Bab 1 Lukas 1

Pendahuluan (ay. 1-4)

Tuan Teofilus a yang terhormat,
Banyak orang telah berusaha membuat laporan tentang peristiwa yang berlaku b di kalangan kami. 2Mereka menulis sesuai dengan apa yang diceritakan c kepada kami oleh mereka yang menyaksikan peristiwa itu dari permulaan dan kemudian mengisytihar berita itu. 3 Tetapi sekarang, Tuan Teofilus yang terhormat,d saya sendiri telah menyelidiki semua peristiwa itu dari permulaannya, maka ada baiknya saya juga menulis satu laporan yang teratur untuk tuan. 4 Saya berbuat demikian supaya tuan dapat tahu dengan selengkapnya bahawa apa yang telah diajarkan kepada tuan memang benar.

Teropong:

a ‘Teofilus’ bermaksud ‘seseorang yang mengasihi Allah’.
b Merujuk kepada nubuat di dalam Perjanjian Lama yang telah menjadi kenyataan.
c Frasa yang digunakan di dalam terjemahan lain ialah ‘disampaikan’. Frasa ini ialah sebuah istilah teknikal yang merujuk kepada pemberian maklumat yang dianggap berwibawa.
d Penggunaan istilah ‘terhormat’ mencadangkan Teofilus adalah seorang pegawai Roma ataupun seorang yang berada. Paulus juga menggunakan istilah ini untuk merujuk kepada Gabenor Feliks (Kisah Rasul-Rasul 24:2) dan Festus (Kisah Rasul-Rasul 26:25).

Kelahiran Yohanes Pembaptis Diumumkan (ay. 5-25)

5Ketika Herodes e menjadi raja negeri Yudea, f ada seorang imam bernama Zakharia. Dia termasuk golongan imam Abia. g Isterinya bernama Elisabet dan dia juga keturunan imam. 6 Kehidupan suami isteri itu menyenangkan hati Allah. Mereka mentaati semua hukum dan perintah Tuhan. 7 Mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul dan kedua-duanya sudah lanjut usia.
8 Pada suatu hari, Zakharia dan rakan-rakan segolongannya mendapat giliran untuk bertugas di Rumah Tuhan.h 9 Seperti biasa para imam membuang undi i dan Zakharia terpilih untuk masuk ke dalam Rumah Tuhan dan membakar kemenyan j di atas mazbah. 10 Sementara upacara pembakaran kemenyan berlangsung, orang ramai berdoa di luar. 11 Pada waktu itu malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Zakharia. Malaikat itu berdiri di sebelah kanan mazbah tempat membakar kemenyan. 12 Ketika Zakharia nampak malaikat itu, dia cemas dan takut. 13 Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Zakharia! Allah sudah mendengar doamu. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan dia Yohanes. k 14Engkau akan sangat bersukacita dan bergembira, dan banyak orang akan bersukacita apabila dia dilahirkan! 15 Dia akan menjadi orang besar di sisi Tuhan. Dia tidak boleh minum wain atau minuman keras. l Sejak di dalam rahim ibunya dia akan dikuasai oleh Roh Allah. 16 Dia akan memimpin banyak orang Israel kembali kepada Tuhan, Allah mereka. 17 Dia akan menjadi utusan Tuhan yang kuat dan berkuasa seperti Elia.m Dia akan mendamaikan bapa dengan anak, serta memimpin orang yang tidak taat kembali ke jalan fikiran yang benar. Dia juga akan mempersiapkan suatu umat untuk Tuhan.”
18 Zakharia berkata kepada malaikat itu, “Bagaimana aku boleh tahu bahawa perkara ini akan berlaku? Aku sudah tua dan isteriku pun sudah tua.”
19 Malaikat itu menjawab, “Aku ini Gabriel n yang sentiasa siap melakukan suruhan Allah. o Dia sendiri mengutus aku kepadamu supaya menyampaikan berita baik ini. 20 Apa yang aku katakan akan berlaku pada waktunya. Tetapi kerana engkau tidak percaya, engkau akan menjadi bisu sehingga apa yang aku katakan berlaku.”
21 Sementara itu, orang ramai sedang menantikan p Zakharia. Mereka hairan kerana dia begitu lama di dalam Rumah Tuhan. 22 Ketika Zakharia keluar, dia tidak dapat bercakap kepada mereka. Dia memberikan isyarat dengan tangan kerana dia bisu. Lalu orang di situ tahu bahawa Zakharia sudah nampak satu penglihatan di dalam Rumah Tuhan.
23 Setelah habis masa Zakharia bertugas di Rumah Tuhan, dia pulang ke rumah. 24 Tidak lama kemudian Elisabet, isterinya mengandung, dan dia tidak keluar dari rumah selama lima bulan. 25 Elisabet berkata, “Akhirnya Tuhan menolong aku. Dia telah menghapus keaibanku.” q

Teropong:

e Herodes yang dimaksudkan ialah Herodes Agung (rujuk ‘Keluarga Herodes Agung, ms. 7) yang memerintah pada 37 – 4 SM.
f Yudea merujuk kepada seluruh tanah Palestina (rujuk Peta di ms. 20). Selalunya Yudea merujuk kepada daerah selatan Palestina di mana terletaknya Yerusalem.
g Kedua-dua Zakharia dan Elisabet datang daripada keturunan keluarga imam. Mereka adalah keturunan Harun (saudara kepada Musa), Imam Agung pertama yang dipilih Allah. Bermula daripada pemerintahan Raja Daud, para imam dibahagikan kepada 24 kumpulan. Mereka bergilir-gilir untuk berkhidmat di dalam Rumah Allah selama seminggu, dua kali setahun. Abia merupakan salah seorang ketua di dalam keluarga imam.
h Rumah Tuhan ini terletak di dalam Yerusalem di mana orang Israel datang untuk menyembah Allah serta mem-persembahkan korban-korban mereka. Ia dibina oleh Herodes Agung (rujuk ‘Rumah Tuhan’, ms 10 ).
i Membuang undi adalah sebuah amalan lazim bagi kebanyakan bangsa pada waktu itu. Ia digunakan untuk menentukan kehendak Allah di dalam perkara-perkara khusus, walaupun kita tidak mengetahui kaedah buang undi yang mereka gunakan. Undi dibuang kerana terdapat jumlah imam melebihi tanggungjawab yang ada, ia dilakukan untuk menentukan siapa yang akan memikul tugasan tersebut.
j Salah satu daripada tanggungjawab seorang imam adalah untuk memastikan kemenyan sentiasa dibakar di atas mazbah di dalam Tempat Kudus. Ia terletak di hadapan langsir yang memisahkan Tempat Kudus daripada Tempat Maha Kudus (rujuk pelan Rumah Tuhan, ms. 11). Tempat Maha Kudus adalah ruang di mana kemuliaan Allah berada dan ia hanya boleh dimasuki oleh Imam Agung sekali di dalam setahun, pada Hari Pengampunan Dosa. Imam yang bertugas akan membakar kemenyan yang baru sebanyak dua kali; sebelum korban pagi dan selepas korban petang. Khidmat mempersembahkan kemenyan dianggap sebagai sebuah kehormatan yang besar. Seorang imam tidak dibenarkan untuk mempersembahkan kemenyan lebih dari sekali di dalam hidup. Ada juga yang tidak berkesempatan untuk melakukannya kerana bilangan imam yang terlalu ramai.
k Di dalam bahasa Ibrani, ‘Yohanes’ bermaksud ‘Allah Maha Pengasih’.
l Ada pendapat yang mengatakan bahawa Yohanes harus menjadi seorang Nazir kerana dia tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang minuman keras (rujuk Bilangan 6:1-4). Seorang Nazir ialah orang Israel yang mengkhaskan dirinya untuk Allah dan bernazar untuk berpantang (dari 30 hari hingga seumur hidup) bagi tujuan khidmat yang khusus. Tiga tanda utama seorang Nazir adalah: tidak mengambil minuman keras, tidak memotong rambut dan tidak menyentuh mayat. Tidak ada bukti-bukti yang jelas sekiranya Yohanes menjadi Nazir seumur hidup kerana tidak ada maklumat tentang rambutnya disertakan. Simson dan Samuel ialah mereka yang dicatatkan oleh Alkitab sebagai Nazir seumur hidup.
m Nabi Maleakhi bernubuat (Mal 4:5-6) bahawa Elia akan membawa orang tua dan anak-anak bersatu kembali serta menyediakan jalan bagi kedatangan Penyelamat. Yohanes bukanlah jelmaan jasmani Elia tetapi peranan beliau adalah untuk menggenapi nubuat tersebut dengan menjadi seperti Elia; dipenuhi oleh Roh dan kuasa Allah, menyediakan umat Allah bagi kedatangan Tuhan, Yesus sendiri.
n Nama ‘Gabriel’ boleh diertikan sebagai ‘Allah penyelamatku’ ataupun ‘orang kuat Allah’. Hanya dua malaikat yang dikenali dengan nama di dalam Alkitab: Gabriel (Da 8:16; 9:21) dan Mikhael (Da 10:13, 21; Yudas 9; Wahyu 12:7).
o Pangkat Gabriel sebagai seorang suruhan Allah menunjukkan martabat dan kepentingannya.
p Orang ramai menantikan Zakharia untuk keluar dan melafazkan berkat Harun (rujuk Bil 6:22-27).
q Orang Yahudi mempercayai bahawa sekiranya satu pasangan suami isteri tidak mempunyai cahaya mata, ia adalah suatu tanda tidak mendapat perkenan daripada Allah. Pasangan sedemikian dipandang rendah oleh masyarakat Yahudi.

Mari Fikir Sejenak:

  • Adakah seperti Zakharia, anda juga pernah tergoda untuk meragui Allah sama ada Dia akan menunaikan apa yang Dia janjikan di dalam Firman-Nya?
  • Tidak seperti Zakharia, bagaimanakah anda boleh mempercayai apa yang dikatakan oleh Allah?

Ayat Hafalan:

TUHAN setia kepada umat-Nya dan menepati janji-Nya; Dia berbelas kasihan dalam segala perbuatan-Nya. (Mazmur 145:13b)

Kelahiran Yesus Diumumkan (ay. 26-38)

26 Setelah Elisabet mengandung enam bulan, Allah mengutus malaikat Gabriel ke Nasaret, sebuah kota di negeri Galilea. 27 Gabriel membawa berita untuk seorang gadis bernama Maria. Dia telah bertunang r dengan seorang lelaki bernama Yusuf, keturunan Raja Daud. 28 Malaikat itu datang kepada Maria dan berkata, “Salam sejahtera, hai engkau yang sangat diberkati oleh Tuhan! Tuhan menyertai engkau!”
29 Maria gelisah mendengar kata-kata malaikat itu dan dia tertanya-tanya tentang makna salam itu. 30 Malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Maria, kerana Allah berkenan kepada engkau. 31 Engkau akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan Dia Yesus.s 32 Dia akan menjadi agung dan akan disebut Anak Allah Yang Maha Tinggi. t Tuhan Allah akan menjadikan Dia raja seperti Daud, u nenek moyang-Nya. 33 Dia akan memerintah sebagai raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan berakhir.”
34 Maria berkata kepada malaikat itu, “Aku masih dara. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?” v
35 Malaikat itu menjawab, “Roh Allah akan datang kepadamu, dan kuasa Allah akan menaungi engkau. Itulah sebabnya Anak yang akan lahir itu disebut Suci, Anak Allah. 36 Ketahuilah, sanakmu Elisabet yang dikatakan mandul, sudah mengandung enam bulan, walaupun umurnya sudah lanjut. 37 Bagi Allah tiada perkara yang mustahil.”
38 Maria berkata, “Aku hamba Tuhan; biarlah berlaku kepadaku seperti yang engkau katakan.” Lalu malaikat itu meninggalkan Maria.

Teropong:

r Pertunangan ataupun ikrar kahwin orang Yahudi lebih mengikat pada waktu itu jika dibandingkan dengan hari ini. Ia selalunya dilakukan setahun sebelum perkahwinan dan hanya boleh dipatahkan dengan penceraian.
s Nama ‘Yesus’ datang daripada nama Ibrani ‘Yosua’ yang bermaksud ‘TUHAN adalah keselamatan’ ataupun ‘TUHAN menyelamatkan’.
t Panggilan ini mempunyai dua maksud: (i) Anak ilahi Allah (ii) Penyelamat, Mesias. ‘Maha Tinggi’ adalah panggilan lazim yang digunakan untuk merujuk kepada Allah di dalam Perjanjian Lama dan Baru.
u Maria adalah keturunan Daud, begitu juga dengan Yusuf. Oleh itu, Yesus layak dipanggil anak ataupun keturunan Daud.
v Maria tidak bertanya di dalam ketidak-percayaan ataupun dengan ragu-ragu seperti Zakharia. Rujuk ayat 45. Dia hanya tertanya-tanya bagaimana ia akan terlaksana nanti.

Waktu untuk Berdoa:

Mahukah anda berhenti sejenak dan meminta Allah untuk memberikan anda hati dan sikap yang sama seperti Maria?

Maria Melawat Elisabet (ay. 39-56)

39 Tidak lama kemudian, Maria segera berangkat ke sebuah kota di Yudea, di kawasan pergunungan. 40 Dia pergi ke rumah Zakharia lalu memberikan salam kepada Elisabet. 41 Ketika Elisabet mendengar salam Maria, anak dalam kandungannya bergerak.w Elisabet dikuasai oleh Roh Allah, 42 lalu dia berseru, “Berbahagialah kamu antara semua wanita! Berbahagialah anak yang akan kamu lahirkan itu! 43 Mengapakah penghormatan yang sebesar ini diberikan kepadaku, sehingga ibu Tuhanku datang melawat aku? 44 Sebaik sahaja aku mendengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak kerana bersukacita. 45 Alangkah bahagianya kamu kerana percaya bahawa apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadamu akan berlaku!”
46 Maria berkata,x “Hatiku menyanjung Tuhan;
47 jiwaku bersukacita kerana Allah, Penyelamatku,
48 Dia ingat akan daku, hamba-Nya yang hina! Mulai sekarang semua orang akan mengatakan aku berbahagia,
49 kerana Allah Maha Kuasa sudah melakukan perkara yang besar untukku. Sucilah nama-Nya.
50 Dia merahmati orang yang menghormati-Nya, keturunan demi keturunan.
51 Dengan tangan-Nya y yang berkuasa Dia mencerai-beraikan mereka yang sombong, dan mengacaukan rancangan mereka.
52 Dia menurunkan raja dari takhta lalu meninggikan orang hina.
53 Dia memuaskan orang lapar dengan segala yang baik, tetapi orang kaya diusir-Nya sehingga pergi dengan berhampa tangan.
54 Dia menepati janji-Nya kepada nenek moyang kita; Dia datang untuk menyelamatkan Israel hamba-Nya.
55 Dia tidak lupa merahmati Abraham dan keturun-annya selama-lamanya!”
56 Maria tinggal dengan Elisabet kira-kira tiga bulan z lamanya, lalu pulang ke rumah.

Teropong:

w Versi lain menterjemahkan frasa ini sebagai “meloncat keriangan”. Dengan cara yang penuh misteri, Roh Kudus menghasilkan tindak balas luar biasa di dalam bayi yang masih belum lahir ini.
x Lagu pujian Maria dikenali sebagai ‘Magnificat’. Ini kerana di dalam Alkitab terjemahan bahasa Latin, lagu tersebut bermula dengan magnificat yang bermaksud ‘membesarkan’. Lagu ini adalah salah satu daripada empat lagu (ayat 68-79; 2:14; 2:29-32) yang telah dicatatkan di dalam Lukas Bab 1-2. Terdapat beberapa persamaan di antara lagu ini dan lagu yang dinyanyikan oleh Hana (1 Samuel 2:1-10).
y Ini adalah suatu kata bidalan untuk menunjukkan kekuasaan Allah. Allah tidak mempunyai tubuh kerana Dia adalah roh.
z Berkemungkinan besar Maria tinggal bersama dengan Elisabet sehingga kelahiran Yohanes sebelum dia kembali ke Nasaret.

Kelahiran Yohanes Pembaptis (ay. 57-80)

57Apabila tiba masanya Elisabet bersalin, dia melahirkan seorang anak lelaki. 58 Semua jiran dan sanak saudaranya mendengar betapa baiknya Tuhan terhadap Elisabet, dan mereka ikut bersukacita dengan dia.
59 Setelah bayi itu berumur lapan hari, mereka datang untuk menyunat a’ dia. Mereka hendak menamakan bayi itu Zakharia menurut nama bapanya.b’ 60 Tetapi ibunya berkata, “Jangan! Dia harus dinamakan Yohanes.”
61 Mereka berkata kepadanya, “Tetapi tidak seorang pun antara sanak saudaramu bernama begitu.” 62 Lalu dengan isyarat, mereka bertanya kepada bapa c’ bayi itu nama yang hendak diberikan kepada anaknya.
63 Zakharia meminta sebuah papan tulis d’ lalu menulis, “Namanya Yohanes.” Mereka semua hairan. 64 Pada masa itu juga Zakharia dapat bercakap semula lalu mula memuji-muji Allah. 65 Semua jirannya ketakutan dan berita ini tersebar ke seluruh pergunungan Yudea. 66 Semua orang yang mendengar perkara itu berkata dalam hati, “Anak ini tentu akan menjadi orang besar.” Mereka berkata demikian kerana nyata sekali kuasa Tuhan menyertainya.
67 Zakharia, bapa Yohanes, dikuasai oleh Roh Allah, e’ lalu menyampaikan berita daripada Allah. Dia berkata, f’
68 “Marilah kita memuji Tuhan, Allah bangsa Israel! Dia sudah datang untuk menyelamatkan umat-Nya dan membebaskan mereka.
69 Dia mengurniai kita Penyelamat yang berkuasa, seorang keturunan Daud, hamba-Nya.
70 Dahulu kala melalui nabi-nabi yang dipilih-Nya, Tuhan telah berjanji
71 akan menyelamatkan kita daripada musuh, dan daripada kuasa orang yang membenci kita.
72 Dia berjanji akan merahmati nenek moyang kita, serta ingat akan janji-Nya yang suci itu.
73 Dia bersumpah kepada nenek moyang kita Abraham, dan berjanji akan menyelamatkan kita daripada musuh, serta membolehkan kita mengabdikan diri kepada-Nya tanpa takut,
74 (1:73)
75 supaya kita menjadi suci dan menyenangkan hati-Nya sepanjang hidup kita.
76 Engkau, hai anakku, akan disebut nabi Allah Yang Maha Tinggi. g’ Engkau diutus terlebih dahulu daripada Tuhan supaya merintis jalan untuk-Nya,
77 supaya memberitahu umat-Nya bahawa mereka akan diselamatkan, apabila Allah mengampunkan dosa mereka.
78 Allah kita pengasih dan penyayang. Bagi menyelamatkan kita Dia akan datang bagaikan fajar terang yang menyinari semua orang yang hidup dalam kegelapan dan di bawah bayang maut. h’ Dia akan memimpin kita ke jalan yang menuju kedamaian.”
79 (1:78)
80 Anak Zakharia membesar dan semakin kuat kerohaniannya. Dia tinggal di padang guruni’ sehingga tiba masanya dia menampilkan diri kepada umat Israel.

Teropong:

a’ Menurut hukum adat Yahudi, anak lelaki harus disunat pada hari kelapan bermula dari kelahirannya (Kejadian 17:11-12; Imamat 12:3). Amalan bersunat diterapkan oleh Allah sebagai tanda bagi perjanjian di antara diri-Nya dan Abraham serta keturunan beliau bahawa Dia akan menjadi Tuhan mereka dan mereka akan menjadi umat-Nya.
b’ Amalan ini diterima umum pada waktu tersebut.
c’ Oleh kerana teruja, mereka terlupa bahawa Zakharia hanya bisu, bukan pekak. Penjelasan sampingan yang boleh dipertimbangkan adalah perkataan yang digunakan untuk menjelaskan kejadian yang menimpa Zakharia di ayat 22 boleh diertikan sebagai ‘pekak dan bisu’.
d’ Papan tulis ini mungkin adalah sebuah kepingan kayu yang diselaputi lilin.
e’ Kedua-dua Zakharia dan Elisabet dipenuhi oleh Roh Allah oleh itu mereka dimampukan untuk meluahkan diri di dalam lagu dan nubuat (menyampaikan pesanan Allah untuk detik tersebut dan juga di masa hadapan), tindakan yang tidak selalunya mereka lakukan.
f’ Lagu pujian Zakharia dikenali sebagai ‘Benedictus’, sempena perkataan ‘diberkati’ di dalam Alkitab bahasa Latin. Lagu Magnificat Maria lebih menyerupai Mazmur manakala Benedictus milik Zakharia lebih menyerupai sebuah nubuat.
g’ Yohanes akan dikenali sebagai nabi kepada Allah yang Maha Tinggi, manakala Yesus akan dipanggil Anak Allah yang Maha Tinggi.
h’ Oleh kerana belas kasihan Allah, keselamatannya juga ditawarkan kepada mereka yang bukan sebahagian daripada Israel dan sesat (di dalam kegelapan).
i’ Padang gurun ini terletak di antara Yerusalem dan Laut Mati (rujuk ‘Peta Palestina’, ms. 20). Kemungkinan besar ibu bapa Yohanes, yang telah berumur sewaktu dia dilahirkan, meninggal dunia ketika dia masih kecil. Dia kemudian membesar di padang gurun. Yohanes berada dalam lingkungan 30 tahun ketika dia memulakan pelayanannya, berkhotbah tentang pertaubatan dan mengumumkan ketibaan Mesias (rujuk 3:23 – jurang umur di antara Yesus dan Yohanes adalah lebih kurang enam bulan).

Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.