1 Pada tahun kelima belas pemerintahan Kaisar Tiberius, a Pontius Pilatus ialah gabenor negeri Yudea b dan Herodes c memerintah negeri Galilea. Filipus, saudara Herodes, menguasai kawasan Iturea dan Trakhonitis; dan Lisanias d memerintah di Abilene. 2 Pada masa itu, Hanas dan Kayafas menjabat kedudukan Imam Agung.e Itulah masanya Allah berfirman kepada Yohanes anak Zakharia di padang gurun. 3 Lalu Yohanes menjelajah seluruh kawasan Sungai Yordan dan mengisytiharkan berita daripada Allah. Yohanes berseru, “Bertaubatlah daripada dosa kamu dan hendaklah kamu dibaptis, supaya Allah mengampunkan dosa kamu.” 4 Seperti yang tertulis di dalam kitab Nabi Yesaya,
“Seorang berseru di padang gurun, ‘Sediakanlah jalan untuk Tuhan, f luruskanlah jalan bagi-Nya!
5 Tiap-tiap lembah hendaklah ditimbus, tiap-tiap gunung dan bukit diratakan. Jalan yang berliku-liku hendaklah diluruskan, dan jalan yang lekak-lekuk diratakan.
6 Lalu setiap orang akan melihat Allah menyelamatkan manusia!’”
7 Banyak orang datang kepada Yohanes supaya dibaptis olehnya. “Kamu orang jahat!” kata Yohanes kepada mereka. “Siapakah yang memberitahu kamu bahawa kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman g Allah yang akan datang? 8 Lakukanlah perkara-perkara yang menunjukkan bahawa kamu sudah bertaubat daripada dosa! Janganlah mula berkata sesama sendiri, ‘Abraham nenek moyang kami.’ Ketahuilah, Allah dapat membuat batu-batu ini menjadi keturunan untuk Abraham! 9 Lihatlah, kapak sudah tersedia untuk menebang pokok sehingga ke akarnya. Tiap-tiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang lalu dibuang ke dalam api.” h
10 Orang ramai bertanya kepada Yohanes, “Apakah yang harus kami lakukan?”
11 Yohanes menjawab, “Sesiapa yang mempunyai dua helai baju, harus memberikan sehelai kepada orang yang tidak mempunyai bajui; dan sesiapa yang mempunyai makanan, harus berkongsi makanandengan yang berkekurangan.”
12 Beberapa orang pemungut cukai j datang dan minta dibaptis. Mereka bertanya kepada Yohanes, “Guru, apakah yang harus kami lakukan?” 13 Yohanes berkata, “Janganlah minta lebih daripada apa yang telah ditetapkan.”
14Askar-askar k juga bertanya kepadanya, “Bagaimana dengan kami? Apakah yang harus kami lakukan?” Yohanes menjawab, “Janganlah peras duit daripada sesiapa pun, dan jangan rampas wang dengan mengajukan tuduhan palsu. Berpuas hatilah dengan gaji kamu!”
15 Harapan orang ramai mula timbul. Mereka tertanya-tanya sama ada Yohanes itu Penyelamat yang diutus oleh Allah. 16 Yohanes berkata kepada mereka, “Aku membaptis kamu dengan air, tetapi Dia yang lebih besar daripadaku akan datang. Aku pun tidak layak mengurai tali kasut-Nyal. Dia akan membaptis kamu dengan Roh Allah dan api m. 17 Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan mengumpulkan gandum yang bersih di dalam jelapang, tetapi Dia akan membakar sekam di dalam api yang tidak dapat padam!”n
18 Demikianlah Yohanes menasihati orang dengan berbagai-bagai cara, pada waktu dia mengisytiharkan Berita Baik. 19 Tetapi Yohanes menegur Gabenor Herodes tentang perkahwinannya dengan Herodias, o isteri saudaranya, dan tentang semua kejahatan lain yang telah dilakukannya. 20 Kemudian Herodes melakukan perbuatan yang lebih jahat lagi; dia memenjarakan p Yohanes.
a Kaisar Tiberius mengambil alih kerajaan Roma selepas kematian Kaisar Agustus pada 19 Ogos, 14 M. Tahun kelima belas pemerintahan Tiberius berada di lingkungan 28-29 M. Ahli sejarah selalunya menandakan tarikh dengan memberikan tahun pemerintahan raja apabila kejadian tersebut mengambil tempat.
b Yudea merupakan sebahagian daripada kawasan yang diberikan oleh Herodes Agung (rujuk ‘Kerabat Diraja Herodes Agung’, ms.7) kepada anaknya Archelaus. Archelaus memerintah dengan zalim sehinggakan para rakyat meminta pemerintah Roma untuk menurunkan dia. Mereka berbuat demikian untuk mendudukkan gabenor ataupun peguam cara pilihan mereka sendiri pada 6 M. Pontius Pilatus memegang jawatan ini sejak dari 26 M hingga 36 M (rujuk ‘Pontius Pilatus’, ms. 8).
c Herodes yang dimaksudkan adalah Herodes Antipas, anak kepada Herodes Agung. Dia menjadi pemerintah Galilea dan Perea sewaktu kematian ayahnya pada 4 S.M. sehingga 39 M. Dia memerintah Galilea sewaktu Yesus hidup di sana.
d Tidak banyak yang diketahui tentang Lisanias.
e Hanas menjadi imam agung sejak 6-15 M tetapi dilucut-kan daripada jawatannya oleh Gratus, gabenor Roma. Dia diikuti oleh salah seorang daripada anaknya. Kemudian Kayafas, menantu Hanas mengambil alih jawatan tersebut pada 18-36 M. Walaupun Kayafas merupakan imam agung yang sah, sebagai ketua keluarga, Hanas ialah imam yang paling berpengaruh dan dia masih memegang panggilan tersebut. Dia mungkin dianggap oleh orang ramai sebagai imam agung yang sebenar. Oleh itu, Lukas menyertakan namanya dengan Kayafas yang dipilih oleh kerajaan Roma.
f Gambaran yang digunakan di sini adalah untuk menyediakan jalan yang akan dilalui oleh pengunjung diraja apabila dia menziarahi negara yang jauh. Setiap penghalang harus dihapuskan untuk menyediakan jalan tersebut. Untuk menyediakan jalan bagi Penyelamat yang diutus oleh Allah, dosa umat-Nya harus dihapuskan dan inilah tujuan yang ingin Yohanes lakukan – untuk mengkhabarkan pertaubatan dan pengampunan dosa.
g Ini adalah rujukan kepada kehancuran Yerusalam (21:20-24) yang terjadi pada 70 M dan juga penghakiman terakhir.
h Ini adalah cara simbolik untuk mengatakan bahawa penghakiman sudah dekat bagi mereka yang tidak menunjukkan bukti ataupun hasil kepada pertaubatan di dalam hidup. Api digunakan sebagai simbol penghakiman.
i ‘Baju’ merujuk kepada baju pendek ataupun pakaian dalam pendek yang digunakan sebelum jubah luaran dikenakan (rujuk ‘Pakaian’, ms.18). Lazimnya, hanya sehelai yang akan dipakai. ‘Baju’ tambahan akan dipakai untuk tujuan memanaskan badan ataupun sebagai pakaian ganti. Memandangkan pemakaian dua helai baju adalah tidak diperlukan, helaian kedua seharusnya diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan.
j Kerajaan Roma mengenakan cukai kepada rakyatnya. Cukai tersebut dipungut oleh ejen Yahudi di Israel yang juga dipanggil sebagai pemungut cukai (rujuk ‘Golongan Sosial’, ms.19). Mereka dibenci ramai kerana membantu pemerintah pagan dan juga menipu rakyat sendiri dengan memungut lebih daripada yang sepatutnya untuk kegunaan sendiri.
k Askar-askar ini mungkin ialah askar Yahudi yang ditugaskan untuk hal ehwal dalaman Yahudi, contohnya pengawal Rumah Tuhan, pelindung untuk pemungut cukai, dll. Kerajaan Roma membenarkan kuasa ketenteraan Yahudi untuk beberapa individu dan istitusi Yahudi. Apa yang dikutuk oleh orang ramai bukanlah pekerjaan pemungut cukai dan askar, tetapi amalan tidak beretika yang dilakukan oleh mereka.
l Terdapat satu bidalan di kalangan para rabbi yang mengatakan sama seperti sebarang khidmat yang dilakukan oleh seorang hamba kepada tuannya, begitu juga seorang murid harus lakukan terhadap gurunya, kecuali untuk membuka tali kasutnya. Para rabbi tidak dibayar tetapi murid-murid harus menunjukkan penghargaan mereka dengan memberikan pelbagai perkhidmatan kepada guru. Yohanes mengatakan bahawa dia tidak layak untuk melakukan bahkan tugasan yang rendah untuk Yesus.
m Api ialah simbol purba untuk penghakiman, penyucian dan pembersihan. Yohanes membaptis dengan air. Yesus yang lebih besar daripada Yohanes akan membaptis dengan Roh Allah dan akan membersihkan serta menyucikan dengan api. Perkara ini dipenuhi pada hari Pentakosta (Kis 1:5, 2:4).
n Yohanes meneruskan tema penghakiman. Menampi adalah sebuah proses untuk membuang gandum yang telah longgar daripada sekam kerana diinjak oleh kerbau ke udara melawan tiupan angin. Angin akan membawa jerami (sekam yang kosong) pergi, tetapi gandum akan jatuh lurus ke bawah. Garpu penampi ataupun penyodok digunakan untuk melambung gandum ke udara. Gandum akan dibawa ke dalam gudang manakala jerami akan dibakar.
Yohanes menggunakan gambaran ini untuk menunjukkan bahawa apabila Yesus datang, mereka yang menerima Dia akan menjadi seperti gandum tetapi mereka yang tidak bertaubat dan menolak Dia, meskipun berbangsa Yahudi, akan menjadi seperti jerami. Mereka akan berhadapan dengan pengkahiman Allah. Ramai orang Yahudi yang berfikiran bahawa hanya orang pagan akan dihakimi dan dihukum apabila Mesias tiba. Akan tetapi, Yohanes mewartakan bahawa penghakiman akan menimpa semua orang yang tidak bertaubat, termasuklah orang Yahudi sendiri.
o Herodias ialah isteri kepada Filipus, saudara Herodes Antipas. Dia meninggalkan Filipus untuk berkahwin dengan Herodes setelah Herodes menceraikan isterinya untuk berkahwin dengannya. Herodias juga ialah anak buah kandung Herodes Antipas (rujuk ‘Kerabat Diraja Herodes Agung’ ms. 7)
p Perkara ini tidak mengambil tempat sehinggalah di awal pelayanan Yesus. Lukas menyentuhnya di sini kerana dia ingin menutup bahagian pelayanan Yohanes sebelum memulakan kisah pelayanan Yesus.
Bukan mudah untuk berdiri bagi apa yang benar, tetapi anda sentiasa boleh meminta Allah untuk memberikan anda keberanian untuk berbuat demikian, dan Dia pasti akan melakukannya.
21 Setelah semua orang itu dibaptis, Yesus juga dibaptis.q Ketika Dia berdoa,r langit terbuka,s 22dan Roh Allah berwujudt burung merpati turun ke atas-Nya. Lalu terdengar suara dari syurga mengatakan, “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkauu menyenangkan hati-Ku.”
q Yesus tidak dibaptis kerana berdosa ataupun memerlukan pertaubatan. Dia berbuat demikian untuk menyerupakan diri-Nya kepada mereka yang ingin diselamatkan-Nya.
r Hanya Lukas yang mencatatkan bahawa Yesus berdoa sewaktu dibaptis.
s Di dalam Alkitab, ‘langit terbuka’ menunjukkan kepada pewahyuan Allah yang mendatang (rujuk Yehezkiel 1:1; Wahyu 4:1). Dalam peritiwa ini, Roh Allah turun dan terdengar suatu suara dari syurga.
t Roh Allah turun secara fizikal menunjukkan itu bukan sebuah bayangan tetapi suatu realiti objektif. Burung merpati dikira sebagai lambang kepada Roh Allah. Semuanya berlaku sewaktu Yesus berdoa selepas dibaptis.
u Pemberian Roh Allah diikuti dengan suara Allah dari syurga untuk mengesahkan pengiktirafan Bapa Syurgawi akan Yesus. “Engkau menyenangkan hati-Ku” bermaksud rahmat dan nikmat Allah beserta Yesus. Semua kejadian menandakan panggilan Yesus kepada pelayanan umum-Nya, sebuah panggilan yang disertai dengan pemberian Roh Allah dan pengesahan suara Bapa-Nya dari syurga.
Lukas juga turut mencatatkan sebuah kejadian lain di mana suara dari syurga menjawab Yesus. Ia terjadi di atas bukit di mana Yesus dimuliakan (9:35). Di dalam injil Yohanes, terdapat sebuah insiden lain di mana suara Allah kedengar-an dari syurga. Ia terjadi di dalam ruang Rumah Tuhan sewaktu minggu terakhir Yesus di Yerusalem (Yohanes 12:28).
23 Ketika Yesus memulakan pelayanan-Nya, Dia berumur kira-kira tiga puluh tahun.v Menurut pendapat orang, Dia anak Yusufw anak Eli, 24 anak Matat, anak Lewi, anak Malkhi, anak Yanai, anak Yusuf, 25 anak Matica, anak Amos, anak Nahum, anak Hesli, anak Nagai, 26 anak Maat, anak Matica, anak Simei, anak Yosekh, anak Yoda, 27 anak Yohanan, anak Resa, anak Zerubabel, anak Sealtiel, anak Neri, 28 anak Malkhi, anak Adi, anak Kosam, anak Elmadam, anak Er, 29 anak Yosua, anak Eliezer, anak Yorim, anak Matat, anak Lewi, 30 anak Simeon, anak Yehuda, anak Yusuf, anak Yonam, anak Eliakim, 31 anak Melea, anak Mina, anak Matata, anak Natan, anak Daud, 32 anak Isai, anak Obed, anak Boas, anak Salmon, anak Nahason, 33 anak Aminadab, anak Admin, anak Arni, anak Hezron, anak Peres, anak Yehuda, 34 anak Yakub, anak Ishak, anak Abraham, anak Terah, anak Nahor, 35 anak Serug, anak Rehu, anak Peleg, anak Eber, anak Selah, 36 anak Kenan, anak Arpakhsad, anak Sem, anak Nuh, anak Lamekh, 37 anak Metuselah, anak Henokh, anak Yared, anak Mahalaleel, anak Kenan, 38 anak Enos, anak Set, anak Adam, anak Allah.x
v Lukas adalah satu-satunya penulis Injil yang memberikan kita umur Yesus ketika Dia memulakan pelayanan-Nya. Ini adalah umur di mana orang Yahudi memasuki ‘khidmat awam’, contohnya, umur ketika orang Lewi memulakan khidmat mereka (Bil 4:3), Yusuf memasuki khidmat kepada Firaun (Kej 41:46), dll. Ia mungkin dipandang sebagai umur di mana seorang lelaki menjadi benar-benar matang.
w Lukas telah mengesahkan kelahiran Yesus tanpa persetu-buhan sebelum ini. Kini dia kembali menjelaskan bahawa Yusuf hanyalah ayah angkat kepada Yesus.
x Pokok keluarga Yesus yang dilakarkan oleh Lukas berbeza daripada yang terdapat di dalam Injil Matius (lihat Mat 1: 1-17). Matius bermula dengan Abraham. Lukas bermula dengan Yusuf kemudian berundur melalui Daud, Abraham, Adam dan kepada Allah. Rujukan kepada Adam sebagai anak Allah menunjukkan asal usul keilahian bagi bangsa manusia. Lukas mungkin ingin menekankan bahawa Yesus menyerupakan diri-Nya dengan seluruh umat manusia. Sebilangan sarjana mencadangkan bahawa Matius mengikuti jalur keluarga Yusuf manakala Lukas mengikuti Maria.
Pernahkan anda mempertimbangkan fakta bahawa Allah mempunyai panggilan untuk setiap anak-Nya, termasuk anda? Ia mungkin bukan untuk melayani Dia secara sepenuh masa tetapi ia sudah pasti untuk melayani Dia dengan taat di mana jua anda ditempatkan.
Aku sendiri tahu akan rancangan-Ku untuk kamu. Rancangan itu bukan untuk mencelakakan kamu, tetapi untuk kemakmuran kamu dan untuk memberikan masa depan yang kamu harap-harapkan.
(Yeremia 29:11)
Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.