Bab 12 Lukas 12

Amaran untuk Orang Munafik (ay. 1-12)

Sedang beribu-ribu orang berasak-asak sehingga kaki mereka saling terpijak, mula-mula Yesus berkata kepada para pengikut-Nya, “Berhati-hatilah dengan ragia orang Farisi, maksud-Ku kemunafikanb mereka. 2Apa yang tersembunyi akan dinyatakan dan tiap-tiap rahsia akan didedahkanc. 3Apa yang kamu ucapkan pada waktu malam akan terdengar pada siang hari dan apa yang kamu bisikkan di telinga orang di dalam bilik yang tertutupd akan diumumkan dari atas rumah.”
4 “Ingatlah, sahabat-sahabat-Ku! Janganlah takut akan mereka yang mengambil nyawa, tetapi kemudian tidak berkuasa berbuat apa-apa lagi. 5Biarlah Aku tunjukkan siapa yang mesti kamu takuti. Takutlahe akan Allah, kerana Dia berkuasa mengambil nyawa orang, dan Dia juga berkuasa membuang orang itu ke dalam neraka! f Percayalah, Allah yang harus kamu takuti!
6Bukankah lima ekor burung pipit dijual seharga dua sen? g Meskipun demikian tidak seekor pun dilupakan oleh Allah. 7Sebenarnya rambut di kepala kamu pun telah dihitung semuanya. Oleh itu, janganlah takut kerana bagi Allah kamu lebih berharga daripada burung pipit!”
8 “Ingatlah bahawa sesiapa yang mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, akan diakui juga oleh Anak Manusia di hadapan malaikat-malaikat Allah. 9Tetapi sesiapa yang tidak mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, akan tidak diakui juga oleh Anak Manusia di hadapan malaikat-malaikat Allah.
10Sesiapa yang menentang Anak Manusia dengan kata-katanya, dapat diampuni; tetapi sesiapa yang mengkufuri h Roh Allah tidak dapat diampuni.
11Apabila kamu didakwa di rumah ibadat atau di hadapan gabenor atau penguasa, janganlah khuatir tentang bagaimana kamu harus membela diri atau apa yang harus kamu katakan.
12Roh Allah akan mengajar kamu apa yang harus kamu katakan pada waktu itu.”

Teropong:

a Secara umumnya, ragi ditulis sebagai lambang kejahatan dan penyalah-lakuan di dalam Perjanjian Baru. Metafora yang digunakan di sini adalah tentang bilangan ragi yang kecil tetapi mampu menapaikan sebuah adunan roti yang besar. Ia bertindak balas dengan perlahan tetapi penuh bahaya sewaktu menembusi keseluruhan adunan.
b Di dalam bab yang ke-11, kita melihat Yesus memarahi orang Farisi kerana kehipokritan mereka. Mereka menekankan aspek luaran di dalam keagamaan mereka tanpa mempunyai hati yang tulus kepada Allah. Yesus memberikan amaran kepada para murid-Nya supaya melawan kemunafikan mereka yang seperti ragi, mampu menular secara perlahan-lahan dan mempengaruhi orang lain untuk mempunyai tingkah laku yang sama.
c Maksudnya adalah tidak ada benda yang tersembunyi walaupun kemunafikan tidak dapat diketahui.
d Versi lain menterjemahkannya sebagai ‘bilik dalaman’. Ia merujuk kepada bilik setor di dalam rumah yang dikeli-lingi oleh bilik-bilik lain supaya ia tidak dapat dimasuki dari luar.
e ‘Takutlah akan Allah’ bermaksud untuk menghormati kuasa-Nya, untuk berdiri di dalam kekaguman akan keagungan-Nya dan mempercayai Dia. Di dalam ayat 6-7, Yesus memberikan asas kepada kepercayaan ini.
f ‘Neraka’ di sini adalah terjemahan daripada perkataan ‘Gehenna’. Ia tidak seharusnya disalah-anggap sebagai ‘Hades’ yang juga diterjemahkan sebagai neraka. Perjanjian Baru membezakan Hades sebagai nama umum untuk tempat orang yang telah meninggal dunia manakala Gehenna sebagai tempat bagi hukuman terakhir untuk orang-orang jahat (rujuk Bab 16, nota w).
g Di dalam Alkitab, terdapat tiga jenis duit syiling Roma yang disebut: dinar (selaras dengan gaji harian seorang buruh), as (assarion di dalam bahasa Yunani; 16 as bersamaan dengan satu dinar) dan quadran (empat quadran bersamaan dengan satu as). Quadran adalah matawang terkecil Roma, mungkin serupa dengan satu sen pada hari ini. Duit syiling yang disebut di sini adalah as. Maksud Yesus adalah jika Allah prihatin terhadap burung yang paling umum dan murah, Dia pasti lebih prihatin terhadap umat-Nya.
h Kebanyakan terjemahan mempunyai perkataan ‘kufur’. Yesus mengatakan bahawa ada dosa yang terlalu serius sehinggakan ia tidak boleh diampunkan. Dosa melawan Yesus boleh diampunkan kerana sebagai Anak Manusia, kemuliaan-Nya belum diperlihatkan dengan sempurna. Mereka mungkin melihat-Nya sebagai seorang manusia biasa dan gagal untuk menyedari ketuhanan Yesus. Akan tetapi, tindakan menghujat Roh Allah bukan sahaja meluahkan kata-kata yang keji tetapi ia melibatkan sikap seseorang terhadap Allah, memanggil-Nya jahat dan datang daripada Iblis, contohnya dalam konflik Beelzebul. Mereka yang melakukan dosa tersebut adalah mereka yang telah mengeraskah hati terhadap Allah. Sikap demikian yang berterusan tanpa pertaubatan adalah dosa mutlak di mata Allah.

Perumpamaan tentang Hartawan yang Bodoh (ay. 13-21)

13 Seorang daripada orang ramai berkata kepada Yesus, “Guru, suruhlah saudara saya berikan sebahagian daripada harta peninggalani bapa kami kepada saya.”
14 Yesus berkata kepadanya, “Saudara, siapa memberikan kuasa kepada-Ku untuk menjadi hakim, ataupun membahagikan harta antara kamu berdua?” 15Seterusnya Yesus berkata kepada mereka semua, “Berjaga-jagalah dan berwaspadalah! Janganlah tamak! Hidup seseorang tidak terdiri daripada kekayaannya, walaupun hartanya banyak sekali.”
16Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, “Seorang hartawan mempunyai tanah yang menghasilkan tuaian yang banyak. 17Dia mula berfikir dalam hati, ‘Aku tidak mempunyai tempat untuk menyimpan segala hasil tanahku. Apakah yang harus aku lakukan?’ 18 ‘Inilah yang akan aku lakukan,’ katanya kepada dirinya sendiri, ‘Aku akan merombak gudang-gudangku lalu mendirikan yang lebih besar. Dengan demikian aku dapat menyimpan hasil tanahku dan segala hartaku yang lain di situ. 19Setelah itu barulah aku berkata kepada diriku sendiri, kamu sungguh bertuah! Kamu mempunyai segala yang baik bagi keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup! Makan, minum, dan bersukacitalah!’ 20Tetapi Allah berkata kepadanya, ‘Hai bodoh! j Malam ini juga engkau mesti menyerahkan nyawamu! Lalu siapakah yang akan mendapat segala harta yang telah engkau kumpulkan untuk dirimu sendiri itu?’”
21Lalu Yesus mengakhiri cerita-Nya dengan berkata, “Demikianlah halnya dengan orang yang mengumpulkan harta untuk diri sendiri, padahal tidak kaya di sisi Allah. “

Teropong:

i Menurut Hukum Taurat (Ul 21:17), anak lelaki sulung akan mendapat dua kali ganda bahagian daripada anak lelaki yang lebih muda. Para rabbi akan dipanggil untuk membuat keputusan apabila berlakunya ketidak-setujuan. Lelaki tersebut meminta Yesus untuk masuk campur di pihaknya. Akan tetapi, Yesus enggan untuk terlibat. Dia lebih prihatin terhadap sikap mereka yang terlibat, dan bukannya apa yang mereka akan peroleh. Yesus membalas dengan sebuah perumpamaan tentang akibat ketamakan.
j Perkataan ini adalah perkataan yang sangat keras. Ia digunakan dengan fahaman Perjanjian Lama apabila seorang menolak tentang Allah dan jalan-Nya sebagai asas kehidupan.

Mari Fikir Sejenak:

  • Adakah hidup anda hanya ‘makan, minum dan bergembira’?
  • Daripada terlalu memberikan perhatian terhadap keperluan sendiri, fikirkan cara bagi anda untuk menjadi kaya kepada Allah dan tuliskannya di bawah.

Yesus Mengajar tentang Mencari Allah (ay. 22-34)

22Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu: Janganlah khuatir tentang hidup kamu, tentang apa yang akan kamu makan, atau apa yang akan kamu pakai. 23Hidup itu lebih berharga daripada makanan, dan tubuh lebih berharga daripada pakaian. 24Perhatikanlah burung gagakk yang tidak menanam benih, tidak menuai tuaian dan tidak mempunyai gudang atau jelapang, tetapi dipelihara oleh Allah! Kamu jauh lebih berharga daripada burung! 25Siapakah antara kamu yang dengan kekhuatiran dapat memanjangkan umur walaupun sedikit? 26Jika kamu tidak dapat menguasai perkara sekecil itu, mengapa kamu khuatir akan perkara-perkara lain? 27Lihatlah bunga bakung yang tumbuh di padang; bunga itu tidak bekerja dan tidak menenun. Tetapi ketahuilah, Raja Salomo dengan segala kekayaannya tidak berpakaian seindah bunga itu! 28Jika Allah menghiasi rumput di padang yang ada pada hari ini tetapi keesokan harinya dibakar di dapur, tidakkah Dia akan memastikan kamu berpakaian? Alangkah lemahnya iman kamu!
29Oleh itu, janganlah khuatir dan janganlah selalu fikirkan apa yang hendak kamu makan dan minum. 30(Orang yang tidak mengenal Allahl selalu memikirkan hal-hal itu.) Bapa kamu tahu bahawa kamu memerlukan semua itu. 31Sebaliknya, utamakanlah Pemerintahan Allah dengan melakukan apa yang dikehendaki oleh Allah, maka semua itu akan diberikan oleh Allah kepada kamu.”
32 “Janganlah takut, hai kamu yang kecil bilangan, kerana Bapa kamu berkenan membenarkan kamu menikmati Pemerintahan-Nya. 33Juallah segala milik kamu, dan berikan wangnya kepada orang miskin. Bagi diri kamu, buatlah dompet yang tidak dapat rosak dan simpanlah harta kamu di syurga. Di situ harta kamu tidak akan berkurang, kerana pencuri tidak dapat masuk dan gegat tidak dapat merosak-kannya. 34Lakukanlah hal itu, kerana perhatian kamu sentiasa tertumpu kepada harta kamu.”

Teropong:

k Burung gagak mungkin digunakan untuk mewakili burung-burung yang tidak suci dan tidak layak untuk mendapat penjagaan Allah. Bahkan mereka tidak mampu untuk mengambil langkah berjaga-jaga di dalam menyimpan bekalan makanan mereka. Tetapi Yesus mengatakan bahawa Allah prihatin kepada burung-burung yang lang-sung tidak dipandang oleh manusia. Maksudnya adalah jika Allah menjaga burung-burung sedemikian, Dia pasti menjaga umat-Nya kerana mereka jauh lebih berharga.
l Ia merujuk kepada dunia orang bukan Yahudi yang tidak mengenal Allah.

Mari Fikir Sejenak:

  • Adakah anda mempunyai banyak kerisauan di dalam hidup, masa depan dan keperluan anda…? Senaraikan beberapa perkara yang anda risaukan di bawah.

Suatu Pegangan Hidup:

Yesus berkata bahawa Allah mengetahui semua keperluan anda. Letakkan hati anda di tempat yang tepat terlebih dahulu – pentingkan perkara yang menyenangkan Dia – dan percayalah bahawa Dia akan mencukupkan keperluan anda.

Waktu Untuk Berdoa:

Bawalah setiap kerisauan anda kepada Allah dan mintalah Dia untuk membantu anda mempercayai bahawa Dia akan mencukupkan keperluan anda.

Perumpamaan Hamba yang Setia dan Hamba yang Tidak Setia (ay. 35-48)

35 “Bersiap-siaplahm untuk menghadapi apa sahaja. Kamu harus sentiasa siap sedia dengan pelita yang menyala. 36Hendaklah kamu seperti hamba yang sedang menantikan tuan mereka balik daripada jamuan perkahwinan. Apabila tuan itu balik dan mengetuk pintu, dengan segera mereka akan membuka pintu. 37Alangkah bahagianya hamba-hamba yang didapati berjaga dan siap sedia ketika tuan mereka kembali! Percayalah, tuan itu akan menanggalkan jubah, dan menyuruh hamba-hambanya duduk lalu melayani mereka. 38Alangkah bahagianya hamba-hamba itu jika didapati bersiap sedia, meskipun tuan mereka balik pada tengah malamn atau lebih lambat lagi! 39Ingatlah! Jika tuan rumah mengetahui saatnya pencuri akan datang, dia tidak akan membiarkan pencuri masuk ke dalam rumahnya. 40Kamu pun harus sentiasa bersiap sedia, kerana Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.” 41 Petrus bertanya, “Adakah Tuhan menujukan perumpamaan ini kepada kamio atau kepada semua orang?”
42 Tuhan menjawab, “Siapakah hamba yang setia dan bijak? p Dialah orang yang ditunjuk oleh tuannya menjadi pengurus rumah tangganya. Tuannya juga menyuruh dia memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktu yang ditentukan. 43Alangkah bahagianya orang yang didapati sedang menjalankan tugas apabila tuannya kembali!
44 Ketahuilah bahawa tuan itu akan mempercayakan segala hartanya kepada hamba itu.
45 Tetapi jika hamba itu berkata dalam hati, ‘Masih lama lagi tuan saya akan kembali.’ Lalu dia mula memukul semua hamba yang lain, baik lelaki mahupun wanita, dan dia makan minum sehingga mabuk. 46 Pada hari dan masa yang tidak diduganya, tuannya kembali. Tuan itu akan mencencang q hambanya dan membiarkan dia merasai nasib orang yang tidak taat kepada Allah.
47Hamba yang mengetahui kehendak tuannya, tetapi tidak bersiap sedia untuk melakukan kehendak tuannya, akan disebat dengan keras. 48Tetapi hamba yang tidak mengetahui kehendak tuannya, lalu melakukan sesuatu yang salah sehingga dia mesti disebat, akan disebat dengan ringan sahaja. Kepada orang yang telah diberikan banyak, daripadanya akan dituntut banyak juga. Orang yang telah diberikan lebih banyak, daripadanya akan dituntut lebih banyak juga.”

Teropong:

m Ini melibatkan mereka memasukkan jubah yang panjang ke dalam tali pinggang ataupun sash yang dipakai. Ia dilakukan sebagai persediaan untuk berjalan, bekerja ataupun berlawan.
n Terjemahan tradisional mempunyai ‘suku kedua dan ketiga waktu malam’. Waktu malam dibahagikan kepada empat bahagian bagi orang Roma dan tiga bahagian bagi orang Yahudi. Jangka masa 12 jam untuk waktu malam bermula apabila matahari terbenam dan berakhir apabila matahari terbit keesokan harinya. Pesta mungkin bermula pada suku malam yang pertama. Yesus mungkin berkata-kata tentang hamba yang berjaga di sepanjang malam untuk kedatangan tuannya.
o Yesus menggunakan perumpamaan apabila mengajar orang ramai tetapi Dia akan menggunakan cara yang lebih jelas apabila mengajar murid-murid-Nya. Akan tetapi, Dia tidak memberikan amaran untuk berjaga khusus kepada para murid-Nya sahaja.
p Sesetengah terjemahan menggunakan ‘pengurus’ ataupun ‘pengelola’. Pengelola selalunya adalah seorang hamba yang diberikan tanggungjawab untuk mengurus estet tuannya.
q Ini bermaksud yang dia akan dihukum dengan dahsyat ataupun dia akan dihalau keluar ke tempat di mana orang yang tidak mempercayai Yesus akan berakhir.

Yesus Datang untuk Memisah-misahkan (ay. 49-53)

49 “Aku datang untuk membawa hukuman Allah yang seperti apir akan membakar penduduk bumi. Alangkah baiknya jika api itu sudah menyala! 50Masih ada penderitaan berats yang mesti Aku alami. Alangkah resahnya hati-Ku selagi perkara itu belum berakhir! 51Adakah kamu menyangka Aku datang ke dunia ini untuk membawa kedamaian? Tidak, bukan kedamaian, tetapi perpecahan. t 52Mulai dari sekarang, keluarga yang terdiri daripada lima orang akan berlawanan: tiga lawan dua dan dua lawan tiga. 53Bapa akan melawan anak lelaki dan anak lelaki akan melawan bapa. Ibu akan melawan anak perempuan dan anak perempuan akan melawan ibu. Ibu mentua akan melawan menantu perempuan dan menantu perempuan akan melawan ibu mentua.”

Teropong:

r Istilah ‘api’ mungkin merujuk kepada penghakiman. Yesus mengatakan bahawa rancangan Allah untuk umat manusia adalah keselamatan yang melibatkan penghakiman. Tetapi penghakiman tersebut akan ditanggung oleh Penyelamat untuk orang lain, bukan sesuatu yang akan dikenakan-Nya ke atas mereka. Dia menginginkan perkara tersebut untuk terjadi kerana hanya melalui itu sajalah rancangan Allah untuk umat-Nya akan terlaksana.
s Baptisan ini merujuk kepada penderitaan yang akan ditampung Yesus di atas kayu salib. Bayang-bayang salib dan kematian-Nya akan menyelubungi-Nya. Ia adalah sebuah pengorbanan yang besar dari pihak Yesus – kerana itulah ia menjadikan Yesus sangat tertekan.
t Yesus sememangnya membawa pendamaian: damai bersama Allah yang mendalam membawa kepada damai bersama umat manusia. Akan tetapi, pesanan Yesus juga membawa perbalahan. Ini kerana salib mencabar manusia untuk membuat keputusan. Mereka yang memilih untuk menolaknya akan menolak golongan yang menerimanya. Ia akan membawa kepada pemisahan bahkan dalam sesebuah keluarga.

Mengenali Tanda Zaman (ay. 54-59)

54 Yesus juga berkata kepada orang ramai, “Apabila kamu melihat awan naik di sebelah barat, u dengan segera kamu berkata, ‘Hari akan hujan,’ dan benar-benar hari hujan.
55Apabila kamu berasa angin selatan bertiup, kamu berkata, ‘Hari akan panas,’ dan benar- benar hari panas. 56Hai orang munafik! Kamu dapat meramal cuacav dengan melihat tanda-tanda di langit dan di bumi, tetapi mengapakah kamu tidak dapat memahami tanda zaman ini?”
57 “Mengapakah kamu tidak membuat keputusan sendiri tentang apa yang benar? 58Jika ada orang hendak mendakwa kamu di mahkamah, berusahalah sebaik-baiknya untuk menyelesaikan perkara itu sebelum kamu tiba di mahkamah. Jika tidak, orang itu akan menyeret kamu ke hadapan hakim, lalu hakim akan menyerahkan kamu kepada polis, dan polis akan memasukkan kamu ke dalam penjara. 59Percayalah, kamu tidak akan keluar dari penjara sebelum kamu membayar dendaw kamu.”

Teropong:

uAngin dari barat datang dari Laut Tengah. Angin dari selatan datang dari padang gurun.
v Walaupun mereka mampu meramal cuaca dengan mengkaji tanda-tanda seperti angin, mereka tidak mampu mengenali tanda-tanda daripada Allah berkenaan dengan kedatangan Mesias.
w Ini adalah matawang terkecil Yahudi; lepton. Dua lepton bersamaan dengan satu quadran Roma.

Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.