Bab 21 Lukas 21

Persembahan Seorang Balu yang Miskin (ay. 1-4)

1Yesus melihat di sekeliling-Nya dan nampak orang kaya memasukkan wang ke dalam peti persembahana di Rumah Tuhan. 2Dia juga melihat seorang balu yang sangat miskinb memasukkan dua keping mata wang tembaga.c 3 Yesus berkata, “Ketahuilah, balu ini memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain. 4Orang lain memberikan persembahan daripada kelebihan kekayaan mereka. Tetapi balu ini, walaupun sangat miskin, mendermakan semua nafkahnya.”

Teropong:

a Peti persembahan adalah nama yang diberikan kepada satu bahagian di dalam ruang wanita di dalam Rumah Tuhan (rujuk ‘Rumah Tuhan’, ms. 10). Terdapat 13 buah kotak yang berbentuk terompet untuk menerima sumbangan mereka yang berbakti di sana. Setiap kotak akan diukir dengan penjelasan kegunaan setiap sumbangan.
b Cara para balu mendapatkan pendapatan pada waktu itu adalah sangat terhad. Oleh itu balu yang miskin adalah golongan yang termiskin di dalam masyarakat.
c Syiling ini dipanggil sebagai lepton. Ia adalah matawang terkecil Yahudi (rujuk Bab 12, nota w). Nilainya sangat rendah sehingga tidak mencecah satu sen. Ada sarjana yang mengatakan bahawa jumlah pemberian mestilah tidak kurang daripada dua lepton, dan sejumlah itu sahaja yang dimiliki oleh balu tersebut.

Mari Fikir Sejenak:

  • Watak mana satukah yang menyerupai anda – orang kaya yang memberikan saki baki penda-patan kepada Allah, ataupun balu yang mem-berikan semua wang yang dimilikinya?
  • Apakah yang anda boleh pelajari tentang diri anda?

Ingatlah bahawa jumlah yang anda berikan kepada Allah adalah tidak penting. Allah memandang hati di sebalik pemberian tersebut.

Tanda-Tanda Akhir Zaman (ay. 5-38)

5Beberapa orang sedang bercakap tentang Rumah Tuhan. Mereka berkata betapa indahnya Rumah Tuhan yang dihias dengan batu yang indah-indah, serta semua barangd yang dipersembahkan kepada Allah. Lalu Yesus berkata kepada mereka, 6 “Akan tiba masanya apabila semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan. Tidak ada satu batu pun akan tinggal tersusun pada tempatnya!” e
7Mereka bertanya kepada Yesus, “Guru, bilakah perkara ini akan berlaku?f Apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa masanya sudah tiba?”
8Yesus berkata, “Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. Orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah dia!’g dan ‘Masanya sudah tiba!’ Jangan ikut mereka. 9Jangan takut apabila kamu mendengar berita tentang peperangan dan pemberontakan. Semua perkara ini mesti berlaku terlebih dahulu, tetapi hal ini tidak bererti bahawa akhir zaman sudah tiba.h
10Yesus berkata lagi, “Bangsa yang satu akan berperang melawan bangsa yang lain dan kerajaan yang satu akan menyerang kerajaan yang lain. 11Di pelbagai tempat akan berlaku gempa bumi yang dahsyat, kebuluran, dan wabak. Akan berlaku juga pelbagai perkara yang menakutkan dan luar biasa di langit. 12Tetapi sebelum segala perkara ini berlaku, kamu akan ditangkap dan dianiaya. Kamu akan dibawa ke rumah ibadati untuk diadili, lalu dipenjarakan. Kamu akan dihadapkan kepada raja dan penguasa kerana kamu pengikut-Ku. 13Inilah peluang kamu untuk mengkhabarkan Berita Baik. 14Bertekadlah bahawa kamu tidak akan khuatir tentang bagaimana kamu harus membela diri. 15Aku akan memberikan kata-kata dan kebijaksanaan kepada kamu, sehingga tiada seorang musuh pun dapat melawan atau menafikan kata-kata kamu. 16Kamu akan dikhianati oleh ibu bapa, saudara, sanak keluarga, dan sahabat kamu. Mereka akan membunuh beberapa orang antara kamu. 17Semua orang akan membenci kamu kerana Aku, 18tetapi sehelai rambut pun di kepala kamu tidak akan hilang. 19Hendaklah kamu teguh hati! Dengan jalan ini kamu akan mendapat hidup sejati.j
20“Apabila kamu nampak Yerusalem dikepung tentera,k kamu akan tahu bahawa kota itu segera akan dimusnahkan. 21Pada waktu itu orang di Yudea mesti lari ke pergunungan; orang yang di dalam kota mesti meninggalkan kota, dan orang yang di luar kota jangan masuk ke dalam kota.l 22Itulah yang harus kamu lakukan kerana masa itu ‘Hari Hukuman’, apabila semua yang telah tertulis di dalam Alkitabm berlaku. 23Alangkah dahsyatnya masa itu bagi wanita yang mengandung dan ibu yang menyusui bayi! Negeri ini akan mengalami kesusahan yang besar dan Tuhan akan menghukum bangsan ini. 24Ada orang yang akan dibunuh dengan pedang, ada lagi orang yang akan dibawa sebagai tawanan ke negeri orang, dan bangsa yang tidak mengenal Allah akan menginjak-injak Yerusalem sehingga habis masa yang ditetapkano oleh Tuhan untuk mereka.”
25“Kelak tanda-tanda yang luar biasa akan kelihatan pada matahari, bulan, dan bintang. Semua negeri di seluruh bumi akan putus asa dan takut menghadapi deru dan gelora laut. 26Orang akan pengsan kerana ketakutan sementara menantikan apa yang akan berlaku di seluruh bumi, kerana kuasa di angkasa lepas ditarik daripada peredarannya. 27Barulah Anak Manusia akan kelihatanp datang dikelilingi awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. 28Apabila perkara-perkara itu mula berlaku, bangkitlah dan dongaklahq ke langit, kerana sekejap lagi kamu akan diselamatkan.”
29Lalu Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, “Lihatlah pokok ara dan semua pokok yang lain. 30Apabila kamu nampak pokok mula berdaun, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. 31Demikian juga apabila kamu nampak perkara-perkara ini berlaku, kamu tahu bahawa Allah akan segera memerintah.
32Ingatlah! Segala perkara ini akan berlaku sebelum orang yang hidupr sekarang ini mati semua-nya. 33Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.”
34“Berjaga-jagalah! Janganlah kamu asyik berpesta dan minum minuman keras atau khuatir akan kehidupan kamu, sehingga kamu tidak bersedia apabila Hari itus datang dengan tiba-tiba. 35Hari itu akan datang seperti perangkap bagi semua orang di bumi. 36Berjaga-jagalah dan berdoalah sentiasa supaya kamu mempunyai kekuatan untuk mengatasi semua perkara yang akan berlaku, lalu kamu dapat menghadap Anak Manusia.”
37Setiap hari Yesus mengajar di Rumah Tuhan dan pada petang hari Dia pergi bermalam di Bukit Zaitun. 38Tiap-tiap pagi semua orang datang ke Rumah Tuhan untuk mendengar ajaran Yesus.

Teropong:

d Kajian arkeologi menunjukkan Rumah Tuhan sebagai sebuah bangunan yang sangat indah. Sebuah batu yang terletak di penjuru barat daya bangunan tersebut berukuran lebih kurang 11 meter (36 kaki) panjang. Barang-barang yang dimaksudkan adalah perhiasan seperti gugusan anggur setinggi manusia yang diberikan oleh Herodes.
e Ramalan ini menjadi kenyataan pada tahun 70 M apabila tentera Roma menyerang Yerusalem dan memusnahkan Rumah Tuhan.
f Versi lain menterjemahkan ini sebagai ‘apakah tandanya’. Yesus tidak memberikan sebarang tanda tetapi mengingatkan para pengikut-Nya supaya tidak disesatkan oleh semua kehuru-haraan yang akan terjadi kelak.
g Walaupun ‘dia’ tidak dikhususkan oleh Yesus, Dia mungkin merujuk kepada Mesias.
h Perkara ini merujuk kepada pengakhiran zaman. Semua kejadian yang disenaraikan di ayat 8-18 adalah keadaan yang terjadi setiap masa, bukan hanya pengakhiran zaman.
i Rumah Ibadat juga digunakan sebagai sekolah, dan pusat pentadbiran selain daripada kegiatan ibadah. Ia adalah pusat kehidupan dan pentadbiran hukum-hukum orang Yahudi.
j Ini bukan merujuk kepada keselamatan fizikal tetapi penyelamatan.
k Yesus menjelaskan bahawa Dia merujuk kepada kehancuran Yerusalem dan bukannya pengakhiran zaman.
l Apabila angkatan tentera mengepung sebuah kota, adalah wajar untuk mencari perlindungan di dalam tembok kota. Akan tetapi, Yesus mengarahkan para pengikut-Nya untuk melarikan diri ke kawasan pergunungan kerana kota tersebut telah ditakdirkan untuk musnah.
m Kemusnahan yang bakal menimpa Yerusalem bukan kebetulan tetapi hukuman ke atas mereka.
n Yosefus, seorang sejarahwan Yahudi, mencatatkan terdapat lebih kurang 97,000 orang ditawan di sepanjang perang tersebut dan 1.1 juta lagi dibunuh sewaktu penja-jahan Yerusalem. Meskipun jumlah tersebut mungkin ditokok-tambah sedikit, adalah jelas bahawa jumlah kehilangan nyawa yang terjadi adalah sangat mengerikan.
o Ini mungkin merujuk kepada Allah membenarkan orang bukan Yahudi untuk memenuhi rancangan-Nya sehingga waktu-Nya untuk mereka berakhir.
p Ini merujuk kepada kedatangan Yesus yang kedua kali. Selalunya ramalan-ramalan yang terdapat di dalam ajaran Yesus merujuk kepada pengakhiran zaman dan pada masa yang sama menjelaskan kehancuran yang bakal menimpa Yerusalem.
q Apabila tanda-tanda yang mengelirukan mula berlaku, pengikut-pengikut Yeus tidak seharusnya patah semangat. Mereka harus memandang ke hadapan dengan gembira dan percaya kerana pembebasan mereka akan tiba.
r Terdapat banyak versi yang menterjemahkan perkataan ini sebagai ‘generasi ini’, dan bukannya ‘mereka yang hidup sekarang’. Jika rujukan yang dibuat adalah berkenaan dengan kemusnahan Yerusalem yang akan terjadi 40 tahun selepas Yesus mengatakan perkara ini, maka ‘generasi’ yang dimaksudkan adalah mereka yang hidup pada waktu tersebut.
Jika rujukan tersebut adalah berkenaan dengan kedatangan Yesus untuk kali yang kedua, maka ‘generasi’ yang dimaksudkan adalah orang Yahudi sebagai bangsa yang dijanjikan untuk kekal wujud sehingga akhir nanti. Ia juga mungkin merujuk kepada generasi yang masih hidup sewaktu kejadian tersebut mengambil tempat.
s Perkara ini merujuk kepada kedatangan Yesus untuk kali yang kedua.

Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.