Raja Agripa bertitah a kepada Paulus, “Kamu dibenarkan bercakap untuk membela diri.” Paulus memberikan isyarat dengan mengangkat tangan b lalu menyampaikan pembelaannya seperti berikut,
2 “Tuanku Raja Agripa! Hamba berasa bertuah kerana dibenarkan membela diri di hadapan tuanku daripada segala tuduhan orang Yahudi, 3 terutama sekali kerana tuanku sangat memahami adat istiadat dan masalah orang Yahudi. c Oleh itu, hamba memohon sudilah tuanku mendengarkan keterangan hamba dengan sabar.
4 Semua orang Yahudi mengetahui cara hidup hamba sejak hamba masih muda. Mereka tahu bahawa sejak permulaan, hamba hidup di negeri hamba sendiri dan kemudian di Yerusalem. 5 Sudah lama mereka mengenal hamba. Jika mereka mahu, mereka dapat memberikan kesaksian bahawa sejak permulaan hamba hidup sebagai orang Farisi, dan menuruti semua peraturan agama kami dengan teliti. 6 Sekarang hamba berdiri di hadapan tuanku kerana hamba berharap akan janji yang dibuat oleh Allah kepada nenek moyang kami. d 7 Janji itu juga diharap-harapkan oleh dua belas suku Israel, sehingga mereka beribadat kepada Allah siang dan malam. Tuanku, justeru kerana harapan itulah e hamba dituduh oleh orang Yahudi. f 8 Mengapa saudara-saudara orang Yahudi, tidak dapat percaya bahawa Allah membangkitkan orang mati? g
9 Dahulu hamba sendiri pun berpendapat bahawa hamba harus melakukan semua yang terdaya untuk menentang Yesus orang Nasaret itu. 10 Itulah yang hamba lakukan di Yerusalem. Dengan surat kuasa daripada ketua-ketua imam, hamba memenjarakan banyak orang di kalangan umat Allah. Hamba pun memberikan persetujuan apabila mereka dijatuhi hukuman mati. 11 Sering kali hamba menyeksa mereka di rumah ibadat, dan memaksa mereka supaya tidak lagi percaya kepada Yesus. h Hamba sangat marah terhadap mereka, sehingga hamba pergi ke kota-kota lain untuk menganiaya mereka.”
12 “Itulah matlamat hamba ketika pergi ke Damsyik dengan membawa surat kuasa daripada ketua-ketua imam. i 13 Tuanku, pada masa hamba di tengah perjalanan, kira-kira pada tengah hari, hamba melihat cahaya yang lebih terang daripada matahari. j Cahaya itu datang dari langit dan menyinari sekeliling hamba dan semua orang yang berjalan bersama dengan hamba. 14 Kami semua jatuh ke tanah. Lalu hamba mendengar suara berkata kepada hamba dalam bahasa Ibrani, ‘Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku? Jika engkau terus melawan, engkau hanya menyakiti dirimu sendiri; engkau seperti seekor lembu yang menendang kayu penggiring yang tajam hujungnya.’ k 15 Lalu hamba bertanya, ‘Siapakah tuan?’ Tuhan menjawab, ‘Aku Yesus yang engkau aniaya. 16 Bangunlah dan berdirilah! l Aku sudah menampakkan diri kepadamu dengan tujuan melantik engkau menjadi hamba-Ku. Engkau harus memberitahu orang lain apa yang engkau lihat hari ini tentang Aku dan tentang apa yang akan Aku tunjukkan kepadamu pada masa akan datang. 17 Aku akan menyelamatkan engkau daripada bangsa Israel dan daripada bangsa lain yang bukan Yahudi. Aku mengutus m engkau kepada mereka, 18 untuk membuka mata mereka, supaya mereka keluar dari kegelapan dan memasuki cahaya yang terang; supaya mereka dilepaskan daripada kuasa Iblis lalu dikuasai oleh Allah. n Oleh itu, dengan kepercayaan mereka kepada-Ku, dosa mereka akan diampunkan dan mereka akan menjadi umat yang dipilih oleh Allah.’” o
19 “Tuanku Raja Agripa! Itulah sebabnya hamba sentiasa berusaha untuk mentaati penglihatan yang hamba terima dari syurga. 20 Hamba memberitahu orang bahawa mereka harus bertaubat daripada dosa lalu datang kepada Allah, serta melakukan perkara-perkara yang membuktikan bahawa mereka sudah bertaubat. Hamba mengajarkan hal itu mula-mula di Damsyik dan di Yerusalem, kemudian di seluruh negeri orang Yahudi dan orang bukan Yahudi. 21 Kerana hal inilah orang Yahudi menangkap hamba sementara hamba di dalam Rumah Tuhan dan mereka cuba membunuh hamba. 22 Tetapi sehingga saat ini Allah telah menolong hamba, dan sekarang hamba berdiri di sini untuk memberikan kesaksian kepada semua orang, baik orang besar mahupun orang biasa. Apa yang hamba katakan sama dengan apa yang dikatakan oleh nabi-nabi dan Musa. p 23 Mereka mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan, q dan menjadi orang pertama yang bangkit daripada kematian. Dengan demikian Dia mengisytiharkan penyelamatan kepada orang Yahudi dan bukan Yahudi. Penyelamatan itu seperti cahaya bagi mereka.”
a Agripa memberi keizinan kerana Festus membenarkannya untuk mengendalikan sesi pendengaran kes itu.
b Walaupun Paulus dirantai (ay. 29), dia boleh memberi isyarat dengan tangan seperti yang biasa dilakukan oleh seorang pemidato.
c Agripa dianggap sebagai orang yang paling berwibawa tentang agama Yahudi dan perunding bagi orang Roma dalam hal-hal keagamaan. Inilah salah satu sebab mengapa Festus mahu Agripa mengadili Paulus.
d Ia merujuk kepada harapan bahawa Allah akan menggenapai nubuatan dalam PL. Ini termasuk nubuatan tentang kerajaan Allah, Penyelamat dan kebangkitan. Bagi Paulus, ia merujuk secara terperinci kepada kepercayaannya bahawa semua itu telah digenapi oleh Yesus.
e Lebih tepat lagi, harapan yang ada dalam fikiran Paulus adalah kebangkitan dari kematian yang akan membawa penyelamatan kepada umat Tuhan. Orang Yahudi mahu merasai pengalaman ini, yang dikatakan oleh mereka sebagai ‘zaman akan datang’, dengan pengabdian kepada Allah yang ditunjukkan dengan penyembahan berterusan, siang dan malam.
f Paulus bertanya mengapa dia dituduh hanya kerana ketaatannya terhadap agama Yahudi dan harapan agama tersebut.
g Isunya adalah kepercayaan Paulus terhadap kebangkitan semula. Dia mengambil risiko untuk menyinggung dengan bertanya mengapa ia dianggap luar biasa jika Allah mampu untuk membangkitkan orang mati, walaupun isu yang sebenar adalah mengapa kebangkitan Yesus dianggap mustahil bagi Allah.
Walaupun pada mulanya dia bercakap kepada Agripa, tetapi pada waktu ini, Paulus pasti menujukan kata-katanya kepada yang lain juga, yang sama seperti Festus yang tidak percaya terhadap hal kebangkitan. Agripa berada di pihak Saduki kerana dialah yang melantik mereka sebagai ketua imam. Oleh itu dia berkemungkinan akan menolak berita kebangkitan Yesus dan juga hal-hal kebangkitan.
h Perkataan asal yang digunakan ialah ‘khufur’, seperti mengutuk Kristus atau meninggalkan iman mereka. Dia cuba untuk memaksa mereka sama ada mengutuk Yesus atau mengaku di hadapan umum bahawa Yesus adalah Anak Allah. Pengakuan Yesus Anak Allah boleh dianggap sebagai khufur, satu kesalahan yang cukup besar untuk menyabitkan seseorang dengan hukuman mati.
i Ini kali ketiga Paulus menceritakan pengalamannya dan setiap kali ada perkara baru dari yang sebelumnya (19:1-19, 22:6-21). Isi utama ceritanya tetap sama tetapi penceritaan yang berbeza dilakukan untuk menekankan beberapa perkara mengikut konteks situasinya ketika itu.
j Kejadian ini berlaku pada waktu tengahari, ketika matahari bersinar terik; namun Paulus masih dapat merasakan bahawa dia diselubungi dengan cahaya dari syurga yang lebih terang dari cahaya matahari.
k Frasa ini diterjemahkan kepada ‘menendang melawan penggiring lembu’ dalam versi lain. Perkataan ‘penggiring’
merujuk kepada sejenis alat yang digunakan untuk merangsang pergerakan lembu. Ini adalah peribahasa Yunani bagi usaha melawan yang sia-sia atau usaha untuk melawan takdir – di sini lembu itu hanya mencederakan diri sendiri jika ia melawan penggiring yang tajam hujungnya.
l Perintah untuk ‘berdiri’ atau ‘bangun’ merupakan permulaan kepada perintah Yesus kepada Paulus untuk ‘pergi’. Perlantikan Paulus sebagai rasul dibentuk oleh Lukas untuk menyerupai panggilan nabi lain dalam PL seperti Yesaya, Yehezkiel dan lain-lain. Dalam setiap kes, perkataan ‘mengutus’ digunakan. Sebagaiman Allah ‘mengutus’ nabi-Nya untuk menyampaikan firman kepada umat-Nya, Kristus juga ‘mengutus’ rasul-rasul untuk mengajar dan memberitakan injil dalam nama-Nya. Ini termasuk Paulus yang telah ‘diutus’ untuk menjadi seorang rasul kepada orang-orang bukan Yahudi (ay.17).
m Frasa ‘Aku mengutus engkau’ boleh diterjemahkan kepada ‘Aku menjadikan engkau rasul’. Yesus sedang memerintahkan Paulus, meletakkan kuasa ke atasnya untuk menjadi rasul kepada orang-orang bukan Yahudi.
n Bererti melepaskan diri dari kegelapan kuasa iblis dan juga masuk ke dalam kerajaan Allah yang dipenuhi dengan terang dan kuasa.
o Janji pengampunan adalah sebahagian dari ajaran injil sejak dari mula lagi. Begitu juga dengan menjadi ahli komuniti umat Tuhan.
p Frasa ‘nabi-nabi dan Musa’ ini merujuk kepada PL.
q Musa dan nabi-nabi lain meramalkan tiga peristiwa: Kristus atau Penyelamat akan mengalami kesengsaraan, Dia adalah orang pertama yang bangkit dari kematian dan Dia akan memberitakan terang kepada umat-Nya sendiri serta kepada orang-orang bukan Yahudi. Secara ringkas, Yesus yang dikatakan oleh Yesaya sebagai Hamba Allah Yang Sengsara telah menggenapi nubuatan ini –menderita lalu mati bagi dosa kita, ditinggikan dan diagungkan, dan menjadi terang kepada orang-orang bukan Yahudi.
Paulus terus-menerus bercakap tentang hal kebangkitan semasa perbicaraannya, bukan untuk mengapi-apikan orang Farisi dan Saduki tetapi ingin menunjukkan bahawa kebangkitan Yesus merupakan perkara paling utama dalam Injil. Oleh itu ajaran tentang penderitaan dan kebangkitan Yesus adalah tulang belakang kepada agama Kristian pada masa itu.
24 Sementara Paulus membela diri, Festus berseru, r “Paulus, kamu gila! Ilmu kamu yang banyak itu sudah menyebabkan kamu gila!” 25 Tetapi Paulus menjawab, “Hamba tidak gila, Tuan Yang Terutama. Kata-kata yang hamba ucapkan itu benar dan keluar daripada fikiran yang waras. 26 Tuanku Raja Agripa, hamba berani berkata-kata di hadapan tuanku dengan terus terang, s kerana tuanku faham akan perkara-perkara itu. Hamba yakin bahawa tuanku mengetahui semuanya, kerana hal-hal itu tidak berlaku di tempat yang tersembunyi. 27 Tuanku Raja Agripa, hamba tahu bahawa tuanku percaya kepada apa yang dikatakan oleh nabi-nabi itu!” t
28 Raja Agripa bertitah kepada Paulus, “Kamu fikir kamu boleh menjadikan beta seorang Kristian, dalam tempoh yang singkat ini?” u
29 Paulus menjawab, “Dalam tempoh yang singkat ataupun dalam tempoh yang panjang, hamba berdoa kepada Allah supaya tuanku dan para hadirin yang mendengarkan hamba hari ini boleh menjadi seperti hamba — tetapi tidak dirantai seperti hamba.” v
30 Kemudian raja, gabenor, Puteri Bernike, dan semua orang yang lain berdiri. w 31 Setelah mereka ke luar, mereka bercakap sesama sendiri, “Orang ini tidak melakukan apa-apa, sehingga dia patut dihukum mati atau dipenjarakan.” 32 Lalu Raja Agripa berkata kepada Festus, “Sebenarnya orang ini dapat dibebaskan, jika dia tidak mengajukan rayuan supaya perkaranya diadili oleh Kaisar.”
r Pada masa ini Festus menyampuk ucapan Paulus kerana tidak dapat menahan dirinya lagi. Tiada orang Roma yang waras boleh percaya dengan hal-hal orang yang bangkit dari kematian. Gabenor itu berfikir bahawa pendidikan Paulus tentang Kitab Suci telah menyebabkan dia tergila-gilakan nubuatan dan kebangkitan. Kata-kata seperti itu dianggap tidak waras oleh masyarakat di sana.
s Paulus beralih kepada raja Agripa untuk mendapatkan sokongan. Pelayanan Yesus sangat terkenal di Palestina, dan Agripa pasti pernah mendengar tentangnya. Kematian dan kebangkitan Yesus tersebar luas dan Injil Kristian kini telah diberitakan selama tiga dekad. Sudah pasti raja mengetahui hal itu, kerana ia dilakukan secara terbuka. Paulus tahu bahawa raja itu pasti akan percaya kepada nabi-nabi dan menurut Paulus, kepercayaan seseorang itu yang akan membawanya kepada Kristus. Jadi pesalah kini menjadi peguamcara dan dia berkata-kata dengan berani dengan menyoal raja sekiranya dia percaya kepada nabi-nabi atau tidak.
t Raja Agripa kini berhadapan dengan dilema. Jika dia berkata ‘Ya’, Paulus akan memaksanya untuk menyetujui penggenapan nubuatan-nubuatan dalam Yesus. Jika dia berkata ‘Tidak’, dia akan ditimpa masalah dengan orang-orang alim Yahudi, yang menerima mesej nabi sebagai firman Allah sendiri.
u Soalan Paulus yang berani memalukan Agripa. Dia harus mempertahankan reputasinya di hadapan Festus serta pegawai-pegawai lain. Sama ada dia pernah memikirkan kata-kata Paulus secara peribadi atau tidak, dia terlalu ego untuk mengaku diri sendiri terhadap apa yang dianggap gila oleh orang ramai. Jadi dia menyoal Paulus kembali.
v Paulus mungkin bercakap dengan begitu bersemangat di hadapan para pendengar sehingga dia sedar bahawa dia sedang bercakap tentang kebebasan rohani sedangkan dirinya sedang dirantai. Jadi dia menambah bahawa dia mengharapkan supaya mereka tidak akan dirantai sepertinya sekiranya mereka menerima Injil.
w Paulus telah mengahiri kata-katanya, dan komen terakhirnya membuat dewan itu mula menjadi huru-hara. Dengan itu Agripa menyuraikan sesi pendengaran lalu pergi bersama-sama dengan Festus dan Bernike ke ruang hadirin untuk membincangkan hal tersebut. Agripa mungkin sudah mendengar secukupnya dan mengarahkan Festus tentang apa yang harus ditulisnya dalam laporan yang akan dihantar ke Roma.
Mereka membuat kesimpulan bahawa Paulus tidak melakukan sebarang kesalahan yang melayakkan dia untuk menerima hukuman mati atau penjara. Agripa telah didengar mengatakan “Sebenarnya orang ini dapat dibebaskan, jika dia tidak mengajukan rayuan supaya perkaranya diadili oleh Kaisar.” Komen ini tidak bermaksud bahawa seorang gabenor tidak boleh membebaskan seorang tahanan selepas diadili oleh Kaisar. Walau bagaimanapun, dalam kes ini, status Paulus bukan sahaja berkaitan dengan undang-undang tetapi juga politik. Gabenor perlu memikirkan hubungannya dengan orang-orang Yahudi yang diperintahnya.
Mahukah anda membawa pergumulan anda kepada Tuhan dalam doa saat ini? Ambil masa untuk berdiam dan mendengar apa yang Tuhan ingin sampaikan kepada anda. Ketahuilah bahawa Tuhan mengasihi anda dan Dia tidak mahu menyalahkan anda dalam semua kelemahan dan pergumulan yang anda sedang alami.
Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.