Bab 22 Lukas 22

Yudas Bersetuju Mengkhianati Yesus (ay. 1-6)

1Perayaan Roti Tidak Beragi yang disebut Paskaa sudah dekat. 2Para ketua imamb dan guru Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Yesus dengan diam-diam, kerana mereka takut akan orang ramai.
3Kemudian Iblis memasuki Yudasc yang disebut Iskariot, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus. 4Lalu Yudas pergi berunding dengan para ketua imam dan ketua pengawal Rumah Tuhand tentang bagaimana dia boleh menyerahkan Yesus kepada mereka. 5Mereka gembira dan bersetuju memberikan wange kepadanya. 6Yudas pun bersetuju dan mula mencari peluang untuk menyerahkan Yesus kepada mereka tanpa diketahui oleh orang ramai.

Teropong:

a Paska merujuk kepada jamuan yang bermula dari tengah malam hari ke 14 di bulan yang pertama, bulan Nisan (Im 23:5-6). Pada hari yang ke 15, Pesta Roti Tidak Beragi pun bermula. Umat Yahudi akan memakan roti yang tidak dicampurkan dengan yis ataupun ragi selama seminggu. Di zaman Perjanjian Baru, kedua-dua perayaan ini dipisahkan tetapi masih boleh dirujuk dengan nama yang sama. Paska merayakan penyelamatan Allah membebaskan umat Israel dari Mesir, manakala Pesta Roti Tidak Beragi memperingati bagaimana orang Israel memakan roti yang tidak beragi sebelum hari pembebasan daripada Mesir.
b Di dalam keempat-empat Injil, orang Farisi adalah musuh utama Yesus di sepanjang pelayanan-Nya tetapi kumpulan imam agung mengambil alih peranan tersebut di akhirnya. Mereka adalah golongan yang memegang kuasa politik. Akan tetapi, kuasa mereka adalah terhad. Di sini, para imam agung berhadapan dengan rasa takut agar tidak mencetuskan rusuhan kerana orang ramai menyokong Yesus.
c Lukas menunjukkan bahawa bukan rancangan manusia sahaja yang bermain pada waktu ini. Iblis telah menunggu lama untuk masa yang sesuai (Luk 4:13) untuk bertindak dan rancangan Yudas untuk mengkhianati Yesus selari dengan rancangan Iblis. Walaupun Yudas dipengaruhi oleh Iblis, dia juga bertindak mengikuti kebebasannya sendiri kerana tamak akan wang.
d Askar-askar Roma tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan Rumah Tuhan. Oleh yang demikian, mereka mempunyai askar-askar Yahudi sendiri yang selalunya dipilih daripada golongan suku Lewi. Mereka dipanggil sebagai pengawal Rumah Tuhan.
e Harga yang dibayar berjumlah 30 keping syiling perak, bersamaan dengan 120 dinar (gaji seorang pekerja untuk empat bulan). Jumlah ini juga adalah harga untuk seorang hamba biasa (Kel 21:32).

Perjamuan Terakhir (ay. 7-38)

7Semasa Perayaan Roti Tidak Beragi, tibalah harinya domba disembelihf untuk jamuan Paska. 8 Yesus menyuruh Petrus dan Yohanes,g “Pergilah sediakan jamuan Paskah untuk kita.”
9Mereka bertanya, “Di manakah Guru mahu kami menyiapkannya?”
10Yesus berkata, “Apabila kamu masuk ke bandar, kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air.i Ikutilah dia ke rumah yang dimasukinya, 11lalu berkatalah kepada pemilik rumah itu, ‘Guru bertanya,j di manakah bilik tempat Dia dan pengikut-pengikut-Nya akan makan jamuan Paska?’ 12Tuan rumah itu akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang lengkap dengan segala perabotnya.k Siapkanlah segala-galanya di situ.”
13Mereka pergi dan mendapati semuanya seperti yang dikatakan oleh Yesus,l lalu mereka menyediakan jamuan Paska.
14Apabila tiba waktunya untuk makan jamuan Paska, Yesus makan bersama dengan rasul-rasul itu. 15Dia berkata kepada mereka, “Aku ingin sekali makan jamuan Paska ini bersama-sama kamu sebelum kematian-Ku! 16 Percayalah, Aku tidak akan memakannya lagi sehingga makna perjamuan ini dinyatakan di Dunia Baru Allah.m
17Setelah itu Yesus mengambil sebuah cawan berisi wain.n Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu berkata, “Ambillah cawan ini, dan bahagikanlah antara kamu sendiri. 18Ketahuilah, mulai sekarang Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga Allah memerintah dengan sepenuhnya.”
19Kemudian Yesus mengambil roti.o Setelah Dia mengucap syukur kepada Allah, Dia membahagi roti itu lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Inilah tubuh-Ku, yang diberikan untuk kamu.p Berbuatlah demikian untuk mengenang Aku.q20Begitu juga setelah makan, Dia memberikan cawan itu kepada mereka sambil berkata, “Cawan wain ini perjanjian Allah yang baru, yang disahkan dengan darah-Ku, darah yang dicurahkan untuk kamu.r
21Tetapi lihatlah! Orang yang mengkhianati Aku ada di sini bersama-sama Aku! 22Anak Manusia akan mati sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah; tetapi malanglah orang yang mengkhianati Dia!”s
23Lalu mereka mula bertanya sesama sendiri, siapa antara mereka yang akan melakukan perkara itu.
24Pengikut-pengikut Yesus bertengkar tentang siapa antara mereka yang harus dianggap terbesar. 25Yesus berkata kepada mereka, “Raja bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat; para penguasanya disebut ‘Pelindung Rakyat’.t 26Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Sebaliknya, orang yang terbesar antara kamu mesti menjadi seperti yang terkecilu dan pemimpin mesti menjadi seperti hamba. 27Siapakah yang lebih mulia, orang yang duduk makan atau orang yang melayani dia? Tentu orang yang duduk makan. Tetapi Aku ada antara kamu sebagai orang yang melayan. 28Kamu telah bersama-sama Aku dalam segala kesusahan-Ku. 29Sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak kepada-Ku untuk memerintah, Aku juga akan memberikan hak itu kepada kamu. 30Kamu akan makan minum dengan Aku dan memerintah bersama-sama Aku pada waktu Aku menjadi raja. Kamu akan duduk di atas takhta untuk memerintah dua belas suku Israel.”
31“Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mendapat kebenaran untuk menguji kamu semua,v seperti peladang memisahkan gandum daripada sekam. 32Tetapi Aku telah berdoa untukmuw supaya imanmu tidak goyah. Apabila engkau balik kepada-Ku, engkau mesti menguatkan saudara-saudaramu.”
33Petrus menjawab, “Ya Tuhan, aku bersedia dipenjarakan dan mati bersama-sama Tuhan!”
34Yesus berkata, “Ketahuilah, Petrus, sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.”
35Kemudian Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apabila Aku mengutus kamu dahulu dengan tidak membawa dompet, beg, atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?”x “Tidak!” jawab mereka.
36”Tetapi sekarang,” kata Yesus, “orang yang mempunyai dompet atau beg, mesti membawanya; dan orang yang tidak mempunyai pedang, mesti menjual jubah untuk membeli pedang.y 37Ketahuilah, ayat Alkitab ini mesti berlaku kepada diri-Ku: ‘Dia dianggap sebagai penjahat’z. Apa yang tertulis tentang diri-Ku sedang berlaku sekarang ini.”
38Semua pengikut-Nya berkata, “Tuhan, lihatlah, di sini ada dua bilah pedang. “Yesus menjawab, “Cukuplah!”a’

Teropong:

f Kambing biri-biri harus dikorbankan pada hari ke 14 bulan Nisan di antara pukul 2.30 hingga 5.30 petang di halaman untuk para imam. Ia berlaku pada hari Khamis Minggu Penderitaan.
g Seperti Yudas, Petrus dan Yohanes adalah sebahagian daripada keduabelas orang rasul. Petrus dan Yohanes memilih untuk mematuhi dan melayani Yesus manakala Yudas memilih untuk menjadi ejen Iblis dan mengkhianati Yesus demi wang. Petrus dan Yohanes menjadi pemimpin kepada keduabelas rasul manakala Yudas menggantung diri (Mat 27:5).
h Persiapan yang dilakukan melibatkan pembelian seekor kambing biri-biri yang tidak mempunyai kecacatan dan beberapa bahan lain yang wajib. Penyembelihan dilakukan di Rumah Tuhan. Ia kemudian disalai dan bilik untuk jamuan tersebut juga harus disediakan.
i Adalah ganjil untuk seorang lelaki menjunjung buyung air kerana biasanya ia adalah tugas seorang wanita.
j ‘Guru bertanya’ mungkin menunjukkan bahawa tuan rumah tersebut adalah salah seorang pengikut yang telah dikenali oleh Yesus.
k Bilik yang dimaksudkan selalunya berada di tingkat dua di bawah bumbung rumah yang rata dan boleh dimasuki dari laluan tangga di tepi rumah. Ia mungkin dilengkapi dengan sofa yang diperlukan untuk bersandar dan juga peralatan untuk menjamu makanan.
l Seperti persiapan untuk kemasukan Yesus ke Yerusalem (19:28-34), ini mungkin menunjukkan kebolehan Yesus untuk mengetahui masa hadapan ataupun Dia telah menyusunnya sedemikian sebelum ini. Yesus mungkin telah melakukan persetujuan dengan lelaki tersebut untuk memas-tikan jamuan Paska tidak terganggu. Oleh kerana Yesus tidak memaklumkan di mana Dia akan menyambut Paska terlebih dahulu, Yudas tidak mampu melaporkan lokasi tersebut kepada musuh Yesus yang mungkin akan datang mengganggu masa penting Yesus bersama para murid-Nya.
m Ini adalah kali terakhir Yesus menyambut Paska bersama dengan para murid-Nya sebelum Dia dikorbankan sebagai ‘Domba Paska’ yang sempurna, dan menggenapi korban tersebut untuk selama-lamanya. Dia tidak akan menjamu jamuan Paska sehinggalah perayaan jamuan di syurga apabila rancangan Allah melalui kematian-Nya disempurnakan.
n Empat cawan wain akan diminum pada masa yang berlainan sewaktu menyambut Paska. Cawan yang dimaksudkan adalah tidak jelas, ia mungkin merujuk kepada cawan pertama ataupun kedua. Sebelum cawan kedua diminum, anak lelaki bongsu di dalam sebuah keluarga akan bertanya mengapakah malam tersebut berlainan daripada yang lain dan mengapakah roti tidak beragi dimakan. Kemudian ketua keluarga akan menjawab dengan menceritakan kisah pembebasan umat Israel dari Mesir serta mentafsirkan jamuan tersebut sebagai amalan untuk mengingati dan bersyukur kepada Alah kerana membebaskan umat-Nya.
o Apabila cawan yang kedua diminum, ketua keluarga akan mengambil roti tanpa ragi, memberkati dan membahagikannya kepada orang lain. Ini diikuti dengan memakan hidangan itu sendiri.
p ‘Memberikan tubuh’ adalah gambaran untuk memberikan nyawa (di dalam perang) demi orang lain. Ia menunjukkan kepada kematian Yesus untuk keselamatan manusia.
q Seperti Paska sebagai peringatan dan pengisytiharan kepada penyelamatan Allah untuk Israel dari ikatan perhambaan di Mesir, perintah Yesus di sini turut menjadi peringatan dan pengisytiharan untuk penyelamatan daripada ikatan dosa yang dilakukan oleh-Nya bagi mereka di kayu salib.
r ‘Darah dicurahkan untuk kamu’ menggambarkan kematian yang kejam. Perjanjian baru yang Allah lakukan bersama umat-Nya akan berlandaskan pengampunan dosa melalui kematian Yesus dan pencurahan darah-Nya di kayu salib. Ia tidak lagi berlandaskan hukum tetapi kasih kurnia, kerana hukum Allah kini ditulis di dalam hati kita (Yer 31:31-34) melalui hadirat Roh Kudus di dalam hidup kita.
s Yesus menjelaskan bahawa kematian-Nya adalah sebahagian daripada rancangan Allah tetapi ini bukan bermaksud bahawa si pengkhianat tidak bersalah kerana dia sendiri memilih untuk berbuat demikian. Luahan Yesus di sini bukan dipenuhi dendam tetapi bersedih atas kesan-kesan daripada tindakan Yudas.
t Terjemahan lain mempunyai perkataan ‘penyumbang-penyumbang’. Adalah amalan lazim di dalam empayar Roma bagi orang kaya untuk tidak membayar cukai tetapi menyumbang wang dan masa mereka untuk membantu bandar-bandar dan pekan-pekan. Oleh itu, mereka dikenali sebagai penyumbang-penyumbang dan dilihat sebagai individu-individu paling layak untuk dihormati di dalam masyarakat.
u Di dalam dunia purba, umur diterima umum sebagai sumber keistimewaan dan kehormatan. Mereka tidak mencari kehormatan kerana umur tetapi untuk berpuas hati di dalam menjadi yang paling rendah, seperti orang muda.
v Iblis langsung tidak mempunyai sebarang hak. Dia mungkin meminta, tetapi Allah yang berkuasa. Oleh itu, setiap cubaan dan ujian yang menimpa umat Allah adalah yang dibenarkan oleh-Nya. Kebanyakan terjemahan mempunyai ‘Iblis telah meminta untuk menyaring engkau seperti gandum’. Metafora ini menggambarkan ujian berat yang akan menimpa murid-murid Yesus, terutamanya Simon.
w Setelah berjaya menyerang Yudas, Iblis kini ingin menyerang rasul-rasul yang lain. Satu-satunya sebab mengapa Petrus terselamat dan berpaling semula kepada Yesus adalah kerana Yesus mendoakannya. Petrus akan mengalami ‘kegagalan sementara’ tetapi dia akan kembali semula. Oleh kerana dia telah melalui ujian yang berat, dia mampu untuk menguatkan saudaranya yang lain.
x Yesus membezakan dengan apa yang akan terjadi sebelum ini. Sewaktu Dia mengutus mereka untuk berkhotbah, sumber yang dimiliki adalah terhad tetapi mereka mengalami berkat Allah dan hospitaliti di sepanjang perjalanan. Kini keadaannya akan berlainan.
y Sehingga kini, murid-murid Yesus telah bergantung kepada hospitaliti daripada orang lain tetapi di masa akan datang, tentangan akan menyebabkan mereka menanggung diri sendiri. Mereka tidak lagi boleh bergantung kepada sambutan mesra tetapi harus menyiapkan diri untuk menghadapi tentangan dan keganasan. Perkataan ‘pedang’ yang digunakan di sini bukan bermaksud secara harafiah kerana kita sedia maklum bahawa Yesus menentang keganasan (rujuk ayat 49-51). Pedang digunakan di dalam Alkitab sebagai metafora untuk tentangan. Oleh itu, Yesus mengingatkan mereka untuk bersedia akan keganasan yang akan dihadapi.
z Ayat ini dipetik dari Yesaya 53:12. Versi lain menterjemahkannya sebagai ‘dia tergolong sebagai penjenayah’. Yesus memberitahu murid-murid-Nya bahawa kata-kata Yesaya akan dipenuhi di dalam Dia. Di dalam kematian-Nya untuk manusia sejagat, dia akan dianggap sebagai salah seorang daripada pelaku dosa. Dia akan ditangkap sebagai seorang penjenayah. Amaran-Nya kepada mereka adalah sebagai pengikut-Nya, mereka harus menjangkakan nasib yang serupa serta menyiapkan diri untuk menghadapi tentangan dan penolakan.
a’ Murid-murid Yesus menunjukkan yang mereka telah salah fahami ‘pedang’ yang dimaksudkan-Nya dan mendapatkan dua bilah pedang. Kata-kata Yesus ‘cukuplah’ adalah luahan geram dan bukan satu persetujuan. Ia adalah cara-Nya untuk menghentikan subjek perbincangan para murid yang telah jauh menyimpang.

Mari Fikir Sejenak:

Tiada sesiapa yang ingin menjadi ‘tidak penting’ ataupun hamba kepada orang lain. Kita semua mahu menjadi orang penting dan disanjung ramai.

  • Bagaimanakah anda boleh menjadi lebih rendah diri dan memiliki hati hamba terhadap orang lain?
  • Apakah sikap-sikap yang menghalang anda daripada membesar di dalam bahagian-bahagian tersebut?
  • Bawalah sikap-sikap tersebut kepada Allah dan mintalah Dia untuk membantu anda menguruskan-nya.

Yesus Berdoa di Bukit Zaitun (ay. 39-46)

39Yesus meninggalkan kota itu. Seperti biasa Dia pergi ke Bukit Zaitunb’ dan pengikut-pengikut-Nya menyertai Dia. 40Apabila Yesus tiba di situ, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah agar kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.c’
41Kemudian Dia pergi lebih jauh dari tempat mereka, kira-kira sejauh lemparan batu. 42Dia berlututd’ dan berdoa, “Ya Bapa, jika boleh jauhkanlah cawan penderitaane’ ini daripada-Ku. Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mu berlaku-
lah.” 43Malaikatf’ dari syurga datang kepada-Nya dan menguatkan Dia. 44 Kerana berat penderitaan-Nya, Yesus semakin tekun berdoa, sehingga peluh-Nya seperti darahg’ menitik ke tanah.
45Selepas berdoa, Yesus balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Dia mendapati mereka tidur kerana penat dan terlalu sedih. 46Yesus berkata kepada mereka, “Mengapa kamu tidur? Bangunlah! Berdoalah supaya kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.h’

Teropong:

b’ Di dalam injil tulisan Matius dan Markus, mereka mengenal pasti tempat ini sebagai Getsemani manakala Yohanes pula mengatakannya sebagai Bukit Zaitun. Tempat tersebut mungkin terletak di kawasan cerun rendah Bukit Zaitun (rujuk Bab 19, nota q). Menurut Lukas, ia adalah tempat yang sering dilawat oleh Yesus tetapi ia tidak disebut sebagai sebuah taman.
c’ Yesus mungkin merujuk kepada cubaan-cubaan dahsyat yang akan dilalui oleh murid-murid-Nya untuk menguji iman mereka.
d’ Yesus bukan sahaja meminta murid-murid-Nya untuk berdoa dalam waktu cubaan dahsyat, Dia juga turut berdoa. Postur doa yang lazim adalah dengan berdiri sambil memandang ke langit. Dengan berlutut, ini menunjukkan Yesus bukan sahaja menjadi taat di dalam doa kepada Allah, tetapi ia adalah satu detik dan emosi yang genting.
e’ ‘Cawan penderitaan’ sering digunakan di dalam Perjanjian Lama sebagai metafora untuk murka ataupun penghakiman Allah ke atas dosa dan pemberontakan manusia. Di sini, ia merujuk kepada ‘cawan’ kematian dan murka Allah. Ia adalah hukuman ilahi untuk dosa yang diambil oleh Yesus daripada tangan Bapa-Nya di dalam menggenapi misi-Nya. Yesus sedia maklum azab kematian dahsyat yang akan dilalui-Nya jika Dia menerima rancangan Allah, tetapi Dia tetap berdoa agar kehendak Allah tetap dilaksanakan. Apa yang ditakuti oleh Yesus bukanlah kematian, tetapi kematian sebagai seorang yang mengambil dosa manusia sejagat ke atas diri-Nya.
f’ Respon Allah kepada doa Yesus bukanlah dengan mengalihkan cawan penderitaan tetapi untuk memberikan kekuatan kepada-Nya untuk menempuhi melalui bantuan malaikat. Setelah dikuatkan, Yesus berdoa dengan lebih bersungguh-sungguh. Dia sangat asyik dengan pertempuran-Nya sehingga berpeluh. Pertempuran tersebut adalah di antara tentangan Iblis terhadap kehendak Allah, tetapi kehendak Allah akan menang di akhirnya.
g’ Ini mungkin gumpalan peluh yang banyak sehingga menitik seperti darah. Ia juga mungkin merujuk kepada keadaan yang dipanggil sebagai hematidrosis, di mana darah dan peluh bercampur disebabkan tekanan, sensitiviti dan perasaan takut yang melampau.
h’ Yesus, di dalam belas kasihan-Nya tidak memarahi murid-murid-Nya kerana tertidur dan gagal untuk berdoa. Malah, Dia menggesa mereka sekali lagi untuk mendoakan diri sendiri.

Mari Fikir Sejenak:

  • Apakah perkara-perkara sukar yang anda hadapi sebagai orang Kristian?
  • Apakah reaksi anda terhadap semua situasi-situasi sukar tersebut?
  • Apakah yang boleh anda pelajari daripada Yesus sewaktu Dia berhadapan dengan penderitaan terbesar dalam hidup-Nya?

Suatu Pegangan Hidup:

Ketahuilah bahawa Yesus memahami perasaan mengalami keadaan yang sukar kerana Dia telah melaluinya.
Ketahuilah bahawa Dia mendoakan anda, seperti Dia mendoakan Petrus agar mampu melalui detik ujiannya.
Oleh itu, teguhlah dan terus mara ke hadapan!

Yesus Ditangkap (ay. 47-53)

47Sementara Yesus masih berkata-kata, datang-lah sekumpulan orang.i’ Mereka dipimpin oleh Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus. Yudas mendekati Yesus untuk menciumj’ Dia. 48Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman, kamu mengkhianati Anak Manusia?”
49Apabila pengikut Yesus yang di situ nampak apa yang akan berlaku, mereka berkata, “Tuhan, biarlah kami menyerang dengan pedang!” 50Seorang antara mereka memukul hambaj’ Imam Agung serta mengerat telinga kanannya.
51Yesus berkata, “Sudahlah!” Lalu Dia menjamah telinga orang itu dan menyembuhkannya.l’
52Setelah itu Yesus berkata kepada semua ketua imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan pemimpinm’ masyarakat Yahudi yang datang ke situ untuk menangkap Dia, “Adakah Aku ini penjahat, sehingga kamu mesti datang dengan membawa pedang dan belantan untuk menangkap Aku? 53Tiap-tiap hari Aku bersama-sama kamu di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Tetapi inilah masanya kamu bertindak,n kerana kuasa kegelapan sedang memerintah.o’

Teropong:

i’ Lukas mengenal pasti identiti orang ramai ini di dalam ayat 52 sebagai ketua imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan pemimpin masyarakat. Mereka datang dengan pedang dan kayu pemukul sebagai persediaan jika terdapat tentangan di dalam cubaan mereka untuk menangkap Yesus.
j’ Ciuman bukanlah cara menyampaikan salam yang asing apabila kaum lelaki bertemu. Ia menunjukkan persahabatan dan keakraban. Tetapi di sini, Yudas telah menukarkan ciuman tersebut sebagai satu ciuman pengkhianatan. Di dalam Injil Matius dan Markus, kita diberitahu bahawa Yudas telah mengaturkan bahawa ciumannya adalah petanda untuk mengenal pasti Yesus. Ia menjadi tidak penting kerana Yesus memperkenalkan diri-Nya (rujuk Yoh 18:5) tetapi Yudas tetap juga melaksanakan rancangannya.
k’ Nama hamba imam agung tersebut adalah Malkhus. Identiti si penyerang adalah Petrus (rujuk Yoh 18:10).
l’ Yesus membetulkan kesilapan yang dilakukan oleh para pengikut-Nya. Tindakan yang dilakukan oleh mereka adalah bercanggah dengan ajaran-Nya.
m’ Menurut Injil-injil yang lain, terdapat dua golongan yang turut hadir pada waktu tersebut – guru-guru Taurat, dan askar Roma.
n’ Waktu tersebut adalah waktu yang ditentukan untuk musuh Yesus menangkap-Nya, waktu untuk kuasa kegelapan (kuasa kejahatan) berusaha untuk mengalahkan rancangan Allah.
o’ Kegelapan adalah simbol kepada kuasa Iblis. Yesus melihat kuasa Rumah Tuhan dan juga Majlis Agama sebagai alat yang digunakan oleh Iblis.

Yesus Dibicarakan (ay. 54-71)

54Mereka menangkap Yesus dan membawa Dia ke rumah Imam Agung.p’ Petrus mengikut dari jauh. 55Api unggun telah dinyalakan di tengah-tengah halaman rumahq’ itu dan Petrus pergi duduk dengan orang lain yang duduk di sekelilingnya. 56Apabila salah seorang hamba wanita nampak Petrus duduk dekat api unggun, dia mengamati Petrus lalu berkata, “Orang ini juga bersama-sama Yesus!”
57Tetapi Petrus menafikannya, “Aku tidak mengenal orang itu!”
58Sejurus kemudian, seorang lagi nampak Petrus dan berkata, “Kamu juga seorang daripada mereka!” Tetapi Petrus menjawab, “Bukan!”
59Kira-kira sejam kemudian, seorang lain berulang kali berkata, “Pasti orang ini pengikut Yesus, kerana dia juga orang Galilea!” r’
60Tetapi Petrus menjawab, “Aku tidak faham apa yang kamu katakan!” Seketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok.
61Tuhan pun berpaling dan memandang Petrus.s Petrus teringat akan apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadanya, “Sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.” 62Petrus keluar dari situ lalu menangis tersedu-sedu.
63Semua orang yang mengawal Yesust’ memper-mainkan dan memukul Dia. 64Mereka menutupi mata-Nya lalu bertanya kepada-Nya, “Tekalah, siapakah yang memukul kamu?” 65Banyak lagi hinaan lain yang dilemparkan oleh mereka kepada Yesus.
66Pada pagi hari,u’ para pemimpin masyarakat Yahudi, ketua imam, dan guru Taurat bermesyuarat,v’ lalu Yesus dibawa ke hadapan Majlis Agama. 67Mereka berkata, “Katakanlah, benarkah kamu ini Penyelamat yang diutus oleh Allah?” Yesus menjawab, “Jika Aku memberitahu kamu, kamu pun tidak mahu percaya.
68Jika Aku bertanya apa-apa, kamu tidak mahu menjawab. 69Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.w’
70Mereka semua bertanya, “Adakah kamu ini Anak Allah?” Yesus menjawab, “Begitulah yang kamu katakan.” 71Mereka berkata, “Kita tidak perlu saksi lagi! Kita telah mendengar apa yang dikatakannya!” x’

Teropong:

p’ Rumah yang dimaksudkan mungkin milik Hanas, mertua kepada Kayafas Imam Agung (rujuk Bab 3 nota e). Perjumpaan ini mungkin adalah perbicaraan ataupun pemeriksaan rasmi terhadap Yesus di hadapan imam agung dan juga beberapa ahli Majlis Agama.
q’ Unggun api di halaman rumah adalah satu kemestian kerana waktu malam musim bunga adalah sangat sejuk di Yerusalem. Petrus adalah satu-satunya murid yang mengikuti Yesusdari belakang.
r’ Cabaran ketiga adalah lebih serius. Lelaki tersebut berkeras untuk mengatakan dakwaannya adalah benar dengan membuktikan bahawa Petrus datang dari Galilea seperti Yesus. Ini menunjukkan mungkin loghat Galilea Petrus menjadi bukti kepada dakwaannya. Lelaki ini adalah bau-bau bacang kepada Malkhus, hamba kepada imam agung (rujuk Yoh 18:26).
s’ Kita tidak diberitahu lokasi kedudukan Yesus pada ketika ini. Dia mungkin berada di sebuah bilik sambil melihat kawasan halaman rumah ataupun sedang diiring melalui kawasan tersebut meninggalkan rumah Hanas ke Majlis Agama. Walau apapun, Dia berada di sebuah tempat di mana Dia boleh melihat Petrus. Yesus melihat Petrus dan ini menyebabkan Petrus teringat nubuat Yesus tentang dirinya.
t’ Yesus diserahkan kepada sekumpulan askar untuk mengawal-Nya sehingga sesi formal Majlis Agama pada waktu siang bermula. Mereka mengambil peluang tersebut untuk mengejek dan mempermainkan tawanan mereka.
u’ Perbicaraan yang sah hanya boleh dilakukan pada waktu siang apabila kesemua Majlis Agama hadir untuk menjatuhkan hukuman maut.
v’ Ini adalah penggenapan untuk nubuat yang dilakukan oleh Yesus di dalam Luk 9:22.
w’ ‘Tangan kanan’ adalah posisi kehormat dan duduk pula adalah posisi untuk berehat. Pekerajaan penyelamatan-Nya sudah selesai, Yesus kemudian akan memiliki tempat kehormat tertinggi. Kemuliaan-Nya akan menebus dan membuktikan identiti sebenar Yesus.
x’ Reaksi terhadap jawapan Yesus menunjukkan bahawa Dia telah menjawab dengan tegas. Tindakan untuk mendakwa diri sebagai Mesias dan Anak Allah adalah kata-kata kufur melainkan dakwaan tersebut adalah benar. Dosa mengkufuri Allah bukan sahaja melibatkan mencaci (memburuk-burukan) nama Allah tetapi juga sebarang cemuhan ke atas keagungan dan kewibawaan-Nya. Dakwaan Yesus untuk menjadi Anak Allah serta mempunyai keagungan dan kewibawaan yang hanya dimiliki oleh Allah dianggap sebagai kata-kata kufur. Menurut Hukum Musa, hukumannya adalah hukuman mati.

Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.