Bab 20 Kisah Para Rasul 20

Paulus Pergi ke Makedonia dan Akhaya (ay. 1-6)

Setelah keadaan di Efesus tenteram semula, Paulus mengumpulkan pengikut Yesus di situ lalu menggalakkan mereka. Kemudian dia mengucapkan selamat tinggal dan meneruskan perjalanan ke Makedonia. a 2 Dia mengunjungi daerah Makedonia dan dengan banyak ajaran Paulus menggalakkan pengikut Yesus di situ. Kemudian dia pergi ke Akhaya. b 3 Di situ dia tinggal selama tiga bulan. Dia sedang bersiap-siap untuk pergi ke Siria, apabila dia mendengar bahawa orang Yahudi berkomplot untuk membunuh dia. c Oleh itu, Paulus mengambil keputusan untuk kembali melalui Makedonia. d 4 Sopater e anak Pirus yang berasal dari Berea pergi bersama-sama dia, begitu juga Aristarkhus f dan Sekundus g dari Tesalonika, Gayus h dari Derbe, Tikhikus i dan Trofimus j dari daerah Asia, dan Timotius. k 5 Mereka pergi terlebih dahulu lalu menunggu kami l di Troas. 6 Setelah Perayaan Roti Tidak Beragi, kami belayar meninggalkan Filipi. Lima hari kemudian kami berjumpa dengan mereka di Troas. m Di situ kami tinggal selama seminggu.

Teropong:

a Lukas tidak menyatakan berapa lama mereka tinggal di Makedonia. Paulus mungkin melawat semua jemaah yang telah ditubuhkannya sewaktu perjalanan misinya yang kedua di Filipi, Tesalonika dan Berea.
b Ini mungkin merujuk kepada tempoh mereka tinggal di Korintus, ibu kota Akhaya. Ini adalah musim sejuk di mana kapal tidak belayar dengan kerap.
c Paulus mahu belayar ke Palestina-Siria, supaya dia boleh tiba di Yerusalem pada masa yang tepat untuk merayakan Paskah. Akan tetapi, rancangan untuk membunuhnya telah didedahkan dan dia mengambil keputusan untuk berjalan melalui laluan darat di Makedonia. Pada musim ini ramai orang Yahudi kembali ke Yerusalem untuk meraikan Paskah atau Pentakosta. Pentakosta menjadi perayaan kegemaran para penziarah untuk melawat kota itu. Secara logiknya, mudah bagi orang Yahudi untuk mengambil kesempatan menyerang Paulus dalam pelayaran.
d Orang-orang ini sepertinya adalah rombongan yang telah diarahkan untuk menemani Paulus dan juga pengumpul wang kebajikan di Yudea (2 Kor 8:19-24). Tiga daripada mereka berasal dari Makedonia, dua dari Galatia dan dua dari Asia. Lukas mungkin menyertai mereka di Filipi (lihat ay. 6).
e Dia mungkin orang yang sama dengan Sosipater dalam Ro 16:21, salah seorang dari saudara Paulus.
f Lihat Bab 19, nota v.
g Namanya tidak disebut lagi dalam mana-mana bahagian. Namanya bermaksud ‘kedua’.
h Seseorang yang bernama Gayus dari Makedonia ada bersama dengan Aristarkhus di Efesus (19:29). Walau bagaimanapun, nama-nama dalam kumpulan ini menunjukkan bahawa Gayus dalam ayat ini mungkin berasal dari Galatia dan berbeza dengan Gayus dari Makedonia.
i Tikhitus selalu membantu Paulus, terutamanya hal yang berkaitan dengan jemaah-jemaah di Asia. Dia disebut dalam beberapa surat yang ditulis oleh Paulus.
j Trifomus berasal dari Efesus dan mungkin orang bukan Yahudi. Dia ada bersama dengan Paulus diYerusalem apabila Paulus ditangkap (lihat 21:29).
k Timotius dan Erastus telah dihantar oleh Paulus terlebih dahulu sebelum dia pergi ke Efesus (19:22).
l Lukas telah menyertai rombongan Paulus semula. Paulus dan rombongannya singgah di Filipi dan hanya meneruskan perjalanan selepas Perayaan Roti Tidak Beragi untuk bertemu dengan yang lain.
m Lihat Bab 16, nota j. Troas merupakan tempat di mana Paulus mendapat penglihatan tentang seorang lelaki yang memanggilnya untuk datang ke Makedonia. Ini adalah tempat pertemuan Paulus dan rombongannya serta beberapa orang yang telah mendahului mereka melalui laluan laut dari Neapolis, sebuah pangkalan di Filipi.

Lawatan Paulus yang Terakhir di Troas (ay. 7-12)

7 Pada petang Sabtu n kami berkumpul untuk makan bersama-sama o saudara seiman. Kerana Paulus akan berangkat esoknya, dia mengajar orang di situ. Dia berkata-kata terus sehingga tengah malam. 8 Banyak pelita dinyalakan di dalam bilik di tingkat atas, tempat kami berhimpun. 9 Seorang pemuda p bernama Eutikhus duduk di jendela. Kerana Paulus tidak berhenti-henti berkata-kata, pemuda itu mengantuk lalu tertidur di jendela itu dan akhirnya jatuh ke tanah dari tingkat ketiga. Apabila mereka mengangkatnya, dia sudah mati. 10 Tetapi Paulus turun, lalu merebahkan diri ke atas pemudaq itu dan memeluk dia. Paulus berkata, “Janganlah khuatir, dia masih hidup!” 11 Kemudian Paulus naik kembali, lalu membahagikan roti dan makan bersama. Setelah lama bercakap dengan mereka, sehingga matahari terbit, Paulus berangkat. 12 Mereka membawa pemuda yang hidup itu pulang ke rumah dan mereka sangat terhibur.

Teropong:

n Versi lain menterjemahkan perkataan ini kepada ‘hari pertama dalam seminggu’ atau Ahad. Pertemuan ‘pada hari pertama dalam seminggu’ merupakan bukti paling jelas kepada kita bahawa Kristian berkumpul untuk menyembah dan merayakan Perjamuan Suci pada hari tersebut. Orang-orang Kristian berkumpul pada waktu petang, masa yang paling sesuai kerana mereka perlu bekerja pada siang hari.
o Ini merujuk kepada perayaan Perjamuan Suci.
p Walaupun Euthikus digambarkan sebagai seorang pemuda dalam ayat ini, tetapi dalam ayat 12, istilah yang digunakan adalah budak lelaki, merujuk kepada seseorang yang berumur antara 8-12 tahun.
q Seperti perbuatan Elia ke atas anak lelaki seorang balu di Zerafat dan Elisa dengan anak lelaki perempuan Sunem, Paulus ‘merebahkan diri ke atas pemuda itu dan memeluk dia’, membangkitkan Euthikus dari kematian. Paulus menghidupkan Euthikus seperti Petrus menghidupkan Dorkas (9:40).

Ucapan Selamat Tinggal Paulus di Efesus (ay. 13-38)

13 Kami pergi ke kapal lalu belayar terlebih dahulu ke Asos. r Di situ kami akan menyambut Paulus naik ke kapal. Dia menyuruh kami belayar terlebih dahulu kerana dia mahu ke Asos melalui jalan darat. 14 Setelah Paulus tiba di Asos, kami membawa dia naik ke kapal lalu bertolak ke Metilene. s 15 Dari sana kami belayar pula, dan esoknya tiba di pulau Khios. t Lusanya kami tiba di Samos u dan sehari kemudian di Miletus. v 16 Paulus mengambil keputusan supaya tidak singgah di Efesus, agar tidak membuang masa di daerah Asia. Dia ingin cepat-cepat tiba di Yerusalem, jika boleh sebelum hari Pentakosta. w 17 Dari Miletus, Paulus mengirim berita ke Efesus, meminta supaya pemimpin-pemimpin x jemaah di situ datang menjumpai dia. 18 Apabila mereka tiba, Paulus berkata kepada mereka, “Kamu mengetahui cara hidupku selama aku bersama-sama kamu, sejak hari pertama aku tiba di daerah Asia. 19 Dengan rendah hati dan dengan mencucurkan air mata, aku mengabdikan diri sebagai hamba Tuhan, di tengah-tengah penderitaan yang aku alami kerana rancangan jahat orang Yahudi. 20 Kamu tahu bahawa aku tidak pernah merahsiakan apa-apa yang berguna bagi kamu, semasa aku berkhutbah dan mengajar di tempat-tempat awam dan di rumah-rumah. 21 Baik kepada orang Yahudi mahupun bukan Yahudi, aku memberikan amaran supaya mereka bertaubat daripada dosa lalu datang kepada Allah serta percaya kepada Yesus, Tuhan kita. 22 Sekarang untuk mentaati perintah Roh Allah, y aku akan pergi ke Yerusalem tanpa mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku di situ. 23 Aku hanya tahu bahawa di setiap kota, Roh Allah telah memberitahu aku bahawa aku akan mengalami penderitaan dan akan dipenjarakan. 24 Tetapi aku tidak mengambil berat sama ada aku hidup atau mati. Aku hanya ingin menyelesaikan tugas yang aku terima daripada Tuhan Yesus. Aku diberikan tugas untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang rahmat Allah.
25 Aku sudah mengunjungi kamu semua dan memberitakan Pemerintahan Allah. Sekarang aku tahu bahawa tidak seorang pun daripada kamu akan berjumpa dengan aku lagi. 26 Oleh itu dengan sungguh-sungguh aku berkata kepada kamu pada hari ini: Jika sesiapa antara kamu binasa kelak, hal itu bukan tanggungjawabku. 27 Aku tidak pernah melalaikan tugas untuk menjelaskan segala kehendak Allah kepada kamu. 28 Hendaklah kamu menjaga diri serta menjaga jemaah yang sudah diserahkan kepada pemeliharaan kamu oleh Roh Allah. Jagalah jemaah Allah seperti gembala z menjaga domba, kerana Allah sudah menjadikan jemaah milik-Nya sendiri melalui kematian Anak-Nya. 29 Aku tahu bahawa setelah aku pergi, serigala buas a’ akan datang ke tengah-tengah kamu. Jemaah yang kamu jaga akan menjadi mangsa serigala. 30 Bahkan akan tiba masanya apabila beberapa orang di kalangan kamu sendiri akan memberitakan berita yang tidak betul untuk menyesatkan pengikut Yesus sehingga mengikut mereka. 31 Berwaspadalah! Ingatlah bahawa selama tiga tahun, siang malam dengan mencucurkan air mata, aku telah mengajar setiap orang di kalangan kamu.
32 Sekarang aku menyerahkan kamu kepada pemeliharaan Allah. Perkhabaran tentang rahmat b’ Allah juga akan memelihara kamu. Allah dapat menguatkan kamu dan mengurniai kamu berkat yang telah disediakan-Nya untuk semua umat-Nya. 33 Aku tidak pernah mengingini wang atau pakaian sesiapa pun. 34 Kamu sendiri tahu bahawa dengan tangan sendiri, aku bekerja untuk mencukupi keperluanku dan rakan-rakanku. 35 Dalam segala perkara aku sudah memberikan teladan kepada kamu bahawa dengan bekerja keras seperti ini, kita harus menolong orang yang lemah. Ingatlah akan kata-kata Tuhan Yesus, c’ ‘Lebih berbahagia memberi daripada menerima.’”
36 Apabila Paulus selesai berkata-kata, dia berlutut dengan mereka semua lalu berdoa. 37 Sambil menangis mereka memeluk Paulus dan mengucapkan selamat tinggal. 38 Mereka amat sedih kerana Paulus berkata bahawa mereka tidak akan berjumpa dengan dia lagi. Kemudian mereka menghantar dia sampai ke kapal.

Teropong:

r Asos terletak berseberangan dengan semenanjung dari Troas, kira-kira 32 km (20 batu) dengan laluan darat. Paulus mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan menggunakan laluan darat. Laluan laut lebih jauh dan mungkin ribut akan melanda.
s Metilene merupakan bandar utama yang mempunyai pelabuhan yang maju di pulau Lesbos, pulau terbesar di sekitar kawasan itu.
t Khios adalah pulau yang lebih besar dan terletak di bahagian barat persisiran Asia Kecil.
u Samos merupakan salah satu pulau penting di selatan Efesus.
v Miletus berada 48 km (30 batu) dari arah selatan Efesus, destinasi kapal yang dinaiki oleh Paulus. Dia harus menaiki kapal lain jika hendak pergi ke Efesus, dan itu akan memakan masanya.
w 16 hari sudah berlalu, dan kini tinggal dua per tiga lagi dari masa yang diperuntukan untuk perjalanan itu.
x Pelayanan Paulus menekankan kepentingan pemimpin-pemimpin jemaah untuk mengendalikan jemaah mereka. Ternyata Paulus selalu berusaha untuk melantik pemimpin jemaah di setiap jemaah yang ditubuhkannya (lihat 14:23).
y Paulus tidak pergi ke Yerusalem dan mengingkari arahan Roh Allah seperti yang dikatakan oleh sesetengah orang. Tetapi dia berbuat demikian kerana tuntunan Roh Allah. Orang merayu supaya dia tidak pergi (21:4, 12), bukan kerana Roh Allah melarang pemergiannya tetapi Roh Allah telah menyatakan bahawa dia akan ditangkap ketika berada di sana (21:11-12).
z Istilah yang digunakan oleh Paulus di sini adalah ‘pastor’ atau ‘penjaga’. Ia menerangkan idea pemerhatian rohani serta penjagaan pastoral. Tugas mereka adalah untuk menjaga atau membimbing jemaah yang telah dipertanggunjawapkan oleh Allah kepada mereka.
a’ Ini mungkin merujuk kepada guru-guru yang mengajar ajaran salah atau menyeleweng. Mereka akan datang dari luar lalu menyesatkan orang, terutamanya selepas Paulus meninggalkaan jemaah dan tiada lagi yang akan mempersoalkan ajaran mereka. Hal ini berlaku di Korintus (lihat 2 Kor 10-13) di mana terdapat orang yang mengajar ‘tentang Yesus yang lain’.
b’ Perkataan ‘rahmat/kasih kurnia’ adalah perkataan Paulus yang digunakannya untuk menerangkan kasih Allah yang percuma dan tidak layak diterima oleh orang berdosa tetapi tetap diberikan oleh Allah.
c’ Frasa ‘ingatlah akan kata-kata Tuhan Yesus’ merupakan perkataan yang selalu digunakan oleh jemaah awal untuk memperkenalkan petikan dari perkataan Yesus. Ini merupakan contoh perkataan Yesus yang tidak terdapat dalam Injil.

Mari Fikir Sejenak:

  • Tuliskan beberapa perkara tentang kehidupan Paulus yang benar-benar membuat kamu kagum.
  • Dengan cara apakah anda boleh mengikut contoh dari Paulus?

Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.