Bab 7

Lukas 7

Yesus Menyembuhkan Seorang Hamba Ketua Askar Roma (ay. 1-10)

1 Setelah Yesus mengatakan segala perkara itu kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum. 2 Di situ ada seorang ketua askar Romaa yang mempunyai seorang hamba yang sangat dikasihinya. Hamba itu sakit dan hampir meninggal. 3 Ketika ketua askar itu mendengar tentang Yesus, dia menyuruh beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudib pergi kepada Yesus untuk meminta Dia datang dan menyembuhkan hambanya. 4 Mereka pergi kepada Yesus lalu memohon dengan sungguh-sungguh, “Orang ini layak tuan tolong. 5 Dia mengasihi bangsa kita, dan bahkan membina rumah ibadat untuk kami.”
6 Yesus pergi bersama-sama mereka. Ketika Dia hampir tiba di rumah itu, ketua askar itu mengutus sahabat-sahabatnya supaya berkata kepada Yesus, “Tuan, janganlah bersusah- susah ke rumah saya.c Saya tidak layak menyambut tuan ke rumah saya. 7 Saya sendiri pun tidak layak menghadap tuan. Perintahkanlah sahaja, tentu hamba saya akan sembuh. 8 Saya pun di bawah perintah perwira atasan, dan di bawah saya juga ada askar-askar lain. Apabila saya menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi; dan apabila saya menyuruh seorang askar lain, ‘Ke mari!’ dia pun datang. Apabila saya menyuruh hamba saya, ‘Buatlah ini!’ dia pun melakukannya.”
9 Yesus hairan mendengar hal itu. Dia berpaling lalu berkata kepada orang ramai yang sedang mengikuti-Nya, “Belum pernah Aku jumpai orang yang beriman sebesar ini, bahkan di kalangan orang Israel pun tidak!”
10 Ketika orang yang disuruh itu kembali ke rumah ketua askar, mereka mendapati hamba itu sudah sembuh.

Teropong:

a Terjemahan tradisional ialah ‘perwira’. Perwira ialah seorang pegawai yang mengetuai seratus orang askar, akan tetapi bilangan tersebut menjadi tidak tetap selepas beberapa ketika. Lelaki yang berani dan berintegriti selalunya dipilih untuk mejadi perwira. Perjanjian Baru menunjukkan bahawa perwira Roma mempunyai perwatakan yang terpuji. Perwira ini menunjukkan keprihatinan kepada hambanya dan dia dipandang tinggi oleh orang Yahudi meskipun dia tidak sebangsa mereka.
b Golongan ini ialah orang Yahudi yang paling dihormati di dalam masyarakat, akan tetapi mereka tidak semestinya pemimpin di Rumah Ibadat.
c Menurut hukum-hukum rabbi, seorang Yahudi akan mengotorkan dirinya secara istiadat sekiranya mereka memasuki rumah orang bukan Yahudi. Ketua askar tersebut mungkin berasa tidak layak untuk berada di hadapan Yesus.

Yesus Membangkitkan Anak Seorang Balu Dari Kematian (ay. 11-17)

11 Tidak lama kemudian, Yesus pergi ke kota Nain.d Pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai pergi dengan Dia. 12 Ketika Dia tiba di pintu gerbang kota itu, penduduk kota sedang menghantar jenazahe ke luar kota. Yang mati itu anak lelaki tunggal seorang balu. Banyak penduduk kota menyertai ibu itu. 13Apabila Tuhan melihat wanita itu, Dia kasihan f kepadanya lalu berkata, “Janganlah menangis.” 14 Setelah itu Dia menghampiri dan menyentuh usungan g itu, lalu para pengusung pun berhenti. Yesus berkata, “Hai anak muda, Aku menyuruh kamu bangun!” 15 Pemuda yang dihidupkan semula itu duduk h dan mula bercakap. Lalu pemuda itu diserahkan oleh Yesus kepada ibunya. 16Semua orang takut lalu memuji Allah. Mereka berkata, “Seorang nabi yang besar telah datang di kalangan kita! I Allah sudah datang untuk menyelamatkan umat-Nya!”
17 Berita tentang Yesus tersebar di seluruh negeri dan di daerah sekitarnya.

Teropong:

d Nain merupakan sebuah kota di Galilea. Ia terletak beberapa kilometer di arah tenggara dari kampung halaman Yesus, Nasaret. Orang ramai yang mengikuti Yesus menunjukkan betapa terkenalnya Dia pada ketika ini. Orang ramai mengikuti-Nya dari satu kota ke kota yang lain.
e Perarakaan pengebumian telahpun meninggalkan kota dan kini sedang berada di dalam perjalanan ke kawasan perkuburan. Kawasan tersebut selalunya berada di luar kota.
f Sebagai seorang balu, dan kini tanpa anak lelaki, wanita tersebut ditinggalkan sendirian. Tanpa seorang lelaki sebagai pelindung dan pemberi nafkah, dia akan berhadapan dengan banyak cabaran. Hanya terdapat beberapa ruang bagi seorang wanita untuk menampung kehidupan di kurun yang pertama. Di samping kesunyian dan kepayahan, penyambung zuriat keturunan juga kini telah berakhir. Orang ramai yang menemani wanita tersebut menunjukkan orang ramai turut bersimpati terhadapnya.
g Sudah menjadi kebiasaan bagi amalan orang Yahudi untuk menggunakan keranda tidak bertutup serta membungkus mayat dengan sehelai kain. Dengan menyentuh keranda, Yesus melawan hukum istiadat untuk kekal bersih. Akan tetapi, bagi Yesus keperluan manusia adalah lebih penting daripada hukum ritual.
h Ini ialah kali pertama daripada dua kejadian yang dicatatkan di dalam Injil Lukas di mana Yesus membangkitkan orang yang telah mati. Insiden yang kedua ialah anak perempuan Yairus (8:40-56). Catatan lain ialah Lazarus di dalam Injil Yohanes (Yoh 11:38-44).
i Orang ramai mengenali tangan Allah di dalam apa yang terjadi dan mereka melihat Yesus sebagai salah seorang daripada nabi Allah. Mereka mungkin terfikir akan dua orang nabi yang pernah membangkitkan orang daripada kematian – Elia dan Elisa.

Mari Fikir Sejenak:

Kita sering berpendapat bahawa kita sentiasa keseorangan dan tidak ada orang lain yang memahami penderitaan dan pergelutan kita. Adakah anda melihat hati Yesus terhadap balu tersebut dan membantu dia meskipun dia tidak meminta?

Suatu Pegangan Hidup:

Yakinlah bahawa Allah penuh dengan belas kasihan dan kasih sayang. Dia tahu apa yang anda sedang lalui dan akan sentiasa bersama anda untuk memberikan bantuan.

Utusan daripada Yohanes Pembaptis (ay. 18-35)

18 Pengikut Yohanes memberitahu Yohanes segala perkara ini. Yohanes memanggil dua orang pengikutnya 19 lalu menyuruh mereka bertanya kepada Tuhan Yesus, “Adakah tuan orang yang dikatakan akan datang menurut janji Allah atau adakah kami harus menantikan seorang lain?”j
20 Apabila mereka bertemu dengan Yesus, mereka berkata, “Yohanes Pembaptis menyuruh kami bertanya kepada tuan, ‘Adakah tuan orang yang dikatakan akan datang menurut janji Allah, atau adakah kami harus menantikan seorang lain?’”
21 Kebetulan pada masa itu, Yesus menyembuhkan banyak orang sakit. Dia mengusir roh-roh jahat dan mencelikkan mata orang buta. 22 Oleh itu Yesus menjawab utusan-utusan Yohanes, “Pulanglah, beritahu Yohanes apa yang telah kamu lihat dan dengar:k orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang berpenyakit kulit yang mengerikan menjadi sembuh, orang tuli mendengar, orang mati dibangkitkan semula, dan Berita Baik daripada Allah dikhabarkan kepada orang miskin. 23 Berbahagialah orang yang tidak mempunyai keraguan terhadap Aku!”
24 Setelah utusan-utusan Yohanes pergi, Yesus mula bercakap tentang Yohanes kepada orang ramai. Dia berkata, “Apabila kamu pergi kepada Yohanes di padang gurun, apakah yang mahu kamu lihat? Sehelai rumput yang ditiup anginkah?l 25 Kamu keluar mahu melihat apa? Seorang yang berpakaian indahkah? Orang yang berpakaian demikian dan yang hidup mewah tinggal di istana! 26 Katakanlah, kamu keluar mahu melihat apa? Seorang nabikah? Betul, bahkan lebih daripada seorang nabi.m
27 Yohanes itulah yang dikatakan dalam ayat Alkitab, ‘Allah berfirman: Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia terlebih dahulu daripada-Mu supaya menyediakan jalan bagi-Mu.’”
28 Yesus berkata pula, “Hendaklah kamu tahu bahawa di dunia ini tidak ada orang yang lebih besar daripada Yohanes Pembaptis. Tetapi orang terkecil antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah, lebih besar daripada Yohanes.”
29 Orang ramai termasuk para pemungut cukai mendengar Yesus mengatakan hal itu. Merekalah yang mentaati perintah Allah dan mahu dibaptis oleh Yohanes. 30 Tetapi orang Farisi dan guru Taurat tidak mahu menerima apa yang dikehendaki oleh Allah bagi diri mereka, dan tidak mahu dibaptis oleh Yohanes.
31 Yesus berkata, “Dengan apakah dapat Aku bandingkan orang zaman ini? Seperti apakah mereka? 32 Mereka seperti anak-anak yang duduk di pasar. n Kumpulan yang satu berseru kepada yang lain, ‘Kami memainkan lagu perkahwinan untuk kamu, tetapi kamu tidak mahu menari! Kami meratap, tetapi kamu tidak mahu menangis!’ 33 Yohanes Pembaptis datang, dia berpuasa dan tidak minum wain; lalu kamu berkata, ‘Dia dirasuk syaitan!’ 34Anak Manusia datang, Dia makan dan minum, lalu kamu berkata, ‘Lihatlah orang ini! Dia rakus, pemabuk, sahabat pemungut cukai, dan kawan orang yang dihina masyarakat!’ 35 Walaupun demikian, kebijaksanaan Allah dibuktikan benar oleh perbuatan semua orang yang menerima o kebijaksanaan itu.”

Teropong:

j Yohanes sendiri pernah mengumumkan kedatangan Kristus. Tetapi kini dia menderita di dalam penjara selama berbulan-bulan. Dan pekerjaan Yesus tidak membawa hasil seperti apa yang dia harapkan. Kekecewaan yang Yohanes alami adalah suatu perkara yang normal. Dia mungkin ingin mendapatkan jaminan semula bahawa Yesus adalah peribadi yang diumumkannya kepada orang lain.
k Sebagai jawapan kepada murid-murid Yohanes, Yesus mengarahkan mereka kepada keajaiban dan penyembuhan yang dilakukan-Nya. Mereka adalah bukti yang mencerminkan pelayanan Penyelamat seperti dinubuatkan di dalam Perjanjian Lama.
l Yohanes bukanlah seorang yang lemah dan mudah terumbang–ambing akibat daripada tekanan-tekanan pandangan orang lain.
m Yohanes merupakan seorang nabi unik yang diutuskan bagi menyediakan jalan bagi Mesias.
n Yesus kemudian membangkitkan ketidak-warasan orang ramai dengan menunjuk kepada penolakan mereka terhadap Yohanes Pembatis dan juga diri-Nya sendiri dengan alasan-alasan yang bertentangan. Penolakan mereka dijelaskan seperti ketidak-tetapan seorang kanak-kanak yang enggan ikut serta bermain dalam permainan yang menggembirakan ataupun yang sebaliknya. Yesus memetik dendangan yang digunakan kanak-kanak apabila rakan mereka tidak ingin turut serta di dalam permainan. Mereka menolak Yohanes kerana dia mengikuti peraturan dengan ketat. Yesus pula ditolak kerana dia bebas bergaul dengan orang ramai.
o Sebagai perbandingan kepada mereka yang mengkritik dengan bodoh, mereka yang terbuka kepada rancangan Allah mampu melihat pelayanan Yohanes dan Yesus datang daripada Allah, meskipun kedua-dua mereka memimpin dengan gaya yang berbeza.

Yesus Makan di Rumah Simon (ay. 36-50)

36 Seorang Farisi bernama Simon menjemput Yesus makan di rumahnya. Yesus pergi ke rumahnya lalu mulai makan p. 37 Di kota itu ada pula seorang wanita yang hidup dalam dosa. q Dia mendengar bahawa Yesus sedang makan di rumah orang Farisi itu, lalu dia pergi ke situ sambil membawa sebotol r minyak wangi. 38 Dia berdiri di belakang Yesus dekat kaki-Nya; dia menangis dan membasahi kaki Yesus dengan air matanya. s Kemudian kaki Yesus dikeringkan oleh wanita itu dengan rambutnya, lalu kaki Yesus diciumnya dan dituangi minyak wangi. t 39Apabila orang Farisi yang menjemput Yesus melihat kejadian ini, dia berkata dalam hati, “Jika dia ini benar-benar seorang nabi, tentu dia tahu bahawa wanita yang menyentuhnya itu hidup dalam dosa!”
40 Yesus berkata kepadanya, “Simon, ada yang hendak Aku katakan kepadamu.” Simon menjawab, “Katakanlah guru.”
41 Yesus berkata, “Ada dua orang lelaki berhutang kepada seorang peminjam wang. Yang seorang berhutang lima ratus keping wang perak dan yang seorang lagi lima puluh keping wang perak. u 42Kedua-duanya tidak dapat membayar hutang. Oleh itu orang yang meminjamkan wang menghapuskan hutang mereka. Yang manakah akan lebih mengasihi dia?”
43Simon menjawab, “Pada pendapat saya orang yang berhutang lebih banyak!” “Pendapatmu benar,” jawab Yesus.
44Lalu Yesus berpaling kepada wanita itu dan berkata kepada Simon, “Kamu nampak perempuan ini? Aku datang ke rumahmu dan kamu tidak menyediakan air untuk membersihkan kaki-Kuv. Tetapi wanita ini mem-basuh kaki-Ku dengan air matanya, dan mengeringkannya dengan rambutnya. 45Kamu tidak menyambut Aku dengan ciuman, w tetapi wanita ini tidak henti-henti mencium kaki-Ku sejak Aku tiba. 46Kamu tidak menyediakan minyak untuk kepala-Ku, x tetapi wanita ini telah menuang minyak wangi pada kaki-Ku. 47Sesungguh-nya, kasihnya yang besar itu menunjukkan bahawa dosanya yang banyak sudah diampunkan! Jika seseorang menunjukkan kasih yang sedikit, hal itu bererti dia menerima pengampunan yang sedikit juga.”
48Lalu Yesus berkata kepada wanita itu, “Dosamu sudah diampunkan.”
49Mereka yang makan bersama-sama Yesus mula bertanya sesama sendiri, “Siapakah dia ini sehingga dapat mengampunkan dosa?”
50Tetapi Yesus berkata kepada wanita itu, “Oleh sebab kamu percaya kepada-Ku, kamu diselamatkan. Pergilah dengan sejahtera!”

Teropong:

p Oleh kerana pengaruh budaya Roma, orang Yahudi tidak makan menggunakan meja, tetapi duduk di atas kerusi yang rendah sambil bersandar di atas tangan kiri dengan kepala terarah ke meja dan tubuh di dalam posisi jauh daripadanya. Selipar harus dibuka sebelum bersandar. Wanita tersebut mampu mendekati kaki Yesus tanpa sebarang kesusahan. Hidangan makanan yang dihadiri oleh Yesus ini bukan bersifat tertutup. Pintu rumah terbuka agar orang ramai dapat turut serta.
q Wanita tersebut mungkin seorang pelacur. Walaupun rumah tersebut dibuka untuk orang ramai, seorang pelacur adalah tidak dialu-alukan. Wanita itu mesti sangat berani untuk datang. Dia pasti pernah mendengar Yesus berkhotbah dan di dalam pertaubatan, dia datang untuk menunjukkan kasih sayang dan rasa bersyukurnya.
r Istilah ‘sebotol minyak wangi’ merujuk kepada sebuah bekas berbentuk bundar. Ia mempunyai leher yang panjang tetapi tidak dilengkapi dengan pemegang. Leher botol akan dipatahkan apabila isinya ingin digunakan. Bukan semua bekas diperbuat daripada alabaster, sejenis batu yang berasal daripada Alabastron di Mesir. Oleh itu, minyak tersebut dianggarkan berharga sangat mahal.
s Wanita tersebut mungkin bertujuan untuk mengurapi kaki Yesus dengan minyak. Tetapi dia tercegak dan perasaan-nya membuatkan dia tersungkur menangis di kaki Yesus.
t Dengan spontan dia mengeringkan kaki Yesus dengan rambutnya. Wanita Yahudi tidak membuka ikatan rambut apabila berada di kawasan umum. Dia pasti tidak peduli dengan pandangan orang lain terhadapnya kerana dipaut emosi. Ini juga menjelaskan mengapa dia mencium kaki Yesus. Terdapat contoh lain di mana kaki para rabbi terkemuka dicium tetapi ia amat jarang berlaku. Minyak wangi selalunya dituangkan di atas kepala. Tindakannya untuk menuang minyak ke atas kaki Yesus mungkin menunjukkan rasa rendah diri. Tugas membersihkan kaki adalah milik seorang hamba.
t Terjemahan tradisional adalah ‘dinar’, wang syiling Roma. Satu dinar adalah gaji harian seorang buruh. Jumlah hutang yang dimaksudkan melebihi gaji setahun seorang buruh.
v Meskipun Simon menjemput Yesus ke rumahnya, dia tidak memberikan layanan yang berpatutan kepada seorang tetamu kehormat. Tuan rumah harus membekalkan air untuk mencuci kaki tetamu kerana ia dikotorkan oleh jalan yang berdebu. Ini adalah tindakan hospitaliti paling remeh yang boleh dilakukan oleh Simon terhadap Yesus.
w Ciuman ialah satu tanda salam hormat yang selalunya diberikan tuan rumah.
x Untuk mengurapi kepala dengan minuyak (alternatif yang lebih murah daripada minyak wangi) adalah tanda hormat bagi tetamu.

Mari Fikir Sejenak:

  • Yesus berkata bahawa mereka yang menerima pengampunan yang sedikit akan menunjukkan kasih sayang yang kecil. Tahukah anda betapa besar-nya pengampunan Allah terhadap anda?
  • Luangkan masa untuk memikirkan kembali semua perkara yang telah Allah lakukan untuk anda. Senaraikan mereka dan berterima kasihlah kepada Allah untuk setiap perkara tersebut.

Ayat Hafalan:

  • Bersyukurlah kepada TUHAN kerana Dia baik; kasih-Nya kekal! (Mazmur 107:1)

Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.