Beberapa orang a dari Yudea datang ke Antiokhia dan mula mengajar pengikut Yesus di situ, “Kamu tidak dapat diselamatkan jika kamu tidak disunat menurut Taurat Musa.” 2 Tetapi Paulus dan Barnabas menentang keras ajaran mereka itu. Akhirnya Paulus dan Barnabas dipilih supaya pergi ke Yerusalem dengan beberapa orang lain dari Antiokhia untuk membincangkan masalah itu dengan rasul-rasul dan para pemimpin jemaah di situ.
3 Lalu jemaah di Antiokhia menghantar mereka sampai ke luar bandar. Sementara mereka melalui daerah Fenisia dan Samaria, b mereka memberitahu bahawa orang bukan Yahudi sudah percaya kepada Allah. Berita ini menggembirakan semua pengikut Yesus di situ. 4 Apabila Paulus dan Barnabas tiba di Yerusalem, c mereka disambut oleh jemaah, para rasul, dan pemimpin jemaah. Lalu Paulus dan Barnabas menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh Allah melalui mereka. 5 Tetapi beberapa orang Farisi d yang percaya kepada Yesus, berdiri dan berkata, “Orang bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus harus disunat dan diwajibkan menurut Taurat Musa.”
6 Lalu para rasul dan pemimpin jemaah berkumpul untuk membincangkan masalah itu. 7 Setelah berbincang lama sekali, akhirnya Petrus e berdiri dan berkata, “Saudara-saudara tentu tahu bahawa beberapa waktu yang lalu Allah memilih saya daripada kalangan saudara untuk mengkhabarkan Berita Baik itu kepada orang bukan Yahudi, supaya mereka pun boleh mendengar dan percaya. 8 Allah yang mengenal hati manusia sudah menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada orang bukan Yahudi dengan mengurniakan Roh Allah kepada mereka seperti yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita. 9 Allah tidak membeza-bezakan orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi. Dia mengampunkan dosa mereka kerana mereka percaya. 10 Oleh itu, mengapakah saudara-saudara mahu mencubai Allah dengan membebani pengikut-pengikut ini dengan kewajipan berat yang baik nenek moyang kita mahupun kita sendiri tidak sanggup melakukannya? 11 Janganlah berbuat demikian! Kita percaya dan diselamatkan kerana rahmat Tuhan Yesus; demikianlah Allah menyelamatkan mereka juga.”
12 Semua orang yang berkumpul di situ diam, sementara mendengarkan laporan Barnabas dan Paulus tentang segala mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Allah di kalangan orang bukan Yahudi melalui mereka. 13 Setelah mereka selesai memberikan laporan, Yakobus f berkata, “Saudara-saudara,
dengarlah! 14 Simon baru sahaja menerangkan bagaimana Allah pada mulanya menunjukkan kasih-Nya kepada orang bukan Yahudi dengan memilih suatu kelompok di kalangan mereka untuk menjadi umat-Nya. 15 Hal ini sesuai dengan nubuat nabi-nabi, kerana di dalam Alkitab tertulis, g
16 ‘Setelah itu Aku akan kembali, firman Tuhan, Aku akan membina semula rumah Daud yang sudah roboh, dan memperbaiki runtuhannya. Aku akan menegakkannya semula,
17 supaya semua orang yang lain akan mencari Aku, semua bangsa lain yang bukan Yahudi sudah Aku panggil untuk menjadi umat-Ku.
18 Demikianlah firman Tuhan yang telah menyata-kan hal ini sejak dahulu.’”
19 Yakobus melanjutkan kata-katanya, h “Menurut pendapat saya, kita tidak boleh menyusahkan orang bukan Yahudi yang percaya kepada Allah. 20 Sebaliknya, kita harus menulis sepucuk surat untuk menasihati mereka supaya tidak makan makanan yang najis di sisi agama kerana sudah dipersembahkan kepada berhala, i atau makan daging binatang yang mati dicekik, j atau makan darah. k Mereka harus menjauhkan diri juga daripada perbuatan cabul.l 21 Hal itu demikian, kerana sejak dahulu Taurat Musa telah dibacakan di rumah-rumah ibadat pada setiap hari Sabat, dan diberitakan di setiap kota.”
a Mereka adalah orang Yahudi Kristian dari Yerusalem yang datang dari ‘kalangan orang Farisi’ (lihat ay. 5). Mereka menegaskan bahawa seseorang itu harus mengikuti Hukum Musa sebelum menjadi Kristian. Dalam ajaran mereka, sunat itu wajib untuk keselamatan. Mereka kemudian dikenali sebagai ‘Judaizer’ (yang bererti ‘hidup menurut adat dan budaya Yahudi’).
b Orang-orang Kristian dari Fenisia dan Samaria merupakan Kristian Helenis yang meninggalkan Yerusalem setelah kesyahidan Stefanus. Mereka mungkin telah membuka fikiran mereka terhadap apa yang terjadi di Yerusalem dan bersukacita dengan pekerjaan Allah yang terjadi di kalangan orang-orang bukan Yahudi.
c Terdapat beberapa mesyuarat yang berlangsung (seperti yang dicatatkan dalam ay.4-22): (i) mesyuarat umum alu-aluan dan laporan (ayat 4-5) (ii) mesyuarat pemimpin-pemimpin (ayat 6-11) (iii) mesyuarat di antara para rasul, pemimpin gereja dan seluruh jemaah (ayat 12-22).
d Ada di kalangan orang Farisi (rujuk kepada ‘Orang Farisi’, ms. 34) menjadi Kristian dan membawa kepercayaan agama Yahudi dalam iman baru mereka. Mereka percaya bahawa orang bukan Yahudi harus mengamalkan adat budaya Yahudi dan disunat (lihat ayat 1), kemudian barulah mereka layak untuk menerima keselamatan dengan iman. Mungkin ada di antara mereka yang telah pergi ke Antiokhia dan kini mereka kembali untuk membentangkan kes mereka.
e Petrus bukan lagi ketua kepada jemaah di Yerusalem kerana Yakobus telah mengambil alih tugas tersebut (lihat ay. 13). Tetapi Petrus lebih dominan dalam misi orang Yahudi Kristian dan bertanggungjawab ke atas jemaah di Yerusalem. Dia bercakap sebagai seorang misionaris, bukan sebagai pentadbir apabila dia mengingatkan mesyuarat itu bahawa Allah telah memilih untuk membenarkan orang-orang bukan Yahudi mendengar Injil (11:1-8) sepuluh tahun lebih awal dan mereka menerimanya.
f Ini adalah Yakobus, adik kepada Yesus. Bukan Petrus yang membuat keputusan dalam mesyuarat yang dipanggil sebagai Majlis Yerusalem tersebut tetapi Yakobus. Ini mungkin dipengaruhi oleh kedudukan yang disandangnya sebagai pemimpin jemaah yang penting (12:17) dan sebahagiannya kerana dia orang Yahudi Kristian yang terkenal dengan kepatuhannya kepada hukum.
g Ayat ini dipetik dari Ams 9:11-12.
h Kesimpulan yang disampaikan oleh Yakobus ialah jemaah tidak perlu membebankan orang-orang bukan Yahudi yang berpaling kepada Tuhan kerana Tuhan sedang melakukan perkara yang baru dalam membangun jemaah di hari-hari akhir. Tiada catatan dalam Alkitab yang mengatakan bahawa seseorang harus menjadi seperti orang Yahudi untuk menjadi umat Allah. Sunat tidak lagi diwajibkan, tetapi Yakobus mencadangkan empat perkara yang harus dijauhi oleh orang bukan Yahudi Kristian.
Ini adalah kelemahan-kelemahan orang-orang bukan Yahudi dan dipandang jijik oleh orang Yahudi. Mesyuarat itu berpendapat bahawa ia akan membantu mengeratkan hubungan di antara orang Yahudi dan bukan Yahudi dalam jemaah sekiranya permintaan itu dilakukan. Orang Yahudi percaya bahawa itu adalah perintah dari Allah yang telah wujud sebelum Hukum Musa lagi.
i Ini adalah makanan yang telah dipersembahkan kepada mazbah pagan sebagai korban kepada berhala-berhala (1 Kor 8:7-13).
j Alkitab menegaskan bahawa ‘nyawa tiap-tiap makhluk terkandung dalam darahnya’ (Im 17:14) dan itulah sebab mengapa Allah memberitahu Nuh supaya dia tidak memakan daging yang masih berdarah (Kej 9:4). Kehidupan adalah anugerah Allah yang ajaib dan berharga kepada manusia. Manusia tidak seharusnya memakan ‘hidup’ yang ada ‘dalam darah’ untuk memanjangkan hidup mereka seperti yang dilakukan oleh penyembah-penyembah berhala sejak dahulu lagi. Daging binatang yang dicekik akan meninggalkan sedikit darah di dalamnya. Oleh itu, ia diharamkan.
k Memakan darah adalah sangat diharamkan dalam hukum Yahudi (lihat nota j di atas). Ini mungkin merujuk kepada amalan memakan darah itu sendiri selain daripada daging.
l Perbuatan cabul adalah dosa yang dipandang ringan oleh orang Yunani. Ia juga dikaitkan dengan beberapa pesta agama pagan.
22 Kemudian para rasul dan pemimpin jemaah bersama-sama jemaah itu membuat keputusan untuk memilih beberapa orang di kalangan mereka dan mengutus mereka ke Antiokhia bersama-sama Paulus dan Barnabas. Lalu mereka memilih Silas m dan Yudas yang juga disebut Barsabas. Kedua-dua orang itu sangat dihormati oleh pengikut Yesus di Yerusalem. 23 Sepucuk surat yang berbunyi sebagai berikut dikirim melalui mereka,
“Kepada semua saudara yang berasal daripada bangsa bukan Yahudi, yang tinggal di Antiokhia, Siria, dan Kilikia. Salam daripada kami, rasul-rasul, pemimpin-pemimpin jemaah, dan jemaah di sini. 24 Kami mendengar bahawa beberapa orang daripada kalangan kami sudah menyusahkan dan membingungkan saudara semua dengan ajaran mereka. Padahal kami tidak menyuruh mereka melakukan hal itu. 25 Oleh itu kami bermesyuarat dan bersetuju memilih beberapa orang lalu mengutus mereka kepada saudara semua. Mereka akan pergi dengan Barnabas dan Paulus. 26 Kedua-dua orang saudara yang kami kasihi itu sudah mempertaruhkan nyawa kerana mengabdikan diri kepada Tuhan kita Yesus Kristus. 27 Kami mengutus Yudas dan Silas, lalu mereka akan memberitahukan hal yang sama, seperti yang kami tuliskan dalam surat ini. 28 Roh Allah n dan kami bersetuju bahawa kami tidak perlu membebani saudara semua dengan kewajipan lain, kecuali yang mustahak sahaja: 29 Janganlah makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala; jangan makan darah; jangan makan daging binatang yang mati dicekik, dan jauhkan diri daripada perbuatan cabul. Jika saudara semua tidak melakukan perkara-perkara itu, saudara-saudara berbuat yang betul. Sekian sahaja dan salam bahagia.”
30 Mereka yang diutus itu berangkat ke Antiokhia. Di situ mereka mengumpulkan semua pengikut Yesus lalu menyampaikan surat itu. 31 Apabila jemaah membaca surat itu, mereka bersukacita kerana surat itu menggalakkan mereka. 32 Yudas dan Silas, yang kedua-duanya nabi, o bercakap lama sekali dengan mereka untuk memberikan semangat dan keberanian. 33 Setelah Yudas dan Silas tinggal di situ beberapa lama, jemaah di Antiokhia menyuruh mereka kembali dengan sejahtera kepada orang yang mengutus mereka. 34 [Tetapi Silas mengambil keputusan untuk tetap tinggal di situ].
35 Paulus dan Barnabas pun tinggal di Antiokhia beberapa lama. Di situ mereka mengajar dan menyampaikan firman Tuhan bersama-sama banyak orang lain.
m Mereka mungkin pemimpin-pemimpin jemaah di Yerusalem. Yudas tidak disebut lagi selepas ini tetapi Silas menjadi orang yang penting seperti yang akan dilihat dalam Bab yang akan datang. Dia adalah seorang nabi (ay. 32) dan merupakan warganegara Roma (16:37).
n Wibawa diberikan kepada Roh Allah terlebih dahulu walaupun para rasul, pemimpin jemaah dan orang percaya yang lain telah memberi persetujuan. Mereka juga mengatakan secara tidak langsung bahawa Roh Allah hadir dan bekerja semasa mereka berkumpul.
o Seperti yang dinyatakan di sini, satu daripada tugas penting seorang nabi dalam jemaah awal ialah untuk mendorong dan menguatkan sesama saudara (lihat Bab 11, nota q).
Perhatikan bagaimana rasul-rasul merujuk kepada Alkitab untuk memastikan bahawa keputusan mereka dibuat sesuai dengan kehendak Tuhan.
36 Beberapa lama kemudian Paulus p berkata kepada Barnabas, “Marilah kita lawat semula saudara-saudara yang percaya kepada Yesus di semua kota yang sudah kita sampaikan firman Tuhan. Marilah kita lihat sama ada mereka tetap percaya kepada Tuhan.” 37 Barnabas hendak membawa Yohanes Markus, 38 tetapi Paulus tidak bersetuju untuk membawanya, kerana Markus meninggalkan mereka di Pamfilia, q dan tidak menyertai mereka menyelesaikan tugas. 39 Oleh itu Paulus dan Barnabas bertengkar dengan sengit sehingga akhirnya mereka berpisah. Barnabas r membawa Markus bersama-samanya lalu belayar ke Siprus. 40 Paulus memilih Silas, s lalu berangkat dengan dia setelah jemaah di Antiokhia menyerahkan mereka kepada rahmat Tuhan. 41 Mereka menjelajahi daerah Siria dan Kilikia, serta menguatkan jemaah di situ.
p Lukas menunjukkan bagaimana Paulus memberi inisiatif untuk perjalanan misi yang lain. Paulus tidak bermaksud untuk menginjil ke tempat yang baru tetapi sekadar melawat mereka yang telah percaya semasa pelayanan misi yang pertama. Namun begitu, Tuhan ingin membawa misi penginjilan melaluinya.
q Lihat 13:33. Markus kembali ke Yerusalem ketika di Perga dan tidak pergi ke Antiokhia, Ikonium, Listra dan Derbe.
r Barnabas dan Markus tidak lagi dicatatkan di dalam Kisah Rasul-Rasul selepas ini. Walaupun ada perselisihan, kita mendapati bahawa Paulus masih menyanjung Barnabas (1 Kor 9:6). Paulus telah berbaik semula dengan Markus kerana dalam beberapa suratnya, dia menyebut Markus dalam perkara yang baik.
s Paulus telah menjemput Silas bagi perjalanan misinya yang kedua ini. Dia sangat menghargai Silas apabila mereka bertemu di Yerusalem dan Antiokhia di Siria dan dia percaya bahawa Silas adalah teman pelayanan yang baik. Selain dari itu, Silas juga merupakan pemimpin jemaah di Yerusalem dan diterangkan secara terperinci dalam surat ke Yerusalem sebagai seorang yang berwibawa dalam berkata-kata tentang sikap jemaah Yerusalem. Dia juga merupakan warganegara Roma dan dia berhak mendapat keistimewaan, jika perlu, bersama dengan Paulus.
Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.