Bab 10 Kisah Para Rasul 10

Petrus dan Kornelius (ay. 1-33)

Seorang lelaki bernama Kornelius tinggal di Kaisarea. a Dia kapten b pasukan tentera Roma yang disebut Pasukan Italia. 2 Dia takut akan Allah; dia dan keluarganya menyembah Allah. c Dia sering menolong orang Yahudi yang miskin, dan dia sentiasa berdoa kepada Allah. 3 Pada suatu hari kira-kira pukul tiga petang, d dalam suatu penglihatan, dengan jelas dia melihat malaikat Tuhan datang kepadanya dan berkata, “Kornelius!”
4 Kornelius memandang malaikat itu dengan ketakutan lalu bertanya, “Ada apa, tuan?”
Malaikat itu menjawab, “Doamu dan kemurahan hatimu sudah diterima oleh Allah dan Allah mengabulkan doamu. 5 Sekarang suruhlah beberapa orang ke Yope untuk memanggil seorang bernama Simon Petrus. 6 Dia sedang menumpang di rumah seorang penyamak kulit bernama Simon, yang tinggal di tepi pantai.” 7 Setelah malaikat itu pergi, Kornelius memanggil dua orang hamba yang bekerja di rumahnya dan salah seorang pengawal peribadinya, yang juga takut akan Allah. 8 Dia memberitahu mereka apa yang sudah berlaku, lalu menyuruh mereka pergi ke Yope.
9 Keesokan harinya, semasa mereka masih dalam perjalanan dan hampir tiba di Yope, Petrus naik ke atas bumbung e rumah pada tengah hari f untuk berdoa. 10 Dia lapar dan hendak makan. g Sementara makanan disediakan, dia mendapat suatu penglihatan. 11 Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain lebar diturunkan ke bumi, tergantung pada keempat-empat sudutnya. 12 Di dalamnya terdapat segala macam binatang berkaki empat, binatang menjalar dan burung-burung liar. 13 Lalu ada suara berkata kepadanya, “Petrus, bangunlah! Sembelihlah binatang itu dan makanlah!”
14 Petrus menjawab, “Tidak, Tuhan! Aku belum pernah makan apa-apa yang haram atau najis.” h
15 Tetapi suara itu berkata lagi, “Jangan anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Allah.” i 16 Perkara itu berulang sehingga tiga kali, j lalu kain itu terangkat kembali ke langit.
17 Petrus termenung memikirkan makna penglihatan itu. Pada masa itu orang yang disuruh oleh Kornelius sudah menjumpai rumah Simon, dan mereka sedang berdiri di muka pintu. 18 Mereka memanggil dan bertanya sama ada seorang tamu bernama Simon Petrus menumpang di situ.
19 Petrus masih berusaha untuk memahami makna penglihatan itu, apabila Roh Allah berkata kepadanya, “Dengarlah! Tiga orang sedang mencari kamu. 20 Cepatlah turun ke bawah dan jangan ragu-ragu mengikut mereka, k kerana Aku yang menyuruh mereka datang.” 21 Petrus turun ke bawah dan berkata kepada mereka, “Sayalah yang saudara-saudara cari. Mengapa saudara-saudara datang?”
22 Mereka menjawab, “Kapten Kornelius menyuruh kami ke mari. Dia orang baik dan dia takut akan Allah. Dia sangat dihormati oleh semua orang Yahudi. Malaikat Allah menyuruh dia menjemput tuan ke rumahnya supaya dia boleh mendengar apa yang akan tuan katakan.” 23 Lalu Petrus menjemput l mereka menginap di situ.
Keesokan harinya Petrus bersiap-siap dan pergi dengan mereka. Beberapa orang pengikut Yesus dari Yope pun pergi dengan dia. 24 Sehari sesudah itu, mereka tiba di Kaisarea. Kornelius bersama-sama sanak saudara dan sahabat-sahabat karib yang telah dijemputnya, sedang menunggu mereka. 25 Apabila Petrus tiba, Kornelius menyambut dia dan sujud di hadapannya. m 26 Tetapi Petrus menyuruh dia bangun, “Bangunlah,” katanya, “saya sendiri pun manusia.” 27 Sementara bercakap dengan Kornelius, Petrus masuk ke dalam rumah dan mendapati banyak orang sudah berkumpul di situ. 28 Petrus berkata kepada mereka, “Saudara-saudara sendiri tahu bahawa orang Yahudi dilarang oleh agama mereka untuk melawat atau berhubungan dengan orang bukan Yahudi. Tetapi Allah sudah menunjukkan bahawa saya n tidak boleh menganggap seseorang pun najis atau haram. 29 Itulah sebabnya apabila saya dijemput, saya tidak berkeberatan datang. Katakanlah, mengapa tuan meminta saya datang?”
30 Kornelius menjawab, “Tiga hari yang lalu, kira-kira pada pukul tiga petang saya sedang berdoa di rumah. Tiba-tiba seorang lelaki yang pakaiannya bersinar-sinar berdiri di hadapan saya. 31 Dia berkata, ‘Kornelius! Allah sudah mendengar doamu, dan ingat akan kemurahan hatimu. 32 Suruhlah orang pergi ke Yope untuk memanggil seorang bernama Simon Petrus. Dia menumpang di rumah seorang penyamak kulit bernama Simon, yang tinggal di tepi pantai.’ 33 Itulah sebabnya saya segera menyuruh orang memanggil tuan, dan tuan sungguh baik hati kerana sudi ke mari. Sekarang kami berkumpul di sini di hadapan Allah, untuk mendengar apa sahaja yang akan tuan katakan seperti yang diperintahkan oleh Tuhan.”

Teropong:

a Kaisarea berada 48 km (30 batu) di utara Yope dan diberi nama sempena raja Roma yang bernama Kaisar Agustus. Ia dibangunkan kembali oleh Herodes Agung yang menjadikan tempat itu sebagai pusat kerajaan untuk Roma dan pusat pentadbiran Yudea. Ia juga merupakan markas utama bagi tentera Roma di Yudea (lihat Bab 8, nota z untuk maklumat lanjut).
b Terjemahan lain menggunakan perkataan ‘perwira pasukan’. Seorang perwira pasukan mengetuai unit ketenteraan yang mempunyai sekurang-kurangnya seratus orang. Perwira pasukan dipilih dengan cermat dan semua yang disebut dalam PB mempunyai ciri-ciri yang mulia. Seorang perwira pasukan akan mengarahkan sekumpulan tentera di dalam pasukan Roma (kira-kira satu per enam daripada jumlah satu rejimen).
Pasukan Roma (kira-kira 6000 orang) dibahagikan kepada 10 rejimen, setiap satunya mempunyai gelaran tersendiri. Ini merupakan Rejimen Italia yang direkrut di Italia.
c Perkataan ‘takut akan Allah’ menunjukkan bahawa Kornelius bukan penganut baru agama Yahudi sepenuhnya. Tetapi dia percaya kepada TUHAN orang Yahudi dan menghormati serta mengikut ajaran agama Yahudi.
d Pukul tiga petang merupakan masa untuk orang Yahudi sembahyang, masa untuk membakar kemenyan di Rumah Tuhan. Ini merupakan petunjuk lain yang menandakan bahawa Kornelius mengikut amalan orang Yahudi.
e Adalah menjadi perkara biasa bagi sebuah rumah di sana untuk mempunyai bumbung yang rata dan tangga di luar rumah. Bumbung itu biasanya digunakan untuk beristirehat dan untuk melakukan hal-hal peribadi.
f Ini merupakan waktu berdoa yang kedua kali bagi seorang Yahudi yang benar-benar mengikut aturan waktu sembahyang.
g Ini bukan masa makan orang Yahudi. Pada hari-hari biasa, orang Yahudi mengalas perut dengan makanan ringan pada waktu pagi dan makanan yang lebih berat pada waktu petang.
h Semua perkara ini salah seperti yang dikatakan oleh hati nurani Petrus. Mengikut hukum makanan dalam kitab Imamat 11, haiwan yang tidak bersih langsung tidak boleh dimakan. Haiwan ‘bersih’ juga harus disembelih mengikut aturan yang betul sebelum dagingnya dimakan.
i Kesan dari penglihatan itu adalah untuk memberitahu Petrus bahawa pembezaan makanan yang dilakukan dalam PL yang ‘bersih’ (misalnya, yang sesuai dimakan), dan yang ‘tidak bersih’ kini telah dibatalkan oleh Allah. Petrus kemudiannya sedar bahawa ‘pembersihan’ itu bukan hanya boleh diaplikasikan kepada makanan tetapi juga kepada semua kaum lelaki dan wanita, termasuk orang-orang bukan Yahudi (lihat ay.19).
j Pengulangan tersebut dibuat untuk mendapatkan perhatian Petrus.
k Mimpi ini mempersiapkan Petrus untuk situasi di mana dia harus melayani orang-orang bukan Yahudi dan tidak menganggap sesiapa pun sebagai tidak bersih jika Tuhan telah menyatakan sebaliknya.
l Dengan menjemput orang-orang untuk menginap di situ, Petrus telah memulakan langkah untuk menerima orang bukan Yahudi.
m Perbuatan pertama Kornelius apabila bertemu dengan Petrus ialah sujud di hadapannya sebagai satu tanda penghormatan. Tetapi Petrus menolak penghormatan sedemikian kerana ia harus diberikan kepada Allah sahaja.
n Petrus sedar bahawa penglihatannya mempunyai makna yang lebih besar daripada sekadar membatalkan makanan yang ‘bersih’ dan ‘tidak bersih’. Allah memaklumkan kepadanya bahawa tembok penghalang di antara orang Yahudi dan bukan Yahudi telah dihapuskan.

Ucapan Petrus (ay. 34-48)

34 Lalu Petrus berkata, “Sekarang barulah saya sedar bahawa Allah memperlakukan semua orang dengan sama rata. 35 Sesiapa yang menghormati Allah dan berbuat apa yang benar, diterima oleh Allah, walau apa pun bangsanya. 36 Saudara-saudara tahu akan perkhabaran yang disampaikan oleh Allah kepada bangsa Israel. Khabar itu Berita Baik tentang kedamaian o melalui Yesus Kristus, Tuhan semua orang. 37 Saudara-saudara mengetahui apa yang telah berlaku di seluruh Yudea, mulai dari Galilea, setelah baptisan yang diberitakan oleh Yohanes. 38 Saudara-saudara tahu bahawa Allah telah memilih Yesus orang Nasaret itu dan memberi Dia Roh Allah dan kekuasaan. Yesus pergi ke serata tempat untuk berbuat baik dan menyembuhkan semua orang yang dikuasai oleh Iblis, kerana Allah menyertai Yesus. 39 Kami saksi yang sudah melihat segala sesuatu yang dilakukan-Nya di negeri Yudea mahupun di Yerusalem. Kemudian mereka menyalibkan Dia dan membunuh Dia. 40 Tetapi pada hari ketiga Allah membangkitkan Dia daripada kematian, dan memperlihatkan Dia. 41 Dia tidak dilihat oleh semua orang; tetapi hanya oleh kami yang sudah dipilih oleh Allah untuk menjadi saksi-saksi-Nya. Kami makan dan minum dengan Dia, p sesudah Dia bangkit daripada kematian. 42 Dia menyuruh kami mengkhabarkan Berita Baik itu kepada semua orang, dan memberikan kesaksian bahawa Dialah yang diutus oleh Allah untuk menjadi hakim orang yang masih hidup dan yang sudah mati. 43 Semua nabi berkata-kata tentang Dia. Mereka berkata bahawa setiap orang yang percaya kepada Yesus, dosanya akan diampunkan dengan kekuasaan Yesus.”
44 Sementara Petrus berkata-kata, Roh Allah turun dan menguasai semua orang yang mendengar perkhabaran itu. 45 Beberapa orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan menyertai Petrus dari Yope, hairan q melihat Allah mengurniakan Roh-Nya kepada orang bukan Yahudi juga. 46 Mereka mendengar semua orang itu bertutur dalam bahasa-bahasa yang ajaib r serta memuji-muji kebesaran Allah. Lalu Petrus berkata, 47 “Lihatlah, semua orang ini sudah menerima Roh Allah seperti kita. Bolehkah sesiapa menghalangi mereka dibaptis dengan air?” s 48 Oleh itu Petrus menyuruh mereka dibaptis demi nama Yesus Kristus. Kemudian mereka meminta supaya Petrus tinggal dengan merekat untuk beberapa hari.

Teropong:

o Ini merujuk kepada perdamaian di antara Allah dan manusia melalui karya penyelamatan Yesus.
p Mereka yang pernah makan dan minum bersama Yesus setelah Dia dibangkitkan telah menyaksikan bukti kukuh bahawa Dia sememangnya telah bangkit dari kematian. Mereka dipilih oleh Allah untuk menyaksikan hal ini supaya mereka boleh keluar bersaksi tentang semua perkara yang berkaitan dengan Yesus.
q Orang Yahudi Kristian yang awal gagal untuk menyedari bahawa injil bukan hanya untuk orang Yahudi sahaja, tetapi juga untuk orang bukan Yahudi, dan mereka akan berkongsi anugerah keselamatan, termasuk anugerah Roh Allah.
r Allah menunjukkan penerimaan-Nya terhadap orang bukan Yahudi dengan memberikan mereka anugerah yang sama seperti yang diterima oleh orang Yahudi dan memastikannya dengan memberikan anugerah bahasa ajaib seperti yang terjadi di Pentakosta. Bahasa-bahasa ajaib itu jelas diperlihatkan untuk meyakinkan orang Yahudi di rumah Kornelius. Akan tetapi, ia juga diberikan kepada orang percaya dari Yerusalem, yang akan mendengar tentang kejadian itu beberapa waktu kemudian, supaya semua orang boleh melihat bahawa orang bukan Yahudi menerima Yesus atas kehendak Allah. Dengan itu, mereka tidak lagi mengamalkan sikap prejudis mereka yang melihat penganut baru ini sebagai orang Kristian kelas kedua.
s Setelah dia yakin bahawa pemberian anugerah Roh Allah kepada orang bukan Yahudi sebagai tanda pengampunan dari Allah, Petrus mengambil langkah yang seterusnya – mereka harus dibaptis dalam nama Yesus. Dengan membaptis mereka, Petrus mengaku bahawa Allah dengan penuh kekuasaan-Nya menjemput orang Yahudi dan bukan Yahudi ke dalam kerajaan-Nya.
t Setelah Allah memecahkan benteng pemisah tradisi di antara orang Yahudi dan bukan Yahudi, Petrus membenarkan dirinya untuk tinggal bersama-sama dengan mereka selama beberapa hari.

Mari Fikir Sejenak:

  • Sekiranya seseorang bertanya mengapa anda percaya kepada Yesus, apakah yang anda akan jawab?
  • Ceritakan satu pengalaman peribadi bersama Tuhan dalam hidup anda kepada orang tersebut.

Copyright © 2026, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.