Paulus meneruskan perjalanan ke Derbe dan kemudian ke Listra. Seorang pengikut Yesus bernama Timotius a tinggal di situ. Ibunya, b orang Yahudi yang sudah percaya kepada Yesus; tetapi bapanya orang Yunani. c 2 Semua pengikut Yesus yang tinggal di Listra dan Ikonium memuji Timotius. 3 Paulus hendak membawa Timotius dengannya. Oleh itu Paulus menyunat Timotius, d kerana semua orang Yahudi di daerah itu tahu bahawa bapa Timotius orang Yunani.
4 Di setiap kota yang dikunjungi, mereka menyampaikan peraturan yang sudah ditetapkan oleh para rasul dan pemimpin jemaah di Yerusalem. Jemaah dinasihati supaya menurut peraturan itu. 5 Oleh itu iman jemaah semakin teguh dan setiap hari
a Paulus mengatakan Timotius ‘sebagai pengikut Kristus, dia seperti anakku sendiri yang aku kasihi’ (1Kor 4:17), satu gambaran yang mengusulkan bahawa Timotius telah menerima Yesus, hasil daripada pelayanan Paulus di Listra. Timotius dikatakan masih remaja ketika itu.
b Dalam 2 Tim 1:5, kita mengetahui nama ibunya ialah Eunike dan dia juga mempunyai seorang nenek bernama Lois yang juga beragama Kristian. Sepeti yang tercatat, semua keluarga ini telah menerima Yesus.
c Gambaran yang diberikan tentang bapanya dalam Yunani dan ketidakpastian tentang agamanya seperti menyatakan bahawa dia bukan penganut agama Yahudi mahupun Kristian dan kemungkinan juga dia sudah meninggal dunia.
d Sebagai anak dalam keluarga perkahwinana campur, kedudukan Timotius tidak jelas. Orang Yahudi tidak seharusnya mengahwini orang bukan Yahudi, tetapi jika hal ini berlaku, anak mereka akan dianggap sebagai Yahudi dan boleh disunat. Tiada sebab yang dicatatkan mengapa ia tidak dilakukan kepada Timotius ketika ia disebut. Oleh kerana misi Paulus akan menyebabkan Timotius berdepan dengan ramai orang Yahudi, Paulus berfikir bahawa lebih baik jika Timotius disunat untuk mengelakkan masalah dengan orang Yahudi kerana dia akan dianggap sebagai orang Yahudi.
6 Kerana Roh Allah tidak membenarkan mereka memberitakan firman Allah di wilayah Asia, e mereka menjelajah daerah Frigia dan Galatia. f 7 Apabila mereka tiba di perbatasan Misia, g mereka mencuba masuk ke wilayah Bitinia, h tetapi Roh Yesus i tidak membenarkan mereka. 8 Oleh itu mereka terus pergi ke Troas j melalui Misia. 9 Pada malam itu dalam suatu penglihatan Paulus melihat seorang Makedonia k berdiri di hadapannya dan memohon, “Marilah datang ke Makedonia dan tolonglah kami!” 10 Setelah Paulus melihat penglihatan itu, kami l bersependapat bahawa Allah telah menyuruh kami mengkhabarkan Berita Baik kepada orang di situ. Oleh itu kami segera bersiap-siap untuk berangkat ke Makedonia.
e Asia merupakan wilayah Roma yang terletak di barat Galatia dan melingkungi daerah-daerah kecil di Misia dan Frigia. Ibu kotanya ialah Efesus (lihat Bab 6, nota s).
f Ini mungkin merujuk kepada satu kawasan orang-orang Frigia dan Galatia. Ia terlentang ke arah barat dari Ikonium yang akan dilalui oleh Paulus dalam perjalanannya ke Misia. Sebahagian dari kawasan yang bernama Frigia terletak di dalam wilayah Asia. Galatia merupakan wilayah Roma yang lebih besar dan terletak di utara Pamfilia, ke arah timur Asia. (Lihat Bab 14, nota c untuk maklumat yang lebih terperinci tentang Galatia).
g Misia berada di bahagian barat laut wilayah Asia.
h Bitinia adalah salah satu daripada wilayah Roma yang terletak di timur Misia. Sementara rombongan Paulus berjalan ke arah barat daya dengan menyelusuri kawasan Misia, mereka memutuskan untuk masuk ke kawasan Bitinia supaya boleh menginjil kota-kota dan pelabuhan-pelabuhan yang strategik di sepanjang Laut Hitam di mana semua tempat-tempat itu dihubungkan oleh sistem laluan Roma yang terurus. Akan tetapi, seperti yang dimaklumkan oleh Lukas, Roh Yesus tidak membenarkan mereka untuk bertindak sedemikian kerana Dia mempunyai rancangan yang lain bagi mereka.
i Ada kalanya ‘Roh Allah’ digunakan untuk menggantikan perkataan Allah dan di sini ia digantikan dengan Roh Yesus.
j Troas merupakan salah satu daripada jajahan Roma dan merupakan sebuah pelabuhan yang penting untuk perdagangan di antara jajahan-jajahan Roma di bahagian timur dan di barat Makedonia. Pada suatu ketika, mungkin ketika dalam perjalanan misi Paulus yang kedua atau ketiga, sebuah jemaah wujud di Troas. Ini kerana, Paulus telah menginjil kepada orang percaya di sana apabila dia kembali selepas perjalanan misinya yang ketiga dalam perjalanannya kembali ke Yerusalem (20: 5-12).
k Makedonia telah menjadi sebuah jajahan Roma pada 148 SM. Ia teletak di utara Akhaya (Greece).
l Ini adalah titik pemulaan bagi penggunaan kata ganti diri ‘kami’ dalam Kisah Rasul-Rasul. Lukas ingin menunjukkan bahawa dia telah menyertai rombongan tersebut di Troas.
11 Kami meninggalkan Troas lalu langsung belayar ke Samotrake,m dan hari berikutnya ke Neapolis. n 12 Dari situ kami menuju ke Filipi, o sebuah kota di daerah pertama negeri Makedonia. Filipi juga jajahan Empayar Roma. Di situ kami tinggal beberapa hari. 13 Pada hari Sabat kami ke luar bandar dan pergi ke tepi sungai, kerana kami berfikir di situ terdapat tempat orang Yahudi berdoa. p Kami duduk dan bercakap dengan wanita-wanita yang berkumpul di situ. 14 Salah seorang pendengar kami bernama Lidia, q pedagang kain ungu yang mahal. Dia berasal dari Tiatira r dan dia mengasihi Allah. s Oleh itu Tuhan membuka fikirannya sehingga dia menyambut ajaran Paulus. 15 Lidia dan seisi rumahnya dibaptis. Setelah itu dia menjemput kami ke rumahnya. Dia berkata, “Jika saudara-saudara yakin bahawa saya benar-benar percaya kepada Tuhan, marilah menumpang di rumah saya.” t Dia mendesak supaya kami pergi ke rumahnya.
m Samotrake merupakan sebuah pulau di timur laut Laut Agean yang terletak di antara Troas dan Filipi. Ia merupakan tempat yang strategik untuk persinggahan bot bagi mengelak belayar pada waktu malam.
n Neapolis adalah pelabuhan bagi Filipi, 16 km (10 batu) dari Samotrake.
o Filipi ialah sebuah kota di bahagian timur Makedonia dan dinamakan sempena Filipus II, ayah kepada Aleksander Agung. Makedonia mempunyai empat daerah dan Filipi merupakan daerah yang pertama. Ia merupakan jajahan Roma dan ramai pesara tentera Roma menetap di sana. Hanya sebilangan kecil orang Yahudi menetap di Filipi. Pada suatu masa dahulu, ia terkenal dengan datarannya yang subur dan juga emas yang terdapat di pergunungan sebelah utara. Filipi menjadi sebuah daerah yang penting pada masa PB kerana hasil pertanian, lokasi perniagaan yang baik untuk kedua-dua laluan laut dan darat, lombong emas yang masih mengeluarkan hasil serta statusnya sebagai salah satu koloni Roma. Tambahan lagi, ia mempunyai sebuah sekolah perubatan yang terkenal dengan graduan yang dikenali di seluruh dunia pada masa itu.
p Sebuah rumah ibadat hanya boleh wujud sekiranya terdapat sekurang-kuranya sepuluh orang ahli. Oleh kerana tiada rumah ibadat yang disebut, besar kemungkinan hanya beberapa orang Yahudi yang ada di Filipi. Orang Yahudi dan orang-orang yang mengasihi Allah biasanya berkumpul di tepi sungai untuk berdoa. Ia mungkin terletak di luar kota memandangkan orang Yahudi dilarang untuk berkumpul di kota itu. Perkumpulan di tempat yang berdekatan dengan air itu bertujuan untuk memudahkan upacara penyucian orang Yahudi.
q Lidia adalah seorang peniaga. Namanya mungkin dikait-kan dengan tempat asalnya, daerah Lidia di wilayah Roma, Asia.
r Tiatira berada di wilayah Roma di Asia. Ia terkenal dengan penghasilan pewarna ungu dan kain berwarna, industri yang kebanyakannya diusahakan oleh wanita-wanita di rumah. Lidia mungkin datang ke Filipi untuk berniaga.
s Lidia merupakan orang bukan Yahudi seperti Kornelius (10:2) yang mengasihi Allah dan menurut ajaran moral dari Kitab Suci. Walau bagaimanapun, dia belum menjadi penganut agama Yahudi yang sepenuhnya. Dia mungkin seorang balu atau wanita yang belum berkahwin. Beberapa orang wanita yang berkumpul untuk menyembah adalah saudara dan pekerja di rumahnya dan semua mereka telah dibaptis.
t Jemaah di Filipi bermula dari satu pertemuan yang kecil. Melalui pembacaan surat Paulus kepada jemaah di Filipi, kita dapat melihat bahawa dia sangat menyayangi mereka. Seperti yang dinyatakan di atas, Lukas mungkin terlibat dalam penubuhan serta pertumbuhan jemaah di sana. Tidak lama selepas itu, Lidia menjadi tunjang utama dalam penyembahan dan penginjilan orang Kristian di Filipi.
16 Pada suatu hari, kami sedang pergi ke tempat orang berdoa, apabila kami berjumpa dengan seorang hamba wanita. Dia dirasuk oleh roh jahat u yang membolehkan dia meramalkan peristiwa yang akan datang. Dengan meramalkan nasib orang, dia mendatangkan keuntungan yang besar bagi pemilik-pemiliknya. 17 Wanita itu mengikuti Paulus dan kami v sambil berseru, “Mereka hamba Allah Yang Maha Tinggi! w Mereka datang untuk memberitahu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!” x
18 Selama beberapa hari wanita itu terus-menerus berseru demikian, sehingga Paulus menjadi marah, lalu berpaling dan berkata kepada roh itu, “Demi nama Yesus Kristus aku memerintah engkau keluar daripada wanita ini!” Pada saat itu juga roh itu meninggalkan wanita itu. 19 Apabila pemilik-pemiliknya sedar bahawa kesempatan untuk mendapat wang sudah lenyap, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret kedua-dua mereka menghadap pihak berkuasa di padang kota. y 20 Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Roma z dan berkata, “Kedua-dua orang ini orang Yahudi. Mereka menyebabkan kekacauan di kota kita. 21 Mereka mengajarkan adat resam yang bertentangan dengan hukum kita. a’ Kita orang Roma dan tidak dapat menerima atau menurut adat resam itu!” 22 Orang ramai pun turut menyerang Paulus dan Silas.
Pegawai-pegawai kerajaan mengoyak pakaian Paulus dan Silas lalu menyuruh orang mencambuk b’ mereka. 23 Setelah mereka dicambuk dengan teruk, mereka dimasukkan ke dalam penjara. Ketua penjara disuruh menjaga mereka dengan ketat. 24 Setelah menerima perintah itu, ketua penjara itu menahan mereka di bilik penjara yang paling dalam, dan mengenakan pasung c’ pada kaki mereka.
25 Kira-kira tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan menyanyikan puji-pujian kepada Allah. Orang tahanan yang lain mendengar mereka. 26 Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat sekali, sehingga asas penjara itu bergoncang. Semua pintu penjara terbuka dan rantai yang membelenggu semua orang tahanan pun terlepas. 27 Ketua penjara itu terjaga, dan apabila dia nampak pintu-pintu penjara terbuka, dia menyangka semua orang tahanan sudah lari. Oleh itu dia menghunus pedang untuk membunuh diri. d’ 28 Tetapi Paulus berseru dengan kuat sekali, “Jangan bunuh diri! Kami semua masih di sini!”
29 Ketua penjara itu meminta suluh lalu lari ke dalam, dan dengan gementar dia menjatuhkan diri pada kaki Paulus dan Silas. 30 Kemudian ketua penjara itu membawa mereka keluar dan berkata, “Tuan-tuan, apakah yang harus saya lakukan supaya diselamatkan?” e’
31 Paulus dan Silas menjawab, “Percayalah kepada Tuhan Yesus, lalu kamu akan diselamatkan — kamu dan keluargamu!” 32 Lalu Paulus dan Silas menerangkan firman Tuhan kepada ketua penjara itu dan kepada semua orang di rumahnya. 33 Pada malam itu juga, ketua penjara itu membawa mereka ke suatu tempat dan membasuh luka-luka mereka. Lalu dia dan keluarganya dibaptis. 34 Kemudian dia membawa Paulus dan Silas ke rumahnya lalu memberi mereka makanan. Ketua penjara itu dan keluarganya bersukacita kerana mereka sekarang percaya kepada Allah.
35 Keesokan paginya, pegawai-pegawai kerajaan Roma menyuruh pegawai-pegawai polis ke penjara untuk menyampaikan perintah supaya Paulus dan Silas dibebaskan.
36 Ketua penjara itu memberitahu Paulus, “Pergilah dengan sejahtera, kerana pegawai-pegawai kerajaan sudah memberikan perintah supaya tuan berdua dibebaskan.”
37 Tetapi Paulus berkata kepada pegawai-pegawai polis itu, “Kami warganegara Roma! f’ Kami tidak didapati bersalah, tetapi kami sudah dicambuk di hadapan orang ramai, lalu dimasukkan ke dalam penjara. Sekarang mereka mahu menyuruh kami pergi dengan diam-diam! Kami tidak mahu! Pegawai-pegawai kerajaan Roma itu sendiri harus ke mari g’ dan membebaskan kami.”
38 Pegawai-pegawai polis itu melaporkan hal itu kepada pegawai-pegawai kerajaan Roma. Apabila mereka mendengar bahawa Paulus dan Silas warganegara Roma, mereka takut. 39 Oleh itu mereka datang meminta maaf. Kemudian mereka memimpin Paulus dan Silas keluar dari penjara, dan meminta supaya mereka meninggalkan kota itu. 40 Paulus dan Silas meninggalkan penjara itu lalu pergi ke rumah Lidia. Di situ mereka berjumpa dengan pengikut-pengikut Yesus, dan setelah menggalakkan orang di situ, Paulus dan Silas berangkat. h’
u Terjemahan literalnya adalah ‘satu roh, ular sawa’. Ia merujuk kepada ular yang dibunuh oleh dewa Yunani Apolo, seperti dalam lagenda orang Yunani. Ular mitos ini dipuja di Kuil Apolo.
Gelaran ‘ular sawa’ diberikan kepada orang yang dirasuk oleh roh ular tersebut untuk berkata-kata. Oleh kerana orang yang dirasuk bukan bercakap atas kerelaan sendiri, istilah ‘pembicara suara dari perut’ digunakan untuk menggelar mereka.
v Perkataan ‘kami’ digunakan untuk kali terakhir di sini dan disambung semula dalam 20:5.
w Ini merupakan gelaran biasa orang Yahudi dan Yunani untuk dewa atau tuhan mereka. Walau bagaimanapun, penganut agama Yahudi dan Kristian tidak menggunakan gelaran ini dalam PB.
x Walaupun pengertian ‘keselamatan’ bagi Paulus dan orang Yahudi bermaksud dilepaskan dari dosa, orang bukan Yahudi menganggap kemerdekaan dari kuasa yang memegang takdir manusia dan dunia adalah jalan keselamatan.
y Ini adalah padang kota yang menjadi pusat perniagaan.
z Versi lain menterjemahkan istilah ini sebagai ‘majistret’.
a’ Jika sebuah agama tidak mendapat kebenaran dari kerajaan Roma, ia akan dianggap sebagai agama haram. Agama Yahudi mempunyai kelulusan tersebut tetapi agama Kristian tidak.
b’ Mereka dicambuk dengan batang kayu.
c’ Ini digunakan bukan hanya sekadar untuk mengukuhkan tetapi juga sebagai satu penyeksaan.
d’ Jika banduan terlepas, nyawa pengawal penjara akan dijadikan pengganti (lihat 12:19). Dia ingin mengelak daripada keaiban dan kesengsaraan dengan membunuh diri.
e’ Ketua penjara mungkin tahu bahawa mereka adalah guru tentang jalan keselamatan (ay. 17). Setelah mengalami gempa bumi dan hampir mati, dia ingin mengetahui tentang jalan keselamatan.
f’ Menurut undang-undang kerajaan Roma, seorang warganegara Roma boleh pergi ke mana sahaja asalkan masih dalam lingkungan jajahan Roma, di bawah perlindungan pihak kerajaan. Ketika dalam kesusahan, dia tidak perlu terikat dengan undang-undang tempatan kecuali diizinkan dan dia boleh memohon untuk diadili oleh kerajaan Roma, bukan oleh pihak berkuasa tempatan.
Hukuman cambuk di hadapan orang ramai bagi warganegara Roma adalah salah di sisi undang-undang, apatah lagi dicambuk tanpa dihadapkan ke muka pengadilan. Memukul dan memenjarakan warganegara Roma tanpa dibicarakan adalah satu kesalahan besar.
g’ Paulus dan Silas meminta untuk diiringi bukan saja untuk menunjukkan bahawa mereka tidak bersalah tetapi demi jemaah di Filipi (untuk melindungi beberapa orang percaya yang berkumpul di rumah Lidia) dan masa depan jemaah itu.
h’ Setelah meninggalkan penjara, Paulus dan Silas bertemu dengan jemaah kecil di rumah Lidia dan memberi dorongan berhubungan dengan iman baru mereka. Kemudian, mereka berangkat bersama dengan Timotius ke arah barat menuju ke Tesalonika. Lukas nampaknya tetap tinggal di Filipi kerana hanya beberapa waktu kemudian (20:5) barulah perkataan ‘kami’ digunakan kembali ketika di Filipi.
Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.