Pada masa itu Raja Herodes a mula menganiaya beberapa orang daripada jemaah. 2 Dengan perintah Raja Herodes, Yakobus, saudara Yohanes b dipenggal kepalanya. c 3 Apabila Raja Herodes melihat bahawa perkara itu menyenangkan hati orang Yahudi, Raja Herodes melanjutkan perbuatannya yang jahat dengan menangkap Petrus. (Hal ini berlaku pada waktu Perayaan Roti Tidak Beragi.) d 4Setelah Petrus ditangkap, dia dimasukkan ke dalam penjara. Di situ dia dijaga oleh empat kumpulan askar, dan setiap kumpulan terdiri daripada empat orang askar. e Raja Herodes bercadang mengadili Petrus di hadapan umum apabila perayaan Paska berakhir. 5 Oleh itu Petrus ditahan di penjara, f tetapi jemaah tekun berdoa kepada Allah bagi Petrus.
a Ini adalah Agripa I, cucu kepada Herodes Agung (rujuk kepada ‘Keluarga Herodes Agung’, ms. 6) dan putera Aristobulus. Dia merupakan anak buah Herodes Antipas, yang telah memenggal kepala Yohanes Pembaptis (Mat 14:3-12) dan mengadili Yesus (Luk 23:8-12). Dia berusaha untuk mendapat sokongan orang Yahudi terutamanya dari golongan Farisi.
b Yakobus dan Yohanes adalah anak kepada Zebedus (Luk 5:10) dan merupakan antara 12 rasul yang menjadi murid Yesus. Kejadian ini berlaku kira-kira sepuluh tahun selepas kematian dan kebangkitan Yesus. Yesus telah memberi amaran tentang penganiayaan kepada mereka (Mat 20:23).
c Kepalanya dipenggal, sama seperti Yohanes Pembaptis.
d Perayaan Roti Tidak Beragi bermula sehari selepas Paskah. Paskah merupakan perayaan yang pertama di antara semua perayaan, dan merupakan yang terpenting dari sudut sejarah dan agama (rujuk kepada ‘Perayaan-perayaan’, ms. 32). Ia dirayakan pada hari ke-14 bulan yang pertama (Nisan) dalam kalendar Yahudi. Perayaan Roti Tidak Beragi bermula pada hari yang ke-15 dan mereka memakan roti tanpa yis atau penaik selama satu minggu. Di zaman Yesus, nama bagi kedua-dua perayaan ini digunakan untuk merujuk kepada mana-mana di antara dua. Perayaan ini disambut untuk memperingati bangsa Israel yang memakan roti tidak beragi pada malam sehari sebelum mereka dibebaskan.
e Ini merujuk kepada satu pasukan seramai empat orang tentera. Setiap pasukan akan mengawal satu daripada empat tempoh pengawalan dalam semalam. Orang Roma membahagikan masa gelap dari matahari terbenam sehingga ia terbit sebanyak empat pengawasan manakala orang Yahudi melakukannya sebanyak tiga kali sahaja.
f Tempat ini mungkin berada di menara Antonia, terletak di timur laut Rumah Tuhan (lihat pelan Rumah Tuhan di ms. 31).
6 Pada malam sebelum Raja Herodes menghadapkan Petrus kepada orang ramai, Petrus tidur terbelenggu dengan dua rantai g yang diikatkan kepada dua orang askar; seorang askar pada setiap sisinya. Di pintu penjara, askar-askar pengawal juga sedang bertugas. 7 Tiba-tiba malaikat Tuhan berdiri di situ dan cahaya bersinar di dalam bilik penjara itu. Malaikat itu menggoyang-goyang Petrus dan membangunkan dia, lalu berkata, “Cepat bangun!” Pada saat itu juga jatuhlah rantai dari tangan Petrus.
8 Malaikat itu berkata lagi, “Ikat tali pinggangmu dan pakailah kasut.” Petrus pun berbuat demikian. Kemudian malaikat itu berkata pula, “Pakailah jubahmu dan ikutlah aku.” 9 Petrus mengikut malaikat itu keluar dari penjara. Tetapi Petrus tidak tahu sama ada perbuatan malaikat itu benar-benar berlaku atau tidak. Petrus menyangka semua itu hanya suatu penglihatan. 10 Mereka melalui tempat penjagaan yang pertama, kemudian yang kedua dan akhirnya tiba di pintu besi yang menuju ke bandar. Pintu itu terbuka dengan sendirinya, lalu mereka keluar. Mereka berjalan melalui suatu lorong, lalu tiba-tiba malaikat itu meninggalkan Petrus.
11 Barulah Petrus menyedari apa yang sudah berlaku kepada dirinya. Dia berkata, “Sekarang aku tahu bahawa semuanya benar-benar berlaku. Tuhan telah mengirim malaikat-Nya untuk melepaskan aku daripada kuasa Raja Herodes dan daripada segala sesuatu yang akan dilakukan orang Yahudi kepadaku.”
12 Apabila Petrus menyedari keadaannya, dia pergi ke rumah Maria, ibu Yohanes Markus. h Banyak orang berkumpul di situ dan sedang berdoa. 13 Petrus mengetuk pintu luar, dan seorang hamba perempuan bernama Rode datang untuk membuka pintu. 14 Dia mengenali suara Petrus, tetapi kerana terlalu gembira dia cepat-cepat masuk kembali tanpa membuka pintu. Dia memberitahu bahawa Petrus berdiri di luar. 15 “Kamu gila!” kata mereka. Tetapi Rode berkeras mengatakan orang itu Petrus. Oleh itu mereka berkata, “Dia itu malaikatnya!” i
16 Sementara itu Petrus terus-menerus mengetuk pintu. Akhirnya mereka membuka pintu, dan apabila mereka melihat Petrus, mereka hairan sekali. j 17 Petrus memberikan isyarat dengan tangan supaya mereka tenang. k Lalu dia menceritakan bagaimana Tuhan sudah membawa dia keluar dari penjara. Kemudian Petrus berkata, “Beritahukan hal ini kepada Yakobus l dan saudara-saudara yang lain.” Kemudian dia meninggalkan tempat itu dan pergi ke tempat lain.
18 Pagi berikutnya berlakulah kegemparan di kalangan askar-askar itu. Apakah yang sudah berlaku terhadap Petrus?
19 Raja Herodes menyuruh orang mencari Petrus, tetapi mereka tidak dapat menjumpai dia. Lalu Raja Herodes memberikan perintah supaya askar-askar pengawal itu disoal siasat lalu dihukum mati. m Setelah itu Raja Herodes meninggalkan Yudea lalu tinggal di Kaisarean untuk beberapa waktu.
g Herodes Agripa I telah merancangkan untuk membicara-kan Petrus kemudian menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya sebagai satu amaran kepada para pengikut Yesus supaya menghentikan kegiatan mereka. Biasanya seorang tahanan akan dirantaikepada hanya seorang pengawal. Tetapi atas rancangan Agripa, bilangan pengawal itu digandakan.
h Pengenalan yang dibuat oleh Lukas ke atas Maria melalui anaknya menunjukkan bahawa nama anaknya lebih dikenali oleh pembaca berbanding ibunya. Ada pendapat yang mengatakan bahawa Yohanes Markus yang disebut di sini merupakan orang yang sama dalam perjalanan misi pertama Paulus dan Barnabas (Kol 4:10). Oleh itu, ini merupakan rumah ibu saudara Barnabas, tempat persekutuan orang Kristian.
i Orang Yahudi percaya bahawa setiap orang mempunyai malaikat penjaga yang melayani (lihat Mat 18:10 untuk contoh lain kepada kepercayaan ini). Malaikat-malaikat ini dikatakan muncul sekali-sekala dan juga kelihatan seperti muka orang yang dilindunginya. Petikan yang digunakan oleh Lukas ini tidak lebih daripada sekadar kepercayaan karut orang Yahudi kerana dia tidak mengulas lebih lanjut untuk membuktikan kepercayaan ini.
j Walaupun mereka telah berdoa bersungguh-sungguh bagi Petrus, mereka seperti tidak percaya apabila doa mereka dijawab.
k Ini bukanlah masa untuk bersukacita kerana tentera Herodes akan segera berlegar-legar di jalan-jalan untuk mencari Petrus. Dia harus melarikan diri sejauh yang mungkin supaya tidak ditangkap lagi. Jadi dia mengulas secara ringkas ‘bagaimana Tuhan membebaskan dia dari penjara’ dan mengarahkan mereka untuk memberitahu Yakobus dan yang lain tentang hal tersebut.
l Yakobus yang disebut di sini ialah adik kepada Yesus, bukan Yakobus saudara Yohanes anak kepada Zebedus. Kepala Yakobus anak Zebedus telah dipenggal oleh Herodes Agipa I (ay. 2). Tidak ragu lagi bahawa Petrus merupakan pemimpin bagi jemaah Kristian yang pertama di Yerusalem, seperti yang dilihat dalam bab-bab awal Kisah Rasul-Rasul. Tetapi kemudiannya, Yakobus juga dilihat menjalankan kepimpinan dalam pentadbiran bersama dengan Petrus dan rasul yang lain (Gal 1:19; 2:9). Kemudian dia menjadi pengerusi untuk Majlis Yerusalem pada 49 M (15:13-21). Lukas masih menggelar Yakobus sebagai ketua kepada jemaah di Yerusalem (21:18). Dia mungkin mati syahid pada 62 M.
m Dalam undang-undang Roma, pengawal penjara yang melepaskan tahanan akan menerima hukuman seperti hukuman yang dijatuhkan ke atas tahanan yang dikawalnya. Apabila Herodes menerima berita tentang Petrus melarikan diri, dia mengarahkan orang untuk mencarinya dan memeriksa kembali setiap pengawal. Setelah kecewa dengan usahanya yang gagal, Herodes mengarahkan supaya semua pengawal penjara tersebut dibunuh.
n Kaisarea bukan sahaja pusat pentadbiran bagi gabenor Roma, ia juga dijadikan oleh Raja Agripa sebagai ibu kotanya apabila tiada gabenor yang ditugaskan di Yudea.
Fikirkan perkara yang telah anda doakan tetapi Tuhan masih belum memberikan jawapan-Nya.
Mahukah anda datang kepada Tuhan dalam doa dan meminta supaya Dia menunjukkan sama ada doa anda sudah dijawab atau belum? Mintalah dari-Nya supaya anda terbuka untuk menerima rancangan yang diberikan-Nya dan bukan kehendak anda sendiri.
20 Raja Herodes sangat murka terhadap orang Tirus dan Sidon. o Oleh itu mereka datang bersama untuk menghadap Raja Herodes. Mula-mula mereka meyakinkan Blastus, orang yang mengepalai istana Raja Herodes, supaya memihak mereka. Kemudian mereka pergi menghadap Raja Herodes dan minta berdamai, kerana bekalan makanan negeri mereka bergantung kepada negeri Raja Herodes.
21 Pada hari yang sudah ditetapkan, p Raja Herodes mengenakan pakaian kebesaran lalu bersemayam di takhta dan menyampaikan ucapan
kepada rakyat. 22 Orang ramai yang mendengar ucapan Raja Herodes berseru, “Dewalah yang berkata-kata, bukan manusia.” 23 Pada saat itu juga malaikat Tuhan memukul Raja Herodes, q kerana raja tidak menghormati Allah. Raja Herodes dimakan cacing r lalu mangkat.
24 Sementara itu firman Allah semakin tersebar luas dan banyak orang percaya kepada Yesus.
25 Setelah Barnabas dan Saulus menyelesaikan tugas, s mereka kembali dari Yerusalem dan membawa serta Yohanes Markus.
o Tirus dan Sidon merupakan kota yang terkenal di Fenisia (lihat Bab 11, nota j). Mereka bergantung kepada ladang bijirin di Galilea untuk mendapatkan bekalan makanan mereka.
p Ahli sejarah Yahudi, Josephus mencatatkan bahawa Herodes meraikan sukan permainan di Kaisarea sebagai penghormatan kepada kaisar. Majlis ini turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin kerajaan yang penting. Dia juga merekodkan peristiwa di mana penyokong Herodes menggelarnya sebagai seorang tuhan. Ketika Herodes sedang menikmati pujian yang diberikan kepadanya, dia mendongak ke atas dan ternampak seekor burung pungguk sedang bertenggek di atas tali dan menganggap hal itu sebagai petanda nasib malang. Pada masa yang sama, dia diserang oleh kesakitan dalaman dan dia dibawa ke istananya dan mangkat lima hari kemudian. Kisah ini sama seperti yang ditulis oleh Lukas dalam Kisah Rasul-Rasul.
q Lukas tidak memikirkan tentang susuk tubuh syurgawi yang dapat dilihat tetapi lebih kepada penyakit itu datang dari Allah untuk menghukum Herodes.
r Ini mungkin merujuk kepada Herodes yang benar-benar mempunyai cacing usus atau sebagai satu frasa yang digunakan untuk menggambarkan kematian seorang pemerintah kejam.
s Ayat ini merujuk kepada peristiwa yang terjadi dalam Bab 12 untuk menyambungkannya kepada Bab 13:1-13 dengan penyertaan jemaah Antiokhia dalam 11:19-30. Lukas menggunakannya sebagai ayat penyambung sebelum meneruskan penulisannya tentang perjalanan misi itu. Oleh itu, dia mengalihkan perhatian pembacanya dari Yerusalem ke Antiokhia di Siria dan memberitahu tentang kepulangan Yohanes Markus bersama dengan sepupunya Barnabas (Kol 4:10 serta ketibaan Saulus dari Yerusalem ke Antiokhia.
t Ada pendapat yang mengatakan Yohanes Markus ialah pemuda yang melarikan diri pada malam penangkapan Yesus (Mark 14:51-52). Dia juga mungkin penulis kepada Injil Markus dan merupakan sepupu kepada Barnabas.
Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.