Bab 13

Kisah Para Rasul 13

Barnabas dan Saulus Dipilih dan Diutus (ay. 1-3)

Di kalangan jemaah di Antiokhia terdapat beberapa orang nabi dan guru: Barnabas, Simeon yang digelar Si Hitam, a Lukius dari Kirene, Menahem yang dibesarkan bersama-sama Gabenor Herodes, b dan Saulus. 2 Sementara mereka beribadat kepada Tuhan c dan berpuasa, Roh Allah berkata kepada mereka, d “Pilihlah Barnabas dan Saulus khas untuk-Ku, supaya mereka menjalankan tugas yang sudah Aku tetapkan bagi mereka.”
3 Setelah berpuasa dan berdoa, mereka meletakkan tangan e ke atas kepala Barnabas dan Saulus, lalu mengutus mereka berdua.

Teropong:

a Nama ‘Simeon’ menunjukkan seorang berlatar-belakang Yahudi. Terjemahan lain mencatatkan ‘Niger’ yang bermaksud ‘hitam’ dalam bahasa Latin, menggambarkan paras rupanya yang gelap.
b Ada kemungkinan Lukas mendapatkan maklumat tentang Herodes Antipas dari Menahem iaitu abang angkat Herodes. Sebab itu maklumat Herodes dalam tulisan Lukas tidak terdapat dalam injil lain.
c Beberapa versi lain menterjemahkan perkataan ini kepada ‘menyembah’ Tuhan. Kata kerja ‘menyembah’ bermaksud melayani Tuhan. Ia adalah perkataan Yunani yang pada asalnya digunakan untuk menggambarkan perbuatan membantu orang awam dengan kerelaan sendiri dan istilah ini digunakan oleh imam-imam di Rumah Tuhan. Pengertian di sini ialah: persekutuan jemaah merupakan satu penyembahan kepada Tuhan dan oleh kerana puasa biasa dikaitkan dengan doa, besar kemungkinan mereka berdoa dan menanti Tuhan, menumpukan perhatian dalam melayani Dia dan menerima pimpinan-Nya.
d Bagi jemaah yang menantikan Dia, Firman-Nya turun melalui Roh. Roh Allah yang bertanggungjawab memilih pemimpin di dalam jemaah (20:28) dan memimpin jemaah pada masa-masa yang penting. Besar kemungkinan, Roh Allah berkata-kata melalui nabi di kalangan jemaat itu.
Perhatikan bahawa misi perjalanan Paulus yang pertama bukan hasil dari sebarang perancangan yang dibuat. Ia diilhamkan oleh Roh Allah ketika para pemimpin menyembah Tuhan.
e Sebelum mereka berangkat pergi, jemaah mengambil masa untuk berpuasa dan berdoa bagi mereka, untuk bersyafaat bagi tugas pelayanan mereka yang akan datang. Kemudian pemimpin jemaah meletakkan tangan lalu mengutus mereka sebelum mereka bertolak.

Mari Fikir Sejenak:

Perhatikan hal doa dan puasa yang menjadi kebiasaan hidup bagi jemaah Kristian di Antiokhia.

  • Pernahkah anda berpuasa sebelum ini? Ini merupakan salah satu disiplin rohani yang anda harus pertimbangkan agar ia menjadi kebiasaan hidup supaya iman Kristian anda semakin bertumbuh. Puasa yang Alkitabiah biasanya tidak mengambil makanan kerana ingin mencari wajah Tuhan.

Suatu Pegangan Hidup:

Anda boleh bermula dengan tidak mengambil satu hidangan dan mengambil masa tersebut untuk berdoa dan mencari wajah Tuhan. Kemudian anda boleh mencuba puasa yang lebih lama. Walaupun anda ingin berpuasa atas sebab yang berlainan, anda harus ingat bahawa perbuatan berpuasa itu mesti berpaksikan Tuhan.

Barnabas dan Saulus di Pafos (ay. 4-12)

4 Barnabas dan Saulus pergi ke Seleukia, f kerana diutus oleh Roh Allah. g Dari sana mereka belayar ke pulau Siprus. h 5Apabila mereka tiba di Salamis, i mereka menyampaikan firman Allah di rumah ibadat orang Yahudi. j Yohanes Markus menolong mereka dalam tugas itu.
6Mereka menjelajah seluruh pulau itu, sehingga tiba di Pafos. k Di situ mereka berjumpa dengan seorang ahli sihir l  bernama Bar-Yesus, m seorang Yahudi yang menganggap dirinya sebagai nabi. 7 Dia sahabat Sergius Paulus, gabenor n pulau itu, seorang yang cerdik dan bijaksana. Gabenor itu menjemput Barnabas dan Saulus, kerana dia ingin mendengar firman Allah. 8 Tetapi Barnabas dan Saulus ditentang oleh Elimas o ahli sihir itu (itulah namanya dalam bahasa Yunani), kerana Elimas cuba menghalang gabenor itu percaya kepada Yesus. 9 Tetapi Saulus — yang juga disebut Paulus p — dikuasai oleh Roh Allah, dan menatap ahli sihir itu. 10 Lalu Paulus berkata, “Kamu anak Iblis! Kamu musuh segala apa yang baik. Kamu penuh dengan tipu muslihat. Kamu berdusta mengenai ajaran tentang Tuhan! 11Tuhan akan menghukum kamu sekarang juga. Kamu akan menjadi buta, dan tidak dapat melihat cahaya matahari untuk sementara waktu.”
Pada saat itu juga Elimas merasa kabus gelap menutupi matanya, sehingga dia berjalan sambil meraba-raba mencari orang yang dapat menuntunnya. 12Apabila gabenor itu melihat apa yang sudah berlaku, dia percaya kepada Yesus, kerana

Teropong:

f Seleukia merupakan pelabuhan di Antiokhia, Siria. Ia terletak kira-kita 26 km (16 batu) di arah barat Antiokhia dan 8 km (4-5batu) ke arah hulu muara Sungai Orontes.
g Lukas menegaskan sekali lagi bahawa Roh Allah yang mengutus mereka untuk melakukan misi penginjilan.
h Siprus merupakan sebuah pulau yang penting sejak dari zaman yang awal kerana lokasinya yang terletak di laluan perairan di antara Siria, Asia Kecil dan Greece. Pada tahun 57 SM, ia dijajah oleh Roma daripada Mesir dan pada 55 SM, ia menjadi sebahagian dari wilayah Kilikia. Ramai orang Yahudi yang menetap di sana dan injil juga telah diberitakan di sana (lihat 11:19-20).
i Salamis terletak di sebelah timur persisiran Siprus, kira-kira 209km (130 batu) dari Seleukia. Salamis merupakan kota yang paling penting di pulau tersebut dan tempat pusat pentadbiran bagi seluruh kawasan timur. Ibu kotanya ialah Pafos yang terletak di bahagian barat.
j Penduduk Siprus banyak didominasi oleh orang Yunani, tetapi terdapat ramai orang Yahudi yang juga tinggal di sana. Oleh itu, Barnabas dan Saulus memulakan misi mereka dengan mengajar di rumah-rumah ibadat di kota itu, dan Yohanes Markus bersama-sama membantu mereka.
k Pafos terletak di hujung bahagian barat Siprus, hampir 160 km (100 batu) dari Salamis. Ia merupakan ibu pejabat bagi pemerintah Roma.
l Walaupun ilmu sihir dan amalan magik diharamkan oleh agama Yahudi, masih terdapat orang Yahudi yang mengamalkannya.
m ‘Bar’ bermaksud ‘anak kepada’ dalam bahasa Aramaik, ‘Jesus’ diambil dari nama ‘Joshua’ dalam bahasa Yunani.
n Oleh kerana Siprus berada di bawah pemerintahan Roma, seorang gabenor dilantik untuk memerintah di sana.
o ‘Elimas’ bererti ahli sihir, pengamal magik atau orang bijak.
p Nama ‘Saulus’ atau ‘Paulus’ bererti ‘dipanggil Tuhan’ atau ‘kecil’. Saulus adalah nama Ibraninya. Sebagai warganegara Roma, Saulus diberikan nama yang lain iaitu Paulus (nama Roma).
Dia menerangkan dirinya sebagai ‘orang Ibrani sejati’ (Fil 3:5). Ini menunjukkan bahawa, walaupun ibu bapanya tidak menetap di Yerusalem (mereka adalah orang Yahudi Diaspora), mereka masih mengamalkan adat dan budaya orang Yahudi. Oleh kerana dia berasal dari keturunan Benjamin, ibu bapanya mungkin menamakan dia Saulus, sempena nama raja Israel yang pertama dan juga orang yang paling penting bagi suku tersebut.
Pada peringkat penceritaannya di sini, Lukas memperkenalkan nama bukan Yahudi Saulus kerana dari sini, dia akan melayani di tempat-tempat yang didiami oleh orang-orang bukan Yahudi. Setelah ini, Lukas menggelarnya sebagai Paulus sahaja.
Urutan sebutan nama mereka kini berubah dari ‘Barnabas dan Saulus’ kepada ‘Paulus dan Barnabas’. Adalah penting bagi Lukas untuk menekankan kepimpinan Paulus dengan menulis namanya dahulu apabila menyebut tentang misi perjalanan mereka. Hanya beberapa pengecualian di mana nama Barnabas lebih di tetankan, contohnya apabila mereka kembali ke Yerusalem (lihat 15:12).

Di Antiokhia di Daerah Pisidia (ay. 13-52)

13 Paulus dan rakan-rakannya belayar dari Pafos ke kota Perga q di daerah Pamfilia. r  Di situ Yohanes Markus meninggalkan mereka s lalu kembali ke Yerusalem. 14 Mereka melanjutkan perjalanan dari Perga ke kota Antiokhia t di Pisidia. u Pada hari Sabat mereka masuk ke rumah ibadat lalu duduk di situ. 15 Setelah Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi dibacakan, para pemimpin v rumah ibadat itu menyuruh orang berkata kepada Paulus dan rakannya, “Saudara-saudara, jika ada nasihat untuk menggalakkan orang w di sini, silalah katakan.” 16 Paulus berdiri lalu memberikan isyarat dengan tangan, dan mula berkata,
“Saudara-saudara bangsa Israel dan semua saudara lain di sini yang taat kepada Allah, dengarlah! 17 Allah orang Israel telah memilih nenek moyang kita dan menjadikan mereka bangsa yang besar, semasa mereka tinggal di Mesir sebagai orang asing. Allah membawa mereka keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya yang besar. 18 Dia bersabar terhadap mereka selama empat puluh tahun di padang gurun. 19 Dia memusnahkan tujuh bangsa di tanah Kanaan dan menjadikan negeri itu milik umat-Nya. 20 Semua itu berlangsung selama 450 tahun. x
Setelah itu Allah mengurniai mereka hakim-hakim sehingga masa Nabi Samuel. 21 Apabila mereka meminta seorang raja, Allah memberi mereka Saul anak Kis daripada suku Benyamin untuk menjadi raja selama empat puluh tahun. 22 Setelah Allah menyingkirkan dia daripada kedudukannya, Allah menjadikan Daud raja mereka. Inilah yang dikatakan oleh Allah tentang Daud, ‘Aku mendapati Daud anak Isai seorang yang menyenangkan hati-Ku. Dia orang yang akan melakukan segala kehendak-Ku. ’ 23 Yesuslah keturunan Daud, dan Allah menjadikan Dia Penyelamat bangsa Israel, seperti yang dijanjikan-Nya. 24 Sebelum Yesus memulakan tugas-Nya, Yohanes menyeru supaya semua orang Israel bertaubat daripada dosa lalu dibaptis. 25 Apabila Yohanes hampir menyelesaikan tugasnya, dia berkata kepada orang ramai, ‘Siapakah aku ini menurut pendapat kamu? Aku bukan orang yang kamu tunggu-tunggu. Dengarlah baik-baik! Dia akan datang kemudian, dan aku tidak layak membuka kasut-Nya.’
26 Saudara-saudara keturunan Abraham, dan semua saudara lain di sini yang taat kepada Allah! Allah sudah mengirim berita penyelamatan itu kepada kita. 27 Orang yang tinggal di Yerusalem dan pemimpin-pemimpin mereka tidak sedar bahawa Dialah Penyelamat itu. Mereka tidak memahami ajaran nabi-nabi yang dibacakan setiap hari Sabat, sehingga mereka menghukum Yesus. Tetapi melalui perbuatan mereka itu berlakulah apa yang sudah dikatakan oleh nabi-nabi. 28 Meskipun mereka tidak mempunyai alasan apa-apa untuk menjatuhkan hukuman mati kepada Yesus, namun mereka meminta Pilatus menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. 29 Setelah mereka melakukan semua yang tertulis di dalam Alkitab tentang Dia, mereka menurunkan jenazah-Nya dari salib dan meletakkannya di dalam kubur. 30 Tetapi Allah membangkitkan Dia daripada kematian. 31 Kemudian selama beberapa hari Dia menampakkan diri kepada mereka yang dahulu berjalan bersama-sama Dia dari Galilea ke Yerusalem. Sekarang mereka menjadi saksi bagi-Nya kepada bangsa Israel. 32 Oleh itu kami di sini untuk menyampaikan Berita Baik ini kepada kamu. Apa yang dijanjikan oleh Allah kepada nenek moyang kita, 33 sudah dilakukan-Nya bagi kita, iaitu keturunan mereka, dengan membangkitkan Yesus daripada kematian. Seperti yang tertulis di dalam Kitab Mazmur fasal dua, y
‘Engkaulah Anak-Ku,
pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.’
34 Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian; Dia tidak akan mengalami kematian lagi. z Tentang hal ini Allah berfirman,
‘Aku akan memberkati kamu dengan berkat yang suci, seperti yang Aku janjikan kepada Daud.’
35 Begitu juga dalam ayat lain a’ Dia berfirman, ‘Engkau tidak akan membiarkan Hamba-Mu yang setia itu reput di dalam kubur.’
36 Pada masa hidupnya, Daud melakukan kehendak Allah, lalu Daud meninggal, dikuburkan dengan nenek moyangnya dan jenazahnya reput. 37 Tetapi hal ini tidak berlaku terhadap Dia yang dibangkitkan oleh Allah daripada kematian. 38-39 Oleh itu, saudara-saudara, ketahuilah bahawa melalui Yesus berita tentang pengampunan dosa sudah disampaikan kepada saudara semua. Setiap orang yang percaya kepada-Nya dibebaskan daripada segala dosa yang tidak dapat dihapus oleh Taurat Musa. 40 Berwaspadalah supaya apa yang dikatakan nabi-nabi ini tidak berlaku kepada saudara semua, b’
41 ‘Dengarlah hai orang yang menghina Allah! Kamu akan kehairanan lalu binasa! Apa yang Aku lakukan pada masa ini tidak akan kamu percayai, meskipun orang menerangkannya kepada kamu!’”
42 Apabila Paulus dan Barnabas meninggalkan rumah ibadat itu, orang Yahudi meminta mereka datang kembali pada hari Sabat yang berikutnya, untuk memberitahu mereka perkara-perkara itu lagi. 43 Apabila perhimpunan di rumah ibadat berakhir, banyak orang Yahudi dan orang bangsa lain yang menganut agama Yahudi, mengikut Paulus dan Barnabas. Rasul-rasul c’ itu menasihati mereka supaya terus-menerus hidup bersandar kepada rahmat Allah.
44Pada hari Sabat berikutnya, hampir semua orang di bandar itu datang mendengar firman Tuhan. 45Apabila orang Yahudi melihat orang ramai itu, mereka iri hati. Mereka menentang kata-kata Paulus dan menghina dia. 46 Tetapi Paulus dan Barnabas berkata-kata dengan lebih berani lagi. Mereka berkata, “Firman Allah memang harus disampaikan kepada kamu terlebih dahulu. Tetapi kerana kamu menolak firman-Nya, dan menganggap diri kamu tidak layak menerima hidup sejati dan kekal, kami akan meninggalkan kamu lalu pergi kepada bangsa lain. 47 Hal itu demikian kerana inilah perintah yang diberikan oleh Tuhan kepada kami, d’ ‘Aku sudah menetapkan supaya kamu menjadi cahaya bagi bangsa bukan Yahudi, dan melalui kamu, Allah akan menyelamatkan seluruh dunia.’”
48 Apabila orang bukan Yahudi mendengar kata-kata itu, mereka bersukacita dan memuji firman Tuhan. Mereka yang sudah dipilih oleh Allah untuk menerima hidup sejati dan kekal, pun percaya kepada Yesus.
49 Firman Tuhan tersebar ke serata tempat di daerah itu. 50 Tetapi orang Yahudi menghasut pembesar-pembesar kota itu dan wanita-wanita terkemuka bangsa asing yang takut akan Allah. Mereka mula menganiaya Paulus dan Barnabas, dan menghalau mereka berdua dari daerah itu. 51 Rasul-rasul itu mengebaskan debu pada kaki e’ mereka di hadapan orang di situ sebagai amaran, lalu pergi ke Ikonium.f’ 52 Tetapi pengikut-pengikut Yesus di Antiokhia sangat bersukacita dan mereka dikuasai oleh Roh Allah.

Teropong:

q Perga merupakan ibu kota Pamfilia, sebuah wilayah di persisiran Asia Kecil di antara wilayah Likia dan Kilikia. Asia Kecil merupakan semenanjung yang menjadi bahagian barat negara Turki pada hari ini. Ia berbeza dengan ‘Asia’ dalam PB yang biasanya merujuk kepada wilayah Roma di bahagian barat.
r Wilayah Pamfilia yang terletak di selatan persisiran Asia Kecil mempunyai kawasan geografi yang kecil dan ekonomi yang miskin. Ia diduduki oleh penduduk yang berbilang bangsa dan terbuka kepada injil, sama seperti di wilayah-wilayah yang lain. Walau bagaimanapun, Lukas tidak menceritakan kerja-kerja penginjilan di Perga atau kawasan sekitarnya pada masa ini.
s Tidak diketahui mengapa Yohanes Markus meninggalkan mereka dan kembali ke Yerusalem. Paulus tidak senang dengan hal itu dan perasaan tidak puas hatinya itu akan ditunjukkan kemudian (15: 37-39).
t Antiokhia di Pisidia terletak 177 km (110 batu) dari Perga dan merupakan kota utama di daerah tersebut. Ia terletak di tengah-tengah jalan perhubungan darat dan perdagangan. Ia merupakan koloni Roma yang mempunyai penduduk orang Yahudi yang besar. Seperti kebiasaannya, Paulus mengajar di rumah-rumah ibadat asalkan orang Yahudi sudi untuk menerimannya. Dia mengerti sekali janji penebusan Allah yang ada dalam PL adalah untuk orang Yahudi dahulu (lihat ay. 46). Tambahan lagi, rumah ibadat menyediakan situasi yang sesuai untuk mengajar kerana struktur bangunannya, jadual persekutuan yang tetap dan orang-orang yang tahu akan isi kandungan PL.
u Pisidia merupakan sebuah daerah di utara Pamfilia yang terletak di selatan persisiran Asia Kecil.
v Mereka juga digelar sebagai pemerintah dan merupakan pemimpin yang bertanggunjawab untuk melantik pembaca dan pengajar, menyusun kebaktian dan juga menjaga aturan.
w Menjemput pelawat, teutamanya guru Kitab Suci seperti Paulus untuk berucap kepada orang ramai adalah satu kebiasaan pada masa itu.
x Ini merujuk kepada 400 tahun di Mesir, diikuti dengan padang gurun (40 tahun) dan penempatan di tanah perjanjian (10 tahun).
y Ayat ini dipetik dari Maz 2:7, sebuah mazmur yang menggambarkan tentangan oleh bangsa-bangsa dan pemerintah mereka terhadap yang diurapi Tuhan, misalnya pemerintah kepada umat-Nya. Mazmur ini dilihat berkaitan dengan Penyelamat dan orang Kristian awal mengaitkannya dengan Yesus.
z Ayat ini diambil dari Yes 55:3. Ini adalah janji untuk keturunan Daud yang akan mengalahkan maut dan ia tidak berkaitan dengan Daud tetapi Mesias.
a’ Ia dipetik dari Maz 16:10 dan diambil sebagai rujukan kepada Mesias, keturunan Daud dan bukan Daud sendiri seperti yang diterangkan oleh Paulus dalam ay. 36-37.
b’ Ayat ini diambil dari Hab 1:5. Dalam kandungan asalnya, nubuatan ini mencatatkan tentang kegagalan Israel untuk mengenalpasti penjajahan orang Babilonia sebagai satu hukuman dari syurga. Di sini, Paulus memberi amaran tentang bahaya tidak mengenal perkara yang dilakukan oleh Allah sendiri.
c’ Istilah ‘rasul’ yang digunakan di sini tidak merujuk ke-pada Dua Belas murid Yesus tetapi ia merujuk kepada maksud yang lebih meluas seperti pembawa injil. Dalam kes ini adalah Paulus dan Barnabas.
d’ Ayat ini dipetik dari Yes 49:6, iaitu salah satu ayat Kitab Suci yang menyebut tentang Israel sebagai Hamba Tuhan yang harus menjadi terang kepada bangsa-bangsa dan menjadi jalan keselamatan kepada seluruh dunia. Dalam ayat 47, Hamba itu dikatakan mempunyai satu misi kepada Israel. Jadi, dia haruslah seseorang atau sekumpulan orang yang dikenali di kalangan orang Israel. Kristian awal melihat penggenapan nubuatan tersebut melalui Yesus. Di sini, Paulus mengatakan bahawa misi Hamba tersebut merupakan misi pengikut Yesus juga. Oleh itu, misi Israel yang gagal dilaksanakan telah diberikan kepada Yesus, kemudian kepada pengikut-Nya sebagai orang Israel yang baru. Tugas itu adalah untuk memberikan cahaya penglihatan dan keselamatan kepada semua orang.
e’ Orang Yahudi mempunyai kebiasaan untuk mengebaskan debu dari tanah sebuah kota pagan apabila mereka kembali ke tempat asal sebagai simbol pembersihan dari segala kekotoran orang yang berdosa yang tidak menyembah Tuhan. Orang Yahudi yang melakukan perkara ini kepada sesama orang Yahudi sama seperti menganggap mereka setaraf dengan orang bukan Yahudi yang tidak percaya Tuhan.
f’ Ikonium adalah Konya pada hari ini. Ia terletak di laluan Roma kira-kira 145 km (90 batu) di timur Antiokhia di daerah yang sama dengan wilayah Galatia. Ia merupakan pertemuan jalan yang penting untuk perdagangan dan menjadi pusat pertanian di tengah-tengah kawasan rata di wilayah Galatia.

Copyright © 2026, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.