Bab 4 Lukas 4

Yesus Dicubai oleh Iblis (ay. 1-13)

1 Yesus yang dikuasai oleh Roh Allah, kembali dari kawasan Sungai Yordan.a Yesus dipimpin oleh Roh Allah ke padang gurun.b 2 Di situ Dia dicubai oleh Iblis c selama empat puluh hari.d Sepanjang masa itu, Yesus tidak makan apa-apa, e sehingga Dia lapar.
3 Iblis berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, f perintahlah batu ini menjadi roti.”
4 Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja.g ’”
5 Lalu Iblis membawa Yesus ke tempat yang tinggi, dan dalam sekelip mata Iblis menunjukkan segala kerajaan di dunia kepada-Nya. 6 “Aku akan memberikan segala kekuasaan dan kekayaan ini kepada-Mu,” kata Iblis kepada Yesus. “Semuanya ini telah diberikan kepadaku, dan aku berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang aku suka.
7 Semua ini akan menjadi milik-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku.h
8 Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Sembahlah Tuhan Allahmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja i !’”
9 Lalu Iblis membawa Yesus ke Yerusalem dan menaruh Dia di puncak Rumah Tuhan dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah, j 10 kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan memerintah para malaikat-Nya menjaga Engkau baik-baik.’ 11 Juga tertulis, ‘Malaikat akan menyambut Engkau dengan tangan, supaya kaki-Mu tidak terhantuk pada batuk.’”
12 Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Janganlah cubai Tuhan Allahmu l. ’”
13 Apabila Iblis selesai mencubai Yesus dengan segala upaya, dia meninggalkan Yesus untuk sementara waktu.m

Teropong:

a Merujuk kepada Sungai Yordan di mana Yesus telah dibaptiskan oleh Yohanes.
b Kawasan ini terletak di antara pusat Yudea yang dikelilingi oleh banyak kota dengan Laut Mati. Ia ialah tempat yang dipenuhi dengan bukit berdebu, batu kapur dan bukit batu.
c Nama Iblis adalah salah satu daripada panggilan untuk Syaitan, musuh utama Allah dan manusia. Adalah dipercayai bahawa suatu ketika dahulu, Syaitan merupakan salah seorang daripada malaikat Allah. Akan tetapi dia memberontak melawan Allah dan membawa sekumpulan malaikat untuk memberontak bersamanya. Walaupun Iblis kelihatan seperti berada di mana-mana, dia tidaklah maha hadir seperti Allah. Dia menggunakan roh jahat ataupun syaitan-syaitan untuk melaksanakan rancangannya. Alkitab mempunyai banyak nama untuknya – ‘Beelzebub, putera syaitan’ ‘ular purba’, ‘ilah zaman ini’, ‘penguasa kerajaan di langit’, dll.
e 40 hari di sini mungkin digunakan untuk menyerupai 40 tahun perjalanan Israel di padang gurun selepas dibebaskan dari Mesir. Terdapat banyak insiden di dalam Alkitab yang melibatkan jangka masa 40 hari – Musa berpuasa selama 40 hari di atas Gunung Sinai sementara dia menunggu pemberian Sepuluh Hukum (Ul 9:9); Elia berjalan selama 40 hari untuk tiba di Gunung Horeb (1 Raja-Raja 19:8); Allah menghantar hujan selama 40 hari dan 40 malam pada zaman Nuh (Kej 7:4); dsbnya.
e Lukas mengatakan bahawa Yesus digoda selama 40 hari sewaktu Dia berpuasa. Ketiga-tiga godaan yang dicatatkan di dalam Matius dan Lukas mungkin terjadi ketika di akhir jangka masa tersebut, apabila Yesus sangat kelaparan dan daya tahan-Nya menjadi paling lemah.
f Iblis bukan ingin membuat Yesus meragui identiti diri-Nya sebagai Anak Allah tetapi ingin menggoda Dia untuk menggunakan kuasa luar biasa-Nya sebagai Anak Allah untuk kepentingan diri sendiri.
g Ini ialah petikan daripada Ulangan 8:3. Musa mengingatkan orang Israel bagaimana Allah telah menguji mereka selama 40 tahun di padang gurun. Dia tidak pernah gagal memenuhi janji-Nya untuk menampuung mereka, dan Dia telah memberikan mereka manna untuk dimakan.
h Iblis menggoda Yesus untuk mengelak penderitaan di kayu salib. Godaan ditawarkan sebagai satu jalan pintas untuk menguasai dunia.
i Dipetik daripada Ulangan 6:13.
j Iblis menggoda Yesus untuk menguji kesetiaan Allah.
k Iblis memetik Maz 91:1-11-12 di luar konteks. Kita tidak boleh mengambil ayat-ayat Alkitab di luar konteks untuk memberikan mereka maksud yang kita inginkan.
l Yesus memetik Ulangan 6:16 di mana Musa mengingatkan umat Israel untuk tidak menguji Allah seperti yang mereka lakukan di padang gurun.
m Iblis tidak henti-henti menguji Yesus di sepanjang pelayanan-Nya (rujuk Markus 8:33), dan itu memuncak di dalam ujian terakhir di Taman Getsemani.
Godaan.

Mari Fikir Sejenak:

Godaan ada di mana-mana. Tidak ada sesiapa yang mampu melarikan diri daripadanya. Yesus tidak dan begitu juga akan anda.

  • Apakah godaan yang anda sedang hadapi sekarang?
  • Apakah yang boleh anda pelajari daripada teladan Yesus untuk membantu anda mengatasi godaan-godaan tersebut?

Yesus Tidak Diterima di Nasaret (ay. 14-30)

14 Yesus kembali ke Galilea dan kuasa Roh Allah menyertai Dia. Berita tentang Yesus tersebar ke seluruh daerah itu. 15 Yesus mengajar di rumah ibadatn dan Dia dipuji oleh semua orang.
16 Kemudian Yesus pergi ke Nasaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat, seperti biasa Yesus pergi ke rumah ibadat. Dia berdiri untuk membaca Alkitabo, 17 lalu Dia diberikan gulungan naskhahp yang berisi perkhabaran daripada Nabi Yesaya. Yesus membuka gulungan naskhah itu, lalu mendapatkan bahagian yang tertulis,
18 “Roh Tuhan ada pada-Ku. Dia telah melantik Aku supaya mengkhabarkan Berita Baik kepada orang miskin.
Dia mengutus Aku supaya mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, kesembuhan bagi orang buta; dan kemerdekaan bagi orang yang tertindas,
19 serta mengisytiharkan masanya Tuhan menyelamatkan umat-Nya.q
20 Yesus menggulung gulungan naskhah itu semula dan mengembalikannya kepada petugas, lalu duduk.r Mata semua orang di dalam rumah ibadat itu tertumpu kepada Yesus. 21 Yesus mula berkata kepada mereka, “Pada hari ini ayat-ayat Alkitab ini sudah berlaku pada masa kamu mendengarnya.”
22 Kata-kata yang diucapkan oleh Yesus baik sekali sehingga para pendengar-Nya kagum. Mereka berkata, “Bukankah dia anak Yusuf?”
23 Tetapi Yesus berkata, “Tentu kamu akan menyebut peribahasa ini kepada-Ku, ‘Hai doktor, sembuhkanlah dirimu sendiri.’ Kamu juga akan berkata, ‘Kami mendengar tentang semua perkara yang sudah berlaku di Kapernaum, lakukanlah semuanya di kampung halamanmus juga.’” 24 Yesus berkata lagi, “Ketahuilaht, seorang nabi tidak pernah dihormati di kampung halamannya sendiri. 25 Dengarkan kata-kata-Ku: Memang ada banyak balu di Israel pada zaman Nabi Elia. Pada masa itu musim kemarau berlanjutan, kerana hujan tidak turun selama tiga tahun setengah sehingga bencana kebuluran yang dahsyat berlaku di negeri itu. 26 Tetapi Allah tidak menyuruh Elia pergi kepada salah seorang balu itu. Dia disuruh pergi kepada seorang balu yang tinggal di Sarafat di daerah Sidonu. 27 Demikian juga ada banyak orang berpenyakit kulit yang mengerikan di Israel pada zaman Nabi Elisa. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka disembuhkan, kecuali Naaman orang Siriav itu.”
28 Semua orang di rumah ibadat itu sangat marah apabila mereka mendengar hal itu. 29 Mereka bangkit lalu menyeret Yesus ke luar bandar dan membawa-Nya ke puncak bukit tempat kota mereka dibina. Mereka bermaksud menolak Yesus ke dalam jurang. 30 Tetapi Yesus terus berjalan antara orang ramaiw lalu pergi dari situ.

Teropong:

n Rumah ibadat (istilah Yunani synagogue yang bermaksud ‘ruang berkumpul’) adalah sangat penting untuk institusi Yahudi pada waktu tersebut (rujuk ‘Rumah Ibadat’, ms. 13). Ia mungkin berasal dari amalan sewaktu orang Yahudi dibuang negara apabila mereka dihalau dari Yerusalem dan ditempatkan di Babilonia. Ia adalah sebuah tempat di mana orang Yahudi mempelajari Firman Allah dan juga ruang awam untuk kegiatan menyembah Allah.
Ia dimulakan dengan lafaz pengakuan iman Yahudi, diikuti dengan doa. Seterusnya adalah Bacaan Firman yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dan ia mestilah dilakukan dengan posisi berdiri. Sebuah khotbah akan menyusul dan pengkhotbah mengajar sambil duduk. Sesiapa sahaja yang mampu mengajar akan dijemput untuk memberikan khotbah harian. Inilah yang dilakukan oleh Yesus sewaktu Dia mengajar di rumah ibadat.
o Ini ialah petikan bacaan Firman Tuhan untuk hari tersebut dan ia dilakukan dengan posisi berdiri.
p Kitab-kitab di dalam Perjanjian Lama ditulis di atas skrol, dan disimpan di tempat khas di dalam rumah ibadat. Ia diberikan kepada si pembaca oleh pembantu khusus. Petikan yang dibaca oleh Yesus mungkin telah diberikan kepada-Nya pada hari tersebut ataupun dipilih oleh-Nya sendiri.
q Di dalam terjemahan yang lain, ayat ini diterjemahkan ‘untuk memberitakan tahun rahmat Tuhan’. Ia dipetik daripada Yesaya 61:1-2. Tahun tersebut merujuk kepada tahun Yobel (Imamat 25:8-55), di mana sekali di dalam 50 tahun para hamba akan dibebaskan, hutang dihapuskan dan harta benda keluarga dikembalikan kepada pemilik asal. Yesaya menjangkakan pembebasan Israel daripada jajahan Babilonia. Tetapi Yesus merujuk kepada pembebasan daripada dosa dan kesan-kesannya.
r Yesus duduk, menunjukkan postur untuk berkhotbah.
s Walaupun Yesus dilahirkan di Betlehem, Dia dibesarkan di Nasaret dan orang ramai mungkin menginginkan Dia untuk hidup setaraf dengan reputasi-Nya. Oleh kerana mereka tidak percaya (Markus 6;5), Yesus tidak mampu melakukan sebarang keajaiban di sana. Dia kemudian memetik dua contoh untuk menunjukkan bahawa Allah mengutus nabi-Nya kepada dua individu bukan Israel.
t Di dalam beberapa terjemahan yang lain, Yesus menggunakan frasa ‘Sesungghnya, Aku berkata kepadamu’ sebelum memetik bidalan tersebut. Frasa ini digunakan sebanyak enam kali di dalam Lukas tetapi ia sering digunakan oleh Yesus di dalam Injil Matius dan Yohanes. Yesus ingin menekankan bahawa kata-kata-Nya yang menyusul adalah sangat penting.
u Rujuk 1 Raja-Raja 17:1-16 untuk kisah penuh.
v Rujuk 2 Raja-Raja 5:1-5 untuk kisah penuh.
w Lukas tidak menjelaskan sama ada Yesus melepaskan diri secara ajaib ataupun hanya dengan aura-Nya yang berkuasa. Walau apapun, ia bukan masanya bagi Yesus untuk mati.

Yesus Menghalau Roh Jahat (ay. 31-37)

31 Lalu Yesus pergi ke Kapernaumx, sebuah kota di Galilea. Di situ Dia mengajar orang pada hari Sabat. 32Orang kagum melihat cara Yesus mengajar, kerana Dia berkata-kata dengan wibaway. 33Di rumah ibadat itu ada seorang yang dirasuk roh jahat. z Orang itu memekik dengan suara kuat, 34“Engkau mahu berbuat apa dengan kami, hai Yesus, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan suci daripada Allah!”
35Yesus memerintah roh itu, “Diama’, dan keluarlah daripada orang ini!” Kemudian roh jahat itu membanting orang itu di hadapan mereka, lalu keluar daripada orang itu tanpa menyakitinya.
36Semua orang hairan dan bercakap sesama sendiri, “Alangkah hebat kata-katanya. Dengan wibawa dan kuasa, dia memerintah roh-roh jahat keluar lalu roh-roh itu pun keluar!” 37Laporan tentang Yesus tersebar di seluruh kawasan itu.

Teropong:

x Kapernaum ialah sebuah perkampungan nelayan di tepi Tasik ataupun Laut Galilea. Ia juga merupakan kampung yang dipilih oleh Yesus sebagai pusat pelayanan-Nya ke serata kawasan Galilea. Ia ialah sebuah kota yang agak besar yang dipenuhi dengan pengaruh-pengaruh Yunani.
y Kebanyakan daripada rabbi mengasaskan ajaran mereka di atas tradisi dan didikan rabbi-rabbi sebelumnya. Walau bagaimanapun, Yesus mangagumkan orang ramai kerana Dia bukan sahaja seorang rabbi tetapi Dia juga berkata-kata di atas kewibawaan-Nya sendiri.
z Kerasukan syaitan kelihatan seperti fenomena yang lazim berlaku pada waktu itu. Berita baik yang dikhotbahkan oleh Yesus dan kehadiran-Nya mencetuskan perbalahan dengan kuasa jahat. Syaitan kenal akan Yesus dan mereka mengetahui kuasa dan kewibawaan-Nya ke atas mereka. di dalam terjemahan lain, syaitan dijelaskan sebagai roh kotor ataupun tidak suci. Ia tidak suci dibandingkan dengan Allah yang Maha Kudus.
a’ Yesus mengarahkan syaitan untuk berdiam. Kita boleh melihat corak di mana Yesus tidak mahu orang ramai mengetahui identiti sebenar-Nya di peringkat awal pelayanan-Nya. Ini mungkin disebabkan untuk mengelak-kan daripada kesalah-fahaman orang ramai ke atas Diri-Nya dan tidak mencuba untuk menjadikan Dia sebagai seorang Mesias politikal. Alasan lain adalah ia mungkin disebabkan kerana Dia mahu menunjukkan siapa diri-nya yang sebenar kepada para murid melalui pekerjaan-Nya.

Mari Fikir Sejenak:

  • Pertembungan di antara Yesus dan roh jahat menunjukkan kuasa dan kewibaan-Nya ke atas mereka. Adakah anda gentar setiap kali anda mendengar tentang roh jahat?
  • Sekiranya anda mempunyai rasa takut terhadap roh-roh atau pun kegelapan, adalah baik bagi anda untuk mengongsikan perasaan takut tersebut kepada mereka yang lebih tua dan mintalah mereka untuk mendoakan anda.

Suatu Pengangan Hidup:

Ketahuilah bahawa Yesus adalah lebih besar daripada roh jahat dan anda tidak harus takut akan mereka. Yesus hidup di dalam anda melalui Roh Kudus-Nya dan anda boleh mempercayai Dia untuk melindungi anda.

Yesus Menyembuhkan Banyak Orang (ay. 38-44)

38 Yesus meninggalkan rumah ibadat itu, lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mentua Simon sakit; dia demam. Orang di situ memberitahukan hal itu kepada Yesus. 39 Yesus mendekati katil ibu itu, lalu mengusir demamnya. Demam ibu mentua Simon hilang, lalu dia segera bangun untuk melayani mereka.
40 Ketika matahari terbenam b’, semua orang yang mempunyai kawan yang menderita berbagai-bagai penyakit membawa mereka kepada Yesus. Yesus meletakkan tangan-Nya ke atas tiap-tiap orang dan menyembuhkan mereka semua. 41Roh-roh jahat pun keluar daripada banyak orang, sambil berseru, “Engkau Anak Allah!” Yesus menengking roh-roh itu dan berkata, “Diam!” Dia berkata demikian kerana roh-roh itu tahu bahawa Dia Penyelamat c’ yang diutus oleh Allah.
42Apabila fajar menyingsing, Yesus meninggalkan kota itu lalu pergi ke tempat yang sunyi d’. Orang ramai mula mencari Dia. Apabila mereka menjumpai Dia, mereka cuba menghalang Dia meninggalkan kota itu. 43Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah e’ harus Aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana Allah mengutus Aku untuk melakukan tugas itu.”
44Demikianlah Dia menyampaikan Berita Baik itu di rumah ibadat di seluruh Yudea.

Teropong:

b’ Sabat berakhir sewaktu matahari terbenam. Sebelum Sabat berakhir, orang Yahudi tidak boleh berjalan lebih daripada dua pertiga batu ataupun memikul apa saja jenis barang. Oleh itu, mereka hanya boleh membawa orang sakit untuk berjumpa Yesus selepas matahari terbenam. Perhatikan bahawa Yesus sangat prihatin sehingga Dia meletakkan tangan-Nya ke atas setiap orang yang datang untuk disembuhkan oleh-Nya.
c’ Orang-orang Galilea mungkin menganggap Yesus sebagai seorang manusia tetapi roh jahat tidak melakukan kesilapan tersebut. Mereka mengenali ketuhanan Yesus dari awal lagi meskipun para murid Yesus mengambil masa yang panjang untuk mengetahui kebenaran ini. Alasan Yesus mengarahkan mereka untuk tidak mem-bocorkan identiti-Nya mungkin disebabkan Dia tidak ingin diri-Nya disalah anggap sebagai Mesias yang salah oleh orang lain.
d’ Markus (Mk 1:35) memberitahu kita bahawa Yesus berdoa sendirian.
e’ Ini adalah kali pertama Lukas menyentuh istilah ‘Kerajaan Allah’. Ia muncul sebanyak 30 kali di dalam injil tulisannya. Ia adalah salah satu daripada tema kegemaran Yesus di dalam ajaran-Nya dan merujuk kepada pemerintahan Allah di mana kasih kurnia-Nya dapat dilihat. Orang Yahudi menanti-nantikan masa di mana Allah akan duduk bertakhta sebagai Raja di atas semua bangsa. Yesus mengajar bahawa Kerajaan Allah telah datang melalui dan di dalam-Nya – hadirat dan pemerintahan Allah telah datang kepada umat-Nya melalui peribadi Yesus.

Mari Fikir Sejenak:

Perhatikan belas kasihan Yesus ke atas semua orang yang datang kepada-Nya untuk disembuhkan. Dia tidak pernah menolak atau berpaling daripada sesiapa yang datang kepada-Nya.

  • Apakah perasaan anda setelah mengetahui bahawa dengan cara yang sama, Yesus juga sangat prihatin terhadap anda, dan Dia tidak akan menolak setiap kali anda datang kepada-Nya?

Suatu Pegangan Hidup:

Janglah takut untuk membawa masalah anda, tidak kira besar ataupun kecil, kepada Allah kerana Dia sangat menyayangi anda. Tidak ada pada dirimu yang tidak penting bagi-Nya.

Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.