Sementara itu Saulus a meneruskan ancamannya untuk membunuh pengikut-pengikut Tuhan. Saulus pergi kepada Imam Agung, b 2 dan meminta surat kuasa untuk ditunjukkan kepada pemimpin rumah-rumah ibadat orang Yahudi di Damsyik. c Dengan demikian, jika di situ dia menjumpai pengikut-pengikut d Yesus, dia boleh menangkap mereka, baik lelaki mahupun perempuan, dan membawa mereka ke Yerusalem. e
3 Dalam perjalanannya ke Damsyik, apabila dia sudah dekat kota itu, tiba-tiba cahaya f dari langit memancar di sekeliling Saulus. 4 Dia jatuh ke tanah lalu mendengar suara g berkata kepadanya, “Saulus, Saulus! h Mengapa engkau menganiaya Aku?”
5 Saulus bertanya, “Siapakah tuan?” i Suara itu menjawab, “Aku Yesus, yang engkau aniaya. j 6 Bangunlah dan masuklah ke bandar. Di situ engkau akan diberitahu apa yang harus engkau lakukan.”
7 Orang yang seperjalanan dengan Saulus berhenti dan terdiam. Mereka mendengar suara k itu tetapi tidak melihat sesiapa pun. 8 Saulus berdiri lalu membuka matanya, tetapi dia tidak dapat melihat apa-apa. l Oleh itu mereka memegang tangannya dan memimpin dia masuk ke Damsyik. 9 Tiga hari lamanya dia tidak dapat melihat, dan selama itu dia tidak makan atau minum.
10 Seorang pengikut Yesus m bernama Ananias n tinggal di Damsyik. Dalam penglihatan, dia melihat Tuhan berkata kepadanya, “Ananias!” “Ya Tuhan,” jawab Ananias. 11 Tuhan berkata kepadanya, “Bersiap-siaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Bertanyalah tentang seorang bernama Saulus dari kota Tarsus. o Dia sedang berdoa, 12 dan dalam penglihatan, p dia melihat seorang lelaki bernama Ananias datang meletakkan tangan padanya supaya dia boleh melihat semula.”
13 Ananias menjawab, “Ya Tuhan, banyak orang sudah memberitahu aku tentang orang ini. Dia sudah melakukan banyak perkara yang kejam terhadap umat-Mu q di Yerusalem. 14 Sekarang dia datang ke Damsyik dengan kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyembah Engkau.”
15 Tetapi Tuhan berkata kepadanya, “Pergilah, kerana Aku sudah memilih dia untuk mengabdikan diri kepada-Ku, supaya dia memberitakan nama-Ku kepada bangsa-bangsa bukan Yahudi, raja-raja, dan umat Israel. r 16 Semua penderitaan yang harus dialaminya kerana Aku, akan Aku tunjukkan kepadanya.”
17 Oleh itu Ananias pergi dan masuk ke rumah itu lalu meletakkan tangannya pada Saulus. “Saudara Saulus,” katanya, “Tuhan sudah mengutus saya — Yesus yang menampakkan diri s kepada saudara dalam perjalanan ke mari, sudah mengutus saya ke sini supaya saudara boleh melihat semula dan dikuasai oleh Roh Allah.” 18 Pada saat itu juga sesuatu seperti sisik ikan t jatuh daripada mata Saulus dan dia dapat melihat semula. Lalu dia bangkit dan dibaptis. 19 Setelah dia makan, pulihlah kekuatannya.
a Ini adalah Saulus yang telah diperkenalkan oleh Lukas ketika Stefanus direjam (7:58).
b Ini mungkin imam Kayafas (lihat Bab 4, nota j) dan ahli kepada Majlis Agama yang berkuasa ke atas orang Yahudi di Yudea dan tempat lain.
c Damsyik merupakan kota yang besar dan maju di Siria yang di bawah pemerintahan Roma. Ia terletak kira-kira 242 km (150 batu) dari Yerusalem dan mempunyai komuniti Yahudi yang besar. Ia merupakan kota penting di luar Palestina yang paling hampir, menjadi pusat perdagangan yang mencapai sehingga ke utara Siria, Mesapotamia, Anatolia, Parsi dan Arabia.
Saulus berangkat dengan restu Majlis Agama, untuk memburu dan menangkap orang Kristian Helenistik yang telah lari dari Yerusalem. Pada pandangan mereka, ajaran baru tersebut harus dihentikan dari tersebar di Damsyik. Jika ia berkembang di sana, injil akan tersebar dengan mudah ke tempat-tempat lain yang telah disebutkan di atas.
d Pada awal kewujudan gereja, sebelum istilah ‘Kristian’ digunakan, orang-orang yang menerima dan mengaku Yesus sebagai Mesias memanggil diri mereka sebagai ‘pengikut-pengikut Jalan Tuhan’ (lihat 19:9, 23; 22:4; 24:14). Tidak diketahui asal usul panggilan ini, tetapi mungkin ia dimengertikan oleh pengikut-pengikut Yesus sebagai jalan keselamatan, di mana Allah telah mengutus Yesus sebagai satu-satunya jalan untuk mendapatkan keselamatan.
e Di Yerusalem, Majlis Agama boleh menggunakan kuasa mutlak mereka untuk membebaskan atau menjatuhkan hukuman mati dalam pengadilan.
f Cahaya terang itu merupakan satu manifestasi kemuliaan ilahi.
g Dalam tradisi guru-guru Taurat, suara dari langit ditafsir-kan sebagai suara Tuhan, sama ada untuk mengutuk atau memberi arahan.
h Pada zaman dahulu, nama seseorang biasanya disebut berulang kali dalam situasi yang rasmi.
i Pada zaman itu, istilah ‘Tuan’ digunakan dalam penyembahan atau sebagai tanda hormat apabila menggelar seseorang. Saulus tidak tahu dia bercakap dengan siapa. Dia hanya mengetahui yang dia telah disinari oleh cahaya dari langit dan dipanggil oleh suara dari langit, di mana kedua-duanya menunjukkan suatu kehadiran ilahi. Jadi, dia mungkin menggunakannya dalam sikap menyembah walaupun dia keliru mengapa dia ditegur oleh Tuhan ketika dia melakukan rancangan dan kehendak Allah.
j Yesus menerangkan kepada Saulus bahawa walaupun dia menyangka dia hanya menyerang sebilangan orang dengan cara penyembahan sesat mereka, hakikatnya dia menyerang orang yang dibela oleh syurga. Menganiaya jemaah bererti menganiaya Yesus sendiri kerana jemaah merupakan tubuh Kristus (lihat 1 Kor 12:27). Saulus mungkin sangat keliru kerana dia berfikir dia bukan menganiaya Tuhan tetapi mempertahankan Dia dan Taurat-Nya.
k Wahyu itu ditujukan kepada Saulus seorang sahaja dan bukan kepada teman seperjalanannya. Walaupun begitu, mereka telah menyaksikan sesuatu yang jarang berlaku. Kis 26:14 mengatakan bahawa semua mereka jatuh tersungkur ke tanah seperti Saulus.
l Mata Saulus yang buta telah disembuhkan (ay.18) menunjukkan bahawa dia buta kerana sebab yang luar biasa, bukan disebabkan oleh cahaya terang tersebut. Ketika keadaannya lemah, dia terpaksa dipimpin oleh temannya sehingga ke Damsyik di mana dia berpuasa selama tiga hari. Dia kemungkinan masih terkejut dan sangat berduka serta menyesal dengan perbuatannya sebelum itu.
m Terjemahan lain mempunyai perkataan ‘murid’. Istilah ‘Kristian’ digunakan pertama kali untuk menggelar orang percaya di Antiokhia dalam Kis 11:26.
n Ananias merupakan orang Yahudi di Damsyik dan seorang yang percaya kepada Yesus. Dalam Kis 22:12, dia digambarkan sebagai seorang yang alim dan sangat dihormati oleh semua orang Yahudi.
o Tarsus adalah tempat kelahiran Paulus. Ia merupakan ibu kota wilayah Kilikia bermula dari 72 M dan terkenal sebagai pusat untuk menimba ilmu.
p Lawatan Ananias sudah dijangka kerana Saulus sendiri telah mendapat penglihatan tentang Ananias yang akan meletakkan tangannya ke atas Saulus. Pertemuan ini diteguhkan melalui dua penglihatan (cth. Cerita Kornelius dan Petrus, 10:1-23).
q Perkataan yang digunakan dalam terjemahan lain adalah ‘orang-orang alim’. Ini merupakan istilah yang digunakan dalam tulisan Paulus. Maksud awal perkataan ini ialah ‘kekudusan’. Semua orang Kristian adalah orang alim kerana mereka adalah umat yang ‘diasingkan’ oleh Allah sebagai milik-Nya dan menjadi suci kerana Roh Allah dalam hidup mereka.
r Mereka mewakili tiga golongan orang yang akan dilayani oleh Paulus dalam bahagian seterusnya buku Kisah Rasul-Rasul. Arahan yang luar biasa itu memberikan penekanan panggilan Paulus untuk melayani orang-orang bukan Yahudi.
s Pengalaman Paulus dalam perjalanan ke Damsyik bukan sekadar satu penglihatan. Yesus telah muncul di hadapannya. Kerana hal ini, Saulus layak dipanggil sebagai rasul.
t Benda ini dikatakan seperti selaput yang terjatuh dari matanya.
Saulus tinggal beberapa hari dengan pengikut-pengikut Yesus di Damsyik. 20 Dia terus pergi ke rumah-rumah ibadat dan mula mengisytiharkan berita bahawa Yesus Anak Allah. u
21 Semua orang yang mendengar kata-kata Saulus menjadi hairan. Mereka berkata sesama sendiri, “Dialah orang di Yerusalem yang membunuh semua orang yang menyembah Yesus. Dia datang ke sini untuk menangkap dan membawa pengikut Yesus kepada ketua-ketua imam.”
22 Tetapi Saulus semakin kuat pengaruhnya. Bukti-bukti yang dikemukakannya bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah begitu meyakinkan, v sehingga orang Yahudi yang tinggal di Damsyik tidak dapat membantah lagi.
23 Beberapa hari w kemudian, orang Yahudi bersepakat hendak membunuh Saulus. 24 Tetapi rancangan mereka diketahui oleh Saulus. Siang malam mereka menunggu di pintu gerbang kota untuk membunuh dia. 25 Tetapi pada suatu malam, pengikut-pengikut Saulus menurunkan dia dengan sebuah keranjang ke kaki tembok kota melalui tingkap.
26 Saulus pergi ke Yerusalem x dan berusaha bergabung dengan pengikut-pengikut Yesus di situ. Tetapi mereka takut akan dia, kerana mereka tidak percaya bahawa dia benar-benar sudah menjadi pengikut Yesus. 27 Kemudian Barnabas menyambut dia dan membawa dia kepada rasul-rasul. Barnabas memberitahu mereka bahawa Saulus sudah melihat Tuhan dalam perjalanan ke Damsyik, dan bahawa Tuhan sudah berkata-kata kepadanya. Dia juga memberitahu mereka bahawa dengan berani Saulus mengajar di Damsyik demi nama Yesus. 28 Oleh itu Saulus tinggal bersama-sama mereka, dan mengajar dengan berani di seluruh Yerusalem dengan nama Tuhan. 29 Dia juga berbincang dan berdebat dengan orang Yahudi yang berbahasa Yunani, dan mereka cuba membunuh dia. 30 Apabila saudara-saudara seiman mengetahui hal itu, mereka membawa Saulus ke Kaisarea dan kemudian menghantar dia ke Tarsus. y
31 Dengan demikian tenteramlah jemaah di seluruh Yudea, Galilea, dan Samaria. Jemaah itu menghormati Allah dan dengan pertolongan Roh Allah,z jemaah itu bertambah kuat dan bertambah banyak.
u Kemunculan Yesus di hadapan Saulus meyakinkannya bahawa Yesus adalah Anak Allah dan perkara itulah yang diajarnya di rumah-rumah ibadat di Damsyik. Sejak itu, ia menjadi kebiasaan Saulus untuk mengajar tentang Yesus di rumah ibadat setiap kali ada kesempatan.
v Ini menunjukkan Paulus semakin memahami penggenapan Yesus ke atas ajaran PL yang menunjukkan Yesus sebagai Mesias dan Anak Allah, dan kebolehan-Nya menunjukkan kebenaran dalam perkataan-Nya.
w Kenyataan Lukas tentang perkataan ‘beberapa hari’ berpadanan dengan garis masa selama tiga tahun seperti yang dinyatakan oleh Paulus dalam suratnya untuk jemaah Galatia (Gal 1:17-18). Besar kemungkinan Paulus menghabiskan masa ini di Arabia. Apabila dia kembali ke Damsyik, orang-orang Yahudi segera merancang untuk membunuhnya.
x Paulus datang ke Yerusalem setelah menjadi Kristian selama tiga tahun. Melalui Gal 1:19, kita dapat tahu bahawa dia hanya bertemu dengan Petrus dan Yakobus, adik Yesus, di Yerusalem.
y Mereka menghantar Paulus kembali ke kampungnya.
z Pekerjaan Roh Allah berulang kali dinyatakan oleh Lukas di sepanjang Kisah Rasul-Rasul. Sebab itu, ia kadang-kadang digelar sebagai Kisah Pekerjaan Roh Kudus.
Lihat apa yang dilakukan oleh Barnabas kepada Saulus apabila tidak ada seorang pun yang mahu mendekati Saulus kerana perbuatannya yang dahulu. Ingatlah bahawa nama Barnabas bermaksud ‘Penggalak/Pemberi Semangat’.
32 Petrus berkunjung ke serata tempat. Pada suatu hari dia melawat umat Tuhan yang tinggal di Lida. a’ 33 Di situ dia berjumpa dengan seorang lelaki bernama Eneas, b’ yang lumpuh dan tidak dapat bangun dari katilnya selama lapan tahun. 34 Petrus berkata kepadanya, “Hai Eneas, Yesus Kristus menyembuhkan kamu. Bangunlah dan kemaskan katilmu.” c’ Pada saat itu juga Eneas bangun. 35 Semua penduduk di Lida dan Dataran Saron d’ melihat Eneas, lalu mereka semua percaya kepada Tuhan.
36 Di Yope e’ ada seorang wanita bernama Tabita. Dia percaya kepada Yesus. (Dalam bahasa Yunani namanya Dorkas, yang bererti ‘rusa.’) Dia menggunakan masanya untuk melakukan hal-hal baik dan menolong orang miskin. 37 Pada waktu itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, f’ jenazahnya diletakkan di bilik di tingkat atas. 38 Yope tidak berapa jauh dari Lida. Apabila pengikut-pengikut Yesus di Yope mendengar bahawa Petrus di Lida, mereka mengutus dua orang kepadanya dengan berita, “Cepatlah g’ datang ke mari.” 39 Petrus bersiap lalu mengikut mereka. Apabila dia tiba di situ, dia dibawa ke bilik di tingkat atas. Sambil menangis semua balu di situ mengerumuni Petrus dan menunjukkan pakaian dan jubah yang telah dijahit oleh Dorkas bagi mereka, semasa dia masih hidup. 40 Petrus menyuruh mereka semua keluar. h’ Lalu dia berlutut dan berdoa. Kemudian dia menghampiri jenazah itu dan berkata, “Tabita, bangunlah!” Tabita membuka matanya dan apabila dia nampak Petrus, dia pun duduk. 41 Petrus memegang tangannya dan menolong dia berdiri. Kemudian Petrus memanggil semua pengikut Yesus di situ termasuk balu-balu, lalu menyerahkan Tabita yang sudah hidup itu kepada mereka. 42 Berita itu tersebar ke seluruh Yope, dan banyak orang percaya kepada Tuhan. 43 Petrus tinggal di Yope dengan seorang penyamak i’ kulit bernama Simon untuk beberapa hari lamanya.
a’ Lida berada di pertengahan perjalanan dari Yerusalem ke tepi pantai, dengan jarak kira-kira 40 km (25 batu) jauhnya. Petrus mungkin sedang melawat jemaah-jemaah di luar Yerusalem untuk mengajar mereka. Dia juga menginjil pada masa yang sama.
b’ Oleh kerana Petrus berada di sana untuk berjumpa dengan orang-orang yang percaya, besar kemungkinan Eneas merupakan salah seorang daripadanya.
c’ Perkataan Petrus di sini tentang ‘bangunlah dan kemaskan katilmu’ memberi maksud pada ‘sekarang Yesus telah menyembuhkan engkau’ dalam pemahaman Yunani.
d’ Saron merupakan nama bagi kawasan rata yang terlentang dari utara Yope sehingga ke Kaisarea.
e’ Yope terletak 19 km (12 batu) dari Lida di bahagian pantai. Ia merupakan pelabuhan utama di Yudea. Lida berada beberapa km dari jalan yang menghubungkan Yope dengan Yerusalem.
f’ Adat ini biasa dilakukan oleh orang Yahudi dan Yunani sebagai persediaan pengebumian. Jika upacara pengebumian ditangguhkan, mayat itu harus diletakkan di bilik paling atas. Di Yerusalem, mayat harus dikuburkan pada hari kematian. Di luar Yerusalem, mereka dibenarkan untuk menunggu selama tiga hari sebelum ia dikebumikan.
g’ Tidak diketahui sama ada arahan supaya Petrus segera datang adalah untuk ketenangan atau mereka sekadar ingin menyaksikan mukjizat. Walau apa pun, mereka mahu Petrus cepat sampai di tempat itu sebelum upacara pengebumian.
h’ Petrus ada ketika Yesus membangkitkan orang mati dalam tiga peristiwa (Mat 9:25, Luk 7:11-17, Yoh 11:1-44). Dia mencontohi perbuatan Yesus ketika membangkitkan anak perempuan Yarius dengan mengarahkan semua orang untuk keluar dari bilik.
i’ Jenis pekerjaan biasanya digunakan bersama dengan nama untuk mengenal pasti seseorang dengan lebih terperinci. Penyamak terlibat dalam menguruskan kulit haiwan mati, dengan itu dianggap tidak kudus berdasarkan hukum Yahudi. Oleh itu, seorang penyamak tidak disenangi oleh ramai orang. Kesanggupan Petrus untuk tinggal bersama dengan Simon si penyamak menunjukkan bahawa dia sudah bersedia untuk mengenepikan tanggapan salah orang Yahudi. Hal ini telah mempersiapkan dia dalam misi dan visinya untuk melayani orang-orang bukan Yahudi melalui Kornelius (Kis 10).
Lihat bagaimana hidup Dorkas dan Petrus mempengaruhi kehidupan orang di sekeliling mereka.
Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.