh nama Yesus yang telah dibunuh oleh mereka. Bagi orang Yahudi, sebuah ‘nama’ bukan sekadar pengenalan diri seseorang. Ia menggambarkan sifat semulajadi orang tersebut. Oleh itu, kewibawaan seseorang sentiasa ada bersama dengan namanya.
m Seterusnya, kuasa atau wibawa tersebut menjadi lebih efektif melalui iman percaya terhadap nama Yesus. Tidak jelas sama ada Petrus bercakap tentang imannya sendiri atau iman orang secara umum. Dalam erti kata lain, Petrus menolak sebarang andaian yang mengatakan bahawa mukjizat itu terjadi melalui amalan sihir.
n Petrus memetik ayat dari PL yang mengatakan bahawa kepercayaan terhadap Musa akan membimbing orang untuk percaya kepada Yesus kerana Musa sendiri, nabi Israel pertama dan paling agung telah berkata-kata tentang kedatangan Yesus sebagai seorang nabi sepertinya.
o Ini merupakan janji Allah kepada Abraham dalam Kej 22:17-18 dan 26:4. Petrus menyatakan bahawa janji kepada Abraham , nenek moyang mereka, juga telah digenapi melalui Yesus.
Tanpa iman, tidak seorang pun dapat menyenangkan hati Allah. Orang yang datang kepada Allah mesti percaya bahawa Allah wujud, dan bahawa Allah menganugerahi orang yang mencari-Nya.
(Ibrani 11:6)
Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.