Setelah diputuskan bahawa kami a harus belayar ke Italia, Paulus dan beberapa orang tahanan lain diserahkan kepada Yulius, b pegawai tentera daripada rejimen Roma c yang disebut “Rejimen Kaisar”. 2 Kami menaiki kapal yang datang dari Adramitium, d yang sudah siap untuk belayar ke pelabuhan-pelabuhan e di daerah Asia. Aristarkhus, f seorang Makedonia yang datang dari Tesalonika, juga bersama-sama kami. 3 Keesokan harinya kami tiba di Sidon. g Yulius memperlakukan Paulus dengan baik. h Dia membenarkan Paulus melawat sahabat-sahabatnya, supaya mereka dapat memberikan apa yang diperlukan oleh Paulus. 4 Dari situ kami meneruskan pelayaran. Kerana angin berlawanan dengan arah kapal, kami belayar menyusur pulau Siprus i yang agak terlindung daripada angin. 5 Kami menyeberangi lautan j yang berhadapan dengan Kilikia k dan Pamfilia lalu tiba di Miral di negeri Likia. 6 Di situ pegawai tentera itu mendapatkan kapal yang datang dari Aleksandria m dan akan belayar ke Italia. Oleh itu dia memindahkan kami ke kapal itu.
7 Selama beberapa hari kami belayar dengan lambat sekali, dan dengan susah payah akhirnya kami tiba di kota Knidus. n Kerana angin terlalu kuat, kami tidak dapat meneruskan pelayaran ke jurusan itu. Oleh itu kami belayar ke selatan pulau Kreta melalui Tanjung Salmone o supaya terlindung daripada angin. 8 Dengan susah payah kami belayar menyusur pantai pulau itu, dan akhirnya kami tiba di suatu tempat bernama Pelabuhan Indah, p tidak berapa jauh dari kota Lasea. q
9 Pada waktu itu Hari Pengampunan Dosa r orang Yahudi sudah lalu. Kami tinggal lama di situ sehingga bukan masanya lagi untuk belayar dengan aman. s Oleh itu Paulus menasihatkan mereka begini, 10 “Saudara-saudara, menurut pendapat saya, mulai sekarang perjalanan kita sangat berbahaya. Bukan sahaja muatan dan kapal kita akan mengalami kerosakan besar, bahkan nyawa pun akan hilang.”
11 Tetapi pegawai tentera itu lebih percaya kepada kapten kapal dan pemilik kapal t daripada kata-kata Paulus. 12 Pelabuhan di situ memang tidak baik bagi kapal untuk tinggal pada musim sejuk. Oleh itu kebanyakan anak kapal ingin belayar dan meninggalkan pelabuhan itu, serta berharap dapat sampai ke Feniks, u lalu tinggal di situ sepanjang musim sejuk. Feniks itu pelabuhan di Kreta yang menghadap barat daya dan barat laut.
a Penceritaan dengan kata ganti nama ‘kami’ bermula lagi. Perkataan itu terakhir ditulis di 21:18. Mungkin Lukas tinggal berdekatan ketika Paulus dipenjarakan di Kaisarea selama dua tahun dan sekarang dia kembali menyertai Paulus bersama dengan yang lain.
b Yulius adalah seorang kapten tentera (lihat Bab 10, nota b). Tidak ada maklumat lain yang diketahui tentangnya.
c Pasukan tentera Roma di tempatkan dalam nombor pasukan masing-masing, dan setiap rejimen mempunyai gelaran atau nama. Pengenalan sebagai ‘Agustan’, Imperial’ atau ‘Kaisar’ adalah perkara biasa.
d Mereka mungkin bertolak dari Kaisarea. Adramatium merupakan sebuah pelabuhan di pantai barat wilayah Asia, di tenggara Troas.
e Yulius bercadang untuk berpindah ke kapal lain yang menuju ke Roma di salah satu daripada perhentian ini.
f Lihat 19:29 dan 20:4 untuk maklumat lanjut tentang Aristarkus. Surat Paulus kepada jemaat di Kolose dan Filemon seperti menyatakan bahawa dia telah mengembara bersama dengan Paulus sehingga ke Roma dan tinggal bersama dengan Paulus ketika dia dipenjarakan di sana.
g Kapal itu mengangkut muatan di Sidon, sebuah pangkalan purba Fenisia yang terletak kira-kira 113 km (70 batu) di utara Kaisarea. Di sini, Paulus dibenarkan untuk melawat jemaah Kristian di kota. Orang Kristian di kota ini mungkin telah diinjili oleh orang Kristian Helenis yang diusir dari Yerusalem ketika penganiayaan Stefanus (11:19).
h Sebagai warganegara Roma yang telah dibicarakan di hadapan Kaisar, Paulus mempunyai keistimewaan yang lebih daripada tahanan yang lain. Ketua tentera dapat melihat kelainan Paulus sebagai orang berpendidikan melalui rakan-rakan yang melawatnya.
Ketua tentera Yulius mungkin telah diperintahkan oleh Festus untuk berlembut dengan Paulus, dan memang tidak diragui lagi Paulus telah memberikan gambaran yang baik kepadanya. Namun seorang askar harus selalu mengawasinya semasa lawatannya.
i Mereka berlindung dari pulau Siprus dengan belayar ke utara di kawasan timur pulau tersebut. Kemudian belayar ke arah barat di sepanjang persisiran utara. Ini kerana angin barat yang bertiup ketika musim bunga berhembus di kawasan timur Laut Tengah.
Dua setengah tahun sebelumnya Paulus dan rakannya pernah belayar dengan angin dari barat dari Patara ke Tirus dan melalui Siprus di bahagian selatan (lihat 21:3). Kini, mereka bergerak lebih perlahan kerana kapal mereka belayar melawan arah angin, dan mereka cuba untuk belayar di sepanjang pantai untuk berlindung dari angin tersebut.
j Untuk menyeberangi laut di antara Siprus dan Kilikia, kapal tersebut belayar ke arah barat ke Mira di Likia, di barat daya persisiran Asia Kecil. Ia dibantu oleh angin darat dan arus yang mengalir ke arah barat di sepanjang pantai. Perjalanan dari Sidon ke Mira biasanya mengambil masa selama 10-15 hari melalui persisiran ini.
k Kedua-dua Pamfilia dan Kilikia adalah wilayah yang berdekatan di sebelah persisiran selatan Asia Kecil.
l Mira adalah kota yang paling baik reka-bentuknya di Likia dengan bangunan awam yang menonjol, stadium yang besar dan makmur. Ia menjadi tempat persinggahan bagi kapal-kapal muatan gandum dari Mesir yang akan dihantar ke Roma. Sesuai dengan kemudahan itu, ia juga menjadi kota penyimpanan hasil tuaian gandum.
Kota Mira menjadi semakin penting kerana mempunyai daya pandu arah yang semakin baik. Kini, kapal-kapal semakin berani untuk belayar terus dari Aleksandria di Mesir hingga ke pelabuhan seperti di Mira di persisiran selatan Asia Kecil, dan bukan lagi belayar dari satu tempat ke satu tempat seperti dahulu. Ia tidak temasuk dalam laluan Roma ke Mesir tetapi angin dari barat menyukarkan kapal untuk belayar secara langsung ke arah barat.
m Di sana, Yulius berkerjasama dengan pemilik kapal gandum yang lebih besar dari Aleksandria untuk membawa askar dan tahanan dalam perjalanan yang lebih jauh ke Italia.
Aleksandria diasaskan olah Aleksander Agung dan merupakan ibu kota Roma bagi kawasan sebelah bawah Mesir. Pelabuhannya sesuai bagi tujuan perdagangan dan ketenteraan dan ia pelabuhan utama untuk hasil gandum di Roma. Aleksandria juga merupakan salah satu daripada kota budaya yang penting, universitinya (di bentuk sama seperti sekolah-sekolah di Atena) terkenal dengan ilmu matematik, ilmu angkasa, perubatan serta kesusasteraan. Perpustakaan di Aleksandria menjadi perpustakaan yang terbesar di dunia dengan jumlah kira-kira 400,000 hingga 900, 000 buah buku dan skrol. Penduduk-penduduk Aleksandria terdiri daripada orang Yahudi, Yunani dan Mesir. Orang Yahudi menganggap kota ini sebagai kota mereka dan mereka semakin berkembang di sana.
n Setelah meninggalkan Mira, kapal tersebut bergerak perlahan di sekitar pulau Kos dan Rodes menuju ke pangkalan Knidus, di hujung barat daya Asia Kecil. Knidus merupakan pelabuhan yang terakhir sebelum meneruskan pelayaran ke arah barat yang merentasi Laut Agean sebelum tiba di tanah Yunani. Pelayaran itu mungkin mengambil masa selama 10 hingga 15 hari.
o Pada masa ini, angin selatan bertiup di sepanjang Laut Agean. Oleh itu kapal tersebut terpaksa belayar ke arah barat di sepanjang persisiran Krete, sebuah pulau yang panjang di tenggara Greece. Mereka melalui Tanjung Salmon di hujung Krete, kapal itu memasuki sebuah teluk kecil yang dikenali sebagai Pelabuhan Indah.
p Pelabuhan Indah merupakan pelabuhan di pertengahan selatan persisiran Krete.
q Lasea merupakan sebuah kota yang berjarak 8 km (5 batu).
r Pengemudian di bahagian Laut Tengah ini selalunya merbahaya selepas 14 September dan semakin dahsyat selepas 11 November. Kapal tersebut telah kehilangan masa yang genting setelah meninggalkan Mira, dan jelas sekali bahawa tidak ada harapan lagi untuk sampai ke Italia sebelum musin dingin.
s Hari Pengampunan Dosa, perayaan utama orang Yahudi yang jatuh pada hujung September atau Oktober sudah berlalu. Dalam pengiraan orang Yahudi, tarikh pelayaran yang sesuai adalah dari Pentakosta (Mei-Jun) sehingga Perayaan Pondok Daun yang disambut lima hari selepas hari Pengampunan Dosa. Oleh itu, Paulus memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa mereka sekiranya mereka meneruskan perjalanan.
t Akan tetapi, pemilik dan nakhoda kapal tidak mahu menghabiskan musim dingin di pelabuhan yang kecil dan terbuka seperti Pelabuhan Indah. Mereka berharap dapat melalui musim ini di tempat yang lebih besar dan selamat seperti pelabuhan Feniks, 65 km (40 batu) di barat Pelabuhan Indah. Walau bagaimanapun, kapal tersebut akan tededah kepada angin utara ketika berada di perantaraan pelabuhan tersebut sebelum dapat berlindung di persisiran berdekatan dengan Feniks. Ketua tentera itu bersetuju dengan nakhoda dan pemilik kapal untuk menghabiskan tempoh musin dingin di Feniks.
u Feniks merupakan sebuah bandar utama yang berfungsi sebagai tempat persinggahan pada musim dingin, kerana pelabuhannya yang terlindung dari ribut.
13 Pada waktu itu angin selatan mula bertiup dengan lembut, dan anak kapal menyangka mereka boleh belayar lagi. Oleh itu mereka membongkar sauh lalu belayar menyusur pantai pulau Kreta. 14 Tetapi tidak lama kemudian angin yang sangat kuat, yang disebut angin Timur Laut, v membadai dari darat, 15 dan memukul kapal kami. Kerana kapal tidak dapat belayar melawan angin, kami membiarkan kapal mengikut angin. 16 Kami terlindung sedikit apabila kami melalui sebelah selatan pulau Kauda w yang kecil. Di situ dengan susah payah kami berjaya menyelamatkan sekoci kapal. x 17 Setelah mereka menaikkan sekoci itu ke kapal, mereka memperkuat kapal dengan menggunakan tali yang diikatkan melingkari kapal itu. Kerana mereka takut terdampar di tebing pasir Sirtis, y mereka menurunkan layar dan membiarkan kapal mengikut angin. 18 Angin terus-menerus membadai, sehingga keesokan harinya muatan kapal mula dibuang z ke dalam laut. 19 Hari berikutnya anak kapal juga membuang sebahagian daripada alat-alat kapal. 20 Berhari-hari kami tidak dapat melihat matahari dan bintang, dan angin pun terus-menerus membadai. Akhirnya lenyaplah segala harapan kami untuk selamat.
21 Setelah beberapa lama mereka tidak makan, Paulus berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, “Saudara-saudara sepatutnya menurut nasihat saya dan tidak belayar dari Kreta, maka kita tidak akan mengalami kerosakan dan kerugian ini. 22 Tetapi sekarang janganlah khuatir, kerana tidak seorang pun akan mati, hanya kapal ini tidak dapat diselamatkan. 23 Saya berkata demikian kerana semalam Allah yang memiliki saya dan yang saya sembah, menyuruh malaikat-Nya datang kepada saya. 24 Malaikat itu berkata, ‘Janganlah takut, Paulus! Engkau akan menghadap Kaisar. Oleh sebab kebaikan hati Allah kepadamu, semua orang yang belayar denganmu akan selamat.’ 25 Oleh itu tabahkanlah hati saudara-saudara. Saya percaya kepada Allah, bahawa segala-galanya akan berlaku seperti yang dikatakan-Nya kepada saya. 26 Tetapi kita akan terdampar di pantai suatu pulau.”
27 Pada malam yang keempat belas, kami terapung-apung di Laut Tengah. a’ Kira-kira tengah malam, anak kapal mengagak b’ kapal sedang mendekati darat. 28 Oleh itu mereka melempar batu duga c’ untuk mengukur dalamnya laut. Ternyata tempat itu sedalam kira-kira empat puluh meter. Tidak lama kemudian mereka mengukur lagi dan mendapati laut di tempat itu sedalam tiga puluh meter. 29 Mereka takut kapal akan terkandas pada batu karang. Oleh itu mereka menurunkan empat buah sauh d’ dari buritan kapal, lalu berdoa agar fajar segera menyingsing. 30 Anak kapal cuba melarikan diri dari kapal. Mereka menurunkan sekoci ke laut lalu berpura-pura hendak menurunkan sauh dari bahagian depan kapal. 31 Tetapi Paulus berkata kepada pegawai tentera dan askar-askar di kapal itu, “Jika anak kapal tidak tinggal di kapal, saudara semua tidak boleh selamat.” e’ 32 Oleh itu askar-askar mengerat tali f’ yang mengikat sekoci lalu membiarkan sekoci itu hanyut.
33 Sebelum fajar menyingsing, Paulus memohon supaya mereka semua makan. g’ Paulus berkata, “Sudah empat belas hari saudara-saudara menunggu-nunggu dalam keadaan tegang, dan selama itu tidak makan apa-apa. 34 Oleh itu saya menggesa saudara-saudara supaya makan. Saudara semua memerlukan tenaga untuk menyelamatkan diri; saudara semua akan selamat dan tidak cedera.” 35 Setelah itu Paulus mengambil roti, lalu mengucap syukur kepada Allah di hadapan mereka semua. Kemudian Paulus membahagi roti itu dan mula makan. 36 Semangat mereka pulih, lalu mereka pun makan. 37 Bilangan orang di kapal itu 276 h’ orang. 38 Setelah semua orang makan dengan secukupnya, mereka membuang muatan gandum ke laut, i’ supaya kapal menjadi ringan.
v Anak-anak kapal menggelar angin ini sebagai ‘Euroquilo’ (timur laut). Ia merupakan badai yang membentuk seperti ribut kuat, yang bertiup dari timur laut. Mereka tidak dapat melawan badai tersebut. Ia memukul kapal menjauhi destinasi mereka.
w Setelah dipukul oleh angin sejauh 37 km (23 batu) sehingga tiba di sebuah pulau kecil bernama Kauda, kapal itu berjaya berada di bahagian pulau yang terlindung dari angin timur laut. Ia cukup untuk memberikan mereka waktu yang diperlukan bagi membuat persediaan menghadapi badai.
x Ini adalah kapal kecil yang diikat di belakang kapal. Ia menyukarkan pergerakan dan pengendalian kapal. Ia juga berbahaya sekiranya ia menghempas kapal apabila dipukul angin atau ombak, oleh itu kapal kecil ini terpaksa diturunkan ke laut. Anak-anak kapal menarik dingi (pelampung) yang dipenuhi dengan air, mengukuhkan kapal itu dengan tali untuk mengelaknya daripada terbelah dan melabuhkan sauh supaya kapal itu tidak melanggar pasir di persisiran Afrika.
y Ia merupakan kawasan pasir jerlus di persisiran Libia, sebuah negara di utara Afrika. Ia masih jauh, tetapi sebuah kapal boleh dihanyutkan sejauh itu apabila berada di tengah badai.
z Ini dilakukan untuk meringankan kapal tersebut. Walau bagaimanapun, mereka masih menyimpan beberapa guni gandum (lihat ay. 38).
a’ Versi lain menterjemahkannya sebagai Laut Adria. Ini adalah laut di perantaraan Italia, Malta, Krete dan Greece. Pada zaman purbakala, Laut Adria berlanjutan sehingga ke selatan Sisilia dan Krete.
b’ Besar kemungkinan mereka mendengar bunyi gelombang besar, ombak yang menghempas pantai dan mengagak mereka berada di tepi pantai.
c’ Mereka mengukur kedalaman air dengan menurunkan tali yang diikat dengan batu.
d’ Untuk mengelak kapal daripada terlanggar batu di sepanjang persisiran dalam keadaan gelap, mereka melabuhkan empat sauh dan menunggu sehingga fajar menyinsing.
e’ Akan tetapi Paulus sedar akan perbuatan mereka. Dia tahu bahawa tiada anak kapal yang akan melabuhkan sauh dalam keadaan seperti itu. Seandainya anak-anak kapal itu meninggalkan kapal untuk menyelamatkan diri, penumpang yang lain tidak akan dapat melabuhkan kapal tersebut di tepi pantai pada keesokan harinya. Dia tahu bahawa melabuhkan kapal tanpa anak-anak kapal adalah sukar.
f’ Jadi, Paulus memberi amaran kepada Yulius bahawa semua akan hancur sekiranya anak-anak kapal meninggalkan kapal tersebut. Walaupun Yulius tidak mendengar nasihat Paulus sebelum ini, Yulius mendengar nasihat dalam hal ini dan mengarahkan askar-askarnya untuk memotong tali yang mengikat dingi dan membiarkannya jatuh.
g’ Ribut itu terlalu kuat sehingga sukar untuk menyediakan makanan. Kualiti kepimpinan Paulus sekali lagi bermanfaat di sini.
Setelah mengarahkan semua orang di atas kapal untuk makan, dia mengambil roti, mengucap syukur kepada Tuhan dan memakannya. Orang lain dalam kapal terdorong apabila melihat perbuatan Paulus lalu melakukan hal yang sama.
h’ Sekarang barulah Lukas menyatakan jumlah orang yang berada di atas kapal itu. Mungkin kerana pengagihan makanan, mereka terpaksa mengira jumlah orang dan Lukas sendiri mungkin terlibat dalam pembahagian makanan.
i’ Setelah memakan makanan dan kembali bertenaga, mereka membuang lebihan muatan gandum yang mungkin disimpan untuk bekalan makanan ke dalam laut. Lebih mudah untuk melabuhkan kapal yang ringan.
Apabila orang salih berseru, TUHAN mendengar dan menyelamatkan mereka daripada segala kesusahan.
(Mazmur 34:18)
39 Apabila hari sudah siang, anak kapal melihat pantai, tetapi mereka tidak mengenal teluk itu. Jika dapat mereka bercadang hendak mendarat di situ. 40 Oleh itu mereka memotong tali sauh dan membiarkan semua sauh tenggelam di laut. Mereka juga membuka tali j’ yang mengikat kemudi. Kemudian mereka menaikkan layar di haluan kapal supaya angin meniup kapal itu ke hadapan dan menuju ke pantai. 41 Tetapi kapal itu melanggar tebing pasir. Bahagian depan kapal itu terkandas lalu tidak dapat bergerak, sedangkan bahagian belakang kapal hancur dipukul ombak yang kuat.
42 Askar-askar di kapal bercadang membunuh semua orang tahanan, k’ supaya orang tahanan tidak dapat berenang ke darat lalu melarikan diri. 43 Tetapi pegawai tentera itu mahu menyelamatkan Paulus, l’ maka dia melarang mereka melakukan hal itu. Sebaliknya dia memerintahkan semua orang yang dapat berenang supaya terjun terlebih dahulu dan berenang ke pantai. 44 Yang lain menyusul dengan bergayut pada papan atau pecahan kapal itu. Dengan cara demikian kami semua selamat sampai ke darat.
j’ Mereka melakukan hal ini untuk menurunkan buritan kapal supaya ia dapat dikemudi ke daratan. Kapal purbakala mempunyai pendayung kemudi di kedua-dua penghujung kapal.
k’ Peraturan ketenteraan Roma menegaskan bahawa sesiapa pengawal yang melepaskan tahanannya akan berhadapan dengan hukuman yang sama dengan tahanan tersebut. Oleh itu, para askar ingin membunuh tahanan, kerana tidak mahu mereka melepaskan diri ketika berenang ke daratan.
l’ Walaupun begitu, Yulius ingin menyelamatkan Paulus lalu mencegah hal ini daripada berlaku dan mengarahkan semuanya berenang ke daratan atau berpaut pada sesuatu. Lalu Tuhan membawa mereka semua ke tepi pantai dengan selamat seperti yang dijanjikan-Nya kepada Paulus (ay. 24).
Allah bukan manusia, Dia tidak berdusta; Allah bukan insan, Dia tidak mengubah fikiran. Apa yang dijanjikan-Nya akan dipenuhi-Nya; apa yang difirmankan-Nya pasti dilakukan-Nya.
(Bilangan 23:19)
Copyright © 2026, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.