Bab 2 Kisah Para Rasul 2

Kedatangan Roh Allah (ay. 1-13)

Apabila hari Pentakosta a tiba, semua orang yang percaya kepada Kristus berkumpul di satu tempat. 2 Tiba-tiba terdengar bunyi dari langit seperti tiupan angin yang kuat b. Bunyi itu memenuhi rumah tempat mereka sedang duduk. c 6 Lalu mereka nampak sesuatu yang menyerupai lidah api d yang menjalar dan menghinggapi setiap orang e di situ. 4 Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah. f Mereka mula berkata-kata dalam pelbagai bahasa lain, g menurut apa yang diberikan oleh Roh Allah kepada mereka.
5 Pada waktu itu banyak orang Yahudi dari pelbagai negeri h di seluruh dunia, tinggal di Yerusalem. Mereka orang yang menyembah Allah. 6 Apabila mendengar suara itu, banyak orang datang berkumpul di situ. Mereka terkejut mendengar pengikut-pengikut Kristus itu berkata-kata dalam bahasa yang digunakan oleh mereka masing-masing. 7 Orang ramai itu tercengang dan hairan lalu berkata, “Orang yang bertutur ini semuanya orang Galilea! i 8 Tetapi mengapa kita mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa negeri kita masing-masing? 9 Kita orang dari Partia, Media, Elam; dari Mesopotamia, Yudea, dan Kapadokia; dari Pontus dan Asia, 10 dari Frigia dan Pamfilia, dari Mesir dan daerah-daerah Libia dekat Kirene. Ada antara kita yang datang dari Roma, 11 baik orang Yahudi mahupun orang bangsa lain yang menganut agama Yahudi; j ada juga yang datang dari Kreta dan Arab. Tetapi kita semua mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa kita masing-masing tentang hal-hal luar biasa yang dilakukan oleh Allah!” 12 Mereka semua hairan dan bingung, lalu bertanya sesama sendiri, “Apakah maknanya semua ini?”
13 Tetapi ada juga orang yang mengolok-olokkan para pengikut Kristus dan berkata, “Semua orang ini mabuk!”

Teropong:

a Perayaan ini disambut pada hari ke-50 selepas Paksah (Im 23:15-16) (pentekostos ialah perkataan Yunani bagi ‘50’). Ia juga dikenali sebagai Perayaan Menuai (Ul 16:10, Kel 23;16, Bil 28:26) atau ‘hari bagi buah pertama’ oleh kalangan orang Yahudi yang berbahasa Ibrani dan Aramaik kerana pada hari tersebut, tuaian gandum yang pertama dipersembahkan kepada TUHAN.
Ia juga dikenali sebagai Perayaan Minggu kerana ia dirayakan tujuh minggu selepas waktu penuaian yang dimulai dengan mempersembahkan tuaian barli yang pertama semasa perayaan Paskah.
Pentakosta merupakan salah satu daripada tiga perayaan yang paling besar di mana setiap lelaki Yahudi wajib untuk pulang menziarahi Yerusalem untuk merayakannya. Dua perayaan yang lain ialah Paskah dan Perayaan Pondok Daun.
Menjelang abad 1 M, ia juga dilihat sebagai ulang tahun pemberian Hukum Taurat di Gunung Sinai dan masa untuk memperbaharui perjanjian Musa.
b Hembusan nafas atau angin adalah simbol bagi Roh Allah (Yeh 37:4-10, Yoh 3:68). Yehezkiel telah bernubuat melalui penglihatannya tentang angin sebagai hembusan nafas Allah ke atas tulang-tulang kering dan memenuhi tulang-tulang itu dengan kehidupan baru. Orang Yahudi menantikan angin Roh Allah di saat-saat kedatangan Penyelamat. Sebab itu, salah satu tanda Roh Allah yang datang ialah bunyi seperti deruan angin.
Perayaan Pentakosta merupakan hari yang sesuai bagi kedatangan Roh Allah kerana:
i) Ramai orang Yahudi serta orang lain hadir di Yerusalem untuk merayakan pesta ini dibandingkan dengan Perayaan Paskah dan Pondok Daun.
ii) Perayaan ini meraikan tuaian yang telah dikumpul. Jadi melalui Roh Allah, akan ada penuaian jiwa untuk melahirkan Gereja Allah.
iii) Ia juga dianggap sebagai peringatan terhadap pemberian Hukum Taurat di Gunung Sinai. Kini, Hukum Allah akan terpahat di hati melalui Roh Allah.
c Roh Allah turun ke atas mereka secara peribadi dan penuh kuasa, sesuatu yang tidak pernah dialami oleh mereka. Hadirat Tuhan memenuhi seluruh tempat mereka berkumpul.
d Api yang menjadi simbol bagi Roh Allah memang terkenal di kalangan orang Yahudi. PL mencatatkan hadirat Allah yang ditunjukkan melalui semak terbakar (Kel 3:2-5), tiang api yang memimpin jalan orang Israel pada waktu malam di padang gurun (Kel 13:21), serta api yang menyala-nyala di puncak Gunung Sinai (Kel 24:16-17). Yohanes Pembaptis mengaitkan kedatangan Roh Allah dengan api (Luk 3:16). Manifestasi hadirat Roh Allah bukan saja boleh didengar, tetapi juga boleh dilihat. Apa yang kelihatan seperti lidah api itu adalah kehebatan hadirat Roh Allah yang tidak dapat dibendung sehingga ia dapat dilihat dengan mata kasar.
e Walaupun di bawah perjanjian yang lama ia hanya ada pada orang Israel secara keseluruhan, atau pemimpin atau nabi untuk tujuan yang tertentu, kini Roh Allah sudah ada dalam setiap individu orang percaya.
f Ini merupakan penggenapan kepada apa yang dikatakan oleh Yesus kepada mereka sebelum Dia diangkat ke syurga (1:4-5). Kurnia Roh Allah telah diberikan kepada mereka seperti yang dijanjikan oleh Allah Bapa.
g Roh Allah yang datang bukan sahaja jelas kelihatan seperti angin dan api tetapi ia juga jelas kelihatan melalui perubahan hidup pengikut-pengikut Yesus. Pada zaman PL, apabila Roh Allah memenuhi seseorang wanita atau lelaki, mereka akan bernubuat. Di sini, mereka mula berkata-kata dalam bahasa yang lain atau juga dipanggil sebagai bahasa ‘lidah’ (glossolalia dalam bahasa Yunani) dalam terjemahan lain. Ayat 6, 8 dan 11 menunjukkan bahawa bahasa yang dimaksudkan ialah bahasa manusia. Pengikut-pengikut Yesus boleh berkata-kata dalam bahasa yang difahami oleh orang-orang yang menetap di Yerusalem, yang telah datang dari pelbagai tempat dan mereka pasti bahawa bahasa yang dituturkan itu adalah bahasa ibunda mereka.
h Dunia Lukas ialah dunia Yunani-Roma yang terletak di sekitar Laut Tengah, dan bukan seperti dunia yang kita fikirkan. Perkataan ‘pelbagai negeri’ merujuk kepada negeri yang didiami oleh orang Yahudi. Ia merupakan satu perhimpunan antarabangsa orang Yahudi yang bertutur dalam banyak bahasa, di mana mereka berkumpul di kalangan orang percaya.
Lukas tidak mahu mengajukan perhatian kepada perbuatannya, tetapi dengan caranya tersendiri, dia mengatakan bahawa pada hari Pentakosta tersebut, ‘seluruh dunia’ ada di situ dengan dilambangkan oleh orang Yahudi yang datang dari pelbagai negeri.
i Orang Galilea mempunyai reputasi tidak beradab. Mereka juga mempunyai kesukaran menghasilkan bunyi tertentu dan cenderung untuk menelan bunyi suku kata apabila bercakap. Oleh itu, mereka dipandang rendah oleh orang di Yerusalem dan digelar sebagai orang kasar.
j Istilah ‘penganut baru’(proselyte) digunakan dalam terjemahan lain. Seorang penganut baru berasal dari keluarga bukan Yahudi tetapi kemudian memeluk agama Yahudi. Penganut baru harus mengikut semua adat orang Yahudi termasuk disunat. Disebabkan oleh hal sunat tersebut, lebih ramai wanita yang menjadi penganut baru berbanding lelaki. Ramai lelaki yang sekadar mengikut agama Yahudi secara ala kadar dan mereka digelar sebagai ‘orang yang takut akan Tuhan’.

Khutbah Petrus (ay. 14-42)

14Lalu Petrus berdiri bersama-sama sebelas orang rasul yang lain. Dengan suara lantang dia mula berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Yahudi dan semua yang tinggal di Yerusalem! Dengarlah baik-baik dan benarkan saya menjelaskan hal ini. 15Semua orang ini tidak mabuk seperti yang saudara-saudara sangka, kerana kini baru pukul sembilan pagi. k 16 Tetapi hal ini sudah diberitahukan oleh Allah melalui Nabi Yoel: l 17Allah berfirman, ‘Inilah yang akan berlaku pada akhir zaman, m Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua orang. n Anak-anak lelaki dan perempuan kamu akan memberita-kan hal-hal o yang Aku beritahukan mereka; orang muda kamu akan melihat hal-hal yang Aku perlihatkan kepada mereka, orang tua kamu akan mendapat mimpi yang Aku berikan kepada mereka.
18Bahkan ke atas hamba-hamba-Ku baik lelaki mahupun perempuan, akan Aku curahkan Roh-Ku pada masa itu, dan mereka akan memberitakan hal-hal yang Aku beritahukan mereka.
19Aku akan melakukan mukjizat di atas sana, di langit, dan keajaiban di bawah sini, di bumi. p Kelak akan ada darah, api, dan asap tebal; 20 matahari akan menjadi gelap, dan bulan menjadi merah seperti darah, sebelum Hari Tuhan, q hari yang besar dan mulia itu datang. 21 Pada masa itu, sesiapa yang berseru kepada Tuhan akan diselamatkan.’
22 Saudara-saudara orang Israel! Dengarlah kata-kata saya ini: Yesus orang Nasaret itu sudah diberikan tugas oleh Allah. Hal ini dinyatakan kepada saudara semua dengan mukjizat dan keajaiban r yang dilakukan oleh Allah melalui Dia. Saudara-saudara mengetahui hal itu, kerana semua peristiwa itu berlaku di kalangan saudara. 23 Sesuai dengan rancangan-Nya sendiri, Allah sudah menentukan bahawa Yesus akan diserahkan kepada saudara-saudara. Saudara semua membunuh Dia ketika menyebabkan orang berdosa menyalibkan Dia. s 24 Tetapi Allah sudah membangkit-kan Dia daripada kematian. t Allah membebaskan Dia daripada derita kematian, kerana tidak mungkin Dia dikuasai terus oleh kematian.
25 Daud pernah berkata tentang Yesus, u ‘Aku sentiasa melihat Engkau Tuhan di hadapanku; Engkau mendampingi aku, sehingga tiada apa pun dapat menyusahkan aku. 26 Oleh itu aku bersukacita dan bergembira ketika berkata-kata; walaupun aku hanya manusia, tetapi aku tetap berharap kepada-Mu, 27 kerana Engkau tidak akan meninggalkan aku di dunia orang mati. Engkau tidak akan membiarkan tubuh hamba-Mu yang setia itu hancur. 28 Engkau sudah menunjukkan jalan yang menuju ke hidup sejati, dan aku bersukacita kerana Engkau menyertai aku.’
29 Saudara-saudara, saya harus berkata dengan jelas tentang nenek moyang kita Daud. Dia sudah meninggal dan dikuburkan, v dan kuburnya masih ada antara kita sehingga sekarang. 30 Allah bersumpah bahawa Dia akan melantik salah seorang keturunan Daud menjadi raja, seperti Daud sendiri. Daud tahu akan janji Allah itu, kerana Daud pun seorang nabi. 31 Daud mengetahui apa yang akan dilakukan oleh Allah. Oleh itu Daud bernubuat tentang kebangkitan Penyelamat w yang diutus oleh Allah. Daud berkata, x ‘Dia tidak akan ditinggalkan di dunia orang mati; tubuh-Nya tidak akan hancur di kubur.’
32 Yesus inilah yang dibangkitkan oleh Allah daripada kematian. Kami semua sudah menyaksikan hal itu. 33 Allah mengangkat Yesus ke tempat yang berkuasa di sebelah kanan y Allah, dan Yesus menerima Roh Allah yang sudah dijanjikan oleh Bapa. Apa yang kamu lihat dan dengar sekarang ini adalah Roh itu yang sudah dicurahkan oleh Yesus ke atas kami. 34 Daud sendiri tidak naik ke syurga, tetapi dia berkata, z ‘Tuhan berfirman kepada Tuhanku: Duduklah di sebelah kanan-Ku, 35 sehingga Aku menaklukkan musuh-Mu ke bawah kaki-Mu.’
36 Oleh itu semua orang Israel harus tahu bahawa Yesus yang saudara-saudara salibkan itu, ialah Dia yang sudah diangkat oleh Allah menjadi Tuhan dan Penyelamat!” a’
37 Apabila orang ramai mendengar hal itu, mereka sangat gelisah. b’ Lalu mereka bertanya kepada Petrus dan rasul-rasul yang lain, “Saudara-saudara, apakah yang harus kami lakukan?”
38 Petrus menjawab, “Hendaklah setiap orang di kalangan saudara bertaubat daripada dosa, c’ lalu dibaptis demi nama Yesus Kristus, d’ supaya dosa saudara-saudara diampunkan lalu saudara semua akan menerima pemberian Allah, iaitu Roh Allah. 39 Allah menjanjikan hal itu untuk saudara-saudara dan keturunan saudara semua, serta untuk semua orang di tempat-tempat yang jauh6 e’ — iaitu sesiapa sahaja yang dipanggil oleh Tuhan Allah kita supaya datang kepada-Nya.”
40 Demikianlah Petrus memberikan penjelasan kepada mereka. Dengan kata-kata lain, dia juga mendesak mereka supaya menyelamatkan diri daripada hukuman yang akan datang kepada orang jahat f’ di negeri ini. 41 Banyak orang percaya kepada apa yang dikatakan oleh Petrus, lalu mereka dibaptis. Jumlah orang yang percaya kepada Kristus pada hari itu bertambah lagi dengan tiga ribu orang. 42 Dengan tekun mereka menerima ajaran daripada rasul-rasul. g’ Mereka hidup bersaudara, h’ makan bersama-sama, i’ dan berdoa bersama-sama. j’

Teropong:

k Pada hari perayaan seperti Pentakosta, seorang Yahudi tidak akan berbuka puasa sehingga pukul 10 pagi. Oleh itu, adalah tidak munasabah bagi sekumpulan lelaki untuk menjadi begitu mabuk pada awal pagi.
l Ayat ini diambil dari Yoel 2: 28-32. Dengan memetik ayat ini, Petrus ingin menjelaskan bahawa hari penggenapan rancangan Allah seperti yang dinubuatkan oleh Yoel telah tiba.
m Petrus mentafsir ayat ini khusus untuk waktu selepas perjanjian yang baru, bertentangan dengan zaman perjanjian lama. Zaman kedatangan Mesias (Penyelamat) yang dinubuatkan telah tiba dengan turunnya Roh Allah.
n Perkataan yang digunakan ialah ‘ke atas semua orang’, yang bermakna kepada semua umat manusia. Ini bererti semua orang tanpa mengira umur, jantina dan kedudukan; bukan hanya untuk nabi, imam dan raja sahaja seperti di zaman Perjanjian Lama.
o Versi yang lain menterjemahkannya sebagai ‘akan bernubuat’. Bukti curahan Roh Allah akan dilihat melalui nubuatan, penglihatan dan mimpi.
Pada masa PL, nubuat (mesej perkataan yang diberikan oleh Allah secara langsung) selalu dikaitkan dengan seseorang yang dihinggapi oleh Roh Allah untuk tujuan yang tertentu. Walau bagaimanapun, ucapan nubuatan tidak ada lagi setelah kematian nabi yang terakhir selepas pembuangan orang Israel. Kini, orang Yahudi percaya bahawa Allah berkata-kata melalui Taurat atau Hukum (iaitu lima buku pertama dalam PL) seperti yang ditafsirkan oleh guru-guru Taurat (rujuk kepada ‘Perjanjian Lama’, ms. 29). Tetapi mereka menjangkakan bahawa dengan ketibaan Zaman Mesias, akan ada curahan Roh Allah yang berlaku. Inilah yang dikatakan oleh Petrus tentang apa yang terjadi kepada pengikut-pengikut Yesus (Lihat Bab 11 nota q untuk penerangan lanjut).
p Salah satu tafsiran ayat ini mengatakan bahawa Petrus merujuk kepada tanda-tanda pada masa akan datang yang akan menjadi petunjuk kepada akhir zaman semasa kedatangan Yesus yang kedua kali.
q Hal ini merujuk kepada Hari Penghakiman, apabila Yesus datang kembali dengan penuh kemuliaan. Sebelum itu, akan ada satu peluang dalam tempoh yang lama bagi pengikut-pengikut Yesus untuk memberitakan injil keselamatan supaya sesiapa yang percaya dan mengaku nama-Nya akan diselamatkan.
r Pekerjaan Yesus yang luar biasa menandakan Penyelamat sudah tiba.
s Kematian Yesus dikaitkan dengan rancangan Allah dan kejahatan manusia. Walaupun Allah telah merancang bahawa Yesus akan mati bagi dosa dunia, orang-orang yang melakukan hal tersebut bertanggungjawab terhadap pilihan mereka sendiri atas pembunuhan Yesus.
t Ini menjadi kunci utama yang kerap ditekankan oleh para penginjil yang terawal. Mereka tidak cuba untuk membuktikan kesahihan kebangkitan Yesus. Mereka terus mengisyitiharkannya dan menjadi saksi bagi hal itu.
u Ayat ini diambil dari Maz 16:8-11 yang dikatakan telah ditulis oleh Daud. Petrus menggunakan mazmur ini untuk mengesahkan kebenaran tentang kebangkitan Yesus kerana dia berkata bahawa perkara tersebut sudah diramalkan dalam Mazmur. Apa yang ingin ditekankan oleh Petrus ialah tidak mungkin mazmur itu ditujukan untuk Daud kerana dia telah mati dan dikuburkan. Daud telah diilhamkan oleh Roh Allah untuk bernubuat bagi Penyelamat, yang akan datang melalui keturunannya. Petrus mengatakan bahawa nubuatan ini dipenuhi oleh Yesus dari Nasaret.
v Kematian dan pengebumian Daud merupakan pengetahuan umum bagi orang-orang di sekitar Yerusalem. Mereka juga mengetahui bahawa Daud tidak pernah bangkit dari kuburnya yang terletak di selatan kota itu, berdekatan dengan Silom. Kubur Daud disebut dalam Neh 3:16.
w ‘Penyelamat’ (Mesias) adalah bahasa Ibrani bagi perkataan ‘Kristus’ yang diambil dari bahasa Yunani Christos, bermaksud ‘Yang Diurapi’. Pada zaman Israel purba, semua objek dan manusia, contohnya imam dan raja, yang dikhaskan untuk pelayanan khusus akan diurapi dengan minyak. Orang Yahudi berharap supaya Allah akan menghantar seorang penyelamat yang sangat istimewa pada suatu hari nanti untuk membebaskan mereka dari penakluk dan membangun kembali kerajaan seperti kerajaan Daud. Orang tersebut bukan sekadar sesiapa saja yang diurapi tetapi satu-satunya ‘yang diurapi’- iaitu Kristus ataupun Penyelamat.
x Ayat ini dipetik dari Maz 16:10, seperti dalam ayat 27.
y Yesus kini telah ditinggikan pada kedudukan kekuasaan, kemuliaan dan wibawa yang tertinggi oleh Allah, Bapa-Nya. Dia telah menerima Roh yang sama seperti yang telah menguatkan-Nya dalam pelayanan dan kini Dia mencurahkan Roh Allah ke atas para pengikut-Nya.
z Dipetik dari Maz 110:1. Petrus terus menekankan bahawa mazmur Daud bukan ditujukan kepada Daud sendiri tetapi kepada Penyelamat. Daud sangat menghormati keturunannya kerana melalui ilham Roh Allah, dia mengetahui betapa hebat dan istimewa keturunannya nanti. Bukan sahaja Dia akan dibangkitkan (ayat 31-32) tetapi juga akan ditinggikan di sisi kanan Allah (ayat 33-35). Undangan untuk berkongsi taktha Allah dan berkuasa atas seluruh semesta tidak ditujukan kepada Daud tetapi kepada anak Daud. Sekarang, nubuatan ini telah dipenuhi oleh peribadi yang bernama Yesus.
a’ Semasa pelayanan awal-Nya, Yesus tidak mahu menerima penghormatan sebagai Penyelamat dan Tuhan. Kini setelah Dia melaksanakan misi keselamatan dalam kehidupan dan kematian, Dia telah ditinggikan oleh Allah. Kedua-dua gelaran Penyelamat dan Tuhan kini benar-benar menjadi milik-Nya.
Sebagai tanda hormat kepada Allah, orang Yahudi tidak menyebut nama-Nya. Apabila membaca Kitab Suci, mereka akan menggantikan nama YHWH (Yahweh) kepada ‘TUHAN’. Nama ‘TUHAN’ bukan sekadar gelaran pada nama sahaja. Ia menjelaskan pemilik nama sebagai ‘nama di atas segala nama’ (Fil 2:9). Bagi orang Yahudi, hanya satu sahaja ‘nama di atas segala nama’, nama yang suci dan tidak dapat diterangkan iaitu nama TUHAN Allah. Petrus mengakui Yesus sebagai Penyelamat dan Tuhan.
b’ Beberapa terjemahan lain menerangkan hal ini sebagai ‘luka di hati’. Ideanya adalah perasaan patah hati yang benar-benar berasa bersalah terhadap dosa dan percaya kepada Yesus.
c’ Pertaubatan diertikan sebagai: hati yang benar-benar berubah dan berpaling sepenuhnya dari kehidupan lama mereka.
d’ Secara umumnya orang Yahudi menganggap bahawa baptisan hanya boleh dilakukan kepada orang bukan Yahudi yang baru memeluk agama Yahudi. Ia menandakan hubungan yang putus dari kehidupan lalu mereka dan membersihkan ‘kekotoran’ yang sebelumnya. Bagi mereka yang biasa dengan khutbah Yohanes Pembaptis, baptisan adalah susulan daripada pertaubatan.
Walau bagimanapun, terdapat dua perkara tambahan kepada baptisan bagi mereka yang percaya kepada Yesus: ia dilakukan dalam nama Yesus Kristus dan dikaitkan dengan penerimaan kurnia Roh Allah.
e’ Janji-janji injil (berita baik) bukan sahaja dinikmati oleh orang yang hadir di sana ketika itu tetapi oleh keturunan mereka juga. Ia juga tidak terhad kepada orang di Yerusalem tetapi juga kepada orang di tempat-tempat yang jauh. Bagi Lukas, seperti yang akan dilihat kemudian, ia juga melibatkan orang bukan Yahudi.
f’ Beberapa versi menterjemahkan perkara ini kepada ‘generasi penipu atau pemberontak’. ‘Generasi pemberontak’ adalah frasa PL bagi orang Israel yang menentang TUHAN Allah di padang Gurun. Yesus menggunakannya bagi orang-orang yang tidak percaya kepada-Nya (Luk 9:41, 11:29).
g’ Terjemahan awal ialah ‘ajaran para rasul’. Ia merujuk kepada bahan yang dikumpul dan dianggap berwibawa kerana ia merupakan mesej tentang Yesus yang dinyatakan oleh rasul-rasul yang pernah bersama dengan-Nya. Bahan ini mungkin mengandungi catatan perkataan yang diucapkan oleh Yesus, beberapa peristiwa semasa pelayanan awal-Nya, kesengsaraan dan kebangkitan serta satu pernyataan tentang erti bahan ini bagi keselamatan umat manusia.
h’ Perkataan Yunaninya ialah koinonia (dari perkataan yang bermaksud ‘perhubungan, penyertaan bersama’). Ia bermaksud ‘berkongsi kehidupan bersama-sama’. Hal ini ditunjukkan oleh orang-orang percaya dalam beberapa cara, dua daripadanya disebut dalam ayat 42 – makan dan berdoa bersama. Terdapat juga ekspresi tentang bagaimana mereka begitu saling mengasihi dan berkongsi barang milik mereka dan memberikan wang mereka kepada sesiapa yang memerlukan (ayat 44-47).
i’ Versi yang lain menterjemahkan perkataan ini sebagai ‘memecahkan roti’. Ia merujuk kepada perbuatan dalam permulaan jamuan orang Yahudi. Hal ini menjadi sesuatu yang penting bagi pengikut-pegikut Yesus susulan dari peristiwa makan malam terakhir bersama Yesus. Ramai ahli sarjana menerangkan bahawa mungkin ia lebih dari sekadar berkongsi makanan sahaja. Perjamuan Suci atau Perjamuan Tuhan sepertinya dinyatakan di sini juga.
j’ Ini merujuk kepada doa yang formal, sama ada menurut cara orang Yahudi atau persekutuan doa mereka sendiri atau kedua-duanya.

Mari Fikir Sejenak:

Walaupun kita sudah bertaubat dari dosa dan berpaling kepada Yesus sebagai Penyelamat kita, kita masih perlu menahan diri dari dosa setiap hari.

  • Apakah bahagian dalam hidup anda yang masih belum anda tinggalkan walaupun ia tidak menyenangkan hati Tuhan?

Waktu Untuk Berdoa

Adakah anda benar-benar serius untuk berubah dalam bahagian hidup tersebut? Jika ya, mahukah anda berdoa dan minta Tuhan untuk memberikan anda keupayaan untuk mengawal diri, dan minta kekuatan untuk menangani pergumulan di bahagian hidup ini?

Suatu Pegangan Hidup:

Paulus berkata bahawa kita tidak lagi dikuasai oleh sifat berdosa kita, tetapi kita kini dikuasai oleh Roh Allah yang tinggal di dalam kita. Jika kita bertekad untuk hidup mengikut jalan-Nya, kita boleh meminta dari-Nya dan Dia akan menolong kita.

Cara Hidup Pengikut Kristus (ay. 43-47)

43 Banyak mukjizat dan keajaiban k’ yang dilakukan oleh rasul-rasul itu, sehingga semua orang kagum dan takut. 44 Semua pengikut Kristus berkumpul dengan penuh keakraban, dan mereka berkongsi milik. 45Mereka menjual harta milik dan membahagi-bahagikan wang itu di kalangan mereka menurut keperluan masing-masing. l’ 46 Tiap-tiap hari mereka berkumpul di Rumah Tuhan, m’ dan mereka makan bersama di rumah mereka n’ dengan sukacita dan rendah hati. 47 Mereka memuji Allah dan mereka dihormati oleh semua orang. Tiap-tiap hari Tuhan o’ menambah bilangan mereka dengan orang yang diselamatkan oleh Allah.

Teropong:

k’ Dua perkataan ini, ‘mukjizat dan keajaiban’ juga diguna-kan untuk menerangkan perkara yang dilakukan oleh Yesus. Rasul-rasul itu sedang melakukan apa yang dilakukan oleh Yesus sendiri.
l’ Di dalam komuniti orang Kristian di Yerusalem, pengertian rohani orang-orang percaya diperlihatkan dalam keeratan hubungan dan perkongsian harta milikan sesama mereka. Penjualan barangan milik mereka dilakukan atas kerelaan hati sendiri (lihat 4:32-37).
m’ Ini adalah Rumah Tuhan (Bait Allah) di Yerusalem, tempat orang Israel menyembah Allah dan mempersembahkan korban mereka. Rumah Tuhan ini dibina oleh Herodes Agung (rujuk kepada ‘Rumah Tuhan’, ms. 30).
Pengabdian mereka kepada Tuhan dapat dilihat melalui kehidupan seharian mereka bersama. Pertemuan bersama dalam kesatuan mungkin bermaksud mereka menggunakan serambi Rumah Tuhan sebagai tempat pertemuan atau mereka turut serta dalam penyembahan harian di Rumah Tuhan.
n’ Pada masa yang sama, mereka juga berkumpul di rumah sesama mereka, makan bersama dan mungkin merayakan Perjamuan Tuhan bersama. Roh mereka penuh dengan sukacita.
o’ Perhatikan bagaimana Tuhan sendiri yang menambah orang-orang ke dalam gereja-Nya.

Mari Fikir Sejenak:

  • Apakah aspek kehidupan orang-orang percaya awal yang anda fikir tidak terdapat dalam gereja atau pelayanan muda-mudi atau persekutuan Kristian sekolah anda?
  • Apakah cadangkan anda untuk memperbaiki kehidupan komuniti dalam persekutuan atau gereja anda?
  • Apakah bahagian yang anda boleh lakukan?

Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.