Petrus dan Yohanes masih berkata-kata kepada orang ramai, apabila imam-imam, a ketua pengawal Rumah Tuhan, b dan beberapa orang Saduki c datang. 2 Mereka marah d kerana Petrus dan Yohanes mengajar orang ramai bahawa Yesus sudah dibangkitkan daripada kematian. Hal itu membuktikan bahawa orang mati akan dibangkitkan. 3 Oleh itu mereka menangkap kedua-dua orang rasul itu. Mereka ditahan di dalam penjara sehingga esok, kerana hari sudah petang. e 4 Tetapi banyak orang yang mendengar perkhabaran itu percaya kepada Yesus. Bilangan mereka bertambah sehingga kira-kira lima ribu orang.
5 Pada hari berikutnya, para pemimpin bangsa Yahudi, f pemimpin masyarakat Yahudi, g dan guru Taurat h berkumpul di Yerusalem. 6 Mereka menjumpai Imam Agung Hanas i dan Kayafas, j Yohanes, k Aleksander, l dan semua orang lain yang tergolong dalam keluarga Imam Agung itu. 7 Mereka menyuruh rasul-rasul itu berdiri di hadapan mereka, lalu bertanya, “Bagaimanakah kamu menyembuhkan orang lumpuh itu? Dengan kuasa apa atau dengan kuasa siapa kamu melakukan hal itu?”
8 Petrus, yang dikuasai oleh Roh Allah, menjawab, “Tuan-tuan pemimpin bangsa Yahudi dan pemimpin masyarakat Yahudi! 9 Agaknya hari ini kami disoal kerana kami telah berbuat baik kepada orang lumpuh itu dan kerana tuan-tuan mahu tahu bagaimana dia disembuhkan. 10 Tuan-tuan dan semua orang Israel harus tahu bahawa orang ini yang berdiri di hadapan tuan-tuan sudah sembuh kerana kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu. Tuan-tuan sudah menyalibkan Dia, tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian. 11 Yesuslah yang dimaksudkan oleh ayat ini di dalam Alkitab, m ‘Batu yang kamu, pembina bangunan buang, ternyata menjadi batu yang paling utama.’ 12 Hanya melalui Yesus orang diselamatkan, kerana di seluruh dunia tiada orang lain yang mendapat kekuasaan daripada Allah untuk menyelamatkan kita.”
13 Anggota-anggota Majlis Agama n hairan melihat keberanian Petrus dan Yohanes, apabila mereka tahu bahawa kedua-dua orang rasul itu orang biasa yang tidak berpendidikan. o Lalu mereka sedar bahawa kedua-dua orang itu sahabat karib Yesus. 14 Tetapi mereka tidak dapat berkata apa-apa, kerana mereka melihat orang yang disembuhkan itu, berdiri di situ bersama-sama Petrus dan Yohanes. 15 Oleh itu mereka menyuruh kedua-dua orang rasul itu keluar dari bilik Majlis Agama, lalu mula berunding. 16 Mereka bertanya, “Apa yang harus kita lakukan terhadap kedua-dua orang ini? Semua orang yang tinggal di Yerusalem tahu bahawa mukjizat yang luar biasa itu dilakukan oleh mereka. Kita tidak dapat menafikannya. 17 Tetapi supaya perkara ini tidak tersebar lebih luas lagi di kalangan orang ramai, baiklah kita berikan amaran kepada mereka supaya jangan berkata-kata lagi kepada sesiapa pun dengan nama Yesus.”
18 Lalu mereka memanggil kedua-dua orang rasul itu masuk kembali, dan melarang mereka menyebut nama Yesus atau mengajar dengan nama-Nya.
19 Tetapi Petrus dan Yohanes menjawab, “Pertimbangkan sendiri mana yang benar di sisi Allah: Taat kepada tuan-tuan atau taat kepada Allah? 20 Kami tidak dapat berhenti berkata-kata tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.” 21 Anggota-anggota Majlis Agama memberikan amaran yang lebih keras lagi, lalu membebaskan kedua-duanya. Mereka tidak dapat mencari alasan untuk menghukum Petrus dan Yohanes, kerana semua orang memuji-muji Allah bagi peristiwa itu. 22 Orang yang mengalami kesembuhan yang menghairankan itu berumur lebih daripada empat puluh tahun.
a Besar kemungkinan mereka adalah imam-imam yang bertugas di Rumah Tuhan pada minggu tersebut. Semenjak zaman Raja Daud, imam yang berasal dari keturunan Harun di bahagikan kepada 24 bahagian atau set. Jumlah imam dan orang Lewi dianggarkan sebanyak 18, 000 orang dan setiap dari mereka akam melayani di Rumah Tuhan dua kali setahun. Mereka akan betugas selama seminggu ketika giliran mereka tiba, menurut jadual yang telah disediakan.
b Tentera Roma tidak dibenarkan berada di Rumah Tuhan kecuali atas sebab-sebab tertentu. Rumah Tuhan mempunyai tentera Yahudi yang dikhaskan, kebanyakannya dipilih dari kalangan orang Lewi. Mereka digelar sebagai pengawal Rumah Tuhan. Tugas mereka sama seperti tugas pasukan polis, iaitu menjaga keamanan di Rumah Tuhan.
c Orang Saduki merupakan kumpulan parti politik agama yang berasal dari golongan kehormat dan tuan tanah yang kaya (rujuk kepada ‘Orang Saduki’, ms. 35). Mereka menguasai hampir kesemua kedudukan tinggi dalam kepimpinan para imam. Ramai orang Saduki yang bukan imam mempunyai kedudukan sebagai pemimpin masyarakat dalam Majlis Agama. Ketua pengawal Rumah Tuhan mestilah seorang Saduki yang berkedudukan tinggi, begitu juga dengan imam besar.
d Lukas menunjukkan bahawa halangan awal terhadap penyebaran Injil datang dari kalangan imam dan orang atasan Saduki. Mereka termasuklah para imam, ketua pengawal Rumah Tuhan dan orang Saduki. Walaupun orang Farisi adalah penentang utama kepada ajaran Yesus ketika Dia masih hidup, tetapi orang Saduki jugalah yang mengetuai penentangan setelah kematian Yesus. Orang Saduki menolak doktrin kebangkitan. Mereka mengatakan bahawa hal itu hanya diambil dari kepercayaan orang Farisi. Oleh sebab itu, mereka marah apabila rasul-rasul mengemukakan bukti yang kukuh tentang kebangkitan Yesus.
e Persembahan korban pada waktu petang berakhir pada kira-kira jam 4.00 petang dan pintu Rumah Tuhan akan ditutup ketika itu. Sebarang pengadilan yang berkaitan dengan hidup dan mati harus dilakukan dan diputuskan pada siang hari.
f Ini merupakan pertemuan para ahli Majlis Agama, sidang kehakiman Yahudi yang tertinggi di Yerusalem (rujuk kepada ‘Majlis Agama’, ms. 33). Mereka mengendalikan perkara yang berkaitan dengan keagamaan serta kuasa kehakiman. Ia terdiri dari tiga golongan orang: pemimpin-pemimpin masyarakat, guru-guru Taurat dan ketua-ketua imam.
Istilah ‘pemimpin’ dan ‘pemerintah (dalam terjemahan lain) merujuk kepada kumpulan imam-iman dalam Majlis Agama. Ada kalanya mereka digelar sebagai ketua imam, iaitu mereka yang memegang beberapa jawatan pentadbiran di Rumah Tuhan. Mereka merupakan ahli keluarga kepada imam yang pernah dipilih sebagai imam besar.
g Pemimpin-pemimpin masyarakat merupakan pemimpin yang tidak terlibat dalam hal keagamaan. Mereka biasanya dipilih dari keluarga yang berpengaruh. Ramai dari mereka adalah orang Saduki.
h Guru Taurat yang juga digelar sebagai penulis atau peguam adalah mereka yang telah mempelajari, mentafsir dan mengajar Taurat (rujuk kepada ‘Penulis/Penyalin’, ms. 34). Mereka bukan dari golongan keagamaan tetapi merupakan kumpulan orang yang profesional. Ramai dari mereka yang datang dari kalangan orang Farisi.
i Anas merupakan imam besar pada 6-15 M tetapi telah dilucutkan dari jawatan tersebut oleh penguasa Roma dan digantikan oleh beberapa orang dari keluarganya sendiri termasuk menantunya, Kayafas. Walaupun tidak lagi memegang jawatan itu, dia masih mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan orang-orang Yahudi dan mengekalkan gelarannya (Luk 3:2).
j Kayafas adalah Imam Agung dari 18-36 M. Pada masa itu, dia merupakan Imam Agung yang sah.
k Ini mungkin merujuk kepada Yonatan, anak lelaki Anas yang menggantikan Kayafas dari kedudukan Imam Agung pada 36 M.
l Tiada siapa yang mengetahui identiti Aleksander yang sebenar.
m Ayat ini dipetik dari Maz 118:22. Yesus juga telah mengunakannya untuk merujuk kepada diri-Nya sendiri (Luk 20:17-18). Dalam konteks asal PL, batu yang dibuang itu merupakan Israel, dibenci oleh bangsa-bangsa lain tetapi dipilih oleh Allah untuk melaksanakan tujuan-Nya. Dalam konteks ini, berserta dengan kesaksian orang Kristian seterusnya, pembina ditafsirkan sebagai pemerintah Yahudi yang gagal untuk menerima Yesus sebagai Penyelamat Ilahi. Walau bagaimanapun, ‘batu’ yang dibuang oleh mereka kini telah menerima kedudukan yang paling tinggi dari Allah – duduk di sebelah kanan-Nya.
n Merujuk kepada Majlis Agama.
o Ini mungkin merujuk kepada fakta bahawa mereka tidak dilatih dalam pendidikan formal dari sekolah Taurat. Mereka tidak ada latihan dalam teologi atau retorik, seni berkata-kata di hadapan orang ramai.
23 Setelah Petrus dan Yohanes dibebaskan, mereka kembali kepada sahabat-sahabat mereka dan menceritakan segala yang dikatakan oleh ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi. 24 Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar hal itu, dengan sehati mereka berdoa kepada Allah, “Ya Tuhan, Engkau sudah menjadikan langit, bumi, dan laut dengan segala isinya. 25 Dengan Roh-Mu, Engkau pernah berfirman melalui nenek moyang kami, Daud hamba-Mu, p ‘Mengapa orang bukan Yahudi marah? Mengapa bangsa-bangsa lain membuat pakatan yang sia-sia? 26 Raja-raja dunia bersiap sedia untuk berperang, dan para penguasa berkumpul untuk melawan Tuhan dan Penyelamat yang diutus oleh Allah.’
27 Memang benar Herodes q dan Pontius Pilatus mengadakan pertemuan dengan orang bukan Yahudi dan orang Israel di kota ini untuk melawan Yesus Hamba-Mu yang suci, yang Engkau jadikan Penyelamat. 28 Mereka bersatu untuk melakukan segala yang telah Engkau tetapkan terlebih dahulu akan berlaku. Engkau dapat menetapkan demikian kerana kekuasaan dan kehendak-Mu. 29 Tetapi sekarang, ya Tuhan, lihatlah bagaimana mereka mengancam kami. Tolonglah kami, hamba-hamba-Mu, memberitakan perkhabaran-Mu dengan penuh keberanian. 30 Tunjukkanlah kuasa-Mu supaya orang sakit disembuhkan. Hendaklah mukjizat dan keajaiban berlaku dengan kuasa Yesus, Hamba-Mu yang suci.”
31 Setelah mereka selesai berdoa, tempat mereka berkumpul itu bergoncang. r Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah, dan mula menyampaikan perkhabaran daripada Allah dengan penuh keberanian.
p Petikan ini diambil dari Maz 2:1-2. Mereka tidak menganggap serangan itu ditujukan kepada mereka secara peribadi. Sebaliknya, mereka melihat kepada ayat Kitab Suci yang mencatatkan tentang serangan yang dilakukan oleh pemimpin duniawi kepada Tuhan dan Penyelamat. Mereka melihat hal tersebut digenapi melalui konspirasi Herodes dan Pilatus, orang Yahudi dan Roma yang menentang Yesus.
q Herodes ini adalah Herodes Antipas, putera kepada Herodes Agung (rujuk kepada ‘Keluarga Herodes Agung’, ms. 6). Dia menjadi pemerintah Galilea dan Perea selepas kematian bapanya pada 4 SM sehingga 39 M. Dia memerintah Galilea ketika Yesus tinggal di sana.
r Satu petanda yang menunjukkan bahawa doa mereka telah didengar oleh Tuhan dan mereka mendapat jawapan Tuhan ialah ketika tempat pertemuan mereka bergoncang dan mereka semua dipenuhi dengan Roh Allah.
32 Semua pengikut Kristus hidup sehati dan sefikiran. Tidak seorang pun menganggap apa yang dimilikinya kepunyaannya sendiri. Mereka saling berkongsi milik. 33 Dengan kuasa yang besar, s rasul-rasul itu memberikan kesaksian tentang kebangkitan Tuhan Yesus. Oleh itu Allah sangat memberkati mereka. 34 Tidak seorang pun di kalangan mereka kekurangan apa-apa. Mereka yang memiliki tanah atau rumah, menjual harta mereka. Lalu mereka menyerahkan hasil penjualan itu kepada rasul-rasul. 35 Kemudian wang itu dibahagi-bahagikan kepada setiap orang yang memerlukannya.
36 Begitu juga halnya dengan Yusuf. t Dia seorang keturunan Lewi u yang lahir di Siprus. v Rasul-rasul juga menyebut dia Barnabas (yang bererti Penggalak). 37 Dia menjual sebidang tanah yang dimilikinya, lalu membawa dan menyerahkan wangnya kepada rasul-rasul itu.
s Kuasa besar yang menyertai kesaksian para rasul Yesus merujuk bukan sahaja kepada pengisyitiharan Berita Baik tetapi juga kuasa bagi hidup baru di kalangan orang percaya. Hidup baru dalam persekutuan ini ditunjukkan melalui perkongsian milik untuk memenuhi keperluan antara satu sama lain. Kuasa seperti inilah yang diinginkan oleh Yesus apabila Dia memberitahu para murid-Nya bahawa semua orang akan tahu mereka adalah pengikut-pengikut-Nya sekiranya mereka saling mengasihi (Yoh 13:35).
t Yusuf ialah nama Ibrani bagi lelaki ini, sebuah nama yang biasa digunakan di rumah, di tempat ibadah dan secara umumnya di kalangan orang-orang Yahudi. Para rasul memberinya nama baru mungkin kerana ingin membezakannya daripada orang lain yang mempunyai nama yang sama (1:23) dan juga menggambarkan sikap peribadinya. Barnabas kemudiannya menjadi seorang teman Paulus yang penting.
u Walaupun orang Lewi tidak seharusnya memiliki tanah di Palestina, hukum ini mungkin tidak boleh digunakan ke atas orang Lewi yang berada di negara lain. Jadi, Barnabas mungkin menjual tanah yang dimilikinya di Siprus dan membawa hasilnya kepada para rasul (ay. 37). Atau dia mungkin telah berkahwin dan tanah yang dijualnya itu mungkin milik isterinya. Atau mungkin juga hukum orang Lewi tidak boleh memiliki tanah di Palestina mungkin tidak berkuatkuasa lagi.
v Siprus merupakan sebuah pulau di bahagian timur laut Laut Tengah.
Masing-masing harus memberi sebanyak yang telah ditentukannya. Orang harus memberi dengan rela dan sukacita, kerana Allah mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.
(2 Korintus 9:7)
Copyright © 2026, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.