Bab 11 Kisah Para Rasul 11

Laporan Petru kepada Jemaah di Yerusalem (ay. 1-18)

Rasul-rasul dan pengikut-pengikut Yesus a di seluruh Yudea mendengar bahawa orang bukan Yahudi pun sudah menerima firman Allah. 2 Apabila Petrus pergi ke Yerusalem, orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan masih berpegang kepada upacara bersunat, b mencela Petrus. Mereka berkata, 3 “Kamu menumpang di rumah orang bukan Yahudi yang tidak bersunat. c Bahkan kamu makan bersama-sama mereka!” 4 Oleh itu Petrus memberikan laporan lengkap tentang apa yang sudah berlaku. Dia melaporkan hal itu mulai dari permulaan,
5 “Aku sedang berdoa di kota Yope, lalu melihat suatu penglihatan. Aku melihat sesuatu seperti kain lebar diturunkan dari langit, tergantung pada keempat-empat sudutnya, lalu berhenti di sisiku. 6 Semasa aku memperhatikan bahagian dalamnya, aku nampak binatang berkaki empat, binatang liar, binatang menjalar, dan burung-burung liar. 7 Lalu aku mendengar suara berkata kepadaku, ‘Bangunlah Petrus! Sembelihlah binatang itu dan makanlah!’ 8 Tetapi aku menjawab, ‘Tidak, Tuhan! Aku belum pernah makan apa-apa yang haram atau najis.’ 9 Suara itu berkata lagi dari langit, ‘Janganlah anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Allah!’ 10 Peristiwa itu berulang tiga kali dan akhirnya semuanya terangkat kembali ke langit. 11 Pada saat itu juga, tiga orang dari Kaisarea yang diutus kepadaku, tiba di rumah tempat aku menginap. 12 Roh Allah menyuruh aku mengikut mereka dengan tidak ragu-ragu. Enam d orang saudara seiman dari Yope, menyertai aku ke Kaisarea, dan kami semua masuk ke rumah Kornelius. 13 Kornelius memberitahu kami bahawa dia melihat satu malaikat berdiri di rumahnya dan berkata, ‘Suruhlah orang pergi ke Yope untuk memanggil seorang lelaki bernama Simon Petrus. 14 Dia akan menyampaikan berita e yang boleh menyelamatkan engkau dan keluargamu.’ f 15 Apabila aku mula bercakap, Roh Allah datang kepada mereka, seperti yang berlaku kepada kita pada mulanya. 16 Kemudian aku teringat bahawa Tuhan pernah berkata, ‘Yohanes membaptis dengan air, tetapi kamu akan dibaptis dengan Roh Allah.’ 17 Nyatalah bahawa Allah mengurniai orang bukan Yahudi itu, pemberian yang seperti kita terima pada masa kita percaya kepada Tuhan Yesus Kristus. Siapakah aku ini sehingga cuba menghalang g Allah?”
18 Apabila mereka mendengar hal itu, mereka tidak mencela Petrus lagi. Lalu mereka memuji Allah dan berkata, “Jika demikian, Allah juga memberikan peluang kepada orang bukan Yahudi untuk bertaubat dan beroleh hidup sejati!” h

Teropong:

a Lukas bukan sahaja menyebut tentang rasul-rasul tetapi juga semua orang Kristian di Yerusalem dan yang tersebar di sekitar kawasan Yudea. Reaksi orang Yahudi Kristian terhadap penerimaan injil oleh orang bukan Yahudi sangat penting untuk masa depan jemaah di sana.
b Beberapa versi lain menterjemahkan sebagai ‘golongan bersunat’. Mereka merujuk kepada orang Yahudi Kristian.
c Kebiasaan orang Yahudi yang sudah berabad-abad lamanya membuatkan mereka mengkritik perbuatan Petrus, terutamanya hal makan bersama dengan orang bukan Yahudi. Orang Yahudi Kristian masih terikat dengan hukum-hukum pemakanan Yahudi dan merasakan bahawa seandainya orang bukan Yahudi tidak disunat dan belum mengikut adat budaya orang Yahudi, mereka tidak boleh bersekutu dengan orang bukan Yahudi yang menganut agama Kristian.
d Kita dimaklumkan jumlah orang yang datang bersama dengan Petrus ke rumah Kornelius.
e Di sini barulah kita mengetahui tentang berita dari malaikat bahawa Kornelius akan mendengar mesej yang menerangkan bagaimana dia boleh diselamatkan bersama dengan keluarganya.
f Terjemahan lain menggunakan perkataan ‘isi rumah’ yang merujuk bukan hanya kepada keluarga dekat Kornelius tetapi semua hamba abdi dan orang-orang yang bekerja di rumah Kornelius.
g Petrus tidak boleh menolak untuk membaptis orang bukan Yahudi kerana dia tahu bahawa Tuhan juga menyelamatkan mereka sama seperti orang Yahudi diselamatkan. Dia memberikan mereka anugerah Roh Allah yang sama. Pintu keselamatan orang bukan Yahudi telah dibuka oleh Allah sendiri, bukan kerana pilihan manusia.
h Orang bukan Yahudi juga dipanggil untuk bertaubat dan menerima janji-Nya tentang hidup kekal.

Jemaah di Antiokhia (ay. 19-30)

19 Pada masa Stefanus dibunuh, orang yang percaya kepada Yesus i tercerai-cerai kerana dianiaya. Ada yang lari sampai ke Fenisia, j Siprus, k dan Antiokhia. l Mereka memberitakan perkhabaran daripada Allah kepada orang Yahudi sahaja. 20 Tetapi beberapa orang pengikut Yesus yang berasal dari Siprus dan Kirene, m pergi ke Antiokhia. Mereka mengkhabarkan Berita Baik tentang Tuhan Yesus kepada orang bukan Yahudi. 21 Kuasa Tuhan menyertai mereka sehingga banyak orang percaya kepada Tuhan dan mengikut Dia.
22 Jemaah di Yerusalem mendengar peristiwa itu. Oleh itu mereka mengutus Barnabas n ke Antiokhia. 23 Apabila dia tiba di Antiokhia dan melihat Allah memberkati orang di situ, dia bersukacita. Lalu dia menggalakkan mereka semua supaya tetap setia kepada Tuhan dengan sepenuh hati. 24 Barnabas seorang yang baik, dikuasai oleh Roh Allah dan sangat percaya kepada Tuhan, dan banyak orang mengikut Tuhan.
25 Kemudian Barnabas pergi ke Tarsus o untuk mencari Saulus. 26 Apabila dia menjumpai Saulus, Barnabas membawa Saulus ke Antiokhia, dan selama setahun mereka berkumpul dengan jemaah di situ sambil mengajar banyak orang. Di Antiokhia, untuk kali pertama pengikut-pengikut Yesus disebut orang Kristian. p
27 Pada waktu itu, beberapa orang nabi q dari Yerusalem datang ke Antiokhia. 28 Seorang daripada mereka bernama Agabus. r Dia berdiri dan dengan kuasa Roh Allah, Agabus bernubuat bahawa kebuluran yang teruk s akan berlaku di seluruh dunia. t (Kebuluran itu berlaku pada masa pemerintahan Kaisar Klaudius.) 29 Semua pengikut Yesus di situ bersetuju untuk mengirim bantuan kepada saudara-saudara seiman yang tinggal di Yudea; masing-masing akan memberikan bantuan menurut kemampuannya. 30 Mereka melakukan hal itu, lalu mengutus Barnabas dan Saulus u untuk membawa wang itu kepada pemimpin-pemimpin v jemaah.

Teropong:

i Mereka adalah orang Yahudi Helenistik yang beragama Kristian.
j Fenisia adalah sebuah negara yang terlentang di sepanjang persisiran Laut Tengah di bahagian timur laut, di mana letaknya Lebanon pada hari ini. Antara kota yang utama bagi negara ini ialah Tira dan Sidon.
k Siprus merupakan sebuah pulau di sebelah timur laut Laut Tengah. Barnabas berasal dari pulau ini (Lihat Bab 13, nota h untuk keterangan lanjut).
l Antiokhia merupakan kota ketiga terpenting dalam empayar Roma selepas Rom dan Aleksandria. Kota Antiokhia ini terletak di Siria. Fenisia, Siprus dan Antiokhia mempunyai penduduk orang Yahudi yang besar. Jemaah bukan Yahudi yang pertama dilahirkan di sini. Dan dari gereja inilah Paulus berangkat ke ketiga-tiga perjalanan misinya.
m Kirene merupakan pusat bagi sebuah daerah di Libia yang bernama Kirenaika.
n Untuk mengekalkan polisi menghantar pemimpin bagi memantau pelayanan baru yang menjadi perhatian mereka (Petrus dan Yohanes telah pergi ke Samaria sebelum ini untuk menyelidik penginjilan Filipus di sana, 8:14), jemaah Yerusalem menghantar Barnabas ke Antiokhia untuk memerhati apa yang berlaku di sana. Dengan kebijaksanaan dari Tuhan, mereka telah memilih Barnabas yang merupakan pilihan terbaik bagi tugas tersebut. Seperti namanya yang memberi maksud ‘penggalak’, dia menguatkan orang-orang percaya di sana dan membolehkan pekerjaan Tuhan terjadi di kota itu. Pada masa yang sama, Tuhan juga memakai dia untuk membuat lebih ramai orang untuk percaya kepada-Nya.
o Tidak ada rekod tentang Saulus setelah dia dihantar keluar dari Yerusalem (lihat 9:30) sehingga pertemuannya dengan Barnabas di Tarsus. Besar kemungkinan Barnabas mencari Saulus kerana dia tidak mampu untuk memimpin jemaah seorang diri dan berfikir bahawa Saulus adalah penolong yang paling tepat untuknya.
p Kemungkinan besar orang-orang pagan yang menggelar orang Yahudi dan bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus Kristus sebagai ‘Kristian’. Kristian bermakna ‘pengikut Kristus’ atau ‘dalam keluarga Kristus’ atau ‘ kepunyaan Kristus’. Bagi orang pagan di Antiokhia, mereka adalah kumpulan orang yang selalu bercakap tentang peribadi yang bernama Kristus, sebab itulah mereka dikenali sebagai orang Kristus, iaitu Kristian. Seperti di Palestina, orang yang menjadi pengikut dinasti Herodes dipanggil Herodian. Jadi, seperti yang dikatakan oleh Lukas, pengikut Yesus Kristus mula-mula dikenali sebagai orang Kristian di Antiokhia.
q Orang Yahudi percaya bahawa roh nubuatan di Israel telah hilang setelah kematian nabi PL yang terakhir. Tetapi kedatangan zaman Penyelamat akan membawa pencurahan Roh Allah, dan nubuatan-nubuatan akan muncul kembali. Orang Kristian awal bukan sahaja mengaku Yesus sebagai nabi yang diramalkan oleh Musa tetapi mereka juga menganggap nubuatan sebagai anugerah Allah kepada umat-Nya.
Satu ciri penting bagi jemaah awal ialah aktiviti nabi yang terlibat dalam pelayanan jemaah tempatan mahupun pelayanan bergerak. Dalam Kisah Rasul-Rasul, nabi-nabi berfungsi untuk ‘meramal’ dan ‘menyampaikan’. ‘Meramal’ merujuk kepada perbuatan memberitahu perkara yang akan berlaku pada masa hadapan (ay. 28, 21:10-11). ‘Menyampaikan’ merujuk kepada penyampaian kata-kata semangat atau dorongan yang diilhamkan oleh Tuhan (15:32). Nabi-nabi juga mengajar, mendorong dan memberi penjelasan tentang Firman Tuhan.
r Agabus kemudian akan meramal penangkapan Paulus (21:10).
s Yudea benar-benar dilanda kebuluran dalam tahun di antara 45 dan 48M.
t ‘Seluruh dunia’ merujuk kepada empayar Roma.
u Versi lain menyebutnya sebagai penatua. Inilah pertama kali penatua-penatua disebut dalam Kisah Rasul-Rasul.
v Ini kali kedua Lukas menyebut tetang lawatan Saulus ke Yerusalem selepas dia menerima Yesus.

Mari Fikir Sejenak:

  • Apakah kurnia Roh yang telah anda terima dari Tuhan? Jika anda tidak pasti, berdoalah dan minta Tuhan untuk menunjukkan apa yang telah diberikan-Nya.

Anda boleh merujuk kepada 1Kor 12:7-11, 27-30; 1 Pet 4:10-11; Rom 12:6-8; dan Efe 4:11 untuk senarai kurnia-kurnia Roh Allah. Anda harus ingat bahawa senarai ini tidak menyeluruh dan Tuhan mungkin akan memberikan anda kurnia yang tidak disebut dalam ayat-ayat tersebut.

  • Dengan cara apakah anda boleh menggunakan kurnia anda untuk memberkati orang-orang dalam kelompok muda-mudi di sekolah atau gereja anda?

Suatu Pegangan Hidup:

Alkitab memberitahu kita bahawa setiap daripada kita telah diberikan sekurang-kurangnya satu kurnia oleh Roh Allah yang tinggal di dalam kita. Jadi jangan pandang rendah terhadap diri sendiri dan berfikir bahawa anda tidak mempunyai sebarang kurnia Roh. Anda hanya perlu menyedarinya dan belajar untuk menggunakannya demi kebaikan kumpulan muda-mudi di sekolah atau gereja anda.

Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.