Bab 14 Lukas 14

Yesus Menyembuhkan Seorang Sakit (ay. 1-6)

1Pada suatu hari Sabat,a Yesus pergi makan di rumah seorang Farisib yang terkenal. Orang di situ memerhati Yesus. 2Lalu seorang lelaki yang bengkakc kaki dan lengannya datang kepada Yesus. 3Yesus bertanya kepada semua guru Taurat dan orang Farisi di situ, “Adakah Taurat membenarkan kita menyembuhkan orang sakit pada hari Sabat?”d
4Mereka tidak mahu berkata apa-apa.e Lalu Yesus memanggil orang itu dan menyembuhkan dia, kemudian menyuruh dia pergi. 5Setelah itu Yesus berkata kepada mereka, “Jika seorang di antara kamu mempunyai anak lelaki atau lembu yang jatuh ke dalam perigi pada hari Sabat, tidakkah kamu akan menariknya keluar pada hari itu juga?”f
6Mereka tidak dapat menjawab Yesus tentang hal itu.

Teropong:

a Lukas mencatatkan lima daripada tujuh keajaiban yang dilakukan oleh Yesus pada hari Sabat (4:31; 4:38; 6:6; 13:14; 14:1). Yang selebihnya terdapat di dalam Injil Yohanes.
b Lelaki ini mungkin adalah salah seorang ahli Majlis Agama. Hidangan Sabat disediakan sehari sebelum Sabat menjelang.
c Sesetengah versi menterjemahkan penyakit ini sebagai ‘busung air’, satu penyakit di mana tubuh badan menjadi bengkak kerana dipenuhi dengan cecair badan.
d Sama seperti kes lelaki dengan tangan yang cacat (6:9), Yesus mengambil inisiatif untuk mengalihkan beban bukti kepada para pembangkang dengan bertanya kepada mereka adakah Taurat membenarkan mereka menyembuhkan orang sakit pada hari Sabat.
e Jika mereka tidak bersetuju orang ramai akan menuduh mereka tidak kisah akan penderitaan manusia, walaupun di dalam kes ini, tidak ada nyawa yang diancam. Oleh kerana itulah mereka berdiam diri.
f Yesus kemudian mempertahankan tindakan-Nya dengan merujuk kepada budaya Yahudi untuk melayan haiwan ternakan dengan baik. Jika mereka tidak membiarkan haiwan ternakan untuk menderita apabila terjatuh ke dalam perigi meskipun ia terjadi pada hari Sabat, mengapakah mereka membiarkan seorang manusia untuk menderita di dalam penyakitnya? Apabila dicabar, mereka terperangkap dan tidak mempunyai jawapan untuk diberikan.

Perumpamaan tentang Perjamuan Perkahwinan (ay. 7-14)

7Yesus memperhatikan beberapa orang tetamu yang memilih tempat terbaik.g Oleh itu Dia menceritakan perumpamaan ini kepada mereka semua. 8Dia berkata, “Jika seseorang menjemput kamu ke majlis perkahwinan, janganlah duduk di tempat yang terbaik. Mungkin ada orang yang lebih penting daripada kamu telah dijemput juga. 9Lalu tuan rumah yang telah menjemput kamu berdua datang kepadamu dan berkata, ‘Maaf, tempat ini telah disediakan untuk dia. ’ Tidakkah kamu akan berasa malu, lalu terpaksa duduk di tempat yang paling belakang? 10Oleh itu apabila kamu dijemput, pergilah duduk di tempat yang paling belakang, supaya tuan rumah akan datang dan berkata kepadamu, ‘Marilah saudara, duduklah di tempat yang lebih baik.’ Lalu kamu akan dihormati di hadapan semua tetamu lain. 11Orang yang meninggikan diri akan direndahkan, tetapi orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.”
12Kemudian Yesus berkata pula kepada tuan rumah, “Apabila kamu menjemput orang makan siang atau makan malam, janganlah jemput sahabat, atau saudara, atau sanak keluarga, ataupun jiranmu yang kaya. Kelak mereka akan menjemput kamu pula dan dengan demikian kamu menerima balasan perbuatan-mu. 13Tetapi apabila kamu menjamu orang, jemputlah orang miskin, orang lumpuh, orang tempang, dan orang buta. 14Kamu akan diberkati kerana mereka tidak dapat membalas kebaikanmu. Kebaikanmu akan dibalas oleh Allah pada waktu orang baik dibangkitkan daripada kematian.”

Teropong:

g Perabot asas di dalam sebuah pesta makan adalah sofa untuk tiga orang. Kerusi sofa tersebut akan disusun dalam bentuk U. Tetamu akan bersandar di atas siku kiri mereka. Tempat terbaik adalah tempat duduk di tengah-tengah sofa yang membentuk lencongan U. Tempat kedua dan ketiga terbaik adalah yang berada di sebelah kiri tetamu khas. Jika seorang tetamu penting datang lewat, orang yang duduk di tempat tersebut terpaksa dipindahkan untuknya. Pada pesta ini, terdapat kekucar-kaciran di dalam mendapatkan tempat terbaik dan Yesus memberikan komen-Nya.

Mari Fikir Sejenak:

  • Pernahkah anda mendapati diri mencuba untuk tampil lebih penting daripada orang lain?
  • Bagaimanakah anda boleh mempelajari untuk mempunyai sikap yang lebih rendah diri, terutama sekali kepada mereka yang anda tidak sukai?

Ayat Hafalan:

Janganlah lakukan sesuatu bagi kepentingan diri sendiri, atau kerana hendak menyombongkan diri. Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri sendiri. Utamakan kepentingan orang lain, jangan hanya kepentingan diri sendiri.
(Filipi 2:3-4)

Perumpamaan tentang Perjamuan Besar (ay. 15-24)

15Salah seorang yang duduk bersama-sama Yesus mendengar kata-kata-Nya. Dia berkata kepada Yesus, “Alangkah bahagianya mereka yang akan dijamu oleh Allah di Dunia Baru Allah!”h
16Yesus berkata kepada orang itu,i “Ada seorang yang sedang mengadakan jamuan besar. Dia menjemput banyak orang. 17Apabila tiba masanya perjamuan itu dimulakan, dia mengutus hambanya kepada semua tetamu dengan jemputan, ‘Marilah, semuanya sudah siap!’j 18Tetapi, seorang demi seorang mula memberikan alasan. Yang pertama berkata kepada hamba itu, ‘Aku baru membeli sebidang tanah dan perlu memeriksanya.k Maafkanlah aku.’ 19Yang lain berkata, ‘Aku baru membeli lima pasang lembu dan hendak mencubal haiwan itu. Maafkanlah aku.’ 20Yang lain pula berkata, ‘Aku baru sahaja berkahwin; itulah sebabnya aku tidak dapat datang.’ 21Hamba itu pulang dan memberitahu tuannya segala perkara itu. Tuan itu sangat marah, lalu berkata kepada hambanya, ‘Cepatlah pergi ke jalan dan lorong di kota.m Jemput orang miskin, orang lumpuh, orang buta, dan orang tempang.’ 22Kemudian hamba itu berkata, ‘Tuan, perintah tuan sudah dijalankan, tetapi masih banyak tempat yang kosong.’ 23Lalu tuan itu berkata kepada hambanya, ‘Pergilah ke jalan dan lorong di luar kota, dan suruh semua orang datangn supaya rumahku penuh. 24Ketahuilah, tidak seorang pun daripada tetamu yang aku jemput itu akan menikmati perjamuanku!’”o

Teropong:

h Pesta ini merujuk kepada pesta makan yang akan disambut bersama dengan Mesias di syurga. Lelaki tersebut memberikan komen kepada Yesus tentang Hari Kebangkitan (ay. 14). Orang Yahudi mempercayai bahawa akan ada satu pesta makan yang akan diraihkan pada hari tersebut. Dia mungkin beranggapan bahawa dirinya dan juga rakan-rakannya termasuk di dalam senarai mereka yang diberkati untuk makan bersama pada perayaan tersebut.
i Yesus menggunakan komen lelaki ini untuk mengaitkan sebuah perumpamaan yang memberikan amaran bahawa bukan semua orang akan memasuki Kerajaan Allah. Semua tetamu di meja tersebut boleh memahami perumpamaan tersebut kerana ia berkaitan dengan satu pesta makan malam yang terbuka kepada orang ramai.
j Pada waktu itu, jam dan pengukur masa masih belum dicipta. Oleh itu, susunan masa adalah lebih lentur. Persiapan untuk sebuah pesta memerlukan masa yang lama dan jemputan kedua adalah normal. Jemputan asal pasti telah diterima. Menurut kebiasaan orang Yahudi, jemputan terakhir bermaksud bahawa pesta sudah sedia. Apabila jemputan ini diberikan, perkara lain akan menjadi lebih penting. Semua alasan yang diberikan adalah tidak benar.
k Orang ini mungkin sangat kaya. Seorang petani ataupun pemilik tanah tidak mungkin akan membeli sebidang tanah tanpa memeriksanya terlebih dahulu. Oleh itu, apa yang diberikan hanyalah sebuah alasan.
l Lima pasang kerbau diperlukan untuk mengerjakan sebuah ladang yang berukuran seratus ekar. Ini bermaksud, lelaki tersebut adalah agak kaya. Selalunya, orang biasa tidak akan membeli kerbau tanpa mencubanya terlebih dahulu.
m ‘Jalan’ adalah jalan besar yang digunakan oleh orang ramai, manakala ‘lorong’ pula adalah laluan kecil di mana golongan yang dipinggirkan oleh masyarakat boleh dijumpai. Yesus meminta tuan rumah untuk menjemput tetamu daripada tempat-tempat ini (ayat 13).
n Ini bukan bermaksud bahawa hamba tersebut harus menggunakan paksaan. Apa yang dimaksudkan adalah, hanya mereka yang miskin dan tidak suci akan tinggal di luar tembok kota. Golongan ini memerlukan usaha yang banyak untuk diyakinkan bahawa mereka benar-benar dijemput. Ini kerana mereka tidak mampu untuk menyediakan pesta sedemikian untuk menjemput kembali tuan rumah tersebut. Mereka juga datang daripada kelas sosial yang berlainan.
o Perumpamaan tersebut berakhir dengan amaran suram bahawa tidak ada peluang kedua bagi mereka yang telah mendapat jemputan pertama tetapi enggan untuk bertandang. Walaupun Yesus tidak mentafsirkan perumpamaan ini, tafsiran umum adalah Dia mungkin sedang memberikan amaran kepada orang Yahudi berkenaan dengan penolakan mereka untuk menerima jemputan Allah. Ia mungkin mengakibatkan Allah untuk menolak mereka dan menjemput orang bukan Yahudi.

Pengorbanan Seorang Pengikut (ay. 25-35)

25Orang ramai berjalan bersama-sama Yesus; Dia berpaling dan berkata kepada mereka, 26“Sesiapa yang datang kepada-Ku tetapi tidak dapat mengasihip Aku lebih daripada ibunya, bapanya, isterinya, anak-anaknya, saudara lelakinya, dan saudara perempuannya, bahkan dirinya sendiri, tidak dapat menjadi pengikut-Ku. 27Sesiapa yang tidak mahu memikul salibnyaq sendiri dan mengikut Aku, tidak dapat menjadi pengikut-Ku. 28Jika seorang daripada kamu hendak membina sebuah menara, dia akan duduk dahulu lalu mengira perbelanjaannya, supaya dia tahu sama ada wangnya cukup untuk menyudahkan pekerjaan itu. 29Jika tidak, setelah meletakkan batu asasnya dia tidak dapat menyudahkan pekerjaan itu. Lalu semua orang yang melihat apa yang telah berlaku akan mentertawakan dia. 30Mereka akan berkata, ‘Lihatlah, orang ini memulakan kerja tetapi tidak dapat menyudahkannya!’ 31Jika seorang raja yang mempunyai sepuluh ribu orang askar hendak berperang dengan raja lain yang mempunyai dua puluh ribu orang askar, raja itu akan duduk terlebih dahulu lalu mempertimbangkan sama ada dia cukup kuat untuk melawan musuhnya. 32Jika dia tahu bahawa dia tidak kuat, dia akan mengirim utusan untuk minta berdamai, semasa musuhnya masih jauh.” 33Akhirnya Yesus berkata, “Demikian juga dengan kamu. Tidak seorang pun daripada kamu dapat menjadi pengikut-Ku,r kecuali dia meninggalkan segala miliknya.”
34“Garam sangat berguna, tetapi jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi. 35Garam yang tawar tidak lagi berguna untuk menyuburkan tanah ataupun untuk dijadikan baja; sebaiknya dibuang sahaja. Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!”

Teropong:

p Sesetengah terjemahan menyelitkan perkataan ‘benci’ di tempat ‘menyayangi Aku lebih daripada…’ Yesus bukan bermaksud untuk kita membenci ahli keluarga kita, tetapi adalah kasih sayang para murid-Nya kepada Dia haruslah sangat besar sehingga kasih sayang dunia akan menjadi kebencian jika dibandingkan dengan-Nya. Ini adalah hiper-bola, kiasan bahasa yang sering Yesus gunakan.
q Yesus tidak menginginkan iman membuta tuli yang hanya menjangkakan berkat dan tidak mempertimbangkan kosnya terlebih dahulu. Pengikut Yesus harus mempertimbangkan jangkaan daripada Yesus sebelum melakukan komitmen seperti seorang pembina yang mengira kos ataupun raja yang menganggarkan kekuatan angkatan tenteranya (ayat 31).
r Yesus bukan melawan pemuridan. Dia menginginkan orang ramai untuk mengira kos dan semua kerugian supaya mereka boleh mendapatkan kegembiraan sebenar seorang murid.

Mari Fikir Sejenak:

  • Adakah anda menganggap diri sebagai garam yang masin dan mampu memberikan rasa ataupun garam yang telah kehilangan rasa masinnya?
  • Jika anda berfikir bahawa anda tidaklah semasin yang sepatutnya, apakah yang perlu anda lakukan untuk mendapatkan kembali rasa masin seorang murid Yesus?

Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.