Bab 25 Kisah Para Rasul 25

Paulus Minta Diadili oleh Kaisar (ay. 1-12)

Tiga hari setelah Gabenor Festus a tiba di daerah itu, dia pergi dari Kaisarea ke Yerusalem. b 2 Di situ ketua-ketua imam c dan pemimpin orang Yahudi d mengemukakan tuduhan mereka terhadap Paulus. Mereka memohon pertolongan Festus supaya 3 menghantar Paulus ke Yerusalem, e kerana mereka sudah berkomplot untuk membunuh dia di perjalanan. 4 Tetapi Festus menjawab, “Paulus ditahan di Kaisarea dan saya sendiri pun akan segera kembali ke sana. 5Biarlah pemimpin-pemimpin kamu pergi dengan saya ke Kaisarea, lalu mendakwa dia jika dia memang bersalah.” f
6 Festus tinggal di Yerusalem kira-kira lapan atau sepuluh hari lagi, lalu dia kembali ke Kaisarea. Keesokan harinya dia duduk sebagai hakim di mahkamah dan memberikan perintah supaya Paulus dibawa menghadap. 7 Apabila Paulus tiba, orang Yahudi yang datang dari Yerusalem berdiri di sekelilingnya dan mula mengemukakan tuduhan-tuduhan berat, yang tidak dapat dibuktikan oleh mereka. 8 Tetapi Paulus membela diri dengan berkata, “Saya tidak bersalah terhadap Taurat Musa, atau terhadap Rumah Tuhan, g ataupun terhadap Kaisar Roma.” h
9 Tetapi Festus hendak mengambil hati orang Yahudi. Oleh itu dia bertanya kepada Paulus, “Mahukah kamu pergi ke Yerusalem i supaya saya boleh mengadili kamu di sana?”
10 Paulus menjawab, “Saya berdiri di hadapan mahkamah Kaisar Roma, j dan di sinilah saya harus diadili. Tuan sendiri tahu bahawa saya tidak bersalah terhadap orang Yahudi. 11 Jika saya sudah melanggar hukum dan melakukan sesuatu yang patut dijatuhi hukuman mati, saya rela mati. Tetapi jika tuduhan mereka tidak benar, tidak seorang pun boleh menyerahkan saya kepada mereka. Saya minta diadili oleh Kaisar Roma!” k
12 Setelah berunding dengan para penasihatnya, l Festus menjawab, “Kerana kamu minta diadili oleh Kaisar Roma, kamu harus pergi menghadap Kaisar.”

Teropong:

a Bagi orang Yahudi di Palestina, Porkius Festus merupakan penganti Feliks yang dinanti-nantikan. Tidak ada maklumat yang diketahui tentang Festus sebelum dia menyandang jawatan gabenor Yudea. Pencalonannya bagi jawatan itu juga tidak diketahui dengan pasti seperti ketibaannya dia Palestina, walaupun ia dijangka di sekitar 60 M. Dia terpaksa menyelesaikan semua masalah dan ketegangan yang disebabkan oleh pemerintahan Feliks. Pemerintahannya hanya bertahan selama dua tahun kerana dia meninggal dunia pada 62 M.
b Situasi di Palestina harus diselesaikan dengan segera untuk menenangkan pihak berlainan di kalangan bangsa Yahudi. Oleh itu, tiga hari selepas ketibaannya di Kaisarea, Festus terpaksa berangkat ke Yerusalem untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin di sana.
c Imam Agung di Yerusalem pada waktu pemerintahan Festus ialah Ismael, dilantik oleh Agripa II untuk menggantikan Ananias di akhir-akhir pemerintahan Feliks. Walaupun begitu, Ananias terus dengan pengaruhnya di Yerusalem sehingga kematiannya di tangan orang Yahudi sendiri pada 66 M. Mungkin kerana ini Lukas menulis ‘ketua imam’ dan bukan hanya Imam Agung yang ada bersama dengan pemimpin-pemimpin Yahudi ketika menghadap Festus di Yerusalem.
d Frasa ‘ketua-ketua imam dan pemimpn orang Yahudi’ merujuk kepada Majlis Agama.
e Mengharapkan gabenor baru yang tidak berpengalaman, pihak berkuasa Yahudi menggesa Festus supaya memindahkan kes Paulus untuk diadili di Yerusalem. Mereka berniat untuk menyerang-hendap dan membunuh Paulus dalam perjalanan nanti. Mereka juga berharap, jika serangan mereka gagal, Paulus boleh diadili di hadapan Majlis Agama kerana bidang kuasa tempatan. Mereka boleh menuduh Paulus menajiskan Rumah Tuhan, tuduhan yang boleh membawa kepada hukuman mati.
f Festus mengagalkan rancangan mereka dengan menjemput pemimpin-pemimpin Yahudi untuk kembali bersamanya ke Kaisarea dan membuat pertuduhan terhadap Paulus di sana. Nampaknya dia hanya mahu menguruskan hal itu apabila dia pergi ke Yerusalem untuk kali pertama dan mahu meneruskan sebarang kes yang berterusan di Kaisarea terutamanya kerana pesalah sudah berada di sana.
g Paulus tidak melanggar peraturan dengan membawa Trifomus ke dalam kawasan larangan.
h Paulus memberitakan Pemerintahan Allah tetapi bukan sebagai penentang kepada kerajaan Roma. Dia selalu mengajar untuk menghormati undang-undang dan peraturan (lihat Rom 13:1-7) dan berdoa bagi penguasa awam.
i Festus tidak tahu apa yang harus dilakukan terhadap tuduhan orang Yahudi dan penafian Paulus. Namun Majlis Agama jelas sekali ingin memindahkan kes itu ke Yerusalem untuk diadili di sana. Sebagai gabenor Yudea yang baru, Festus melihat tiada sebab mengapa dia harus menolak cadangan orang Yahudi. Dia nampaknya tidak begitu menyedari apa niat di sebalik permintaan mereka dan berfikir bahawa ia baik dari segi politik untuk mendapatkan perkenanan mereka berdasarkan pertukaran tempat.
j Festus telah mengatakan bahawa penghakiman akan dilakukan di hadapannya. Oleh itu Paulus berkeras mengatakan bahawa dia sudah berada di hadapan mahkamah Roma. Dia ingin meneruskan perbicaraan di sana daripada harus menderita di dalam tangan orang Yahudi. Paulus tahu bahawa dia akan ditimpa masalah yang lebih besar sekiranya dia dibawa ke Yerusalem. Dia akan diserahkan kepada pihak Majlis Agama. Setelah Paulus tiba di Yerusalem nanti, pihak berkuasa Yahudi akan meminta Festus untuk menyerahkan Paulus kepada mereka untuk diadili dengan tuduhan menajiskan Rumah Tuhan.
k Sebagai waganegara Roma, dia boleh menolak untuk dihantar ke mahkamah tempatan. Sebaliknya, dia memohon kepada mahkamah Roma yang lebih tinggi. Tetapi oleh kerana dia tidak pasti apa yang akan dilakukan oleh Festus terhadap hal seperti itu, Paulus menyatakan haknya yang terakhir sebagai warganegara Roma; “Saya minta diadili olah Kaisar Roma!” Dia sangat jelas bahawa dia boleh mengharapkan keadilan dan kebebasan dari Roma sahaja, bukan dari orang Yahudi.
Pada masa itu, undang-undang Roma melindungi warganegara Roma dengan hak merayu kepada Kaisar. Setiap warganegara Roma diberikan hak untuk diadili di hadapan Kaisar sendiri (atau wakilnya) di Roma. Ini adalah mahkamah perundangan yang tertinggi, dan memenangi kes seperti itu memberi makna yang lebih dari sekadar pembebasan bagi Paulus. Agama Kristian mungkin akan diakui sah oleh pihak kerajaan sebagai satu agama yang berlainan dari agama Yahudi.
Pada masa itu, Nero telah mengambil alih takhta pemerintahan. Mungkin agak pelik mengapa Paulus meminta untuk diadili oleh Kaisar Nero (54-68 M.), orang yang menganiaya Kristian di Roma, dan bukan menyerahkaan kesnya kepada Festus sama ada di Kaisarea atau Yerusalem. Tetapi awal pemerintahan Kaisar Nero dilihat sebagai Zaman Keemasan. Hanya pada sekitar 60 M barulah sikap Nero berubah dan hubungannya dengan agama Kristian menjadi keruh semasa lima tahun terakhir hidupnya.
l Mereka adalah pegawai kerajaan dan peguam yang mahir dan telah menggubal rang undang-undang bagi gabenor Roma. Perbincangan Festus dengan para penasihatnya bukan tentang adakah mereka harus menghadap Kaisar. Sebaliknya, dia harus memastikan (i) sama ada tuduhan terhadap pesalah masih dalam bidang kuasanya (ii) sama ada ia adalah adil atau patut untuk membebaskan tertuduh dan pengadilan tidak perlu dilakukan. Oleh kerana tuduhan ke atas Paulus berkaitan dengan politik atau pemberontakan, yang boleh dijatuhkan hukuman mati menurut undang-undang Roma, dan juga menajiskan Rumah Tuhan di Yerusalem, juga boleh dikenakan hukuman mati dalam hukum orang Yahudi, Festus tidak ada pilihan tetapi mengakui kesukaran kes Paulus lalu bersetuju dengan permintaan Paulus.
Pada tahap ini, Festus masih mempunyai hak untuk membebaskan Paulus selepas pemintaan tersebut. Walau bagaimanapun, tiada gabenor baru yang ingin menentang pemimpin kepada orang yang akan diperintahnya dengan membebaskan orang yang sangat dibenci oleh mereka. Ia lebih kepada keputusan politik daripada keputusan undang-undang yang harus dilakukan oleh Festus, dan mungkin dia gembira kerana dapat melepaskan diri dari kes yang sulit ini. Kerana itu dia bersetuju dengan permintaan Paulus.

Mari Fikir Sejenak:

  • Lihat bagaimana Paulus membawa diri semasa pengadilan. Apakah pendapat anda tentang perasaan Paulus ketika ini?
  • Fikir kembali saat anda menghadapi ketegangan atau kebimbanagan dalam hidup sebelum ini. Apakah pengajaran dari Paulus yang boleh membantu anda seandainya perkara itu berulang lagi, atau sekiranya anda menghadapi perkara itu pada masa akan datang?

Paulus di Hadapan Raja Agripa dan Bernike (ay. 13-27)

13 Beberapa lama kemudian, Raja Agripa m dan Puteri Bernike n datang ke Kaisarea untuk menyambut kedatangan o Gabenor Festus. 14 Setelah beberapa hari mereka di situ, Festus menerangkan perkara Paulus p kepada Raja Agripa. Festus berkata, “Di sini ada seorang tahanan yang ditinggalkan oleh Feliks. 15 Semasa patik di Yerusalem, ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi mengemukakan tuduhan terhadap dia dan memohon patik menjatuhkan hukuman kepadanya. 16 Tetapi patik memberitahu mereka bahawa bukan kebiasaan orang Roma menyerahkan seseorang, sebelum orang itu berhadapan dengan para pendakwanya dan berpeluang membela diri. 17 Apabila mereka datang ke mari, pada keesokan harinya dengan tidak membuang masa lagi patik duduk sebagai hakim di mahkamah. Lalu patik memberikan perintah supaya orang itu dibawa menghadap. 18 Apabila para pendakwanya berdiri untuk mengemukakan tuduhan, mereka tidak mengajukan suatu kejahatan pun seperti yang patik sangka akan dilakukan mereka. 19 Mereka hanya berdebat dengan dia tentang agama mereka sendiri dan tentang seorang bernama Yesus. Orang itu sudah mati, tetapi Paulus berkeras mengatakan bahawa Dia hidup. 20 Patik tidak dapat mengambil keputusan tentang bagaimana patik boleh mendapatkan keterangan selanjutnya tentang perkara itu. Oleh itu patik bertanya kepada Paulus sama ada dia mahu pergi ke Yerusalem untuk diadili di sana kerana tuduhan-tuduhan itu. 21 Tetapi Paulus mengajukan rayuan supaya dia diadili oleh Kaisar dan supaya tetap ditahan sehingga perkaranya diputuskan. Oleh itu patik memberikan perintah supaya dia ditahan terus, sehingga patik mendapat peluang untuk menghantar dia kepada Kaisar.” 22 Agripa bertitah kepada Festus, “Beta pun ingin mendengar orang itu.” q “Esok tuanku akan mendengar dia,” jawab Festus.
23 Esoknya Raja Agripa dan Puteri Bernike datang lalu disambut dengan upacara kebesaran. r Baginda berdua memasuki balai mahkamah s bersama-sama para panglima angkatan perang t dan orang terkemuka di kota itu. Dengan perintah Festus, Paulus dibawa menghadap. 24 Lalu Festus berkata, “Tuanku Raja Agripa dan para hadirin! Orang di hadapan patik ini didakwa oleh semua orang Yahudi, baik yang di Yerusalem mahupun yang di sini. Mereka berteriak-teriak bahawa dia tidak layak hidup lebih lama lagi. 25 Tetapi patik tidak mendapatkan kesalahan apa pun yang dilakukannya, yang layak dihukum dengan hukuman mati. Kerana dia sudah mengajukan rayuan supaya diadili oleh Kaisar, patik sudah mengambil keputusan untuk menghantar dia kepada Kaisar. 26 Tetapi patik belum mempunyai keterangan yang pasti tentang dirinya, yang dapat patik tuliskan dalam surat kepada Kaisar. u Itulah sebabnya patik menghadapkan dia kepada semua yang hadir, terutama sekali kepada Tuanku v Raja Agripa! Dengan demikian, setelah pemeriksaan ini, ada sesuatu yang dapat patik tuliskan di dalam surat itu. 27 Menurut pendapat patik, tidaklah patut menghantar seorang tahanan tanpa menyatakan tuduhan yang jelas terhadap dia.”

Teropong:

m Ini adalah Herodes Agripa II (27-100 M). Bapanya mang-kat ketika dia berumur 17 tahun pada 44 M (12:23). Oleh kerana terlalu muda untuk menduduki takhta bapanya, dia digantikan oleh gabenor Roma. Oleh sebab itu, Palestina menjadi wilayah Roma yang diperintah oleh seorang gabenor. Lapan tahun kemudian, keluasan pemerintahannya semakin menular. Akhirnya dia memerintah kawasan utara dan timur laut Laut Galilea, beberapa kota di Galilea dan beberapa kota di Perea. Dia mangkat sekitar 100 M. Dia adalah keturunan Herodes yang terakhir.
n Bernike merupakan puteri sulung Agripa I, setahun lebih muda dari abangnya Agripa II. Dia berumur 16 tahun ketika bapanya mangkat. Ketika dia berumur 13 tahun, dia mengahwini bapa saudaranya, Herodes Khalkis dan melahirkan dua orang putera. Apabila Herodes mangkat, dia tinggal bersama dengan abangnya, Agripa II. Untuk menghentikan khabar angin tentang hubungan sumbang muhrim dengan abangnya, dia mengahwini Polemon, Raja Kilikia. Tetapi dia meninggalkan suaminya dan kembali kepada Agripa. Dia menjadi gundik kepada Titus, putera Kaisar Vespasian tetapi tidak dipedulikan oleh Titus.
o Sebagai pemerintah kawasan bersekutu di utara, Herodes Agripa II datang mengalu-alukan Festus, gabenor baru Yudea. Adalah kebiasaan bagi pemerintah untuk melawat pemerintah baru apabila dia sudah ditabalkan. Mereka saling menyukai dan ia merupakan perkara baik (seperti Herodes Antipas dan Pilatus, Luk 23:6-12).
p Walaupun Agripa II tidak memerintah Yudea, dia telah dilantik oleh Kaisar Klaudius untuk menjadi ‘penjaga Rumah Tuhan’, dengan kuasa untuk melantik Imam Agung dan bertanggungjawab untuk mengekalkan harta benda serta hal-hal imam di Rumah Tuhan. Dia telah menunjukkan minat terhadap agama Yahudi dan diakui oleh orang Roma sebagai pihak berkuasa yang mengendalikan hal ehwal agama Yahudi. Oleh itu Festus mengemukakan kes Paulus apabila Agripa melawatnya.
q Perkara ini menarik perhatian Agripa sehingga dia bukan setakat memberikan naasihat, bahkan dia benar-benar ingin mendengar penjelasan Paulus sendiri. Festus dengan senang hati mengaturkan pertemuan pada keesokan harinya.
r Lukas mungkin memaksudkan sebuah perarakan dengan perkataan ‘upacara kebesaran’ di sini.
s Ini bukan dewan hakim, kerana ini bukan mahkamah. Ia merupakan auditorium yang sesuai untuk menjalankan pertemuan tersebut bersama dengan raja, adiknya, gabenor Roma dan pemimpin-pemimpin Yahudi serta pegawai Roma yang terkemuka.
t Terdapat lima rejimen yang ditempatkan di Kaisarea. Jadi, besar kemungkinan lima orang komandan juga hadir di tempat itu.
u Festus dikehendaki menghantar laporan yang lengkap kepada Kaisar bagi setiap perbicaraan yang berlaku. Dia mengharapkan pertolongan Agripa dalam hal ini. Ini bukan perbicaraan yang sah tetapi lebih kepada sesi pendengaran untuk memuaskan hati Agripa dan untuk memberikan penilaian terhadap hal tersebut kepada Festus.
v Oleh kerana Agripa arif tentang hal-hal Yahudi, dia mungkin lebih sensitif terhadap perbezaan di antara orang Farisi dan Saduki dan harapan mereka terhadap Penyelamat, dan juga perbezaan di antara agama Yahudi dan Kristian serta adat Yahudi yang berkaitan dengan masalah mereka.

Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.