Setelah itu Paulus meninggalkan Atena dan pergi ke Korintus. a 2Di situ dia berjumpa dengan seorang Yahudi bernama Akwila, yang dilahirkan di negeri Pontus. b Akwila baru sahaja datang dari Italia dengan isterinya, Priskila. c Mereka datang ke Korintus kerana Kaisar Klaudius d mengusir semua orang Yahudi dari Roma. e Paulus pergi menjumpai Akwila dan Priskila, 3 lalu tinggal dan bekerja bersama-sama mereka, kerana mereka dan Paulus sama-sama menyara hidup dengan membuat khemah. f 4 Setiap hari Sabat, Paulus mengadakan perbincangan dengan orang yang berkumpul di rumah ibadat untuk meyakinkan orang Yahudi mahupun orang Yunani tentang Yesus.
5 Setelah Silas dan Timotius tiba dari Makedonia, Paulus menggunakan seluruh masanya untuk memberitakan perkhabaran daripada Allah. Dia memberikan kesaksian kepada orang Yahudi bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah. 6 Tetapi mereka menentang dan menghina Paulus. Oleh itu Paulus mengebaskan debu g daripada pakaiannya sebagai amaran kepada mereka dan berkata, “Jika kamu binasa, kamu sendiri yang bertanggungjawab. Aku tidak bertanggungjawab terhadap hal itu. Mulai sekarang aku akan pergi kepada orang bukan Yahudi.” 7 Lalu Paulus meninggalkan mereka dan pergi tinggal di rumah seorang bukan Yahudi yang bernama Titius Yustus. Dia menyembah Allah, dan rumahnya di sebelah rumah ibadat itu. 8 Krispus, h ketua rumah ibadat itu dengan semua anggota keluarganya percaya kepada Tuhan Yesus. Banyak orang lain di Korintus juga mendengar berita daripada Allah, dan mereka percaya kepada Yesus lalu dibaptis. i
9 Pada suatu malam dalam suatu penglihatan, Tuhan berfirman kepada Paulus, j “Janganlah takut! Berkata-katalah terus dan jangan berhenti, 10 kerana Aku menyertai engkau. Tidak seorang pun dapat mencederakan engkau, kerana banyak orang di kota ini umat-Ku.” 11 Oleh itu Paulus tinggal di Korintus selama setahun setengah, k dan mengajarkan perkhabaran daripada Allah kepada orang di situ.
12 Semasa Galio l menjadi gabenor negeri Akhaya, m orang Yahudi bersatu padu untuk menangkap Paulus dan membawa dia ke hadapan gabenor untuk diadili. 13 Mereka mengajukan tuduhan ini, “Orang ini berusaha mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Allah dengan cara yang bertentangan dengan hukum kami!”
14 Apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata kepada orang Yahudi di situ, “Jika perkara ini tentang kesalahan atau perbuatan jenayah, bolehlah aku bersabar dan mendengarkan aduan kamu. 15 Tetapi kamu bertengkar tentang kata dan nama serta hukum kamu sendiri. Oleh itu kamu harus menyelesaikan masalah itu sendiri. Aku tidak mahu mengadili perkara semacam ini!” n 16 Lalu Galio mengusir mereka ke luar. 17 Kemudian mereka menangkap Sostenes, ketua rumah ibadat itu lalu memukul dia o di hadapan mahkamah. Tetapi Galio sama sekali tidak mempedulikan hal itu.
a Pada waktu itu, Korintus merupakan ibu kota bagi wilayah Akhaya di bawah kekuasaan Roma. Penduduknya mungkin berjumlah lebih dari 200,000 orang yang terdiri daripada orang Yunani tempatan, orang yang dibebaskan dari Italia, tentera pesara Roma, ahli perniagaan dan pegawai kerajaan, serta Orang Timur termasuk ramai orang Yahudi. Disebabkan aktiviti perdagangannya yang meluas, kota ini amat makmur. Akan tetapi pada masa yang sama, kekayaan dan kemakmuran ini telah menyebabkan keruntuhan moral dari pelbagai aspek.
Bermula dari abad kelima SM, perkataan ‘corinthianise’ bermaksud perbuatan cabul yang tidak bermoral. Korintus juga merupakan pusat penyembahan dewi Afrodite, di mana kuilnya dipenuhi dengan beribu-ribu pelacur yang dianggap suci. Banyak patung pagan yang lain seperti patung dewa pelayar, dewa kesembuhan dan sebagainya juga berada di kota itu.
b Pontus merupakan sebuah daerah di utara Asia Kecil di persisiran selatan Laut Hitam.
c Kemungkinana Priskila dan Akwila sudah menjadi Kristian sebelum mereka bertemu dengan Paulus. Priskila disebut lebih kerap berbanding suaminya. Hal ini menunjukkan bahawa dia adalah peribadi yang lebih penting dari sudut pandangan Kristian.
d Seorang ahli sejarah pada zaman itu merekodkan bahawa Klaudius, Kaisar Roma (41-54 M) telah mengarahkan semua orang Yahudi untuk meninggalkan Roma kerana kekacauan berterusan yang disebabkan oleh seseorang bernama ‘Krestus’. Ramai yang mengatakan bahawa ia merujuk kepada Kristus, kerana perbalahan dalam komuniti Yahudi adalah di antara mereka yang menerima anugerah penyelamatan-Nya dan yang sebaliknya.
e Roma merupakan ibu kota dan bandar yang paling besar di empayar Roma dengan penduduk yang mencecah satu juta pada akhir-akhir abad pertama Masehi. Asal usul Kristian di Roma, seperti agama Yahudi, tidak dapat ditentukan dengan jelas. Orang Yahudi Roma hadir di Yerusalem ketika Pentakosta (2:10) dan mereka mungkin telah kembali ke Roma dan menubuhkan jemaah di sana.
f Paulus telah diajar peniagaan ini semasa dia masih remaja. Adalah menjadi kebiasaan bagi orang Yahudi untuk mengajar anak lelaki mereka melakukan perkara-perkara yang berguna, tidak kira yang kaya ataupun yang miskin. Oleh kerana rabi (guru Taurat) tidak mendapat upah dari pelayanan mereka, mereka perlu mencari sumber pendapatan mereka sendiri.
g Ini merupakan tanda penolakannya terhadap penentang Yahudi dan mengelakkan dirinya dari tanggungjawab yang seterusnya ke atas mereka (lihat Bab 13, nota e’). Ia juga merupakan protes terhadap apa yang dilihatnya sebagai ‘khufur’ bagi orang Yahudi.
h Salah seorang peribadi yang paling awal menerima ajaran Paulus di Korintus ialah Krispus, ketua rumah ibadat. Dia menjadi orang percaya yang paling kuat, dan penerimaannya terhadap Yesus menjadi pengaruh yang besar ke atas orang percaya yang lain. Paulus mencatat tentangnya di dalam 1 Kor 1:14-16 sebagai beberapa orang yang telah dibaptisnya.
i Kata kerja yang digunakan dalam bahasa Yunani menunjukkan bahawa hal ini merupakan proses setiap hari.
j Lukas tidak mengulas lebih lanjut tentang penglihatan yang diterima oleh Paulus untuk mendorong dan menguatkannya bagi pekerjaan yang dilakukannya di Korintus. Mungkin kerana Paulus menjangkakan bahawa dia akan berhadapan dengan penolakan yang hebat seperti biasa ketika orang ramai mula berpaling kepada Yesus. Dalam suratnya kepada jemaah di Korintus (1 Kor 2:3), Paulus menulis bahawa sewaktu dia sampai di Korintus, dia ‘lemah dan gementar kerana ketakutan’ dan Tuhan melihat hal itu lalu memberikan dorongan.
k Pada masa ini, Paulus mungkin telah membawa injil di sekitar daerah Akhaya yang berdekatan.
l Galio disanjung kerana keadilan dan ketenangannya. Dia merupakan gabenor Akhaya pada 51-52 M. Ini memudahkan para sarjana untuk menentukan tarikh lawatan Paulus ke Korintus serta tarikh surat Tesalonika yang terjadi di sekitar 51-52 M.
m Pada zaman PB, Akhaya merupakan wilayah Roma dan ibu kotanya ialah Korintus. Jika kedua-duanya disebut sebagai ‘Makedonia dan Akhaya’, ini dikenal secara umum sebagai seluruh Greece.
n Orang Yahudi mengatakan bahawa Paulus menyokong sebuah agama yang tidak diluluskan oleh undang-undang Roma, tidak seperti agama Yahudi yang telah diluluskan.
Oleh yang demikian, perbuatan Galio yang menolak untuk membicarakan perkara itu sama seperti menerima agama Kristian sebagai sebuah agama yang sah dan keputusan seorang pegawai Roma yang penting seperti itu akan memberi kesan besar setiap kali isu itu dibangkitkan. Oleh kerana itu, mesej Kristian boleh dikembangkan di wilayah-wilayah empayar tersebut tanpa rasa takut untuk melanggar undang-undang Roma.
o Tiada sebab yang jelas mengapa Sostenes dipukul. Mungkin orang Yunani mengambil kesempatan terhadap tindakan Galio yang enggan membicarakan kes tersebut dan memukul Sostenes atas dasar perasaan anti-Yahudi. Terdapat usul lain yang mengatakan bahawa Sostenes mungkin bersimpati dengan orang Kristian dan orang Yahudi sendiri yang memukul dia.
Perhatikan bagaimana Yesus mengambil berat terhadap Paulus dan bagaimana Dia mendorong Paulus di saat dia mengalami kesusahan.
Janganlah takut! Aku akan menyelamat-kan kamu. Aku telah memanggil kamu dengan nama kamu, kamu milik-Ku. Apabila kamu menyeberangi laut yang dalam, Aku menyertai kamu; kamu tidak akan tenggelam dalam kesusahan. Apabila kamu melalui api, kamu tidak akan terbakar; kamu tidak akan dicelakakan oleh cubaan yang berat. Akulah TUHAN, Allah kamu, Allah Israel, Allah yang suci, yang telah menyelamatkan kamu.
(Yesaya 43:1-3)
18 Paulus tinggal dengan pengikut Yesus di Korintus selama beberapa hari lagi. Kemudian dia meninggalkan mereka lalu belayar dengan Priskila p dan Akwila ke Siria. Sebelum bertolak, Paulus mencukur rambutnya di Kengkrea q kerana telah bernazar. r 19 Apabila mereka tiba di Efesus, s Paulus meninggalkan Priskila dan Akwila. Kemudian dia masuk ke rumah ibadat dan mengadakan perbincangan dengan orang Yahudi. 20 Mereka meminta supaya Paulus tinggal lebih lama di situ, tetapi Paulus tidak mahu. 21 Pada waktu berangkat, Paulus berkata kepada mereka, “Jika diperkenankan oleh Allah, aku akan kembali.” Setelah itu dia belayar dari Efesus. 22 Apabila dia tiba di Kaisarea, dia melanjutkan perjalanan ke Yerusalem untuk memberikan salam kepada jemaah di situ, lalu dia pergi ke Antiokhia. 23 Setelah tinggal beberapa lama di Antiokhia dia mengunjungi daerah Galatia dan Frigia t untuk meneguhkan iman semua pengikut Yesus di situ.
p Kini, Priskila disebut terlebih dahulu sebelum suaminya, Akwila. Mungkin kerana dia lebih dikenali di kalangan orang Kristian atau mempunyai kedudukan sosial yang lebih tinggi.
q Kangkrea merupakan sebuah pelabuhan untuk pelayaran ke arah timur dari Korintus.
r Orang Yahudi bernazar kepada Allah untuk bersyukur bagi berkat yang telah diberikan atau sebagai satu cara untuk meminta berkat. Nazar sementara orang Nazir dilakukan dengan menjauhkan diri dari alkohol atau tidak memotong rambut. Setelah nazar selesai, seseorang itu akan mencukur semua rambut dan mempersembahkan korban di Rumah Tuhan di Yerusalem. Seorang Nazir merupakan orang Israel yang mengkhususkan dirinya dan bernazar untuk mengasingkan diri serta mengelak dari melakukan perkara-perkara tertentu untuk mengabdikan diri bagi satu pelayanan yang khas (lihat Bil 6: 1-21). Terdapat dua jenis golongan Nazir: sementara dan seumur hidup. Kita mengetahui dua orang Nazir seumur hidup dalam Alkitab iaitu Simson dan Samuel. Ahli sarjana tidak mengetahui sama ada Yohanes Pembaptis adalah Nazir seumur hidup atau tidak.
s Efesus merupakan sebuah kota perdagangan yang maju dan merupakan ibu kota bagi wilayah Roma di Asia. Ia mempunyai kuil dewi Artemis yang terkenal. Kota tersebut merupakan tempat pertemuan pelbagai budaya dan mempunyai penduduk yang ramai.
t Ini mungkin tempat yang sama pernah dikunjungi oleh Paulus untuk menginjil di selatan Galatia dalam Kisah Rasul-Rasul 13 dan 14. Dia melalui jalan yang sama dalam perjalanan misinya yang kedua tetapi dari arah yang bertentangan (16:6). Dia menguatkan pengikut Yesus di kawasan sekitar Antiokhia di Pisidia, Ikonium, Listra dan Derbe.
24 Pada waktu itu seorang Yahudi bernama Apolos, yang lahir di Aleksandria, u datang ke Efesus. Dia pandai berpidato dan sangat memahami isi Alkitab. 25 Dia telah mendalami ajaran tentang Yesus. Dengan penuh kesungguhan, dia mengisytiharkan dan mengajarkan ajaran tentang Yesus dengan betul. Tetapi dia hanya mengetahui baptisan yang diajarkan oleh Yohanes. v 26 Dengan berani Apolos mula berkata-kata di rumah ibadat. Apabila Priskila dan Akwila mendengar dia, mereka membawa dia ke rumah. Mereka menerangkan penyelamatan Allah melalui Yesus dengan lebih tepat lagi. 27 Kemudian Apolos mahu pergi ke Akhaya. Oleh itu pengikut Yesus di Efesus menolong dia dengan menulis sepucuk surat kepada pengikut Yesus di Akhaya, supaya mereka menyambut Apolos. Apabila Apolos tiba di situ, dia sangat menolong orang yang dengan rahmat Allah, percaya kepada Yesus. 28 Dengan penuh wibawa Apolos mengalahkan orang Yahudi dalam perdebatan di hadapan umum. Dengan mengutip ayat-ayat Alkitab, dia membuktikan bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah.
u Aleksandria terletak dalam kawasan Mesir. Ia merupakan kota yang kedua terpenting dalam empayar Roma dan mempunyai penduduk Yahudi yang ramai (lihat Bab 6, nota q). Ia adalah kota universiti yang ketiga termasyur pada masa itu, selain daripada Atena dan Tarsus.
v Apolos mengetahui sesuatu tentang Yesus. Tetapi sama seperti Yohanes, dia masih menunggu kedatangan Penyelamat. Baptisannya berdasarkan pertaubatan, bukan berdasarkan iman percaya kepada perkara yang sudah dilakukan oleh Kristus.
Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.