Bab 21 dan 22 Kisah Para Rasul 21 dan 22

Paulus Pergi ke Yerusalem (ay. 1-16)

Setelah kami mengucapkan selamat tinggal a kepada pemimpin-pemimpin jemaah dari Efesus itu, kami berangkat. Kami terus belayar ke Kos; b esoknya kami tiba di Rodes. c Dari situ kami belayar ke Patara.d 2 Di Patara kami menjumpai kapal yang akan bertolak ke Fenisia. e Kami menaiki kapal itu lalu belayar 3 sampai ke tempat kami dapat melihat pulau Siprus. f Kapal itu belayar terus menuju ke arah selatan sehingga sampai di Siria. Kami mendarat di Tirus, g kerana di situ kapal akan memunggah muatan. 4 Di situ kami berjumpa dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus dan kami tinggal dengan mereka selama seminggu. h Dengan pimpinan Roh Allah i mereka memberitahu Paulus supaya jangan pergi ke Yerusalem. 5 Tetapi apabila tiba masanya kami melanjutkan perjalanan, kami pun berangkat. Semua pengikut Yesus itu bersama-sama anak dan isteri mereka menghantar kami sampai ke luar kota. Di tepi pantai kami semua berlutut lalu berdoa. 6 Setelah bersalam-salaman kami menaiki kapal dan mereka pulang ke rumah.
7 Kami melanjutkan perjalanan dan belayar dari Tirus ke Ptolemais. j Di situ kami memberikan salam kepada saudara-saudara yang percaya kepada Yesus, dan tinggal dengan mereka selama sehari. 8 Keesokan harinya kami berangkat pula, lalu tiba di Kaisarea. k Di situ kami menumpang di rumah seorang penginjil bernama Filipus. l Dia salah seorang daripada tujuh orang yang dipilih untuk menolong para rasul di Yerusalem. 9 Dia mempunyai empat orang anak perempuan yang belum berkahwin dan mereka memberitakan m perkhabaran daripada Allah. 10 Setelah beberapa hari kami di situ, seorang nabi bernama Agabus n datang dari Yudea. 11 Dia datang kepada kami lalu mengambil tali pinggang Paulus. Dengan tali pinggang itu Agabus mengikat kaki dan tangannya sendiri lalu berkata, “Inilah yang dikatakan oleh Roh Allah: Pemilik tali pinggang ini akan diikat seperti ini oleh orang Yahudi di Yerusalem dan mereka akan menyerahkan dia kepada orang bukan Yahudi.”
12 Apabila kami mendengar kata-kata itu, kami o dan semua saudara lain memohon Paulus supaya jangan pergi ke Yerusalem. 13 Tetapi dia menjawab, “Mengapa kamu menangis seperti ini sehingga menyebabkan aku bersedih hati? Aku sudah bersedia bukan sahaja untuk diikat di Yerusalem, tetapi juga untuk mati di situ kerana Tuhan Yesus.”
14 Kerana Paulus tidak mahu mendengarkan kami, kami pun berhenti melarang dia. Kami berkata, “Biarlah kehendak Tuhan berlaku.” 15 Setelah kami tinggal di situ beberapa lama, kami mengemaskan barang lalu berangkat ke Yerusalem. 16 Beberapa orang pengikut Yesus dari Kaisarea mengikut kami dan menghantar kami ke rumah Manason, kerana di rumah dialah kami akan menginap. Manason p berasal dari Siprus dan sudah lama menjadi pengikut Yesus.

Teropong:

a Versi yang lain menterjemahkan frasa ini kepada ‘setelah perpisahan yang berat itu’, menunjukkan betapa dalamnya perasaan kasih di antara Paulus dan pemimpim-pemimpin terhadap satu sama yang lain.
b Kos merupakan pulau kecil yang berada di selatan Miletus.
c Rodes merupakan sebuah pelabuhan dan pusat kota bagi sebuah pulau besar yang mempunyai nama serupa, Rodes. Ia pernah terkenal dengan pelabuhannya yang hebat, yang pernah menjadi salah satu daripada Tujuh Benda Ajaib pada zaman purba (tetapi ia telah dimusnahkan dua abad sebelum Paulus tiba di sana).
d Patara terletak di selatan persisiran Likia, sebuah wilayah di bahagian selatan Asia Kecil.
e Fenisia merupakan sebuah daerah di Siria yang pernah dilalui oleh Paulus sekurang-kurangnya sekali (lihat 15:3). Paulus menukar dari kapal yang belayar berdekatan dengan persisiran Asia Kecil kepada sebuaah kapal perdagangan yang berlayar terus ke Tirus dan Fenisia (lihat 11, nota j).
f Lihat Bab 13, nota h.
g Tirus merupakan pangkalan laut yang terkenal di Fenisia. Satu jemaah telah ditubuhkan di Fenisia, besar kemungkinan di Tirus, melalui orang Kristian Helenis yang terpaksa meniggalkan Yerusalem setelah penganiayaan Stefanus (11:19).
h Tujuh hari ini, apabila ditambah dengan 29 hari sejak Perayaan Roti Tidak Beragi di Filipi, memberikan mereka hanya mempunyai tempoh selama dua minggu lagi untuk tiba di Yerusalem sebelum Pentakosta.
i Roh Allah memberikan amaran bahawa akan ada pencuba-an yang menanti Paulus di Yerusalem. Oleh kerana amaran ini, saudara-saudara Paulus melarang dia untuk meneruskan perjalanan kerana mereka tahu akan hal yang menanti Paulus. Walau bagaimanapun, Paulus berasa ‘sebagai tawanan Roh’ (seperti dalam terjemahan lain) untuk meneruskan perjalanan (20:22).
j Ptolemais merupakan salah satu pangkalan laut Fenisia pada masa dahulu di selatan Tirus. Ia mengambil masa dalam sehari perjalanan dari Tirus.
k Lihat Bab 8, nota z dan Bab 10, nota a untuk penerangan lebih lanjut.
l Filipus merupakan salah seorang daripada tujuh orang yang dipilih oleh jemaah awal di Yerusalem untuk menjaga pembahagian bantuan makanan harian (6:1-6). Dia telah menginjil di Samaria dan dataran persisiran Palestina (8:4-40), selepas dia menetap di Kaisarea dan telah tinggal di sana selama 20 tahun.
m Versi lain menterjemahkan perkataan ini kepada ‘bernubuat’. Anak-anak perempuannya mungkin telah didedikasikan secara khusus untuk melayani Tuhan.
n Ini adalah nabi yang sama yang bernubuat di Antiokhia tentang kebuluran di Yerusalem 15 tahun sebelum itu (11:27-29).
o Kini Lukas telah menyertai yang lain untuk menghalang Paulus dari meneruskan perjalanan ke Yerusalem.
p Manason mungkin seorang pengikut Kristus yang berada kerana mampu menumpangkan Paulus dan sembilan orang yang ada bersamanya. Tidak semua yang berada di Yerusalem bersedia untuk menerima Paulus serta teman seperjalannanya yang merupakan Kristian bukan Yahudi sebagai tetamu pada hari Pentakosta.

Mari Fikir Sejenak:

  • Pada pendapat anda, mengapakah Paulus sanggup mati untuk Yesus?
  • Fikirkan satu situasi di mana anda mengalami kesukaran untuk mengikuti perintah Tuhan. Bagaimanakah anda dapat mendorong diri anda dan mendapat kekuatan melalui contoh yang diberikan oleh Paulus?

Paulus Melawat Yakobus (ay. 17-26)

17 Apabila kami tiba di Yerusalem, q pengikut-pengikut Yesus di situ menyambut kami dengan sukacita. 18 Keesokan harinya Paulus pergi bersama-sama kami menjumpai Yakobus; r semua pemimpin jemaah pun hadir. s 19 Paulus memberikan salam kepada mereka, lalu memberitahukan t segala sesuatu yang sudah dilakukan oleh Allah melalui dia di kalangan orang bukan Yahudi. 20 Setelah mendengar laporan Paulus, mereka semua memuji Allah. Kemudian mereka berkata kepada Paulus, “Saudara Paulus, dengarlah! Di sini ada beribu-ribu orang Yahudi yang sudah percaya kepada Yesus, dan mereka mentaati Taurat Musa dengan setia. 21 Tetapi mereka sudah diberitahu bahawa saudara mengajar semua orang Yahudi yang tinggal di kalangan orang bukan Yahudi supaya tidak menurut Taurat Musa, tidak menyunat anak-anak mereka ataupun menurut adat istiadat orang Yahudi. 22 Mereka tentu sudah mendengar bahawa saudara sudah tiba di sini. Apakah yang harus kita lakukan sekarang? 23 Kami mahu saudara melakukan hal ini. Di sini ada empat orang yang sudah bernazar. u 24 Pergilah dengan mereka dan lakukanlah upacara penyucian v diri, dan bayarlah biaya mereka w juga. Kemudian mereka boleh mencukur rambut. Dengan cara demikian semua orang akan tahu bahawa apa yang didengar oleh mereka tentang saudara tidak benar, kerana saudara pun taat kepada Taurat Musa. 25 Tetapi bagi orang bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus, kami telah mengirim sepucuk surat x kepada mereka tentang keputusan kami. Mereka tidak boleh makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala, atau makan darah, atau makan daging binatang yang mati dicekik, dan mereka juga harus menjauhkan diri daripada perbuatan cabul.”
26 Oleh itu, Paulus pergi dengan empat orang itu dan esoknya dia menjalankan upacara penyucian diri bersama-sama mereka. Kemudian Paulus masuk ke Rumah Tuhan dan mengumumkan bilangan hari apabila upacara penyucian itu akan selesai dan korban akan dipersembahkan bagi masing-masing.

Teropong:

q Mereka tiba kira-kira sehari atau dua hari sebelum hari Pentakosta.
r Lihat Bab 12, nota l dan Bab 15, nota f untuk keterangan lebih lanjut. Yakobus sekarang sudah menjadi pemimpin jemaah di Yerusalem. Bersama-sama dengannya dalam pentadbiran jemaah adalah lembaga pemimpin, yang juga hadir untuk bertemu dengan Paulus dan rakan-rakannya yang lain.
s Kemungkinan mereka ada di sana untuk menerima pungut-an yang dibawa oleh Paulus dari jemaah di Makedonia, Asia, Galatia dan Akhaya. Ketika dia dibicarakan di hadapan Gabenor Feliks (lihat 24:17), Paulus ada mengatakan bahawa dia datang ke Yerusalem untuk menyerahkan wang kepada orang-orang di sana.
t Seperti masa yang lalu, Paulus melaporkan kepada jemaah tentang pekerjaan misinya dan menerangkan secara terperinci bagaimana Allah memberkati pelayanannya di kalangan oarng-orang bukan Yahudi.
u Lihat Bab 18, nota r. Kenyataan yang mereka terpaksa mencukur kepala mereka menunjukkan bahawa ini adalah nazar orang Nazir. Pengakhiran nazar melibatkan persembahan korban bagi pihak mereka.
v Dalam beberapa peristiwa, upacara ini melibatkan persembahan korban.
w Bahagian Paulus untuk membayar mereka termasuk: (i) membayar sebahagian atau semua harga binatang yang dijadikan korban (ii) pergi ke Rumah Tuhan untuk memberitahu imam tarikh penyucian mereka supaya imam-imam boleh membuat persediaan bagi persembahan korban mereka.
x Ini adalah keputusan yang dipersetujui oleh Majlis Yerusalem (15:20-21) untuk membenarkan orang Yahudi dan bukan Yahudi yang percaya Yesus untuk tinggal bersama dengan tenteram. Setelah menggalakkan Paulus untuk mengikuti Hukum orang Yahudi, pemimpin-pemimpin jemaah Yerusalem mahu meyakinkan dia bahawa mereka masih bersetuju dengan keputusan yang dihantar kepada orang-orang bukan Yahudi yang menyatakan bahawa mereka hanya perlu mengikuti empat syarat yang telah ditetapkan bagi mereka.

Mari Fikir Sejenak:

  • Apakah yang anda lihat tentang sikap Paulus apabila dia diarahkan oleh pemimpin jemaah untuk melakukan semua upacara hanya untuk meyakinkan orang Kristian Yahudi yang lain bahawa dia bukan menentang Hukum?
  • Apakah respon anda apabila seseorang mengarahkan anda untuk melakukan sesuatu yang akan mendatangkan banyak masalah kepada anda?
  • Apakah pengajaran yang anda boleh dapat dari Paulus di sini?

Paulus Ditangkap di Rumah Tuhan (ay. 27-36)

27 Apabila jangka waktu tujuh hari y hampir berakhir, beberapa orang Yahudi dari daerah Asia z melihat Paulus di dalam Rumah Tuhan. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus. 28′Mereka berseru, “Hai orang Israel, tolong! Inilah orang yang pergi ke serata tempat dan mengajar semua orang menentang bangsa Israel, Taurat Musa, dan Rumah Tuhan ini. Malahan sekarang dia membawa orang bukan Yahudi ke dalam Rumah Tuhan. a’ Dia telah menajiskan tempat yang suci ini!” 29 (Mereka berkata demikian, kerana mereka nampak Trofimus b’ orang Efesus itu bersama-sama Paulus di kota. Mereka menyangka Paulus telah membawa dia ke dalam Rumah Tuhan.)
30 Seluruh kota itu menjadi kacau-bilau; semua orang berlari bersama-sama dan menangkap Paulus lalu menyeret dia keluar dari Rumah Tuhan. Dengan segera pintu Rumah Tuhan ditutup. c’ 31 Sementara perusuh-perusuh itu cuba membunuh Paulus, komandan d’ pasukan Roma diberitahu bahawa seluruh Yerusalem sedang merusuh. 32 Dengan segera komandan membawa beberapa orang pegawai e’ tentera serta askar, lalu cepat-cepat pergi ke tempat huru-hara itu. Semasa orang ramai itu melihat komandan dengan askarnya, mereka berhenti memukul Paulus. 33 Komandan itu menghampiri Paulus lalu menangkap dia, dan menyuruh orang membelenggu dia dengan dua rantai. f’ Lalu komandan itu bertanya, “Siapakah orang ini, dan apa yang sudah dilakukannya?” 34 Sesetengah orang ramai menjawab begini dan sesetengah yang lain menjawab begitu. Keadaan begitu kacau sehingga komandan itu tidak dapat mengetahui apa yang sebenarnya sudah berlaku. Oleh itu dia menyuruh askarnya membawa Paulus ke dalam kubu. 35 Mereka membawa dia sampai ke tangga, lalu askar-askar itu harus menggotong Paulus kerana orang ramai yang merusuh itu mengamuk. 36 Perusuh-perusuh itu mengikuti Paulus sambil berseru, “Bunuh dia!”

Teropong:

y Ini adalah jumlah hari yang diwajibkan untuk penyucian, mencukur kepala mereka di mazbah, membuat persembahan korban untuk dosa dan korban bakaran bagi setiap satu dari mereka, dan memaklumkan kepada imam apabila mereka sudah selesai.
z Kesusahan Paulus bukan disebabkan oleh orang-orang Yahudi di Yerusalem tetapi oleh mereka yang berasal dari Efesus di Asia yang mungkin datang ke Yerusalem sebagai penziarah untuk hari Pentakosta.
a’ Ahli arkeologi telah menemui banyak inskripsi dalam bahasa Yunani dan Latin di Halaman Orang Bukan Yahudi di luar Rumah Tuhan yang berbunyi: ‘Orang asing tidak dibenarkan masuk ke dalam perintang yang mengelilingi Rumah Tuhan dan pagarnya. Sesiapa yang didapati bersalah akan bertanggungjawab ke atas kematian yang menimpanya’. Penguasa Roma juga bersetuju dengan orang Yahudi dalam hal ini dan mengenakan hukuman mati ke atas orang bukan Yahudi, walaupun warganegara Roma, yang ditangkap menceroboh masuk melepas perintang di Rumah Tuhan.
b’ Trifomus merupakan salah seorang daripada ahli rom-bongan Paulus yang meninggalkan Efesus untuk pergi ke Yerusalem. Lihat Bab 20, nota j. Paulus mungkin tidak membawanya ke dalam kawasan larangan. Jika dia berbuat demikian, mereka akan menyerang Trifomus dan bukan Paulus.
c’ Pintu itu ditutup oleh polis yang berjaga di kawasan tersebut dan berkawal di pintu yang menuju ke Tempat Kudus di dalam. Mereka melakukan hal ini untuk mengelakkan Tempat Kudus daripada dinajiskan dengan huru-hara dan pertumpahan darah yang mungkin terjadi. Polis Rumah Tuhan adalah orang-orang Yahudi sendiri, diambil dari suku Lewi.
d’ Kubu Roma berada di Kubu Antonia (rujuk kepada ‘Rumah Tuhan’, ms. 30) yang telah dibina oleh Herodes Agung di sudut barat laut Rumah Tuhan. Ia biasanya diduduki oleh seribu orang. Orang yang menjadi ketua mereka adalah komander yang bertanggungjawab ke atas 1,000 orang askar (rejimen). Komander pada masa itu ialah Klaudius Lisias. (Lihat 23:26 untuk maklumat lanjut).
e’ Mereka adalah ketua tentera yang mengawal 100 orang askar. Kemungkinan ada dua orang pegawai yang terlibat. Oleh itu terdapat sekurang-kurangnya 200 orang askar yang datang dengan mereka.
f’ Mungkin sebelah tangan Paulus telah dirantai kepada seorang askar.

Paulus Membela Diri (21:37—22:21)

37 Apabila askar-askar hampir sampai ke kubu, g’ Paulus berkata kepada komandan itu, “Bolehkah saya bercakap sebentar dengan tuan?” Komandan itu berkata, “Kamu dapat berbahasa Yunani! 38 Jika demikian kamu bukan orang Mesir h’ yang tempoh hari memulakan pemberontakan dan memimpin empat ribu orang pengganas bersenjata pergi ke padang gurun.”
39 Paulus berkata, “Saya orang Yahudi yang dilahirkan di Tarsus i’ di negeri Kilikia. j’ Saya warga kota yang penting itu. Tolong izinkan saya berucap kepada orang ramai ini.”
40 Komandan itu mengizinkan dia berbuat demikian. Oleh itu Paulus berdiri di tangga dan memberikan isyarat dengan tangan supaya orang ramai diam. Apabila mereka tenang, Paulus berkata-kata kepada mereka dalam bahasa Ibrani. k’
1 Paulus berkata, “Bapa-bapa dan saudara sekalian, dengarkanlah apa yang akan saya katakan untuk membela diri.” 2 Apabila mereka mendengar Paulus berkata-kata dalam bahasa Ibrani, mereka lebih tenang lagi. Paulus melanjutkan kata-katanya,
3 “Saya orang Yahudi; saya dilahirkan di Tarsus di negeri Kilikia, dan dibesarkan di Yerusalem l’ sebagai murid Gamaliel. m’ Saya diajar dengan teliti tentang Taurat nenek moyang kita, dan saya mengabdikan diri kepada Allah seperti saudara sekalian pada hari ini. 4 Saya menganiaya pengikut ajaran baru itu sehingga mereka mati. Saya menangkap orang lelaki dan perempuan, lalu memasukkan mereka ke dalam penjara. 5 Imam Agung n’ dan semua anggota Majlis Agama o’ dapat memberikan kesaksian bahawa saya tidak berdusta. Saya diberikan mereka surat-surat yang ditujukan kepada orang Yahudi di Damsyik. p’ Dengan surat itu saya dibenarkan menangkap pengikut ajaran baru itu lalu membawa mereka ke Yerusalem untuk dihukum.”
6 “Semasa saya dalam perjalanan dan hampir tiba di Damsyik, pada kira-kira tengah hari, q’ tiba-tiba cahaya terang dari langit memancar di sekeliling saya. 7 Saya rebah ke tanah lalu mendengar suara berkata kepada saya, ‘Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku?’ 8 Lalu saya bertanya, ‘Siapakah tuan?’ ‘Aku Yesus orang Nasaret yang engkau aniaya,’ jawab-Nya. 9 Semua orang yang bersama-sama saya nampak cahaya itu, tetapi mereka tidak mendengar suara yang berkata-kata kepada saya. 10 Saya bertanya pula, ‘Apakah yang harus saya lakukan, tuan?’ Tuhan menjawab, ‘Bangunlah dan masuklah ke Damsyik. Di situ engkau akan diberitahu semuanya yang sudah ditetapkan oleh Allah yang harus engkau lakukan.’ 11 Saya menjadi buta kerana cahaya terang itu. Oleh itu teman seperjalanan saya memegang tangan saya dan memimpin saya masuk ke Damsyik.
12 Di situ ada seorang bernama Ananias. Dia seorang yang takut akan Allah dan mentaati Taurat kita. Dia sangat dihormati oleh semua orang Yahudi yang tinggal di Damsyik. 13 Dia datang dan berdiri di sisi saya, lalu berkata, ‘Saudara Saulus, saudara dapat melihat lagi!’ Pada saat itu juga saya dapat melihat semula, lalu saya memandang dia. 14 Dia berkata, ‘Allah yang disembah nenek moyang kita sudah memilih saudara supaya mengetahui kehendak Allah, dan melihat Yesus, Hamba Allah r’ yang melakukan kehendak Allah, serta mendengar suara Yesus sendiri. 15 Saudara akan menjadi saksi untuk mengkhabarkan apa yang sudah saudara lihat dan dengar kepada setiap orang. 16 Sekarang janganlah tunggu lebih lama lagi. Bangunlah dan mintalah orang membaptis s’ saudara. Berserulah kepada Tuhan supaya dosa saudara dihapuskan.’”
17 “Saya kembali ke Yerusalem t’ dan sementara saya berdoa di Rumah Tuhan, saya melihat suatu penglihatan. 18 Dalam penglihatan itu saya melihat Tuhan berkata kepada saya, ‘Cepat tinggalkan Yerusalem, kerana orang di sini tidak mahu menerima kesaksianmu tentang Aku.’ 19 Saya berkata, ‘Ya Tuhan, mereka tahu bahawa aku sudah masuk ke rumah ibadat untuk menangkap dan memukul orang yang percaya kepada-Mu. 20 Apabila saksi-Mu Stefanus u’ direjam, aku sendiri ada di situ dan menyetujui pembunuhan itu. Bahkan aku menjaga pakaian semua orang yang membunuh dia.’ 21 Tetapi Tuhan berkata lagi, ‘Pergilah, kerana Aku akan menyuruh engkau ke tempat yang jauh, kepada orang bukan Yahudi.’”

Teropong:

g’ Kubu Antonia bersambung dengan hujung bahagian utara Rumah Tuhan melalui dua tingkat anak tangga. Menara kubu tersebut berhadapan dengan kawasan Rumah Tuhan.
h’ Josefus, ahli sejarah Yahudi yang terkenal mencatatkan tentang seorang Yahudi dari Mesir yang pernah datang tiga tahun sebelum itu ke Yerusalem dan mengaku dirinya sebagai nabi. Dia mempunyai ramai pengikut yang pergi ke padang gurun kemudian ke Gunung Zaitun untuk persediaan si penyelamat menjatuhkan Yerusalem. Tentera Roma membunuh beratus-ratus pengikutnya, tetapi pemimpin tersebut dapat melarikan diri.
i’ Lihat Bab 9, nota o. Tarsus merupakan pusat perniagaan yang penting, kota universiti dan pertemuan bagi laluan-laluan pengembara. Ia bukan sahaja makmur tetapi ia juga merupakan salah satu kota universiti yang paling masyur di seluruh empayar Roma, terkenal dengan pendidikannya.
j’ Lihat Bab 6, nota r.
k’ Besar kemungkinan Paulus bercakap dalam bahasa Aramaik dan bukan Ibrani kerana Aramaik merupakan bahasa yang biasa digunakan di kalangan orang Yahudi di Palestina.
l’ Paulus mungkin telah datang ke Yerusalem semasa masih muda, mungkin apabila dia memcecah umur yang membolehkannya menjadi murid kepada Gamaliel.
m’ Lihat Bab 5, nota t. Gamaliel juga merupakan salah satu rabbi yang paling dihormati pada abad yang pertama.
n’ Kayafas, Imam Agung 20 tahun sebelum itu telah meninggal dunia dan Ananias kini menjadi Imam Agung (lihat 23:2). Walau bagaimanpun, rekod Imam Agung itu akan membuktikan bahawa Paulus bercakap benar.
o’ Ini merujuk kepada Sanhedrin, Majlis Agama.
p’ Lihat Bab 9, nota c.
q’ Paulus tidak menyebut hal ini dalam penceritaannya yang pertama (9:1-22).
r’ Pengalaman melihat Kristus yang telah bangkit merupakan satu peristiwa yang mengubah hidup Paulus. Pengalaman inilah yang meyakinkan dia tentang kebenaran injil dan ia menjadi dasar kepada semua perkara yang pernah diajarnya.
s’ Baptisan tidak menanggalkan dosa kita secara jasmani tetapi ia adalah satu tanda luaran bagi rahmat dalaman, iaitu pengampunan dosa kita.
t’ Ini merujuk kepada lawatan yang diceritakan oleh Paulus dalam 9:26.
u’ Lihat 7:59-8:1.

Paulus Umum Kewarganegaraannya (ay. 22-30)

22 Sehingga saat itu, orang ramai mendengarkan kata-kata Paulus. v’ Tetapi kemudian mereka mula berseru dengan kuat, “Hapuskan dia! Bunuh dia! Dia tidak layak hidup!” 23 Mereka berteriak-teriak sambil mengebaskan pakaian sehingga debu berterbangan w’ di udara. 24 Komandan pasukan Roma memerintahkan askar-askarnya membawa Paulus ke dalam kubu. Dia menyuruh mereka mencambuk x’  Paulus untuk mengetahui alasan orang Yahudi berteriak sedemikian rupa terhadap dia. 25 Tetapi waktu Paulus telah diikat y’ untuk dicambuk, Paulus berkata kepada pegawai tentera yang berdiri di situ, “Bolehkah seorang warganegara Roma z’ dicambuk sebelum dia diadili?”
26 Apabila pegawai tentera itu mendengar hal ini, dia pergi kepada komandan itu dan berkata, “Apa yang sudah tuan lakukan? Orang ini warganegara Roma!”
27 Oleh itu komandan itu pergi kepada Paulus dan bertanya, “Katakanlah, adakah kamu warganegara Roma?”
“Ya,” kata Paulus. 28 Komandan itu berkata pula, “Saya menjadi warganegara Roma dengan membayar wang yang banyak.” a”
Paulus menjawab, “Tetapi saya dilahirkan sebagai warganegara Roma.” 29 Dengan segera askar-askar yang hendak menyoal Paulus berundur. Komandan itu pun takut apabila dia tahu bahawa Paulus warganegara Roma, dan kerana dia sudah merantai Paulus. 30 Tetapi komandan itu hendak mengetahui alasan sebenar yang menyebabkan orang Yahudi menuduh Paulus. Oleh itu, keesokan harinya komandan itu memanggil ketua-ketua imam dan semua anggota Majlis Agama b” supaya berkumpul. Kemudian dia membuka rantai yang mengikat Paulus lalu menghadapkan Paulus kepada mereka semua.

Teropong:

v’ Semasa Paulus membela diri, orang ramai mendengar dengan tenang kerana dia banyak bercakap tentang harapan penyelamat orang Israel dan dia berbuat demikian mengikut konteks orang Yahudi. Walau bagaimanapun, apabila Paulus berkata dia diarahkan untuk meninggalkan Yerusalem dan pergi kepada orang-orang bukan Yahudi yang tidak ada kaitan dengan agama Yahudi, keberangan mereka tidak tertahan lagi. Bagi mereka, Paulus mengatakan bahawa orang-orang bukan Yahudi boleh dihampiri secara langsung dengan berita penyelamatan dari Allah tanpa perlu menjadi orang Yahudi terlebih dahulu. Menempatkan orang Yahudi dan orang bukan Yahudi pada kedudukan yang sama di hadapan Allah merupakan perkara yang tidak dapat dibayangkan bagi agama Yahudi. Itu merupakan perkara yang paling memurtadkan! Oleh itu, Paulus disuruh untuk berhenti berkata-kata dan orang ramai berteriak supaya dia dibunuh.
w’ Tiada sebab yang jelas mengapa hal ini dilakukan.
x’ Ini dilakukan bukan dengan batang kayu seperti di Filipi (16:22-24), tetapi dengan cemeti, alat seksaan yang kejam. Ia adalah perkara yang biasa dilakukan untuk mendapatkan maklumat dari seorang tahanan. Ia boleh digunakan untuk memaksa pengakuan dari hamba abdi atau orang asing tetapi bukan ke atas warganegara Roma. Cemeti itu diperbuat daripada dua utas tali dari kulit binatang yang diikat pada pemegang kayu, dan secebis tulang atau besi diikat pada hujungnya. Sekiranya seorang itu tidak mati dengan seksaan cemeti (hal itu kerap berlaku), dia akan lumpuh seumur hidup. Inilah alat yang digunakan untuk menyeksa Yesus sebelum Dia disalibkan.
y’ Seseorang akan diikat pada sebatang tiang untuk dicambuk.
z’ Menurut undang-undang Roma, semua warganegara Roma dikecualikan daripada hukuman yang memalukan: dipukul dengan kayu, cemeti, disalibkan. Mereka juga dikecualikan daripada pemeriksaan di bawah seksaan. Dalam hal sedemikian, mereka harus dijatuhkan tuduhan yang sah dahulu kemudian mereka harus dibicarakan di hadapan mahkamah Roma.
a” Terdapat tiga cara untuk mendapatkan kewarganegaraan Roma: (i) menerimanya sebagai kurniaan atas jasa kepada Roma, (ii) membelinya dengan harga yang tinggi. (iii) dilahirkan dalam keluarga yang telah menjadi warganegara Roma. Tiada siapa yang tahu bagaimana bapa atau moyang Paulus mendapat kewarganegaraan itu (rujuk kepada ‘Waganegara Roma’, ms. 37).
b” Majlis Agama dihormati oleh gabenor Roma. Gabenor Roma harus memberi keizinan terlebih dahulu untuk menjatuhkan hukuman berat ke atas seseorang, contohnya hukuman mati.

Copyright © 2026, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.