Lima hari kemudian, a Imam Agung Ananias dan beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi serta seorang peguam bernama Tertulus b pergi ke Kaisarea. Mereka menghadap Gabenor Feliks dan mengemukakan tuduhan terhadap Paulus. 2Apabila Paulus dipanggil menghadap, Tertulus menuduh Paulus seperti berikut,
“Tuan Yang Terutama! Oleh sebab pimpinan tuan yang bijaksana, kami terus-menerus mengalami kesejahteraan c di negeri ini. Banyak pembaharuan pun sudah dilaksanakan untuk kebaikan negeri kami. 3 Kami menghargai semuanya itu dan kami sangat berterima kasih kepada tuan. 4 Supaya tidak membuang banyak masa tuan, saya memohon supaya tuan sudi mendengarkan pengaduan d kami yang ringkas e ini. 5 Kami dapati orang ini pengacau yang berbahaya. Dia menimbulkan kekacauan di kalangan orang Yahudi di seluruh dunia dan dia pemimpin kumpulan orang Nasaret. f 6 Dia cuba menajiskan Rumah Tuhan, g lalu kami menangkap dia. [Kami bercadang menghakimi dia menurut Taurat kami sendiri.] 7 Tetapi Komandan Lisias merampas dia daripada kami. 8 Jika tuan menyoal orang ini, tuan sendiri dapat mengetahui kebenaran segala tuduhan kami.” 9 Orang Yahudi di situ juga turut menuduh Paulus dan mengatakan bahawa semua yang dikatakan oleh Tertulus itu benar.
a Ini adalah lima hari setelah mereka bertolak dari Yerusalem. Masa ini cukup untuk membolehkan seorang penghantar pesanan pergi ke Yerusalem dari Kaisarea, bagi Majlis Agama untuk melantik peguam mereka dan pergi ke Kaisarea.
b Tertulus mungkin orang Roma tetapi dia juga mungkin orang Yahudi Helenistik yang fasih dengan peraturan mahkamah Roma.
c Tertulus memulakan kes pertuduhan dengan memuji-muji hakim seperti yang biasa dilakukan. Ramai orang Yahudi pasti terkejut dengan puji-pujiannya yang mengatakan ‘terus-menerus mengalami kesejahteraan’ dan ‘pembaharuan’ dalam pentadbiran Feliks. Mereka langsung tidak merasakan apa-apa kesyukuran kepada gabenor itu kerana dia kejahatannya yang selalu menampakkan kekejaman, ketamakan dan panas barannya. Secara umumnya, dia tidak mempunyai rekod yang baik. Dia telah dilucutkan jawatan oleh kerajaan pusat Roma dua tahun selepas itu kerana pemerintahan yang salah. Tetapi Tertulus tahu bagaimana untuk menyenangkan hati Feliks.
d Adalah menjadi satu kebiasaan untuk berjanji supaya bercakap secara ringkas, walaupun ia jarang ditepati.
e Terdapat tiga tuduhan yang dijatuhkan ke atas Paulus. Tertulus dengan jelas sengaja menampakkan seperti Paulus mempunyai niat untuk menentang kerajaan Roma dalam dua tuduhan yang pertama. Antara tuduhan-tuduhan Paulus adalah:
i) Menggangu ketenteraman di kalangan orang Yahudi dan dengan itu menyebabkan konflik dalam empayar, satu kesalahan yang besar di mata Kaisar.
ii) Menjadi pemimpin orang-orang Nasaret, iaitu pemimpin suatu mahzab agama yang tidak mendapat kelulusan dari Roma. Ini bertentangan dengan undang-undang Roma.
iii)Cuba untuk menajiskan Rumah Tuhan. Tertulus cuba berdebat untuk mendapatkan hak menjatuhkan hukuman mati dalam pertuduhan yang ketiga.
Semasa pemerintahannya ke atas Yudea, Feliks telah berkali-kali menyalibkan pemimpin utama pasukan pemberontak dan membunuh ramai pengikut-pengikut mereka kerana menggangu Pax Romana, kesejahteraan Roma. Niat Tertulus, sebagaimana Imam Agung dan pemimpin Yahudi bersamanya, adalah untuk menyamakan kesalahan Paulus seperti pemberontak itu, dengan harapan supaya isu sensitif itu dapat membangkitkan kelakuan Feliks seperti sebelumnya berdasarkan saksi yang telah ditampilkan. Seperti penghakiman Yesus di hadapan Pilatus, tuduhan yang dibuat oleh musuh Paulus lebih banyak berkisar tentang isu-isu politik, walaupun kebencian mereka terhadap Paulus sebenarnya berkaitan dengan keagamaan.
f Ini satu-satunya tempat dalam PB di mana ‘orang Nasaret’ digunakan untuk menggelar orang Kristian. Ia merupakan istilah yang diberikan kepada Yesus sendiri dan besar kemungkinan orang Yahudi Kristian digelar seperti pemimpin mereka.
g Kini tuduhan itu beralih menjadi ‘satu percubaan untuk’, berbanding dengan tuduhan asal orang Yahudi Asia yang mengatakan bahawa Paulus menajiskan Rumah Tuhan (lihat 21:28).
10 Gabenor itu memberikan isyarat kepada Paulus bahawa dia boleh bercakap. Oleh itu Paulus berkata, h “Saya tahu bahawa tuan telah menjadi hakim negeri ini selama bertahun-tahun. Oleh itu saya bersukacita kerana dapat membela diri di hadapan tuan. i 11Tuan dapat mengetahui hal itu sendiri, bahawa tidak lebih daripada dua belas hari yang lalu, saya pergi ke Yerusalem untuk beribadat. j 12 Orang Yahudi tidak mendapati saya bertengkar dengan sesiapa pun ataupun menimbulkan rusuhan, baik di dalam Rumah Tuhan mahupun di rumah ibadat ataupun di tempat lain di kota. k 13 Mereka pun tidak dapat membuktikan tuduhan yang dikemukakan kepada tuan terhadap saya. l 14 Saya mengaku di hadapan tuan bahawa saya menyembah Allah yang disembah oleh nenek moyang kami menurut ajaran Yesus, m yang dianggap salah oleh mereka. Tetapi saya percaya juga kepada segala yang tertulis di dalam Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi. 15 Seperti mereka, saya berharap kepada Allah bahawa semua orang akan dibangkitkan daripada kematian — orang baik, mahupun orang jahat! 16 Oleh itu saya berusaha sebaik-baiknya supaya hati nurani saya sentiasa bersih di sisi Allah dan di hadapan manusia.
17 Setelah beberapa tahun meninggalkan Yerusalem, saya kembali ke situ untuk membawa wang n sumbangan bagi bangsa saya dan untuk mempersembahkan korban kepada Allah. 18 Apabila saya sedang melakukan perkara itu, mereka melihat saya di Rumah Tuhan setelah saya selesai melakukan upacara penyucian diri. Tidak ada orang ramai menyertai saya, dan tidak ada kekacauan berlaku di situ pada waktu itu. 19 Tetapi beberapa orang Yahudi dari daerah Asia ada di situ. Sebenarnya mereka yang harus menghadap tuan o dan mengajukan tuduhan mereka, jika ada tuduhan terhadap saya. 20 Atau biarlah semua orang ini memberitahukan kesalahan saya p yang didapati oleh mereka pada masa saya dibawa menghadap Majlis Agama. 21Mereka mendapati satu perkara sahaja: Saya mengatakan hal ini di hadapan mereka, ‘Hari ini saya diadili kerana saya percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan daripada kematian.’”
22 Kemudian Feliks, yang banyak pengetahuannya q tentang ajaran Yesus, mengakhiri pembicaraan itu. Feliks berkata, “Apabila Komandan Lisias datang, saya akan memutuskan perkara ini.” r 23 Lalu gabenor memerintahkan pegawai tentera yang menjaga Paulus supaya mengawal dia tetapi memberi dia kebebasan s yang terhad, serta membenarkan sahabat-sahabat Paulus memberikan apa yang diperlukannya.
h Pengenalan Paulus kurang berbunga-bunga berbanding dengan Tertulus. Walaupun dia bermula dengan kata-kata pujian, tetapi dia melakukannya secara ringkas dan jujur.
i Feliks sudah berhubung dengan bangsa Yahudi di Palestina sejak lebih sedekad lalu, bermula di Samaria kemudian sebagai gabenor kepada semua penduduk Yudea. Oleh itu, Paulus berkata bahawa dia bersukacita dapat membela diri di hadapan seseorang yang tahu akan situasi yang dibicarakan dan mengetahui kehidupan dalam konteks mereka.
j Paulus membidas setiap tuduhan yang dikenakan kepada-nya satu per satu. Pertama, Paulus datang ke Yerusalem ‘tidak lebih daripada dua belas hari lalu’ bukan untuk tujuan politik tetapi untuk keagamaan. Dia mengatakan bahawa dengan masa yang singkat itu, adalah mustahil untuk merancang pemberontakan.
k Kedua, penuduhnya tidak dapat menyampaikan tuduhan yang bernas tentang Paulus menjadi ketua pemberontak, kerana dia berseorangan apabila mereka menangkap dia di dalam Rumah Tuhan. Tambahan lagi, mereka tidak dapat memberikan masa yang tepat bila dan mana dia melakukan kekacauan di kawasan kota.
l Ketiga, tuduhan tentang Paulus menajiskan Rumah Tuhan tidak dapat dibuktikan kerana ia sama sekali tidak berasas.
m Paulus mengatakan bahawa sebab utama mengapa Ananias dan pemimpin Yahudi menentangnya adalah kerana hal agama. Dia ‘menurut ajaran Yesus’, sekumpulan orang Yahudi yang bersetuju dengan doktrin asas kebangkitan semula dalam agama Yahudi. Walaupun cara penerimaannya terhadap ‘ajaran Yesus’ berlainan dengan Ananias dan pemimpin Yahudi, hati nuraninya terhadap hal itu jelas di hadapan Allah dan juga manusia.
n Ini adalah satu-satunya masa Lukas menyebut tentang pemungutan sumbangan bagi orang-orang miskin di Yerusalem, jemaah yang sangat dikasihi oleh Paulus. Dalam surat Paulus kepada jemaah di Korintus dan Roma, dia telah membawa sejumlah wang yang dikumpul dari jemaah-jemaah untuk orang-orang percaya yang miskin di Yerusalem (Rom 15:26). Ia adalah sumbangan dari orang bukan Yahudi Kristian kepada saudara seiman orang Yahudi sebagai tanda penghargaan kerana berkat injil yang datang dari Yerusalem. Melalui surat ini, sudah jelas bahawa Paulus menghabiskan masa dan tenaga untuk memungut sumbangan dan adalah penting bagi saudara seiman di Yerusalem untuk mendapatkan sumbangan tersebut.
o Paulus bermaksud bahawa sekiranya orang Yahudi dari Asia yang memulakan kekacauan benar-benar ingin menuduhnya, mereka harus hadir untuk menyatakan tuduhan tersebut di hadapan gabenor. Undang-undang Roma mengenakan hukuman berat ke atas penuduh yang tidak hadir ketika perbicaraan dan penuduh yang tidak hadir biasanya bermaksud bahawa mereka menarik balik tuduhan yang telah dibuat. Ketidakhadiran mereka menandakan bahawa mereka tidak dapat membuktikan kesalahan Paulus sehingga menyebabkan dia terpaksa dihadapkan ke mahkamah.
p Majlis Agama juga tidak dapat mencari kesalahan ke atasnya, kecuali tentang kepercayaannya terhadap kebangkitan semula, kata Paulus. Oleh itu, Paulus menyatakan bahawa dia dibicarakan hanya atas dasar kepercayaannya terhadap kebangkitan semula dan bukan kerana kesalahan politik.
q Feliks telah memerintah Samaria dan Yudea selama enam tahun. Adalah mustahil baginya untuk tidak mendengar sebarang khabar tentang orang Kristian.
r Feliks sedar bahawa tuduhan orang Yahudi terhadap Paulus hanya berkaitan dengan hal keagamaan walaupun mereka berusaha untuk membuatnya seperti hal politik. Dia memilih untuk menangguh keputusan walaupun dia berkuasa untuk membebaskan Paulus. Walau bagaimanapun, dia juga tidak membuat keputusan yang berpihak kepada pemimpin atasan Yahudi. Ananias dan Paulus tahu bahawa Feliks sengaja tidak mahu membuat keputusan dengan segera. Dengan sebab yang tersendiri, kedua-dua mereka menantikan perlantikan gabenor wilayah baru (yang akan berlaku tidak lama lagi) sebelum meneruskan sebarang tindakan.
s Sebagai warganegara Roma, Paulus dibenarkan untuk mempunyai kebebasan terkawal. Dia boleh dilawat dan dijaga oleh rakan-rakannya.
24 Beberapa hari kemudian, Gabenor Feliks datang dengan isterinya Drusila, t seorang Yahudi. Feliks menyuruh orang memanggil Paulus, kemudian Feliks mendengarkan Paulus berkata-kata tentang kepercayaan kepada Kristus Yesus. 25 Tetapi apabila Paulus melanjutkan ucapannya tentang apa yang baik, tentang hal mengawal diri, dan tentang hukuman pada Hari Kiamat, Feliks menjadi takut u lalu berkata, “Kamu boleh pergi sekarang. Saya akan memanggil kamu lagi jika ada kesempatan.” 26 Sementara itu Feliks juga berharap Paulus akan memberi dia wang. v Oleh itu dia seringkali memanggil Paulus dan bercakap dengan dia.
27 Setelah dua tahun, Perkius Festus w menggantikan Feliks sebagai gabenor. Kerana Feliks ingin mengambil hati orang Yahudi, dia membiarkan Paulus tinggal di dalam penjara. x
t Drusila merupakan salah satu daripada anak perempuan Herodes Aripa (kematiannya dijelaskan oleh Lukas dalam 12:20-23) dan yang paling muda di antara tiga bersaudara. Saudara perempuannya yang dua lagi adalah Bernike dan Mariam. Bernike merupakan isteri kepada Agripa II yang akan muncul dalam Bab 25.
Drusila mengahwini Azizus, raja Emesa sewaktu dia berumur 14 tahun tetapi kemudian meninggalkan suaminya untuk Feliks. Feliks sangat terpesona dengan kecantikan Drusila sehingga dia mengupah seorang bomoh dari Siprus untuk mendapatkannya. Setahun selepas berkahwin dengan Azizus, Drusila meninggalkannya untuk menjadi isteri ketiga Feliks.
Hubungan suami isteri ini didasari dengan nafsu, ketamakan dan keinginan untuk menjadi terkenal.
u Selepas mendengar tentang kekudusan, pengawalan diri dan penghakiman, Feliks mula melihat kembali ketamakan dan sikap pentingkan dirinya lalu dia diselubungi dengan rasa takut apabila mendengar perkara itu. Drusila nampaknya tersinggung dengan apa yang didengarnya kerana Lukas tidak menyebut tentangnya mendengarkan Paulus lagi.
v Sikap tamakkan wang sogokan Feliks menyebabkan dia selalu memanggil Paulus dengan harapan dia akan mendapat wang untuk membebaskan Paulus. Dia nampaknya mengetahui bahawa Paulus bertanggungjawab ke atas hal kewangan tertentu. Paulus pernah mengatakan bahawa dia datang ke Yerusalem untuk membawa wang sumbangan yang diberikan kepada orang Yahudi Kristian di sana.
w Dua tahun kemudian, Festus menggantikan Feliks sebagai gabenor Yudea. Menurut Josephus, seorang sejarahwan Yahudi, kejatuhan Feliks disebabkan oleh perselisihan di antara orang Yahudi dan orang Siria di Kaisarea. Kekerasan yang digunakannya untuk meleraikan permusuhan itu menyebabkan ramai orang Yahudi terbunuh, dipenjarakan atau jatuh muflis. Satu rombongan orang Yahudi pergi ke Roma untuk melaporkan kejadian yang berlaku di Kaisarea. Feliks kemudian dipanggil ke Roma dan digantikan oleh Festus pada 60 M.
x Mungkin Feliks tidak mahu membangkitlan lebih banyak kemarahan di kalangan orang Yahudi kerana dia akan menghadap mereka di hadapan mahkamah Roma tidak lama lagi kerana peristiwa yang dijelaskan dalam nota w.
Apabila Tuhan menggesa kita untuk hidup dalam kekudusan, itu bukan kerana Dia ingin menyusahkan hidup kita. Dia tahu bahawa dengan berbuat demikian, kita akan menjadi lebih seperti Yesus dan akan mengalami hidup yang sebenar. Dan kerana Dia begitu mengasihi kita, Dia telah memberikan Roh-Nya untuk hidup di dalam kita dan menguatkan kita untuk hidup dalam kehidupan baru. Anda tidak dapat melakukannya dengan kekuatan sendiri tetapi Roh Allah yang bekerja dalam hidup anda membolehkan ia terjadi.
Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.