Paulus dan Silas meneruskan perjalanan a melalui Amfipolis b dan Apolonia, c lalu tiba di Tesalonika. d Di situ terdapat rumah ibadat orang Yahudi. 2 Seperti yang biasa dilakukan oleh Paulus, dia pergi ke rumah ibadat, dan berbincang dengan orang di situ tentang ayat-ayat Alkitab. Dia melakukan hal itu selama tiga hari Sabat e berturut-turut. 3 Dia menjelaskan ayat-ayat Alkitab itu dan membuktikan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan dan bangkit daripada kematian. Paulus berkata bahawa Yesus yang diberitakannya kepada mereka itu Penyelamat yang diutus oleh Allah. 4 Beberapa orang antara mereka percaya kepada kata-kata Paulus lalu mengikut Paulus dan Silas; begitu juga sebilangan besar orang Yunani yang takut akan Allah, dan banyak lagi wanita terkemuka. f
5 Tetapi orang Yahudi iri hati, lalu mengumpulkan pengacau di jalan-jalan dan membentuk kumpulan perusuh. Lalu mereka menimbulkan kekacauan di seluruh kota itu dan menyerbu rumah Yason g untuk mencari Paulus dan Silas. Mereka hendak membawa Paulus dan Silas menghadap orang ramai. 6 Tetapi apabila mereka tidak dapat menjumpai Paulus dan Silas, mereka menyeret Yason dan beberapa orang pengikut Yesus lainnya ke hadapan pihak berkuasa di kota itu dan berseru, “Semua orang ini sudah menimbulkan kekacauan di serata tempat. Sekarang mereka datang ke kota kita, 7 dan Yason menyambut mereka di rumahnya. Mereka semua melanggar hukum Kaisar Roma, kerana mereka berkata bahawa ada raja lain h yang bernama Yesus.” 8 Dengan kata-kata itu mereka menimbulkan kegemparan di kalangan orang ramai dan pihak berkuasa kota itu 9 Lalu pihak berkuasa menyuruh Yason dan pengikut Yesus lainnya membayar ikat jamin. i Setelah itu mereka dibenarkan pergi.
a Satu laluan utama Roma yang penting merentasi Filipi, Ampifolis, Apolonia dan Tesalonika dan melalui barat Makedonia ke arah persisiran di mana pengembara boleh belayar ke Italia. Laluan yang baik seperti ini amat membantu perjalanan misi Paulus. Sekiranya seseorang berjalan sejauh 48 km (30 batu) sehari, setiap kota boleh dikunjungi dalam masa sehari.
b Ampifolis terletak 53 km (33 batu) dari barat daya Filipi. Ia pernah menjadi ibu kota bagi daerah di bahagian barat Makedonia. Walaupun ia lebih besar dan lebih penting dari Filipi, Paulus dan teman-temanya hanya sekadar ‘melalui’ kota ini.
c Mereka juga melalui Apolonia yang terletak kira-kira 43 km (27 batu) selepas Ampifolis ketika meneruskan perjalanan ke arah barat. Mereka ingin sampai ke Tesalonika yang terletak 56 km (35 batu) dari arah barat daya Apolonia.
d Tesalonika (dikenali sebagai Salonika pada hari ini) merupakan ibu kota Makedonia yang paling besar dan makmur. Ia menghubungkan kawasan pertanian yang subur di Makedonia dan juga laluan darat dan laut ke arah timur. Sebagai satu kota besar yang menjadi pusat kerajaan serta perniagaan yang mempunyai penduduk sekitar 200,000 orang, Tesalonika menarik perhatian ramai orang luar termasuk orang Yahudi. Paulus melihat tempat itu sebagai satu pusat penyebaran injil bagi seluruh kawasan tersebut. Oleh itu, Paulus dan Silas (yang masih cedera kerana bekas cambukan) berusaha untuk mengharungi 161 km (100 batu) dari Filipi sehingga ke Tesalonika.
e Tiga hari Sabat ini mewakili panjang waktu Paulus berbincang dengan orang Yahudi di rumah ibadat, bukan jumlah hari dia berada di Tesalonika. Satu analisis terhadap surat untuk Tesalonika menunjukkan bahawa Paulus telah mengajar mereka lebih banyak doktrin ketika itu berbanding jika dia berada di sana selama dua atau tiga minggu sahaja.
f Mereka adalah wanita-wanita yang berkedudukan tinggi di kota yang mungkin isteri kepada warga penting di kota itu.
g Yason mungkin salah seorang daripada orang Yahudi yang telah menukar kepercayaan. Besar kemungkinan Paulus menginap di rumahnya.
h Bagi orang Yahudi, perbuatan khufur merupakan tuduhan yang paling serius. Bagi orang Roma pula, pengkhianatan seperti bersekongkol dengan musuh untuk menentang Kaisar merupakan tuduhan yang paling berat.
i Tuduhan yang dijatuhkan ke atas Paulus dan Silas serta rakan-rakan mereka yang lain mengejutkan pegawai-pegawai kota. Tetapi mereka mendapati bukti tuduhan tersebut tidak kukuh kerana Paulus dan Silas tidak ditemui. Oleh itu, mereka mengambil satu tindakan yang dianggap sederhana serta munasabah. Mereka memaksa Yason serta orang yang bersamanya membayar satu ganti rugi ataupun ikat jamin, kemugkinan sejenis bayaran atau persetujuan utuk memastikan supaya mereka tidak menimbulkan hal lagi. Dia boleh saja berhadapan dengan pembekuan harta atau kematian. Ini menerangkan bahawa Paulus dan Silas terpaksa meninggalkan Tesalonika dan teman baik mereka harus berjanji supaya mereka tidak akan kembali sekiranya pemerintah semasa masih berkuasa.
10 Pada malam itu pengikut Yesus di kota itu menyuruh Paulus dan Silas pergi ke Berea. j Sebaik sahaja tiba di situ, mereka pergi ke rumah ibadat orang Yahudi. 11 Fikiran orang di situ lebih terbuka daripada fikiran orang di Tesalonika. Mereka suka sekali mendengar perkhabaran tentang Yesus, dan tiap-tiap hari mereka mengkaji Alkitab untuk mengetahui sama ada ajaran Paulus itu benar. 12 Banyak antara mereka percaya kepada Yesus. Banyak wanita Yunani yang terkemuka, dan orang lelaki Yunani yang percaya kepada Yesus. 13 Apabila orang Yahudi di Tesalonika mendengar bahawa Paulus mengkhabarkan firman Allah di Berea juga, mereka pun datang dan mula menghasut orang ramai supaya merusuh. 14 Dengan segera pengikut Yesus di situ menghantar Paulus ke pantai, tetapi Silas dan Timotius tetap tinggal di Berea. 15 Setelah menghantar Paulus sampai ke Atena, k pengikut Yesus dari Berea kembali dengan membawa arahan daripada Paulus supaya Silas dan Timotius menyusul dia secepat mungkin.
j Ikat jamin yang dibayar oleh Yason dan rakan-rakannya yang lain mungkin akan dibatalkan sekiranya Paulus dan Silas dijumpai di dalam rumah mereka. Jadi mereka menghantar Paulus, Silas dan Timotius ke Berea, kira-kira 81 km (50 batu) di barat daya Tesalonika. Berea tidak begitu penting dari segi politik dan sejarah, walaupun ia mempunyai ramai penduduk pada zaman PB.
k Atena telah menjadi kota yang paling penting bagi Greece sejak abad yang kelima SM. Semua orang tahu tentang Atena. Walaupun ia telah menjadi empayar Roma, ia masih menonjolkan tradisi falsafah, karya tulisan serta seninya yang kaya. Ia terkenal dengan reputasi falsafahnya selama bertahun-tahun dan masih mengekalkan sebuah universiti unggul pada zaman Paulus. Daripada tiga kota yang mempunyai universiti iaitu Atena, Tarsus dan Aleksandria, Atena merupakan kota universiti yang paling terkenal.
Firman-Mu itu pelita yang memimpin aku, dan cahaya yang menerangi jalanku.
(Mazmur 119:105)
16 Sementara Paulus menantikan Silas dan Timotius di Atena, hatinya sedih melihat kota itu penuh dengan berhala. l 17 Oleh itu dia berbincang dengan orang Yahudi di rumah ibadat dan dengan orang bukan Yahudi yang menyembah Allah. Setiap hari Paulus berbincang dengan sesiapa sahaja yang lalu di padang kota m dan mahu mendengarkan dia. 18 Beberapa orang guru yang mengikut faham Epikurosn dan faham Stoa, o berdebat dengan Paulus. Beberapa orang antara mereka bertanya, “Orang ini tahu apa? Pengetahuannya cetek, tetapi berlagak pandai!” p
Yang lain menjawab, “Nampaknya dia bercakap tentang dewa bangsa asing.” Mereka berkata demikian kerana Paulus berkata-kata tentang Yesus dan tentang kebangkitan daripada kematian. 19 Oleh itu mereka membawa Paulus ke mesyuarat Areopagus. q Di situ mereka berkata, “Kami ingin mendengar ajaran baru yang kamu beritakan itu. 20 Beberapa perkara yang kamu kemukakan itu aneh pada pendengaran kami. Oleh itu kami ingin mengetahui maknanya.” 21 (Mereka berkata demikian, kerana semua orang Atena dan orang bangsa asing yang tinggal di situ suka sekali menghabiskan masa dengan mendengar dan menceritakan hal-hal yang paling mutakhir.)
22 Lalu Paulus berdiri di hadapan orang yang berkumpul di Areopagus dan berkata, “Saudara-saudara orang Atena! Saya melihat bahawa dalam segala hal, saudara-saudara sangat menghormati dewa-dewa. 23 Pada masa saya menjelajahi bandar dan melihat tempat ibadat saudara semua, saya menjumpai sebuah mazbah yang bertuliskan, ‘Kepada Allah Yang Tidak Dikenal’. r Sebenarnya, Allah yang saudara-saudara sembah tetapi tidak saudara-saudara kenal, Dialah yang sekarang saya beritakan kepada saudara semua. 24 Allah yang menjadikan dunia ini dengan segala isinya, Dialah Tuhan langit dan bumi. Dia tidak tinggal di dalam kuil-kuil yang dibuat oleh manusia. 25 Dia juga tidak memerlukan pertolongan manusia, kerana Dialah yang memberikan hidup dan nafas serta segala sesuatu kepada manusia. 26 Daripada seorang manusia, Dia menjadikan semua bangsa dan menyuruh mereka mendiami seluruh bumi. Sejak permulaan Dia juga menetapkan masa dan tempat mereka boleh hidup. 27 Allah berbuat demikian supaya mereka mencari Dia, dan mudah-mudahan mereka menjumpai Dia semasa mereka mencari-cari Dia. Tetapi sebenarnya Allah tidak jauh daripada kita masing-masing, 28 dan kerana Dia, kita hidup dan bergerak dan ada di dunia ini. Beberapa orang penyair s saudara semua juga berkata, ‘Kita semua anak-Nya.’
29 Kerana kita anak Allah, kita tidak boleh menganggap Allah seperti patung yang dibuat daripada emas atau perak atau batu, yang direka bentuk menurut kemahiran manusia. 30 Allah tidak mahu mengingat t masa kita tidak mengenal Dia dahulu, tetapi sekarang Dia menyuruh semua orang di seluruh dunia bertaubat daripada cara hidup yang jahat. 31 Hal itu demikian kerana Dia sudah menetapkan suatu hari untuk mengadili seluruh dunia ini dengan adil. Tugas itu akan dilakukan oleh satu orang yang sudah dipilih-Nya. Supaya semua orang yakin akan hal itu, Allah sudah membangkitkan orang itu daripada kematian!”
32 Apabila orang di situ mendengar Paulus berkata tentang kebangkitan daripada kematian, u beberapa orang antara mereka mengolok-olokkan dia. Tetapi yang lain berkata, “Kami ingin mendengar saudara bercakap tentang hal ini lagi.” 33 Lalu Paulus meninggalkan mesyuarat itu. 34 Beberapa orang mengikut Paulus dan percaya kepada Yesus. Antara mereka termasuk Dionisius, v anggota mesyuarat Areopagus dan seorang wanita bernama Damaris w serta beberapa orang lain.
l Apabila Paulus datang ke Atena, penduduknya mungkin tidak melebihi 10,000 orang. Ia pernah menjadi sebuah kota yang unggul pada masa lalu tetapi kini ia semakin merosot. Kuil-kuil dan patung-patungya dikaitkan dengan dewa-dewa Yunani, dan mempunyai budaya pagan. Oleh sebab itu, Paulus harus berhadapan dengan kehidupan berhala penduduk pagan Atena. Walaupun dia tidak mahu memulakan misi di Atena sebelum Timotius dan Silas tiba dari Makedonia, Paulus tidak dapat menahan diri dari mengkhabarkan Berita Baik tentang Yesus Penyelamat apabila dia menghadiri rumah ibadat pada hari Sabat.
m Tempat ini merupakan satu lapangan yang dijadikan tempat perhimpunan untuk orang-orang menjalankan perniagaan sistem barter, bertukar-tukar pendapat dan berita. Ia menjadi pusat kehidupan orang Atena.
n Atena merupakan tempat asal bagi fahaman Epikuros dan Stoa. Epikuros, pengasas ajaran tersebut mengatakan bahawa kesoronokan adalah tujuan utama dalam hidup. Bagi dia, keseronokan yang paling baik adalah hidup yang bebas daripada kesakitan, keinginan-keinginan yang mengganggu, ketakutan yang tidak berasas, serta kebimbangan terhadap kematian. Dia tidak menafikan kewujudan tuhan atau dewa-dewa tetapi dia mengatakan bahawa dewa-dewa ini tidak berminat ke atas kehidupan manusia.
o Zeno merupakan pengasas Stoa. Ajarannya berkisar tentang manusia yang harus hidup harmoni dengan alam semulajadi, menyedari keberadaan serta kebebasan diri dan tidak menonjolkan keinginan mereka. Pengikut fahaman Stoa percaya terhadap kewujudan banyak dewa dan menganggap Allah sebagai ‘jiwa dunia’.
p Terjemahan yang lain menggunakan perkataan ‘peleter’. Perkataan asal dalam bahasa Yunani bermaksud ‘pemungut benih’, seperti burung yang memungut benih di merata tempat. Kemudian ia menjadi gelaran bagi orang yang mendengar pelbagai ajaran di pasar niaga lalu mengheboh-hebohkannya tanpa mengkaji serta mendalami ajaran tersebut terlebih dahulu.
q Areopagus bermaksud ‘Bukit Ares’ atau ‘Bukit Marikh’. Ares merupakan dewa guruh dan peperangan bagi orang Yunani (sama seperti dewa Marikh bagi orang Roma). Bukit itu menghadap padang kota dan pernah menjadi tempat pertemuan Majlis Pemimpin. Areopagus juga dijadikan gelaran bagi setiap mesyuarat yang diadakaan di bukit tersebut. Semasa zaman PB, Areopagus hanya berkuasa dalam hal agama dan moral. Mereka menganggap diri mereka sebagai penjaga ajaran yang memperkenalkan agama baru dan dewa asing.
r Orang Yunani tidak mahu menyinggung perasaan sebarang dewa dengan tidak memberi perhatian kepada mereka. Oleh yang demikian, mereka boleh mengelak kesilapan itu dengan meletakkan tanda ‘Tuhan yang tidak dikenal’.
s Sebagai sokongan bagi ajarannya tentang Allah yang telah mencipta manusia, Paulus memetik kata-kata dari dua penyajak Yunani.
t Allah belum menghukum mereka kerana menyembah berhala disebabkan kejahilan mereka.
u Orang Yunani menerima idea tentang jiwa yang kekal. Akan tetapi, mereka tidak percaya dengan tubuh badan yang bangkit dari kematian.
v Walaupun ia tidak dapat dibuktikan, tradisi seterusnya menyatakan bahawa dia menjadi uskup Atena.
w Sesetengah orang mengusulkan bahawa dia adalah seorang wanita asing berpendidikan, yang hadir di mesyuarat orang awam seperti Areopagus. Kemungkinan juga dia adalah orang bukan Yahudi yang takut akan Allah dan pernah mendengar ajaran Paulus di rumah ibadat.
Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.