Bab 6

Lukas 6

6.1 Pertanyaan Tentang Hari Sabat (ay. 1-11)

Yesus adalah Tuhan ke atas Sabat (ay. 1-5)

1 Pada suatu hari Sabat, ketika Yesus sedang melewati ladang gandum, pengikut-pengikut-Nya memetik bulir gandum a. Mereka menggosoknya dengan tangan, lalu memakannya.
2 Beberapa orang Farisi berkata, “Mengapa kamu melakukan apa yang dilarang oleh Taurat kita pada hari Sabat?”
3 Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud ketika dia dan anak buahnya lapar? b 41Dia masuk ke dalam Khemah Allah dan mengambil roti yang telah dipersembahkan kepada Allah, lalu memakannya. Kemudian dia juga memberikan roti itu kepada anak buahnya. Tetapi menurut Taurat kita, tidak sesiapa pun boleh makan roti c itu kecuali para imam.”
5 Lalu Yesus berkata, “Anak Manusia berkuasa atas hari Sabat!” d

Teropong:

a Menurut Hukum Taurat, orang Yahudi dibenarkan untuk memetik gandum dengan tangan serta memakannya apabila mereka melalui mana-mana padang gandum (Ul 23:25). Akan tetapi, orang Farisi menganggap tindakan memetik sebagai ‘menuai’ dan menggeserkan gandum di tapak tangan untuk menanggalkan sekam sebagai ‘membanting’. Menurut tradisi Yahudi di dalam Misnah, menuai adalah dilarang pada hari Sabat. Murid-murid Yesus dikira sebagai telah melanggar hukum Sabat dengan bekerja pada hari tersebut. Pada waktu itu, amalan ketat untuk mengekalkan Sabat adalah salah satu daripada komponen utama agama Yahudi.
b Yesus merujuk kepada insiden yang terjadi di dalam 1 Samuel 21:1-6. Daud sedang melarikan diri daripada Saul apabila dia dan pengikutnya mengunjungi kota Nob di mana Khemah Tuhan berada. Daud meminta makanan daripada imam Ahimelekh. Di dalam kedua-dua insiden ini, orang-orang yang saleh telah melakukan perkara yang dilarang.
c Pada setiap hari sabat, 12 buku roti yang segar diletakkan di atas meja di dalam Ruang Suci untuk menggantikan roti yang lama (Imamat 24:5-9). Roti tersebut dikhaskan untuk Allah dan hanya imam yang boleh memakannya. Oleh kerana Ahimelekh tidak mempunyai makanan lain untuk diberikan kepada Daud, dia memberikan roti-roti tersebut. Menurut Yesus, tindakan Daud di dalam ‘melanggar’ hukum Taurat menunjukkan ada masanya di mana hukum kepentingan menjadi lebih penting.
d Tradisi Yahudi telah mencipta banyak peraturan di dalam amalan mengekalkan Sabat sehinggakan ia menjadi beban yang tidak boleh ditanggung. Yesus melangkahi tradisi-tradisi ini dan menekankan bahawa Allah mencipta Sabat untuk pemulihan rohani, mental dan fizikal manusia. Sebagai Anak Allah yang diutus sebagai Penyelamat, Dia mempunyai kewibawaan untuk melangkahi hukum Sabat yang membebankan serta mengongkong umat Allah.Yesus mendakwa bahawa Dia mempunyai kewibawaan ke atas Sabat. Menurut Yesus, tidak salah bagi murid-murid-Nya untuk memetik gandum walaupun ia dikira sebagai satu bentuk pekerjaan kerana mereka harus makan. Tindakan bekerja untuk keperluan ataupun belas kasihan harus dibenarkan pada hari sabat.

Yesus Menyembuhkan Orang pada Hari Sabat (ay. 6-11)

6 Pada hari Sabat yang lain, Yesus pergi mengajar di rumah ibadat. Di situ ada seorang yang tangannya lumpuh sebelah. e 7 Beberapa orang guru Taurat dan orang Farisi sedang mencari kesalahan Yesus supaya mereka dapat mengajukan tuduhan terhadap Dia. Oleh itu mereka mengawasi Dia baik-baik sama ada Dia akan menyembuhkan orang pada hari Sabat. 8 Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Dia berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah, “Berdirilah dan marilah ke depan.” f Orang itu bangun lalu berdiri di situ. 9 Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Aku hendak bertanya: Menurut Taurat apakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat? g Berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan orang atau membinasakannya?” 10 Yesus memandang mereka semua, lalu berkata kepada orang itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu menghulurkan tangannya, lalu tangannya pun sembuh.
11 Tetapi mereka sangat marahh dan mula berunding sesama sendirii tentang apa yang boleh dilakukan oleh mereka terhadap Yesus.

Teropong:

e Terjemahan yang lain mengatakan ‘mati’. Ini bermaksud bahawa otot tangan lelaki tersebut mungkin telah buruk dan reput.
f Yesus mungkin memintanya untuk berdiri di hadapan agar penyembuhannya tidak akan dipersoalkan.
g Menurut tradisi orang Yahudi, rawatan dibenarkan pada hari Sabat hanya jika ia menjadi satu ancaman kepada nyawa seseorang. Dalam kes ini, tangan yang telah lumpuh bukanlah sesuatu yang disifatkan sebagai ancaman maut. Akan tetapi, Yesus ingin menyedarkan mereka bahawa pekerjaan belas kasihan harus dibenarkan pada hari Sabat. Yesus telah menahan soalan dan tentangan daripada orang Farisi dan kini Dia mengambil inisiatif untuk bertanya kepada semua orang yang berada di Rumah Ibadat.
h Mereka menjadi geram kerana tidak dapat menahan rasional Yesus dan tidak mampu menjawab-Nya.
i Di dalam Markus 3;1-6, kita diberitahu bahawa orang Farisi berkomplot bersama dengan golongan Herodes, orang Yahudi yang menyokong pemerintahan keturunan Herodes Agung (rujuk ‘Golongan Herodes’, ms. 15). Mereka telah merancang untuk mengambil nyawa Yesus.

6.2 Yesus Memilih Dua Belas Orang Rasul (ay. 12-16)

Yesus Memilih Dua Belas Orang Rasul (ay. 12-16)

12 Pada masa itu Yesus naik ke sebuah bukit untuk berdoa. Di situ Dia berdoa kepada Allah semalam-malaman. 13Apabila hari sudah terang, Dia memanggil pengikut-pengikutj-Nya lalu memilih dua belas orang daripada mereka. Yesus menamakan dua belas orang itu rasul. k Mereka terdiri daripada 14 Simon (yang juga disebut-Nya Petrus) dan adiknya Andreas; Yakobus dan Yohanes, Filipus dan Bartolomeus, 15 Matiusl dan Tomas, Yakobus anak Alfeus dan Simon (yang disebut Patriot), 16 Yudas anak Yakobus dan Yudas Iskariot yang kelak menjadi pengkhianat. m

Teropong:

j Seorang murid adalah seorang pelajar. Pada kurun yang pertama, seorang pelajar tidak hanya sekadar mempelajari suatu subjek pelajaran, mereka juga diserahkan di bawah bimbingan seorang guru. Murid-murid Yesus ialah golongan yang sentiasa bersama serta berdedikasi kepada didikan-Nya. Terdapat lebih kurang 72 orang daripada mereka kerana adalah dilaporkan bahawa sejumlah demikian dihantar keluar untuk berkhotbah (10:1).
k Istilah ‘Rasul’ diambil daripada kata kerja ‘mengutus’ dan ia bermaksud ‘seorang utusan’. Daripada sejumlah besar murid-murid yang ada, Yesus kini memilih 12 orang pengikut yang akan ‘diutus dengan kuasa dan kewibawaan yang istimewa daripada-Nya’. Kita akan melihat perkara ini mengambil tempat di akhir Injil ini. Jumlah 12 bersamaan dengan 12 suku orang Israel.
l Matius adalah nama lain bagi Lewi si pemungut cukai (rujuk 5:27-28).
m Terdapat senarai rasul yang lain di dalam Injil Matius, Markus dan Kisah Rasul-Rasul. Walaupun susunan nama adalah berlainan, nama Petrus selalunya disebut dahulu manakala Yudas Iskariot disebut terakhir.

Mari Fikir Sejenak:

Perhatikan apa yang dilakukan oleh Yesus ketika Dia harus melakukan keputusan yang amat penting – Dia menghabiskan satu malam untuk berdoa! Dia memerlukan panduan daripada Allah di dalam membuat pilihan-Nya.

Suatu Pegangan Hidup:

Ingatlah bahawa apabila anda berada di simpang untuk melakukan pilihan, carilah masa untuk berdiam dan berdoa kepada Allah. Tanyalah Dia apakah rancangan-Nya untuk anda.

6.3 Khotbah di Kawasan Lapangan (ay. 17-49)

Kegembiraan dan Kesedihan (ay. 17-26)

17Apabila Yesus turun dari bukit bersama-sama rasul-rasul itu, Dia berdiri di tempat yang ratan dengan sebilangan besar pengikut-Nya. Di situ juga ada orang ramai yang datang dari seluruh Yudea, Yerusalem, kota Tirus dan Sidon yang di tepi laut. 18 Mereka datang untuk mendengaro Yesus dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Orang yang dirasuk roh jahat juga datang dan disembuhkan. 19 Semua orang cuba menyentuh Yesus, kerana kuasa keluar daripada-Nya dan menyembuhkan mereka semua.
20 Yesus memandang semua pengikut-Nya lalu berkata, “Berbahagialahp  kamu yang miskinq; kerana kamu menikmati Pemerintahan Allah!
21 Berbahagialah kamu yang laparr sekarang; kamu akan dikenyangkan! Berbahagialah kamu
yang menangiss sekarang; kamu akan tertawa!
22 Berbahagialah kamu apabila orang membenci, menolak, dan menghina kamu, serta memburukkan nama kamu kerana Anak Manusia! 23 Demikian jugalah nenek moyang mereka memperlakukan nabi-nabi. Bersukacitalah apabila hal itu berlaku, dan menarilah dengan gembira, kerana pahala yang besar tersedia untuk kamu di syurga.
24 Tetapi malanglaht kamu yang kaya sekarang ini, kerana kamu telah mengalami kenikmatan hidup!
25 Malanglah kamu yang kenyang sekarang ini, kerana kamu akan kelaparan! Malanglah kamu yang tertawa sekarang ini, kerana kamu akan berdukacita dan menangis!
26 Malanglah kamu jika semua orang memuji kamu, kerana demikian juga nenek moyang mereka memuji nabi-nabi palsu.”

Teropong:

n Tempat ini mungkin adalah sebuah dataran rata ataupun dataran tinggi di kawasan pergunungan seperti yang disebut di dalam Matius 5:1. Inijl Matius memiliki bahagian yang serupa dengan bahagian ini dan ia dipanggil ‘Khotbah di atas Bukit’ (Bab 5-7). ‘Khotbah di kawasan lapang’ yang ditulis oleh Lukas mempunyai ajaran yang serupa tetapi ia jauh lebih pendek. Akan tetapi, kedua-duanya bermula dengan Ucapan Bahagia (dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai Beatitudes) dan diakhiri dengan ajaran tentang seorang pembina.
o Perhatikan penekanan Lukas bahawa orang ramai datang untuk mendengar ajaran Yesus dan bukan sekadar meminta rawatan daripada-Nya.
p Terjemahan tradisional bagi perkataan ini adalah ‘diberkatilah’. Istilah Yunani digunakan untuk meluahkan keadaan dewa-dewi yang gembira serta tanpa masalah. Ia juga bermaksud kegembiraan orang kaya yang tidak mempunyai masalah. Oleh itu, ia boleh difahami sebagai ‘Bergembiralah…’, ‘bertuahlah…’ atau ‘berbahagialah’… diikuti dengan sebabnya.
Perhatikan bahawa Yesus sedang berkata-kata kepada murid-murid-Nya, kepada mereka yang datang kepada Dia untuk keselamatan; mereka ialah golongan yang akan menerima kegembiraan ataupun rahmat tersebut. Kumpulan ajaran ini dikenali sebagai ‘Ucapan Bahagia’, istilah tersebut diambil daripada perkataan Latin beatus yang bermaksud ‘diberkati’.
q Perkataan Yunani bermaksud ‘orang miskin yang terpaksa meminta sedekah’, iaitu mereka yang papa kedana. Orang miskin tahu bahawa mereka tidak mempunyai sumber sendiri dan terpaksa bergantung kepada Allah. Bukan sekadar kemiskinan fizikal sahaja, Matius (Mat 5:3) menyentuh tentang menjadi miskin secara rohani. Yesus tidak mengatakan kemiskinan adalah sumber kebahagiaan. Kebahagiaan tersebut datang daripada janji yang diberikan kepada orang miskin bahawa mereka memiliki Kerajaan Allah – berkat daripada pemerintahan Allah diberikan kepada orang yang miskin.
r Kelaparan selalunya dikaitkan dengan orang miskin. Walaupun idea menjadi lapar secara fizikal kelihatan seperti maksud utama di sini, kelaparan juga boleh diambil untuk bermaksud sebagai keinginan untuk dipuaskan secara rohani, untuk Allah memenuhi kerinduan mendalam jiwa manusia.
s Perkataan ‘menangis’ menjelaskan pelbagai jenis kesedihan.
t Terjemahan tradisional ialah ‘celakalah’. Ia adalah luahan mengasihani mereka yang berada di bawah penghakiman Allah. Keempat-empat ‘celaka’ ini adalah perbandingan terus kepada empat ‘berkat’ sebelum ini dari segi susunan dan juga isi kandungan.

Mengasihi Musuh (ay. 27-36)

27 “Tetapi Aku berkata kepada kamu yang mendengarkan Aku: Kasihilah musuh kamu dan berbuatlah baik kepada mereka yang membenci kamu. 28 Berkatilah mereka yang mengutuk kamu, dan berdoalah untuk mereka yang menganiaya kamu. 29 Jika seseorang menampar pipi kamu yang sebelah, biarkan dia menampar pipi kamu yang sebelah lagi. Jika seseorang merampas jubahu kamu, berikanlah bajuv kamu juga. 30 Jika seseorang meminta sesuatu daripada kamu, berikan apa yang dimintanya; jika seseorang merampas milik kamu, janganlah minta kembali barang itu. 31 Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka.
32 Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu, patutkah kamu menerima pujian? Tentu tidak! Orang berdosa pun mengasihi orang yang mengasihi mereka! 33 Jika kamu berbuat baik hanya kepada mereka yang berbuat baik kepada kamu, patutkah kamu menerima pujian? Orang berdosa pun berbuat demikian! 34  Jika kamu memberikan pinjaman kepada orang yang dapat mengembalikannya, patutkah kamu menerima pujian? Orang berdosa pun memberikan pinjaman kepada orang berdosa, lalu memintanya kembali! 35 Bukan demikian! Hendaklah kamu mengasihi musuh kamu dan berbuat baik kepada mereka. Berikan pinjaman dan jangan harap pinjaman itu dikembalikan. Lalu kamu akan mendapat pahala besar dan kamu akan menjadi anak-anak Allah Yang Maha Tinggi. Allah baik kepada orang yang tidak tahu berterima kasih dan orang jahat. 36 Hendaklah kamu berbelas kasihan seperti Bapa kamu berbelas kasihan juga!”

Teropong:

u Jubah merujuk kepada pakaian luaran yang dikenakan oleh orang Yahudi (rujuk ‘Pakaian’, ms.18). Jubah terbaik dijahit daripada bulu kambing ataupun unta. Walaupun ia tidak dipakai apabila cuaca panas, jubah akan digunakan sebagai cadar tilam sewaktu musim panas di kawasan gurun ataupun di tanah tinggi di mana keadaan adalah sangat sejuk pada waktu malam. Ramai orang miskin yang memerlukannya sepanjang tahun.
v Baju ataupun baju pendek (rujuk ‘Pakaian’, ms.18) merupakan pakaian asas. Ia mempunyai panjang ukuran sehingga ke buku lali kaki dengan lengan yang panjang serta diikat dengan bengkung ataupun tali pinggang. Bahan yang digunakan adalah kain kapas yang dijahit dengan tangan untuk orang miskin ataupun sutera bagi yang kaya.

Ayat Hafalan:

Janganlah biarkan diri kamu dikalahkan oleh kejahatan, tetapi kalahkanlah kejahatan dengan kebaikan.
(Roma 12:21)

Mari Fikir Sejenak:

‘Musuh’ kita mungkin bukan orang yang membenci ataupun ingin mengancam kita. Mereka mungkin orang yang tidak melayan kita dengan baik, atau-pun telah melukakan kita tetapi tidak meminta maaf, ataupun mereka yang telah mengambil kesempatan ke atas kita.

  • Adakah anda mempunyai ‘musuh’ pada waktu ini?
  • Apakah perasaan anda terhadap mereka?
  • Apakah perubahan yang Yesus inginkan di atas sikap dan tindakan anda kepada mereka?

Menghakimi Orang Lain (ay. 37-42)

37 “Janganlah hakimi orang lain, supaya Allah tidak menghakimi kamu juga. Janganlah hukum orang lain, supaya Allah tidak menghukum kamu juga. Ampunilah orang lain, supaya Allah mengampuni kamu juga. 38 Apa yang kamu berikan kepada orang lain, Allah juga akan memberikannya kepada kamuw. Allah akan mencurahi kamu x pemberian yang berlimpah-limpah. Sukatan yang kamu gunakan untuk orang lain akan digunakan oleh Allah untuk kamu.”
39 Kemudian Yesus menceritakan perumpamaany ini kepada mereka, “Jika seorang buta memimpin seorang buta yang lain, maka kedua-duanya akan jatuh ke dalam longkang. 40 Tidak ada murid yang lebih besar daripada gurunya. Apabila murid itu selesai belajar, dia menjadi sama seperti gurunya.
41 Mengapakah kamu memperhatikan selumbar z di dalam mata saudara kamu, tetapi tidak memperhatikan kayu balak di dalam mata kamu sendiri? 42 Bagaimana mungkin kamu berkata kepada saudara kamu, ‘Maaf, saudara, biarlah saya keluarkan selumbar dari mata saudara,’ sedangkan kayu balak di dalam mata kamu sendiri tidak kamu lihat? Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak dari mata kamu sendiri. Barulah kamu dapat melihat dengan jelas dan mengeluarkan selumbar dari mata saudara kamu.”

Teropong:

w Apabila seorang Yahudi membeli gandum daripada seorang penjual bijirin di pasar, sebuah bekas kayu bulat yang dalam untuk menyukat jumlah gandum yang diminta oleh pembeli akan digunakan. Selalunya, seorang penjual akan menceduk gandum dengan tangannya kemudian mengukurnya di dalam bekas. Pada kebanyakan waktu, si pembeli akan menentukan sukatan dan menggoncang keluar gandum yang berlebihan. Dia kemudian akan memampatkan gandum tersebut dengan tangan sehingga ia membentuk sebuah kon yang keras. Apabila ia sudah tidak boleh ditambah, pembeli akan membuat sebuah lubang di atas mampatan tersebut untuk memasukkan gandum tambahan sehingga ia melimpah. Inilah yang dimaksudkan sebagai sukatan penuh, digoncang dan dimampatkan sehingga melimpah (seperti yang diterjemahkan di dalam versi Alkitab yang lain).
x Versi lain menterjemahkannya sebagai ‘paha’. Ia mungkin merujuk kepada sebuah lipatan di pakaian luar yang bergantungan di luar tali pinggang. Ia juga digunakan sebagai sebuah kocek.
y Istilah ‘perumpamaan’ datang daripada perkataan Yunani yang bermaksud ‘maksud tersirat’. Ia juga dijumpai di dalam Perjanjian Lama. Ia mempunyai maksud yang luas – perbandingan, bidalan terkenal ataupun kata-kata hikmat, metafor ataupun simili kepada cereka pendek. Teknik mengajar menggunakan perumpamaan adalah lazim di kalangan rabbi pada waktu itu. Yesus adalah pakar di dalam seni menceritakan perumpamaan sehinggakan Dia adalah satu-satunya insan di dalam Perjanjian Baru yang berkata-kata dengan menggunakan perumpamaan. Ia adalah sebuah kaedah efektif di dalam mengatakan kebenaran kepada mereka yang terbuka secara rohani dan pada masa yang sama menyembunyikannya kepada orang lain. Ia sangat efektif dan mudah untuk diingat kerana Yesus menggunakan latar kehidupan sehari-harian yang boleh difahami oleh orang ramai.
z ‘Selumbar… kayu balak’, Yesus menggunakan hiperbola (kiasan bahasa yang menambah-nambah untuk tujuan penekanan) untuk menguatkan perbandingan dan penekanan betapa bodoh dan hipokrit bagi kita untuk mengkritik orang lain akan kesalahan kecil mereka namum buta kepada kesalahan sendiri yang jauh lebih besar.

Mari Fikir Sejenak:

  • Apakah reaksi anda apabila melihat perkara yang tidak menyenangkan di dalam orang Kristian yang lain?
  • Apakah yang Yesus ingin katakan kepada anda tentang sikap terhadap orang tersebut?

Pokok dan Buahnya (ay. 43-45)

43 “Pokok yang subur tidak menghasilkan buah yang buruk. Demikian juga pokok yang tidak subur tidak akan menghasilkan buah yang baik. 44 Setiap pokok dikenal daripada buahnya. Kamu tidak memetik buah ara dari belukar berduri, ataupun buah anggur dari semak-semak. 45 Orang baik mengeluarkan perkara-perkara baik kerana hati mereka berlimpah-limpah dengan kebaikan. Tetapi orang jahat mengeluarkan perkara-perkara jahat, kerana hati mereka penuh kejahatan. Orang mengucapkan perka-ra yang terkandung di dalam hati.”

Mari Fikir Sejenak:

  • Adakah anda menganggap diri sebagai sebuah pokok yang sihat ataupun sebaliknya berdasarkan buah yang anda hasilkan di dalam hidup?
  • Mengapa?
  • Apakah perkara baik yang boleh anda simpan di dalam hati agar anda mempunyai harta kebaikan di dalam diri?

Kisah Dua orang Pembina Rumah (ay. 46-49)

46 “Mengapa kamu memanggil Aku, ‘Tuhan, Tuhan,’ tetapi tidak menurut kata-kata-Ku? 47 Beginilah keadaan setiap orang yang datang kepada-Ku dan mendengar kata-kata-Ku serta melakukannya. 48 Dia seperti pembina rumah yang menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah pada batu. Air sungai melimpah dan melanda rumah itu, tetapi tidak dapat menggoncangkannya, kerana asas rumah itu dibina dengan teguh. 49Tetapi orang yang mendengar kata-kata-Ku dan tidak melakukannya, seperti orang yang membina rumah tanpa asas. Ketika banjir melanda, rumah itu roboh. Alangkah dahsyatnya kerosakan itu!”

Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.