Sementara Apolos tinggal di Korintus, Paulus menjelajah kawasan pedalaman daerah itu lalu tiba di Efesus. a Di situ dia berjumpa dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus. b 2 Dia bertanya kepada mereka, “Sudahkah kamu menerima Roh Allah pada waktu kamu percaya kepada Yesus?”
Mereka menjawab, “Kami belum pernah mendengar c bahawa ada Roh Allah.”
3 “Jika demikian, dengan baptisan apakah kamu dibaptis?” tanya Paulus. “Dengan baptisan seperti yang diajarkan oleh Yohanes,” d jawab mereka.
4 Lalu Paulus berkata, “Yohanes membaptis orang untuk menyatakan mereka sudah bertaubat daripada dosa. Dia memberitahu orang Israel supaya percaya kepada Orang yang akan datang kemudian daripadanya; Orang itu Yesus.” e
5 Apabila mereka mendengar hal itu, mereka dibaptis demi nama Tuhan Yesus. f 6 Ketika Paulus meletakkan tangannya ke atas kepala mereka, Roh Allah menguasai mereka, lalu mereka bertutur dalam bahasa-bahasa yang ajaib, serta menyampaikan perkhabaran Allah. 7 Mereka semuanya kira-kira dua belas orang. 8 Selama tiga bulan, dengan berani Paulus terus-menerus berkata-kata kepada orang di rumah ibadat. Dia berbincang dengan mereka dan berusaha untuk meyakinkan mereka tentang Pemerintahan Allah. 9 Tetapi beberapa orang antara mereka degil dan tidak mahu percaya. Di hadapan semua orang mereka mencerca rancangan Allah untuk menyelamatkan manusia melalui Yesus. Oleh itu Paulus meninggalkan mereka, lalu pergi dengan beberapa orang pengikut Yesus lainnya ke dewan syarahan Tiranus. g Setiap hari Paulus mengadakan perbincangan di situ. 10 Perkara ini berlaku selama dua tahun h sehingga semua orang yang tinggal di wilayah Asia, i baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi mendengar firman Tuhan.
Pengakuan mereka menunjukkan bahawa orang-orang tersebut adalah pengikut Yohanes Pembaptis tetapi mereka mengetahui sedikit tentang Yesus. Seperti Apolos apabila dia datang untuk kali pertama di Efesus, dia mempunyai pengetahuan injil yang terhad.
e Paulus menegaskan kepada mereka bahawa Yang Akan Datang seperti yang dinubuatkan oleh kedua-dua nabi dan Yohanes adalah Yesus dan Dia telah datang dan bangkit dan sekarang sedang mencurahkan kurnia Roh Allah ke atas sesiapa sahaja yang percaya kepada-Nya.
f Ini satu-satunya kes dalam PB dimana orang menerima baptisan yang kedua kali. Ini terjadi kerana baptisan yang pertama tidak dilakukan dalam nama Yesus. Baptisan mereka hanya dilakukan dalam nama Yohanes Pembaptis.
g Ini mungkin dewan milik ahli falsafah tempatan yang bernama Tiranus atau seorang ahli falsafah pengembara telah menyewa dewan tersebut dari tuan tanah yang mempunyai nama tersebut.
h Ini merupakan tempoh yang paling lama Paulus tinggal di satu tempat dalam rekod Lukas. Dari sudut pandang orang Yahudi, sebarang tempoh dalam setahun dianggap sebagai setahun. Jadi mungkin Paulus hanya tinggal selama dua tahun dan tiga bulan (lihat ay. 8) tetapi menganggap tempoh dia menetap di Efesus sebagai tiga tahun (lihat 20:31).
i Di sini kita boleh melihat salah satu daripada strategi penginjilan Paulus. Banyak jemaat yang ditubuhkannya berada di kota yang mempunyai tempat strategik, sama ada ibu kota atau kota penting yang berada di laluan perdagangan. Kota-kota ini menjadi titik utama di mana injil tersebar ke kawasan sekitar. Contoh yang lain adalah Antiokhia, kota utama di Pisidia (13:14); Tesalonika, ibu kota Makedonia (17:1); Atena, kota yang paling penting di Greece (17:15) dan Korintus, ibu kota Akhaya (18:1).
11Allah melakukan mukjizat j yang luar biasa melalui Paulus. 12 Bahkan sapu tangan k dan kain yang pernah dipakai oleh Paulus pun dibawa kepada orang sakit, lalu mereka sembuh dan roh jahat keluar daripada mereka. 13 Beberapa orang Yahudi yang pergi ke serata tempat dan mengusir roh jahat, l cuba menggunakan nama Tuhan Yesus untuk mengusir roh jahat. Mereka berkata kepada roh-roh jahat, “Aku mengusir kamu demi nama Yesus yang diberitakan oleh Paulus.” 14 Tujuh orang lelaki, iaitu anak-anak ketua imamm Yahudi bernama Skewa berbuat demikian.
15 Tetapi roh jahat berkata kepada mereka, “Yesus aku kenal, Paulus pun aku kenal, tetapi siapakah kamu?”
16 Lalu orang yang dirasuk roh jahat itu menyerang mereka dengan ganas dan mengalahkan mereka. Dia mencederakan mereka dan mengoyak-ngoyak pakaian mereka, n sehingga mereka lari dari rumahnya. 17 Semua orang Yahudi dan orang bukan Yahudi yang tinggal di Efesus mendengar peristiwa itu, lalu mereka menjadi takut. Oleh itu nama Tuhan Yesus semakin dipuji-puji. 18 Banyak orang yang sudah percaya kepada Yesus, datang ke hadapan umum untuk mengakui perbuatan jahat mereka pada masa lampau. 19 Mereka yang biasa mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan buku-buku mereka o dan membakar semua itu di hadapan orang ramai. Apabila dijumlahkan, harga semua buku itu kira-kira lima puluh ribu keping wang perak. p 20Melalui semua peristiwa yang luar biasa itu firman Tuhan semakin tersebar luas dan semakin banyak orang percaya kepada Yesus.
j Lukas lebih menitikberatkan pekerjaan kuasa ajaib injil dalam Bab ini. Oleh itu, dia menekankan ‘mukjizat yang luas biasa’ ini. Dia mungkin mencatatkan mukjizat yang terjadi melalui kain Paulus untuk menyelarikan keserasian pelayanannya dengan Yesus dan Petrus, di mana penyembuhan terjadi hanya dengan menyentuh jubah Yesus (Luk 8:44) dan melalui bayang-bayang Petrus (Kis 5:15).
Lukas mempunyai dua jenis ‘mukjizat luar biasa’ dalm fikirannya: (1) penyembuhan serta-merta dengan Paulus meletakkan tangannya ke atas pesakit dan (2) penyembuhan secara tidak langsung melalui pakaian Paulus. Efesus merupakan tempat asal bagi pelbagai jenis sihir dan kepercayaan tahyul, dan frasa ‘karya Efesus’ selalunya merujuk kepada dokumen yang mengandungi jampi dan ramuan bahan sihir. Dengan itu, Allah menggunakan persamaan untuk menunjukkan mereka kepada Berita Baik dalam penyelamatan Kristus. Penyembuhan bukan dihasilkan dari benda yang digunakan tetapi dalam kuasa Allah serta iman percaya orang yang menerimanya.
k Sapu tangan ini mungkin digunakan oleh Paulus dalam perniagaan khemahnya, helaian kain yang diikat di kepalanya dan satu lagi di sekeliling pinggang. Apronnya juga digunakan dengan cara yang sama ketika dia bekerja.
l Penggunaan nama yang berkuasa dalam jampi untuk mengeluarkan roh jahat dari tubuh seseorang adalah perkara biasa pada zaman dahulu kala. Hal ini menjadi begitu meluas di Efesus. Tambahan lagi, orang Yahudi yang mengamalkan sihir sangat dipandang tinggi kerana mereka dianggap mempunyai kuasa untuk untuk melakukan beberapa jampi yang sangat berkesan. Mereka yang mempunyai hubungan dengan imam agama Yahudi akan menikmati keistimewaan dalam kalangan pengamal-pengamal sihir kerana mereka lebih mengetahui cara sebutan yang benar bagi Nama Allah.
m Beberapa pengusir roh jahat Yahudi yang pernah mendengar ajaran Paulus tentang Yesus cuba menggunakan nama baru tersebut untuk ‘kegunaan sihir’. Lukas menyebut mereka sebagai ‘tujuh orang anak-anak Skewa, ketua imam Yahudi’. Mungkin mereka berasal dari keluarga imam di Yerusalem, walaupun mereka mungkin menggelar diri sendiri ‘Ketua Imam Yahudi’ untuk menunjuk-nunjuk kepada pelanggan mereka. Mereka juga mungkin mengatakan telah menerima mesej Paulus dan menerima Yesus secara peribadi, sama seperti Simon dari Samaria (8:9-24). Akan tetapi, tujuan utama mereka berbuat demikian adalah untuk menggunakan kuasa nama Yesus untuk kepentingan sendiri. Oleh itu, mereka cuba meniru perbuatan Paulus.
n Walau bagaimanapun, apabila mereka cuba menggunakan nama yang berkuasa ketika mengusir roh jahat, anak-anak lelaki Skewa mendapati mereka sedang berdepan dengan kenyataan yang tidak pernah terlintas di fikiran mereka. Mereka telah diberikan pengajaran tentang bahaya menggunakan nama Yesus dalam penglibatan mereka dengan kusa ghaib.
o Ini adalah skrol yang mencatatkan formula ajaib dan maklumat rahsia. Efesus merupakan pusat jampi serapah dalam kesaktian.
p Ataupun lima puluh ribu dirham. Dirham merupakan mata wang syiling Yunani yang sama nilainya dengan gaji orang dalam sehari. Harga yang tinggi bukan kerana kualiti buku yang baik tetapi kuasa yang kononnya akan didapati melalui rahsia-rahsia perkataan serta nama-nama yang terkandung dalam buku itu.
Kita boleh terlibat dalam bahaya penggunaan nama Yesus pada bila-bila masa sahaja dalam doa kita dan menjadikannya sebagai ‘formula’ kita, berfikir bahawa doa kita tidak lengkap jika tidak mengakhirinya dengan menyebut ‘dalam nama Yesus saya berdoa’.
21 Setelah semua peristiwa itu berlaku, Paulus mengambil keputusan untuk pergi ke Makedonia dan Akhaya lalu terus ke Yerusalem. “Setelah aku pergi ke sana,” katanya, “aku harus pergi ke Roma juga.” 22 Oleh itu Paulus mengutus Timotius dan Erastus, q dua orang daripada pembantunya, pergi ke Makedonia terlebih dahulu. Sementara itu Paulus tinggal lebih lama di wilayah Asia.
23 Pada masa itulah berlaku rusuhan yang besar di Efesus r kerana ajaran tentang Yesus. 24 Di kota itu ada seorang tukang perak s bernama Demetrius, yang biasa membuat model kuil Dewi Artemis. t Usahanya mendatangkan penghasilan yang besar bagi pekerja-pekerjanya. 25 Oleh itu dia mengumpulkan semua pekerjanya dan pekerja tukang perak yang lain, lalu berkata, “Saudara-saudara tahu bahawa kekayaan kita datangnya daripada pekerjaan ini. u 26 Sekarang saudara sekalian sudah melihat dan mendengar apa yang dilakukan oleh Si Paulus itu. Dia berkata bahawa berhala yang dibuat oleh manusia sama sekali bukan dewa. Dia berjaya meyakinkan banyak orang, bukan sahaja di Efesus, bahkan hampir di seluruh wilayah Asia. 27 Hal itu membahayakan kerana perniagaan kita akan mendapat nama buruk. Bukan itu sahaja, bahkan orang tidak akan menghormati kuil Dewi Artemis lagi dan kebesarannya pun akan lenyap. Padahal Dewi Artemis disembah oleh semua orang di Asia dan di seluruh dunia!”
28 Apabila mereka mendengar hal itu, mereka sangat marah dan mula berseru, “Hidup Artemis, dewi orang Efesus!” 29 Rusuhan itu meluas ke seluruh kota. Kumpulan perusuh itu menangkap Gayus dan Aristarkhus, v orang Makedonia yang menemani Paulus dalam perjalanannya, lalu menyeret mereka ke stadium w kota itu. 30 Paulus sendiri mahu menghadap orang ramai untuk berkata-kata kepada mereka, tetapi pengikut Yesus di situ tidak membenarkan dia. 31 Beberapa orang pegawai kerajaan x di daerah itu, yang bersahabat dengan Paulus, menyuruh orang memberitahu Paulus supaya tidak masuk ke stadium itu. 32 Sementara itu, orang yang berkumpul di stadium menjadi kacau-bilau. Ada yang berteriak begini dan ada yang berteriak begitu, kerana kebanyakan orang tidak tahu mengapa mereka datang di situ. 33 Beberapa orang menyangka bahawa Aleksander y yang bertanggungjawab, kerana orang Yahudi menyuruh dia tampil ke muka. Aleksander memberikan isyarat dengan tangan supaya diberikan peluang untuk membela diri di hadapan orang ramai. 34 Tetapi apabila mereka melihat bahawa dia orang Yahudi, selama dua jam mereka berseru dengan serentak, “Hidup Artemis, dewi orang Efesus!”
35 Akhirnya setiausahaz kota berjaya menenteramkan orang ramai. Dia berkata, “Hai penduduk Efesus! Semua orang tahu bahawa Efesuslah kota yang memelihara kuil a’ Dewi Artemis dan batu suci b’ yang jatuh dari langit. 36 Tidak seorang pun dapat menafikan hal itu. Oleh itu bertenanglah dan jangan buat apa-apa dengan terburu-buru. 37 Saudara-saudara membawa kedua-dua orang ini ke mari, walaupun mereka tidak merompak kuil, ataupun menghina dewi kita. 38 Jika Demetrius dan pekerja-pekerjanya mahu mendakwa sesiapa, biarlah mereka membawa perkara itu ke mahkamah. Pada hari-hari tertentu orang boleh datang ke mahkamah dan para pegawai c’ pun ada di situ. 39 Tetapi jika ada apa-apa lagi yang saudara-saudara kehendaki, hal itu harus diselesaikan dalam mesyuarat umum yang sah. d’ 40 Oleh sebab apa yang berlaku hari ini, kita akan dituduh mengadakan rusuhan. Kita tidak mempunyai alasan untuk membenarkan rusuhan ini.” 41 Setelah berkata demikian, setiausaha kota itu menyuruh mereka pulang.
q Ini kali pertama Erastus disebut dalam Kisah Rasul-Rasul. Ini mungkin orang yang sama dalam Rom 16:23 yang merupakan orang penting di Korintus (lihat juga 2 Tim 4:20), sebagai seorang bendahara atau pengarah hal ehwal awam, seperti yang diterjemahkan dalam versi lain.
r Efesus bergantung kepada dua aset bagi sumber kekayaan dan kepentingannya. Yang pertama ialah kepentingannya sebagai pusat perdagangan. Pada zaman Paulus, kuasa perdagangan Efesus sudah lama wujud.
Perkara yang kedua adalah penyembahan Artemis, dewi kesuburan yang kuilnya merupakan salah satu daripada Tujuh Benda Ajaib pada zaman purba. Dengan kemerosotan perniagaannya, kemakmuran Efesus lebih banyak bergantung kepada aktiviti pelancongan dan pedagang luar yang berkaitan dengan kuil dan ajaran sesat Artemis. Banyak perniagaan serta perkhidmatan yang berkisar tentangnya dibuka seperti membekalkan penginapan dan makanan kepada pelawat, persembahan khusus, dan cenderamata. Kuil Artemis juga menjadi tempat penyimpanan wang atau bank pada zaman dahulu di mana saudagar, raja atau kota menyimpan wang mereka di sana di bawah perlindungan kuasa dewi.
s Setiap jenis perniagaan mempunyai persatuan mereka sendiri, dan Demetrius mungkin adalah ketua kepada persatuan pembuat patung dan tokong perak.
t Artemis adalah nama Yunani bagai dewi orang Roma yang diberi nama Diana. Walau bagaimanapun, Artemis di Efesus sangat berlainan daripada dewi Yunani-Roma. Dia digambarkan sebagai seorang yang aneh, wanita yang mempunyai buah dada yang banyak, dipercayai dicipta di syurga dan terjatuh dari syurga. Kemungkinan dia adalah meteor yang berbentuk wanita dengan buah dada yang banyak lalu menjadi objek yang dipuja. Kuilnya menjadi sumber utama kekayaan Efesus dan terus menjadi makmur.
u Oleh kerana kuil Artemis merupakan salah satu deripada Tujuh Benda Ajaib pada zaman purba, orang ramai datang dari pelbagai tempat untuk melihatnya. Mereka membeli tokong dan patung perak dan hal ini menjadi sumber pendapatan yang lumayan bagi tukang perak serta pengukir.
v Tidak banyak perkara yang diketahui tentang Gayus. Aristarkhus merupakan orang Makedonia yang datang dari Tesalonika. Di kemudiannya mengembara bersama Paulus dari Korintus ke Yerusalem (20: 3-4) dan juga menemani Paulus dalam pelayaran dari Yerusalem ke Roma (27:1-2).
w Stadium tersebut merupakan satu tempat terbuka yang luas untuk pertemuan umum, amat besar sehingga boleh menampung 24,000 orang.
x Mereka adalah Asiarch, ahli keluarga yang paling kaya dan terkenal di wilayah, dipilih untuk menggalakkan pemujaan raja. Walaupun mereka tidak mempunyai kuasa politik, mereka menjadi orang penting Roma dengan memberikan taat setia mereka kepada kerajaan Roma. Beberapa orang dari mereka mesra dengan Paulus, menunjukkan bahawa dia mempunyai rakan dari golongan ini.
y Masyrakat orang Yahudi di Efesus sangat besar dan mereka menikmati keistimewaan yang telah diberikan oleh penguasa Roma yang terdahulu. Tetapi mereka juga berhadapan dengan perasaan anti-Yahudi yang selalu muncul di kalangan masyarakat Yunani – Roma. Dalam usaha menunjukkan bahawa mereka juga menentang ajaran Kristian pada masa tegang itu, orang Yahudi menghantar salah seorang dari mereka, Aleksander ke hadapan untuk bersemuka dengan orang ramai itu. Walaupun begitu, orang ramai mengetahui bahawa orang Yahudi itu tidak memuja dewi Artemis, sama seperti orang Kristian. Sebab itu orang memalukan Aleksander dengan menjerit ‘Hidup Artemis, dewi orang Efesus’ berulang-kali.
z Dia merupakan pegawai tempatan yang paling penting dan menjadi pengantara Efesus dan penguasa Roma. Sebagai seorang pegawai tempatan yang penting bagi kota tersebut, dia bertanggungjawab bagi setiap rusuhan yang terjadi di tempat itu.
a’ Istilah ‘kota yang memelihara kuil’ diberikan kepada kota yang mempunyai kuil agama sesat yang dianuti oleh raja kerajaan tersebut, termasuk Efesus sendiri. Ini bermaksud, ia juga digunakan untuk merujuk kepada kota-kota yang mempunyai kuil Artemis.
b’ Ini adalah batu meteor yang jatuh dari langit dan dianggap sebagai imej yang dihantar oleh tuhan.
c’ Sebagai ibu kota bagi wilayah Asia, Efesus menjadi pusat pentadbiran bagi gabenor Roma.
d’ Mesyuarat ini biasanya diadakan sebanyak tiga kali sebulan.
Copyright © 2026, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.