Bab 23 Kisah Para Rasul 23

Paulus di Hadapan Majlis Agama (ay. 1-11)

Paulus menatap anggota-anggota Majlis Agama a lalu berkata, “Saudara-saudara! Sehingga hari ini, hati nurani saya tidak menyalahkan saya tentang kehidupan saya di sisi Allah.” 2 Imam Agung Ananias b menyuruh orang yang berdiri dekat Paulus menampar c mulut Paulus. 3 Paulus berkata kepadanya, “Allah pasti akan menampar tuan, yang seperti tembok berkapur putih. d Tuan duduk di situ menghakimi saya menurut Taurat, tetapi tuan sendiri melanggar Taurat apabila menyuruh orang menampar saya!” e
4 Beberapa orang yang di sebelah Paulus berkata kepadanya, “Kamu menghina Imam Agung Allah!”
5 Paulus menjawab, “Saudara-saudara, saya tidak tahu bahawa dia Imam Agung. f Memang di dalam Alkitab ada tertulis, ‘Janganlah hina pemimpin bangsa kamu.’”
6 Paulus melihat bahawa sebahagian daripada Majlis Agama itu terdiri daripada orang Saduki g dan sebahagian lagi orang Farisi.h Oleh itu dia berseru kepada Majlis Agama, “Saudara-saudara, saya orang Farisi, bapa saya pun orang Farisi. Saya diadili di sini kerana saya percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan daripada kematian.”
7 Sebaik sahaja Paulus berkata demikian, i orang Farisi dan orang Saduki mula bertengkar, lalu perhimpunan itu berpecah menjadi dua kelompok. 8 (Hal itu berlaku kerana orang Saduki tidak percaya akan kebangkitan orang mati, dan tidak percaya akan adanya malaikat atau roh. Tetapi orang Farisi percaya akan ketiga-tiganya.) 9 Lalu berlakulah pertengkaran yang sengit. Beberapa orang Farisi yang menjadi guru Taurat berdiri dan membantah dengan keras, “Orang ini tidak bersalah sedikit pun! Barangkali memang ada roh atau malaikat yang berkata-kata kepadanya!”
10 Pertengkaran itu menjadi begitu sengit sehingga komandan itu takut kalau-kalau Paulus akan diserbu oleh mereka. Dia menyuruh askar-askarnya mengambil Paulus dari tengah-tengah mereka dan membawa dia ke kubu.
11 Pada malam itu, Tuhan j berdiri di sisi Paulus dan berkata, “Tabahkanlah hatimu! Engkau sudah memberikan kesaksianmu tentang Aku di Yerusalem. Engkau harus memberikan kesaksian di Roma juga.”

Teropong:

a Majlis Agama, sidang kehakiman Yahudi yang paling tinggi, mempunyai ahli seramai 70 sehingga 100 orang lelaki (71 adalah nombor yang sesuai). Mereka duduk dalam bentuk ladam, dan di belakang mereka terdapat tiga barisan orang yang terdiri murid kepada ‘orang berpendidikan’, dengan setiausaha mahkamah berdiri di hadapan (rujuk kepada ‘Majlis Agama’, ms. 33).
b Ini adalah Ananias anak lelaki Nebedaeus dan merupakan Imam Agung dari 47- 59 M. Dia ialah orang yang berbeza dengan Imam Agung Anas (6-15M), bapa mertua Kayafas, Imam Agung ketika Yesus masih hidup. Ananias terkenal dengan kekejaman dan kekerasannya. Sebagai seorang lelaki yang kasar, dia dibenci oleh orang Yahudi kerana polisinya yang menyokong Roma. Apabila pemberontakan terhadap kerajaan Roma berlaku, dia dibunuh oleh orangnya sendiri.
c Ini adalah kelakuan yang tidak seharusnya ada pada seseorang yang memegang jawatan rasmi tetapi kenyataan Paulus mungkin telah menyebabkan kemarahan Ananias semakin mendidih lalu bertindak seperti ini. Ananias terkenal dengan caranya yang kasar.
d Ini merupakan metafora bagi seseorang yang bertalam dua muka, yang mempunyai penampilan luaran yang baik tetapi penuh dengan dalaman yang najis seperti kuburan yang mengandungi mayat. Dalam Yehezkiel, nabi itu dikecam oleh Allah kerana mendirikan tembok yang diwarnakan putih untuk membuatnya tampak lebih kuat tetapi runtuh sebaik sahaja ditiup angin (lihat Yeh 13:10-12).
e Oleh kerana berang dengan penghinaan yang diterima, Paulus menuduh Ananias melanggar hukum Yahudi yang mempertahankan hak orang tertuduh dan menganggap mereka tidak bersalah sehingga dibuktikan. Paulus belum lagi dituduh melakukan kesalahan yang sah, apa lagi dibicarakan dan didapati bersalah. Dia menuduh Ananias bersikap talam dua muka dengan mengaku sebagai hakim yang menurut Hukum namun dia bertindak kasar semasa perbicaraan. Perkataan Paulus kelihatan seperti nubuatan, kerana Ananias menghabiskan sisa-sisa hidup seperti haiwan yang diburu dan nyawanya berakhir di tangan orang-orangnya sendiri.
f Beberapa sebab telah diusulkan tentang maksud Paulus dengan perkataan ini. Ada yang mengatakan dia mempunyai masalah penglihatan atau dia tidak dapat mengenali imam itu kerana dia tidak memakai pakaian khas seorang imam. Apa yang mungkin terjadi ialah Paulus menyindir dengan mengatakan bahawa dia tidak tahu orang yang memberi arahan sedemikian boleh menjadi seorang imam agung.
g (Rujuk kepada ‘Orang Saduki’, ms. 35) Mereka tidak mengakui kewujudan roh dan malaikat, bahkan tidak percaya dengan kebangkitan semula.
h (Rujuk kepada ‘Orang Farisi’, ms. 34) Paulus masih menganggap diri sendiri sebagai Farisi oleh kerana amalannya yang mengikut Hukum dan percaya kepada kebangkitan semula, walaupun dia tidak mengasingkan diri dari orang bukan Yahudi.
i Pengakuan Paulus telah membahagikan majlis itu kepada dua pihak, Saduki dan Farisi. Perbezaan pandangan politik dan teologi kedua-dua kumpulan ini sangat terkenal. Orang Saduki bekerjasama dengan Roma manakala orang Farisi adalah penentang senyap terhadap pemerintahan Roma. Orang Saduki sangat konservatif dalam kepercayaan tetapi orang Farisi lebih progresif, bersedia untuk mengubah Hukum mengikut arus zaman menurut tafsiran mereka.
Sebilangan orang Farisi menganggap bahawa perbicaraan Paulus adalah percubaan orang Saduki untuk menjatuhkan reputasi serta kepercayaan orang Farisi, lalu mereka mula bangkit menyokong Paulus. Walau bagaimanapun, orang Saduki terus menekankan tuduhan mereka, dan perdebatan itu tidak dapat dikawal lagi. Beberapa ahli sarjana berpendapat bahawa Paulus sengaja membiarkan dua pihak itu berbalah sesama mereka. Tetapi mungkin juga Paulus membangkitkan hal itu kerana bagi dia, ajaran Kristian yang paling penting adalah tentang kebangkitan semula.
j Kekerasan yang terjadi pada tempoh dua hari terakhir terutamanya perselisihan orang Yahudi mungkin telah menyebabkan Paulus untuk memikirkan masa hadapan, sama ada dia akan meninggalkan Yerusalem hidup-hidup atau tentang kemungkinan dia akan pergi ke Roma. Jadi dalam kebimbangannya, Yesus datang untuk mendorong dan mententeramkan dia dengan janji bahawa seperti dia telah bersaksi untuk Yesus di Yerusalem, dia juga harus bersaksi untuk Yesus di Roma. Penglihatan itu menjelaskan apa yang akan terjadi seterusnya disebabkan oleh rancangan ilahi. Tuhan akan membimbing perjalanan peristiwa sehingga Paulus berdiri di hadapan raja Roma.

Mari Fikir Sejenak:

  • Baca ayat 11 sekali lagi. Apakah yang anda boleh pelajari tentang Yesus dalam ayat ini?
  • Bagaimanakah anda tahu bahawa Yesus akan datang membantu ketika anda mengalami kesusahan atau ketidakpastian?

Ayat Hafalan:

Jangan takut kerana Aku menyertai kamu.jangan cemas kerana Akulah Allah kamu. Aku akan menguatkan dan menolong kamu;Aku akan melindungi dan menyelamatkan kamu.
(Yesaya 41:10)

Pakatan untuk Membunuh Paulus (ay. 12-22)

12 Pagi-pagi keesokan harinya, beberapa orang Yahudi k berkumpul untuk merancangkan suatu pakatan. Mereka bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus. 13 Lebih daripada empat puluh orang termasuk dalam pakatan itu. 14 Mereka pergi kepada ketua-ketua imam dan para pemimpin l masyarakat Yahudi, lalu berkata, “Kami sudah bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga kami membunuh Paulus. 15 Oleh itu saudara-saudara dan anggota-anggota Majlis Agama hendaklah mengirim sepucuk surat kepada komandan Roma, untuk meminta dia membawa Paulus datang menghadap saudara semua, seolah-olah hendak memeriksa perkaranya lagi dengan lebih teliti. Kami akan bersiap-siap untuk membunuh dia sebelum dia sampai ke sini.”
16 Tetapi anak lelaki saudara perempuan m Paulus mendengar berita tentang pakatan itu. Oleh itu dia masuk ke kubu dan memberitahu Paulus hal itu. 17 Kemudian Paulus memanggil seorang pegawai tentera dan berkata kepadanya, “Bawalah pemuda ini kepada komandan; dia mahu memberitahukan sesuatu kepadanya.” 18 Pegawai tentera itu membawa pemuda itu kepada komandan dan berkata, “Paulus, orang tahanan itu, memanggil saya. Dia menyuruh saya membawa pemuda ini kepada tuan, kerana dia mahu memberitahukan sesuatu kepada tuan.”
19 Komandan itu memegang tangan pemuda itu, lalu membawa dia ke samping dan bertanya, “Apa yang hendak kamu beritahu saya?”
20 Pemuda itu menjawab, “Orang Yahudi telah bersepakat meminta tuan membawa Paulus menghadap Majlis Agama esok, seolah-olah Majlis Agama hendak memeriksa perkaranya lagi dengan lebih teliti. 21 Janganlah percaya kepada mereka, kerana lebih daripada empat puluh orang akan bersembunyi untuk menunggu dia. Mereka sudah bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus. Sekarang mereka sudah siap dan sedang menunggu jawapan tuan.”
22 Komandan itu berkata, “Jangan beritahu sesiapa pun bahawa kamu sudah melaporkan hal ini kepada saya.” Lalu dia menyuruh pemuda itu pulang.

Teropong:

k Jelas sekali mereka ini adalah golongan fanatik, orang- orang yang bersedia untuk menggunakan kekerasan kepada sesiapa sahaja yang didapati menetang iman agama Yahudi. Keazaman pelampau agama ini dapat dilihat dalam ikrar mereka yang serius iaitu mereka akan berpuasa sehingga mereka berjaya mencapai tujuan.
l Pemimpin-pemimpin ini datang dari keluarga berpengaruh di Yerusalem, kebanyakannya ketua suku dan ketua keluarga dalam masyarakat. Seperti ketua imam, kebanyakan mereka adalah orang Saduki. Oleh kerana jurutulis dari golongan Farisi tidak disebut, besar kemungkinan kumpulan pelampau ini mengadu kepada golongan atasan yang akan memihak kepada mereka. Orang Farisi menyokong Paulus semenjak mesyuarat sebelum ini.
m Tiada maklumat yang diketahui tentang saudara perempuan dan anak buah Paulus (ini satu-satunya ayat yang merujuk kepada saudara-mara Paulus), atau bagaimana anak muda itu mengetahui rancangan pembunuhan tersebut.

Paulus Dihantar kepada Feliks (ay. 23-35)

23 Kemudian komandan n itu memanggil dua orang pegawai tenteranya dan berkata, “Siapkan dua ratus orang askar, tujuh puluh orang askar berkuda, o dan dua ratus orang askar bertombak. p Mereka harus berangkat ke Kaisarea q pada pukul sembilan malam r ini juga. 24 Juga siapkan beberapa ekor kuda untuk Paulus, dan jagalah keselamatannya sehingga dia sampai kepada Gabenor Feliks.” s 25 Lalu komandan itu menulis sepucuk surat yang berbunyi seperti berikut: t
26 “Yang Terutama Gabenor Feliks. Salam daripada Klaudius Lisias. u 27 Orang Yahudi sudah menangkap orang ini dan hendak membunuh dia. Tetapi saya mendapati dia warganegara Roma. v Oleh itu, saya dengan pasukan saya pergi menyelamatkan dia. 28 Saya mahu mengetahui alasan mereka menuduh dia, maka saya membawa dia kepada Majlis Agama mereka. 29 Saya mendapati tuduhan mereka bersangkutan dengan hukum mereka sendiri. Dia tidak melakukan apa-apa yang patut dihukum dengan hukuman mati ataupun hukuman penjara. 30 Apabila saya diberitahu bahawa orang Yahudi sudah berkomplot untuk membunuh dia, dengan segera saya menghantar dia kepada Tuan Gabenor. Saya menyuruh para pendakwanya mengemukakan tuduhan mereka terhadap dia kepada Tuan Gabenor.” w
31 Askar-askar itu menjalankan tugas mereka dan membawa Paulus ke Antipatris x pada malam itu juga.
32 Keesokan harinya askar yang berjalan kaki kembali y ke kubu, tetapi askar yang berkuda meneruskan perjalanan dengan Paulus. 33 Apabila mereka tiba di Kaisarea, mereka menyampaikan surat itu kepada gabenor dan menyerahkan Paulus kepadanya. 34 Gabenor membaca surat itu lalu bertanya kepada Paulus dari mana asalnya. z Apabila gabenor mengetahui bahawa Paulus berasal dari Kilikia, 35 gabenor berkata, “Baiklah! Saya akan memeriksa perkara kamu apabila pendakwa-pendakwa kamu tiba.” Lalu gabenor memberikan perintah supaya Paulus ditahan di dalam istana a’ yang dahulu dibina oleh Raja Herodes.

Teropong:

n Keseriusan komandan tersebut dalam melaksanakan amaran tentang rancangan pembunuhan Paulus menunjukkan bahawa dia tahu Ananias adalah jenis orang yang mampu untuk menyokong perbuatan seperti itu dan komandan itu juga sedar tentang perasaan orang Yahudi terhadap Paulus dapat menjayakan rancangan.
o Komandan itu mengarahkan 470 askar uuntuk melindungi Paulus. Mereka terdiri daripada askar bersenjata, askar berkuda dan askar biasa. Walaupun ia kelihatan seperti kawalan besar-besaran bagi seorang tahanan, askar yang berjalan kaki hanya akan mengiring Paulus dalam permulaan perjalanan, yang mungkin merupakan perjalanan yang paling berbahaya (lihat ay. 32).
p Perkataan Yunani untuk ‘askar bertombak’ adalah tidak jelas dan beberapa ahli sarjana mengusulkan bahawa ia juga bermaksud ‘haiwan tunggangan dan haiwan pengangkut’. Oleh yang demikian, pengiring yang dihantar untuk mengawal seorang tahanan mungkin tidak seramai yang dijangkakan.
q Kaisarea merupakan pusat ketenteraan bagi pasukan Roma dan juga tempat kediaman pegawai-pegawai kerajaan Roma yang memerintah Samaria dan Yudea. Lihat Bab 10, nota a.
r Askar bersenjata bertolak pada waktu malam untuk mengelak daripada dilihat orang ramai.
s Feliks merupakan gabenor Roma bagi wilayah Yudea dari 52-59 M. Gelaran ‘Yang Terutama’ merupakan satu nama yang digunakan untuk pegawai yang berpangkat tinggi dalam kerajaan Roma (rujuk kepada nota tentang ‘Feliks’, ms. 10 untuk maklumat lanjut).
Dengan mengatakan bahawa komandan menulis surat ‘yang berbunyi seperti berikut’ (bermaksud ‘seperti ini’), Lukas menyatakan bahawa kandungan seterusnya ialah maksud umum surat tersebut. Dia tidak mungkin dapat membaca surat di antara komandan Roma dan gabenor Roma. Pengetahuannya tentang surat tersebut mungkin hanya dari penceritaan Paulus, yang mungkin telah mengetahui kandungan surat tersebut apabila gabenor menggunakan apa yang tertulis dalam surat untuk menyoal Paulus.
t Format yang standard bagi sepucuk surat pada masa itu bermula dengan perkataan salam atau kata-kata hormat yang akan menyatakan (i) nama pengirim, (ii) nama penerima dan (iii) ucapan salam. Ini adalah format yang digunakan dalam semua surat dalam PB, kecuali Ibrani dan 1 Yonahes.
u Nama seorang komandan dinyatakan buat pertama kali dalam Kisah Rasul-Rasul. Klaudius Lisius ternyata orang Yunani merdeka yang telah berusaha untuk mencapai kedudukannya melalui jawatan ketenteraan dan telah membayar sejumlah wang kepada pegawai kerajaan Raja Klaudius untuk mendapat kewarganegaraan Roma (22:25-29).
v Komandan menyelitkan perkara ini untuk mendapat perkenanan gabenor. Kenyataan ini tidak benar kerana dia tidak tahu kewarganegaraan Paulus sehingga di hampir mencambuk dia dengan cemeti untuk mendapatkan maklumat (22:25-29).
w Klaudius Lisias sudah menjangka bahawa perintah seperti itu akan diberikan oleh Feliks sebaik sahaja menerima surat itu.
x Oleh kerana mereka bertolak pada jam sembilan malam, pasukan askar pengiring itu telah jauh meninggalkan Yerusalem setelah pagi menjelang. Setelah perancang pembunuhan sudah jauh ketinggalan dan kemungkinan untuk meyerang hendap semakin tipis, askar biasa kembali ke Yerusalem dan askar berkuda mengiring Paulus ke Kaisarea, kira-kira 64 km (40 batu) jauhnya.
y Antipatris telah dibina semula oleh Herodes Agung dan dinamakan sempena bapanya, Antipater. Ia merupakan penempatan ketenteraan di antara Samaria dan Yudea, kira-kira 30 batu (48 km) dari Yerusalem.
z Jika Paulus berasal dari wilayah yang berdekatan, Feliks mungkin menyerahkan dia kepada bidang kuasa gabenor yang lain.
a’ Bangunan ini dibina sebagai tempat kediaman diraja oleh Herodes Agung tetapi kini ia digunakan sebagai preatorium (khemah jeneral) Roma, seperti tempat perundingan hal-hal diraja dan tempat tinggal pegawai yang berurusan secara langsung dengan raja. Preatoria-preatoria (khemah-khemah jeneral) seperti itu ada di Roma, Efesus, Yerusalem, Kaisarea dan bahagian lain empayar tersebut.

Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.