Setelah kami mendarat dengan selamat, baru kami tahu bahawa pulau itu bernama Malta. a 2Penduduk pulau b itu sangat mesra dengan kami. Hujan mula turun dan udara pun sejuk. Oleh itu mereka menyalakan api dan menyambut kami semua. 3 Paulus mengumpulkan kayu dan ketika dia meletakkan kayu di atas api, seekor ular c keluar kerana bahang api itu lalu memagut tangan Paulus. 4 Apabila penduduk pulau itu melihat ular terjuntai pada tangan Paulus, mereka bercakap sesama sendiri, “Orang ini tentu pembunuh, tetapi dewi yang bernama Keadilan d tidak membenarkan dia hidup, meskipun dia selamat daripada bahaya di laut.” 5 Tetapi Paulus mengibaskan ular daripada tangannya sehingga ular itu jatuh ke dalam api, dan Paulus tidak cedera. 6 Mereka menjangka tangan Paulus akan bengkak, atau tiba-tiba dia akan rebah mati. Tetapi setelah menunggu beberapa lama dan tidak ada sesuatu yang luar biasa berlaku kepadanya, mereka berubah fikiran lalu berkata bahawa Paulus itu dewa. e
7 Tidak jauh dari tempat itu terdapat tanah yang dimiliki oleh Publius, f gabenor g pulau itu. Dia menyambut kami dengan baik dan selama tiga hari kami menjadi tetamunya. 8 Pada masa itu bapanya sedang demam dan menderita cirit-birit. h Paulus masuk ke biliknya, lalu berdoa sambil meletakkan tangannya pada bapa yang sakit itu dan sembuhlah dia. 9 Kerana peristiwa itu, semua orang sakit di pulau itu datang kepada Paulus, dan mereka semua disembuhkan. 10 Mereka memberi kami banyak hadiah, dan apabila kami hendak belayar, mereka membawa bekalan ke kapal bagi perjalanan kami.
a Malta adalah sebuah pulau dan berada di bawah pemerintahan wilayah Sisilia. Ia terletak kira-kira 93 km (58 batu) di selatan Sisilia. Pada zaman Paulus, pulau itu terkenal kerana kamkmuran serta reka bentuk bangunannya, dan penduduk asal bertutur dalam dialek Fenisia.
b Perkataan yang digunakan ialah ‘gasar’, perkataan yang bermaksud ‘orang yang bertutur dalam bahasa asing, yang tidak bertutur dalam bahasa Yunani’.
c Perkataan Yunani secara literal menyebutnya sebagai ‘ular tedung’. Ia mungkin terkenal di kalangan penduduk pulau sebagai ular berbisa. Oleh itu mereka menjangkakan Paulus akan mati kerana bisa ular tersebut.
d Mereka mungkin menganggapnya sebagai dewi Keadilan orang Yunani. Orang Malta mempunyai tuhan yang sama. Apabila Paulus dipagut oleh ular itu, penduduk pulau menyangka bahawa Paulus adalah seorang pembunuh yang terlepas dari dewi Keadilan kerana dia tidak mati semasa di laut.
e Hal ini sama seperti di Listra di mana orang ramai mula menyembah Paulus dan Barnabas (14:11-18). Di Listra, orang ramai itu sangat mudah berubah hati kerana mereka menggelar Paulus dan Barnabas sebagai dewa kemudian merejam mereka dengan batu. Di sini, Paulus digelar sebagai pembunuh kemudian sebagai dewa.
f Ini adalah nama Roma, dan besar kemungkinan dia adalah gabenor pulau terebut.
g Dia adalah ‘orang terpenting’ di Malta, istilah teknikal bagi penguasa tinggi.
h Ini mungkin penyakit yang dikatakan oleh doktor sebagai ‘demam Malta’, disebabkan oleh mikro organisma yang terkandung dalam susu kambing Malta. Demam ini biasanya berterusan sehingga empat bulan dan kadang-kadang sehingga dua atau tiga tahun.
11 Tiga bulan kemudian i kami belayar dari pulau itu dengan kapal dari Aleksandria yang menggunakan lambang “Dewa Kembar”. j Kapal itu sudah berlabuh di pulau itu sepanjang musim sejuk. 12 Kami tiba di kota Sirakusa k dan tinggal di situ selama tiga hari. 13 Dari situ kami belayar lagi dan tiba di kota Regium. l Keesokan harinya angin mula bertiup dari selatan dan dalam dua hari kami tiba di kota Putioli. m 14 Di situ kami berjumpa dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus, dan dengan jemputan mereka kami tinggal dengan mereka selama seminggu. n Lalu tibalah kami di Roma. 15 Pengikut Yesus di Roma mendengar khabar tentang kami. Mereka datang sampai ke Pasar Apius o dan ke Penginapan Tiga p untuk menyambut kami. Apabila Paulus berjumpa dengan mereka, dia bersyukur kepada Allah kerana hal itu menggalakkan dia.
16 Apabila kami q tiba di Roma, Paulus dibenarkan tinggal seorang diri r dengan dikawal oleh seorang askar.
i Mereka harus tinggal di sini sehingga waktu pelayaran tiba kira-kira pada hujung Febuari atau awal Mac.
j Seperti tempat penginapan, kapal dinamakan sesuai dengan ukiran kepala kapal tersebut seperti, bentuk yang diukir pada lekuk atau bahagian hadapan kapal. Kapal ini mempunyai ukiran Kastor dan Poluks, ‘putera kembar Zeus’, dewa pengemudian Yunani dan dewa pelindung anak-anak kapal.
k Sirakusa merupakan bandar utama di pulau Sisilia, terletak di persisiran timur.
l Regium merupakan sebuah pekan di persisiran Italia, berdekatan dengan kawasan barat daya tanjung.
m Putioli terletak hampir 322 km (200 batu) dari Regium. Ia merupakan pelabuhan utama Roma walaupun berjarak sejauh 121 km (72 batu). Penduduknya terdiri dari pada orang Yahudi dan Kristian.
Mereka melalui jalan darat pada akhir perjalanan. Selepas beberapa kilometer dari Putioli, mereka akan berada di laluan Apius yang menuju terus ke utara Roma. Ini adalah laluan yang paling tua, lurus dan sempurna dari semua laluan di Roma.
n Atas sebab-sebab tertentu, Yulius merasakan mereka harus tinggal di Putioli selama seminggu dan selama tempoh itu dia memberikan kebebasan kepada Paulus (walaupun mungkin diawasi oleh seorang askar) untuk mencari orang percaya di tempat itu dan bersekutu dengan mereka.
o Beberapa orang Kristian dari Roma datang untuk berjumpa dengannya dan mengiringnya ke Roma. Sebilangan dari mereka mengiring sehingga di Pasar Apius, salah satu daripada ‘tempat perhentian’ yang dibina selang 16 km (10 batu) sehingga 24 km (15 batu) di sepanjang sistem laluan Roma. Pasar tempatan banyak wujud di sekitar hentian-hentian ini.
p Yang lain hanya mampu sampai sehingga di Penginapan Tiga, tempat perhentian lain kira-kira 53 km (33 batu) dari Roma. Istilah ‘penginapan’ atau ‘motel’ digunakan untuk apa sahaja jenis kedai. Paulus sangat bersyukur kepada Tuhan dengan rombongan yang menghantarnya sehingga Lukas menyebut hal ini secara terperinci.
q Dengan ayat ini (ay. 16), perkataan ‘kami’ berakhir dalam Kisah Rasul-Rasul. Melihat kepada salam Paulus dalam Kol 4:10-14 dan Fil 23-24 (berdasarkan tulisan Roma asal surat ini), Lukas dan Aristarkhus berada bersama dengan Paulus sepanjang penahanannya di Roma, sekali-sekali dilawat oleh sahabat seperti Epafras, Yohanes Markus, Demas dan Yesus (nama keluarganya Yustus).
r Dia tidak melakukan kesalahan berat dan bukan pesalah politik yang berbahaya. Jadi, dia dibenarkan untuk tinggal bersendirian di rumahnya sendiri, dan diawasi oleh seorang askar sepanjaang masa. Belenggu yang dipakainya (ay. 20) mungkin dipakaikan di pergelangan tangannya. Namun di mata Lukas, Paulus memasuki Roma dengan jayanya. Dengan kedatangannya, Injil kini mula menebusi lingkaran para pegawai kerajaan di ibu kota dan empayar tersebut. Tuhan menggunakan penahanannya selama dua tahun di sana untuk menyebarkan berita Kerajaan Allah dan Tuhan Yesus Kristus di seluruh bandar itu.
Fikirkan satu atau dua orang rakan Kristian yang lain dan fikirkan apa yang anda boleh lakukan untuk mendorong mereka. Tuliskan perkara itu di bawah dan pastikan anda membawanya sepanjang minggu ini.
17 Selepas tiga hari, Paulus memanggil pemimpin-pemimpin orang Yahudi tempatan. Sesudah mereka berkumpul, dia berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Yahudi, saya tidak bersalah apa-apa terhadap bangsa kita atau melanggar adat resam yang kita terima daripada nenek moyang kita. Meskipun demikian saya ditangkap di Yerusalem dan diserahkan kepada bangsa Roma. 18 Setelah memeriksa perkara saya, orang Roma hendak membebaskan saya kerana mereka tidak mendapati saya melakukan kesalahan yang patut dihukum dengan hukuman mati. 19 Tetapi orang Yahudi menentang keputusan itu, dan saya terpaksa mengajukan rayuan supaya diadili oleh Kaisar Roma, meskipun saya tidak mempunyai tuduhan terhadap bangsa saya sendiri. 20 Itulah sebabnya saya minta berjumpa dengan saudara-saudara supaya boleh bercakap dengan saudara semua. Sebenarnya saya dibelenggu s seperti ini, kerana Dia yang diharapkan oleh bangsa Israel.”
21 Lalu mereka berkata kepadanya, “Kami belum menerima sepucuk surat pun dari Yudea tentang perkara saudara. Tiada seorang pun daripada mereka yang datang membawa khabar tentang saudara, atau bercakap buruk tentang saudara. t 22 Tetapi kami ingin mendengar pendapat saudara, kerana kami tahu bahawa orang di serata tempat mencela kumpulan yang saudara anggotai.” 23 Oleh itu mereka dan Paulus menetapkan satu hari untuk bertemu. Pada hari itu banyak orang u datang ke tempat tinggal Paulus. Dari pagi hingga petang Paulus menjelaskan ajarannya tentang Pemerintahan Allah. Dia berusaha untuk meyakinkan mereka tentang Yesus dengan menggunakan ayat-ayat dari Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi. v 24 Ada orang yang percaya kepada apa yang dikatakan oleh Paulus, tetapi ada juga yang tidak percaya. 25 Dengan pendirian yang berlainan mereka meninggalkan tempat itu, kerana Paulus mengatakan hal ini kepada mereka, “Memang benar apa yang dikatakan oleh Roh Allah melalui Nabi Yesaya kepada nenek moyang saudara-saudara! 26 Allah berfirman, w
‘Pergilah dan katakan hal ini kepada bangsa ini: Kamu akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham; kamu akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak,
27 kerana seolah-olah fikiran bangsa ini tumpul, telinga pekak, dan mata buta. Jika mereka tidak demikian, tentu mata mereka akan melihat, telinga akan mendengar, dan fikiran boleh mengerti, sehingga mereka akan kembali kepada-Ku, dan Aku pun akan menyembuhkan mereka.’”
28 Akhirnya Paulus berkata, “Saudara-saudara harus tahu bahawa perkhabaran tentang penyelamatan yang dikurniakan oleh Allah, sekarang sudah dikhabarkan kepada orang bukan Yahudi. Mereka akan menerimanya!” 29 [Setelah Paulus berkata demikian, orang Yahudi meninggalkan tempat itu sambil bertengkar sesama sendiri dengan sengit].
30 Selama dua tahun x Paulus tinggal di Roma, di rumah yang disewanya sendiri. Dia menyambut sesiapa sahaja yang datang melawatnya. 31 Dengan kebebasan dan keberanian, Paulus mengkhabarkan ajaran tentang Pemerintahan Allah, dan memberikan ajaran tentang Tuhan Yesus Kristus.
s Paulus mungkin dibelenggu kepada pengawal Romanya.
t Besar kemungkinan orang Yahudi di Roma memilih untuk tidak mengendahkan hal ini. Setelah diusir dari Roma pada 49 atau 50 M kerana rusuhan tentang agama Kristian dalam masyarakat mereka (lihat 18:2), dan baru sahaja kembali ke kota mereka setelah kematian Klaudius pada 54 M, mereka tidak bersedia untuk terlibat dalam kes Paulus pada 61 M. Mereka ternyata mempunyai pendapat mereka sendiri mengenai hal itu.
Oleh itu, mereka berusaha untuk tidak campur tangan dalam hal Paulus dan agama Kristian. Tetapi mereka ada mengatakan bahawa mereka sanggup untuk mendengarkan pandangan Paulus tentang ‘mahzab baru’ tersebut pada masa akan datang.
u Jadi mereka melakukan pertemuan yang kedua, dan lebih rami orang yang datang ke rumah Paulus.
v Ini merujuk kepada kitab-kitab PL.
w Ayat ini dipetik dari Yes 6:9-10 yang menubuatkan penolakan orang Yahudi terhadap Yesus sebagai Mesias. Umat Allah diberitahu bahawa sebanyak manapun mereka mendengar dan melihat, mereka tidak akan pernah faham dan menerima apa yang dikatakan oleh Allah kepada mereka. Ini adalah hukuman ilahi ke atas mereka kerana mereka telah mengeraskan hati untuk menerima fiman Allah. Mereka membenarkan diri sendiri menjadi buta dan pekak oleh kebimbangan tentang apa yang akan mereka dengar atau lihat dari firman Allah dan menerima kesembuhan dari-Nya.
Dia memetik nubuatan ini bukan hanya menerangkan kedegilan Israel tetapi juga untuk meletakkan dasar kepada perkara yang seterusnya, iaitu mesej ‘keselamatan dari Tuhan’ diberikan secara langsung kepada orang-orang bukan Yahudi yang menerimanya dengan hati terbuka kerana sikap keras hati orang Israel.
Ini adalah petikan yang biasa didengar oleh jemaah awal. Ia pernah dipetik oleh Yesus (Luk 8:10) dan Yohanes dalam injilnya juga.
x Lukas tidak menyatakan secara terperinci tempoh dua tahun yang dihabiskan oleh Paulus di Roma kerana dia bukan sedang menulis biografi Paulus. Tetapi ketika badai di laut, malaikat Tuhan telah meyakinkan Paulus bahawa dia akan berdiri di hadapan Kaisar (27:24). Oleh itu, Lukas ingin pembacanya mengetahui bahawa kes Paulus, apa pun keputusannya, telah dibicarakan di hadapan mahkamah tinggi.
Gambaran terakhir yang diberikan oleh Lukas adalah Paulus yang mengajar kepada orang-orang bukan Yahudi tentang mesej sama yang pernah diajarnya di sepanjang buku Kisah Rasul-Rasul dengan penuh keberanian dan tidak ragu-ragu. Tiada manusia yang dapat menghentikan penyebaran dan keunggulan Injil.
Dengan membiarkan bukunya seperti tidak berpenghujung, Lukas ingin menunjukkan bahawa penginjilan rasuli pada abad yang pertama bermula dari cerita yang akan berterusan sehingga Pemerintahan Allah berlaku (Kis 1:11).
Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.