Pada suatu hari,a Yesus mengajar dan menyampaikan Berita Baik di dalam Rumah Tuhan. Para ketua imam,b guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi datang 2dan berkata kepada Yesus, “Beritahulah kami, dengan hak siapa kamu melakukan perkara-perkara ini?c Siapakah yang memberikan hak kepadamu untuk melakukannya?”
3Yesus menjawab, “Aku juga ingin bertanyad kepada kamu. Katakanlah, 4dengan hak siapakah Yohanes membaptis orang? Dengan hak Allah atau manusia?”
5Mereka mula membincangkan soalan itu, “Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, ‘Dengan hak Allah,’ Dia akan berkata, ‘Mengapa kamu tidak percaya kepada Yohanes?’ 6Tetapi jika kita berkata, ‘Dengan hak manusia,’ semua orang akan merejam kita, kerana mereka percaya bahawa Yohanes seorang nabi.” 7Lalu mereka menjawab, “Kami tidak tahu.”
8Yesus berkata kepada mereka, “Jika demikian Aku pun tidak mahu memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.”
a Bersama dengan kisah yang terdapat di dalam Injil Markus, kejadian yang dicatatkan di dalam 20:1-21:36 mungkin mengambil tempat pada hari Selasa di dalam Minggu Penderitaan. ‘Suatu hari’ yang dimaksudkan mungkin hari yang menyusuli kisah penyucian Rumah Tuhan (Isnin) yang juga menyusuli hari kemasukan Yesus ke Yerusalem (Ahad).
b Ketiga-tiga golongan ini; ketua imam, guru Taurat dan pemimpin bangsa Yahudi, membentuk Majlis Agama. Oleh itu, kedatangan mereka mungkin kelihatan seperti siasatan rasmi daripada Majlis Agama ke atas kegiatan Yesus sejak akhir-akhir ini yang menyinggung mereka. Golongan ini mempunyai kuasa yang sah untuk memeriksa dakwaan setiap rabbi ataupun guru yang baru. Setiap rabbi mempuyai sijil ataupun diploma yang selalunya diberikan oleh rabbi terkemuka.
c ‘Perkara-perkara ini’ mungkin merujuk kepada tindakan menyucikan Rumah Tuhan di dalam 19:45-46. Tindakan Yesus bukan sahaja memansuhkan kewibawaan para pemimpin Yahudi tetapi juga menjejaskan pendapatan mereka. Mereka mungkin mencari jalan untuk memburuk-burukkan Yesus di khalayak ramai ataupun menimbulkan kesangsian terhadap-Nya sebagai ancaman kepada kerajaan Roma.
d Ini adalah bentuk dialog yang lazim di antara para rabbi di mana sebuah pertanyaan akan dijawab menggunakan sebuah soalan lain untuk menangkap si penyoal akan ketidak konsistenannya. Kontroversi di sini adalah perkara biasa yang dilontarkan kepada Yesus oleh para lawan-Nya. Kita boleh mendapati betapa berseterunya mereka terhadap Yesus dan ajaran-Nya. Soalan Yesus mencadangkan bahawa kewibawaan-Nya, sama seperti baptisan Yohanes, datang daripada Allah. Selepas itu, Dia mengenakan beban bukti ke atas musuh-Nya. Dia memberikan dua pilihan kepada mereka: bahawa baptisan Yohanes diilhamkan oleh Allah ataupun ciptaan manusia. Dengan menolak untuk menjawab, mereka meletakkan diri mereka di dalam kedudukan yang janggal.
9Yesus menceritakan perumpamaane ini kepada orang ramai. “Ada seorang yang menanami ladang anggur, lalu menyewakannya kepada beberapa orang. Setelah itu dia pergi ke negeri lain dan tinggal lama di sana. 10Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya.f Tetapi para penyewa ladang memukul hamba itu dan menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. 11Pemilik ladang itu mengutus seorang lagi hambanya. Tetapi para penyewa ladang itu juga memukul hamba ini, mempermalukan dia, lalu menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. 12Kemudian pemilik ladang itu mengutus hamba ketiga. Penyewa-penyewa ladang itu juga mencederakan hamba ini dan membuang dia ke luar ladang itu. 13Pemilik ladang itu berkata, ‘Apakah yang harus aku lakukan? Aku akan mengutus anakku yang aku kasihi. Tentu mereka akan menghormati dia!’ 14Tetapi apabila para penyewa ladang itu nampak dia, mereka bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia anak
pemilik ladang. Mari kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya.g’ 15Oleh itu mereka membuang dia ke luar ladangh lalu membunuh dia.” Lalu Yesus bertanya, “Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang itu terhadap para penyewa ladang anggur itu? 16Dia akan datang dan membunuh semua penyewa ladang itu, lalu menyerahkan ladang itu kepada penyewa-penyewa lain.” Apabila orang di situ mendengar hal itu, mereka berkata, “Janganlah perkara ini berlaku!” i
17Yesus memandang mereka lalu bertanya, “Jika demikian, apakah makna ayat Alkitab ini?j
‘Batuk yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama.’
18Semua orang yang jatuh pada batu itu akan hancur; dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan tergilas menjadi debu.l ”
19Semua guru Taurat dan ketua imam di situ cuba menangkap Yesus pada saat itu juga, kerana mereka tahu bahawa perumpamaan itu ditujukan kepada mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai.m
e Keengganan para pemimpin untuk menerima kewibawaan Yesus membuat-Nya menceritakan perumpamaan tersebut. Perumpamaan ini bukan sahaja mengesahkan kewibawaan Yesus tetapi turut menunding kepada kematian dan penebusan-Nya oleh Allah. Perumpamaan ini lebih bersifat kiasan (sebuah kiasan adalah kisah di mana watak, perkara dan kejadian yang diceritakan mempunyai maksud tersirat) jika dibandingkan dengan perumpamaan Yesus yang lain. Ini kerana watak-watak dan simbol yang digunakan oleh Yesus di dalam perumpamaan-Nya yang lain mewakili individu nyata. Watak pemilik ladang anggur mewakili Allah; anak lelaki, Yesus; ladang anggur, umat Israel; penyewa ladang, pemimpin-pemimpin agama; hamba-hamba, nabi-nabi Allah. Orang Yahudi mungkin boleh mengenal pasti Israel sebagai ladang anggur kerana terdapat banyak rujukan kepada Israel sebagai ladang anggur Allah di dalam Perjanjian Lama.
f Selalunya sebuah perjanjian akan dilakukan di mana pemilik ladang akan menerima sejumlah hasil tuaian yang tetap. Dia menjangkakan untuk menerima bahagiannya apabila waktu yang ditetapkan telah tiba.
g Mereka mungkin berfikir bahawa pemilik ladang telah meninggal dan kini anaknya datang untuk mengambil bahagian milik ayahnya ataupun dia telah mewarisi keseluruhan ladang tersebut. Para penyewa selalunya mengambil hak milik tanah yang disewa apabila pemilik asal telah meninggal dunia. Pada waktu tersebut, hak milik tanah masih belum jelas. Sesiapa sahaja yang telah mengusahakan tanah lebih daripada tiga tahun boleh mengandaikan hak milik sekiranya tanah tersebut tidak dituntut oleh orang lain.
h Dengan membunuh anak lelaki pemilik tanah di atas ladang tersebut, tanah itu kini menjadi tidak suci kerana dicemari oleh mayat. Ini menjadikan hasil tuaian menjadi lebih sukar untuk dijual.
i Ulasan yang diberikan mungkin meluahkan kengerian terhadap reaksi pemilik tanah berikutan kejadian tersebut. Akan tetapi, orang ramai mungkin sedia maklum bahawa cerita tersebut ditujukan kepada para pemimpin Yahudi.
j Yesus menunjukkan Firman Allah kepada mereka kerana apa yang telah ditulis harus menjadi kenyataan. Dia memberitahu mereka bahawa jika kemusnahan yang dikatakan-Nya tidak menjadi kenyataan, apakah penjelasan mereka untuk Maz 118:22?
k Versi-versi lain menterjemahkan ‘batu’ sebagai ‘batu tukup’. Ia bermaksud ‘kepala penjuru’. Batu ini mungkin merujuk kepada sebuah batu besar yang digunakan di penjuru asas binaan untuk menentukan posisi dua belah dinding yang akan membentuk keseluruhan bangunan tersebut. Ataupun ia adalah sebuah batu yang diletakkan di atas dinding untuk menyambung dan menyempurnakan bangunan tersebut. Di dalam Mazmur 118, rujukan ini mungkin adalah seorang raja (di mana kemenangannya telah dirayakan) tetapi dia dipandang rendah oleh raja-raja lain yang datang menjajah kerajaannya.
l Gambaran yang digunakan kini berubah. Tumpuan bukan lagi terhadap nilai yang diletakkan ke atas batu tersebut tetapi kuasa kehancurannya ke atas darah dan daging. Seperti tembikar yang pecah apabila dipukul dengan batu, seperti hancurnya seseorang yang dihempap batu, demikianlah takdir mereka yang menolak Yesus sebagai Mesias.
m Mereka takut untuk membatu-apikan suatu rusuhan kerana itu akan membawa kepada campur tangan orang Roma. Jika ia terjadi, mereka akan kehilangan keistimewaan yang mereka miliki. Bukan itu yang mereka mahu terjadi.
20Oleh itu mereka menunggu peluang yang baik. Mereka menyuap beberapa orang supaya berpura-pura, dan mengutus mereka untuk memerangkap Yesus dengan pertanyaan. Dengan demikian mereka dapat menyerahkan Yesus kepada kekuasaan gabenor.n 21Lalu beberapa orang itu berkata kepada Yesus, “Guru, kami tahu bahawa apa yang guru katakan dan ajarkan itu benar. Kami tahu bahawa guru tidak memandang kedudukan orang, tetapi guru mengajar kehendak Allah bagi manusia dengan terus terang. 22Katakanlah, menurut Taurat bolehkah kita membayar cukaio kepada Kaisar Roma?”
23Yesus mengetahui muslihat mereka. Dia berkata, 24“Tunjukkan sekeping mata wangp kepada-Ku. Gambar dan nama siapakah ini?” “Kaisar!” jawab mereka.
25Oleh itu Yesus berkata, “Baiklah, jika demikian, berikan apa yang menjadi milik Kaisar kepada Kaisarq dan berikan apa yang menjadi milik Allah kepada Allah.”
26Mereka tidak dapat mencari kesalahan Yesus di hadapan orang ramai. Mereka diam sahaja kerana hairan mendengar jawapan-Nya.
n Oleh kerana takut untuk mengambil tindakan, para pemimpin Yahudi berharap untuk menggunakan kenyataan dari mulut Yesus sendiri supaya ada alasan bagi dengan pegawai-pegawai Roma mengambil tindakan terhadap Yesus, serta mengalihkan Dia daripada berhubung dengan orang ramai.
o Orang Yahudi dikenakan cukai yang tinggi oleh Kerajaan Roma. Mereka terpaksa membayar cukai yang berlainan sehingga mencecah sebanyak satu per tiga daripada jumlah keseluruhan pendapatan. Soalan berkenaan dengan cukai kelihatan menjanjikan untuk memaksa Yesus memberikan jawapan yang akan memerangkap-Nya kemudian. Jawapan Yesus mungkin membawa masalah kepada orang Roma yang mengehendaki cukai supaya dibayar ataupun dengan rakyat Yahudi yang tidak mahu berbuat demikian. Soalan tersebut bertujuan untuk mengasingkan Yesus daripada mereka yang menyokong-Nya ataupun memerangkap Yesus agar dikendalikan oleh orang Roma.
p Wang yang dimaksudkan adalah syiling dinar. Wajah Kaisar Tiberius diukir di permukaan syiling dan permukaan yang satu lagi ditulis dengan ukiran di dalam bahasa Latin ‘Kaisar Tiberius Augustus, anak kepada Augustus yang ilahi’. Syiling tersebut dikeluarkan oleh Kaisar dan digunakan untuk membayar cukai kepadanya.
q Di sini Yesus menjelaskan sebuah prinsip dan bukannya kompromi. Setiap rakyat harus memberikan apa yang dikehendaki oleh kerajaan. Ia adalah tanggungjawab setiap warga negara dan tidak bercanggah dengan hukum Allah.
Meskipun kita adalah warga Kerajaan Allah, Yesus berkata bahawa kita harus mentaati kerajaan di negara yang kita diami. Ini turut bermaksud kuasa di atas anda melainkan ia bertentangan dengan hukum Allah.
Setiap orang harus taat kepada pemerintah, kerana pemerintah mendapat kekuasaan daripada Allah. Pemerintah yang ada sekarang pun ditetapkan oleh Allah.
(Roma 13:1)
27Beberapa orang Sadukir datang kepada Yesus. (Mereka berpendapat bahawa orang mati tidak akan bangkit semula.) Mereka bertanya kepada Yesus, 28“Guru, Musa memberi kita hukum berikut: ‘Jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak,s maka saudara lelakinya mesti berkahwin dengan balunya supaya orang yang sudah meninggal itu mendapat keturunan.’ 29Dahulu ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin tetapi meninggal tanpa mempunyai anak. 30Lalu saudara kedua berkahwin dengan balu itu tetapi dia pun meninggal tanpa mempunyai anak. 31Hal yang sama berlaku kepada saudara ketiga dan seterusnya sehingga saudara ketujuh. Mereka semua meninggal tanpa mempunyai anak. 32Akhirnya balu itu meninggal. 33Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Tujuh orang adik-beradik itu sudah berkahwin dengan dia.”
34 Yesus menjawab, “Lelaki dan perempuan yang hidup sekarang ini berkahwin. 35Tetapi lelaki dan perempuan yang layak dibangkitkan daripada kematian dan hidup pada zaman yang akan datang tidak berkahwin.t 36 Mereka akan menjadi seperti malaikat; mereka tidak mati lagi. Mereka menjadi anak-anak Allah, kerana mereka sudah dibangkitkan daripada kematian. 37Musa menjelaskan bahawa orang mati akan dibangkitkan. Tulisannya tentang belukar yang bernyala menyatakan Tuhan sebagai ‘Allah yang disembah oleh Abraham, Ishak, dan Yakub.’ 38Hal ini bererti bahawa Allah itu Allah orang hidup, bukan Allah orang mati, kerana Allah menganggap mereka semua hidup.”
39Beberapa orang guru Taurat berkata, “Sungguh baik jawapanu guru.” 40Mereka tidak lagi berani menanyakan apa-apa kepada Yesus.
r Orang Saduki disebut untuk kali pertama di sini. Adalah tidak mengejutkan kerana mereka hanya berpengaruh di Yerusalem. Mereka adalah golongan bangsawan yang berfikiran secara politik. Mereka sanggup untuk bekerjasama dengan orang-orang Roma. Inilah sebabnya mengapa mereka mampu mengekalkan kedudukan keistimewaan mereka. Orang Saduki mengawal imam-imam besar pada waktu itu, serta memegang kerusi majoriti di dalam Majlis Agama. Mereka tidak mempercayai kebangkitan ataupun hidup selepas kematian serta menolak amalan lisan golongan Farisi (rujuk ‘Orang Saduki’, ms. 15).
s Yesus akan memetik Pentateuch, iaitu 5 kitab pertama dalam Perjanjian Lama (rujuk ‘Kitab Suci dan Tradisi’ ms. 9) apabila berdebat dengan orang Saduki. Ini kerana mereka hanya menerima kewibawaan kelima-lima kitab Perjanjian Lama ini. Amalan ini merujuk kepada hukum levirat (diambil daripada perkataan Latin levir yang bermaksud ‘abang/adik ipar’) di mana jika seorang lelaki meninggal dunia tanpa seorang anak lelaki, saudara lelakinya harus mengahwini balu yang ditinggalkan dan memenuhi kewajibannya sebagai adik/abang ipar (Ul 25:5-6). Anak pertama yang dilahirkan oleh wanita tersebut akan mengambil nama si mati tadi supaya namanya akan diteruskan di dalam keturunan keluarga. Hukum ini juga dicipta untuk melindungi hak-hak seorang balu.
t Para penyoal Yesus gagal menyedari bahawa hidup yang akan datang adalah tidak sama dengan hidup pada waktu ini. Orang Yahudi mempercayai kebangkitan adalah sama dengan hidup sekarang selain daripada musuh-musuh mereka dikalahkan dan kenikmatan digandakan. Yesus menolak kepercayaan ini dan menjelaskan hidup di syurga adalah berbeza daripada sebarang benda di bumi. Dia mengatakan tiga perkara: (i) perkahwinan tidak lagi boleh dipakai ke atas mereka (ii) mereka tidak akan mengalami kematian (iii) mereka akan menyerupai malaikat dan menjadi anak-anak Allah.
u Orang Saduki adalah golongan yang tidak terkenal. Oleh itu, ramai orang yang gembira melihat mereka kalah di dalam debat bersama Yesus.
Sangat mudah bagi kita mencari alasan untuk tidak melakukan perkara yang wajar dan baik untuk kita.
41Yesus bertanya kepada mereka, “Bagaimanakah orang dapat mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud? 42Daud berkata di dalam Kitab Mazmur,v
‘Tuhan berfirman kepada Tuhanku:w
Duduklah di sebelah kanan-Ku,
43 sehingga Aku menakluki musuh-Mu
ke bawah kaki-Mu.’
44Jika Daud memanggil Dia ‘Tuhan’, bagaimana mungkin Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud?”
v Dipetik daripada Mazmur 110:1.
w Yesus sedang menjelaskan salah faham orang ramai tentang Mesias. Mereka yang menggunakan panggilan ‘Anak Daud’ memahami Mesias sebagai seorang individu yang akan mengalahkan musuh-musuh Israel dan mendirikan Kerajaan Daud yang baru. Mereka menganggap Anak Daud ataupun keturunan Daud menyerupai perwatakan dan pencapaian Raja Daud. Yesus menginginkan mereka untuk memahami bahawa Mesias bukanlah seperti keturunan Daud yang difikirkan mereka. Dia adalah Tuhan kepada semuanya, lebih agung daripada sekadar seorang lagi Daud. Jika Dia hanya sekadar seorang daripada keturunan Daud, mengapakah Daud, raja yang gemilang memanggil-nya ‘Tuhan’?
45Sementara semua orang mendengarkan kata-kata-Nya, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, 46“Berhati-hatilah dengan guru Taurat. Mereka suka berjalan-jalan dengan memakai jubah panjang,x dan suka dihormati orang di pasar.y Mereka memilih tempat terbaikz di dalam rumah ibadat dan di majlis jamuan. 47Mereka memperdaya balu dan merampas rumaha’ mereka, kemudian berpura-pura berdoa dengan berpanjangan!b’ Mereka akan menerima hukuman yang amat berat!”
x Guru-guru Taurat memakai jubah putih yang panjang lagi berumbai dan hampir menyentuh permukaan tanah. Mereka gemar berlegar-legar memakai pakaian tersebut.
y Kata salam untuk orang ramai dan tempat duduk khas di dalam Rumah Ibadat dan keramaian adalah tanda kepentingan kedudukan yang sangat dikejar-kejar oleh guru-guru Taurat.
z Tempat ini merujuk kepada bangku di hadapan ‘tabut’ di mana skrol kudus disimpan. Mereka yang duduk di tempat tesebut boleh dilihat oleh semua orang yang berada di Rumah Ibadat.
a’ Guru-guru Taurat dilarang daripada menerima bayaran untuk mengajar. Mereka harus memastikan ilmu pengetahuan boleh didapati ramai tanpa dikenakan bayaran. Tetapi orang ramai tidak dihalang daripada memberikan hadiah kepada mereka dan tindakan ini disanjung tinggi. Akan tetapi, terdapat sesetengah guru Taurat yang mendorong balu-balu yang mudah terpengaruh untuk memberikan hadiah lebih daripada kemampuan diri mereka. Golongan balu dianggap sebagai golongan yang tidak berdaya kerana mereka tidak mempunyai pelindung lelaki, malah miskin dari segi kewangan.
b’ Satu lagi tentangan Yesus terhadap guru-guru Taurat adalah mereka gemar berdoa panjang yang bukan berasal dari hati. Doa sedemikian memberikan tanggapan bahawa mereka adalah golongan yang sangat beragama di mata orang tetapi hanya berpura-pura di mata Allah.
Bandingkan hidup anda dengan guru-guru Taurat seperti yang dijelaskan di sini.
Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.