Ada seorang lelaki bernama Ananias. a Dia dengan isterinya, Safira b menjual sebidang tanah yang dimiliki oleh mereka. 2 Dengan persetujuan isterinya, Ananias menyimpan c sebahagian wang itu untuk dirinya sendiri. Yang selebihnya diserahkannya kepada rasul-rasul. 3 Oleh itu Petrus berkata kepadanya, “Ananias, mengapa kamu membiarkan Iblis menguasai hatimu, d sehingga kamu berdusta terhadap Roh Allah e dengan menyimpan sebahagian daripada wang penjualan tanahmu itu? 4 Bukankah tanah itu milikmu, sebelum kamu menjualnya? Setelah kamu menjualnya, wangnya milikmu juga. Mengapa kamu berniat berbuat demikian? Kamu tidak berdusta terhadap manusia, tetapi terhadap Allah!” f 5 Sebaik sahaja Ananias mendengar kata-kata itu, dia jatuh lalu mati. g Semua orang yang mendengar peristiwa itu menjadi takut. 6 Kemudian beberapa orang muda datang membalut mayat Ananias, lalu membawanya ke luar dan menguburkannya.
7 Kira-kira tiga jam kemudian isteri Ananias masuk. Dia tidak mengetahui apa yang telah berlaku. 8 Petrus berkata kepadanya, “Katakanlah, adakah wang ini seluruh hasil penjualan tanah yang kamu terima bersama-sama suamimu?” “Ya,” jawabnya, “memang itu semuanya.”
9 Lalu Petrus berkata kepadanya, “Mengapa kamu dan suamimu berpakat untuk mencubai Roh Tuhan? Lihatlah, beberapa orang muda yang menguburkan suamimu ada di depan pintu. Mereka pun akan mengusungmu ke luar.” 10 Seketika itu juga isteri Ananias jatuh dan mati di hadapan Petrus. Orang muda di situ masuk dan mendapati Safira sudah mati. Oleh itu mereka membawa mayatnya ke luar dan menguburnya di sebelah suaminya. 11Dengan demikian jemaah h dan semua orang lain yang mendengar peristiwa itu menjadi sangat takut.
a ‘Ananias’ bermaksud ‘Allah pemurah’ dalam bahasa Ibrani.
b ‘Safira’ bermaksud ‘indah’ dalam bahasa Aramaik.
c Gaya bahasa Lukas di sini seperti selari dengan dosa Akhan (Yos 7), yang telah mengambil barang-barang dari kota Yeriko sama seperti orang Israel di permulaan peperangan dengan Kanaan. Begitu juga dengan dosa Ananias dan Safira di saat pelayanan jemaah awal bermula. Kedua-dua kejadian menerima hukuman yang mendadak dari Allah dan memberi pengajaran kepada orang ramai. Inilah yang mungkin dilihat oleh jemaah awal pada masa itu. Ia menjadi amaran kepada mereka bahawa Allah tidak dapat dibohongi (Gal 6:7), tidak seorang pun yang dapat menyorokkan sesuatu daripada-Nya.
d Roh Allah memberi Petrus penglihatan rohani yang membolehkannya melihat isi hati manusia dan mengetahui perbuatan Ananias. Dia melihat bahawa iblis telah memainkan peranan ke atas perbuatan Ananias.
e Petrus menegaskan bahawa Ananias berhak untuk menyimpan atau menjual harta miliknya menurut keinginannya sendiri. Ia bukan satu dosa. Dosanya terletak pada pembohongan kepada Roh Allah. Bukan kerana dia hanya memberikan separuh dari hasil penjualannya, tetapi penipuannya untuk membuatkan orang percaya bahawa dia telah memberikan semuanya. Menipu pengikut Tuhan bererti menipu Tuhan.
f Satu perbandingan dengan ayat 4 menunjukkan bahawa Roh Allah dianggap sebagai hadirat Allah yang ada bersama dengan umat-Nya.
g Sama seperti perbuatan Akhan, perbuatan ini sangat di-kritik dalam kehidupan dan misi umat Allah. Sekiranya tiada akibat yang drastik menyusul tindakan ini, kesan terhadap pengikut awal akan menjadi serius apabila perbuatan jahat itu didedahkan. Orang ramai akan menganggap bahawa perbuatan tidak jujur adalah menguntungkan dan Roh Allah boleh ditipu. Adalah penting bagi Allah untuk menunjukkan dengan jelas dari awal bahawa Dia tidak akan bertolak ansur terhadap hipokrasi dan kejahatan.
h Lukas menggunakan perkataan ‘jemaah’ untuk pertama kali bagi menggelar komuniti Kristian. Perkataan ini digunakkan dalam PL untuk merujuk kepada perkumpulan atau jemaah umat Allah. Orang Kristian menggunakan perkataan ini untuk menggambarkan mereka sebagai umat Allah atau Kristus. Dalam bahagian yang seterusnya, perkataan ini akan digunakan untuk gereja umum dan jemaah tempatan.
Jika kita berkata bahawa kita tidak berdosa, kita menipu diri sendiri dan Allah tidak ada di dalam hati. Tetapi jika kita mengaku dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan melakukan apa yang adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan membersihkan kita daripada segala perbuatan yang salah.
(1 Yohanes 1:8-9)
12 Banyak mukjizat dan keajaiban dilakukan oleh rasul-rasul di kalangan orang ramai. i Semua pengikut Yesus berkumpul di Serambi Salomo. 13Tidak ada orang di luar kelompok itu berani berkumpul dengan pengikut-pengikut Yesus, j walaupun masyarakat sangat menghormati mereka. 14Tetapi bilangan mereka semakin bertambah, kerana banyak orang lelaki dan perempuank percaya kepada Tuhan. 15 Oleh sebab mukjizat yang dilakukan oleh para rasul, orang sakit dibaringkan di atas tilam atau tikar, lalu dibawa ke jalan supaya setidak-tidaknya mereka terkena bayang Petrus, l apabila dia lalu di situ. 16 Banyak orang datang dari bandar-bandar di sekitar Yerusalem. Mereka membawa orang sakit dan orang yang dirasuk roh jahat, dan semua orang itu disembuhkan.
i Lukas ingin menegaskan di sini bahawa mukjizat yang dilakukan oleh rasul-rasul itu terjadi berulang kali sehingga menarik ramai orang untuk berkunjung ke Yerusalem. Hal ini membangkitkan rasa cemburu dalam hati orang Saduki seperti yang dilihat dalam ayat 17.
j Disebabkan oleh hal yang terjadi ke atas Ananias dan Safira, tidak ada orang yang masih mendua hati mahu bergaul dengan orang-orang percaya tersebut. Tidak mungkin Lukas bermaksud tidak ada orang langsung yang menyertai komuniti Kristian di situ kerana ayat 14 mengatakan ramai yang datang dan percaya kepada Yesus.
k Ini kali pertama para wanita yang percaya disebut dengan terperinci.
l Anggapan tentang bayang-bayang yang berkuasa adalah biasa pada zaman dahulu kala. Kepercayaan yang sama tentang kuasa Paulus boleh dilihat dalam Kis 19:12. Reputasi Petrus yang berkaitan dengan kuasa penyembuhannya tersebar di kalangan masyarakat. Kini, reputasi rasul-rasul tersebar sehingga ke luar Yerusalem.
17 Kemudian Imam Agung dan semua pengikutnya, yang termasuk golongan orang Saduki tempatan mula bertindak terhadap para rasul, kerana iri hati. 18 Mereka menangkap rasul-rasul itu lalu memasukkan mereka ke dalam penjara awam. 19 Tetapi pada malam itu, malaikat Tuhan m membuka pintu-pintu penjaran itu lalu memimpin rasul-rasul itu ke luar. Malaikat itu berkata kepada mereka, 20 “Pergilah berdiri di Rumah Tuhan dan beritahu orang ramai tentang hidup yang baru ini.” o 21Rasul-rasul itu menurut perintah malaikat itu. Pada waktu fajar mereka pergi ke Rumah Tuhan dan mula mengajar.
Imam Agung dan para pengikutnya memanggil semua pemimpin masyarakat Yahudi untuk mengadakan mesyuarat p Majlis Agama. Kemudian mereka memberikan perintah supaya rasul-rasul itu diambil dari penjara untuk dibawa menghadap mereka. 22 Tetapi apabila pegawai-pegawai itu tiba di penjara, mereka tidak mendapati rasul-rasul itu. Lalu mereka kembali dan melaporkan hal itu kepada Majlis Agama. 23 Mereka berkata, “Apabila kami tiba di penjara, kami mendapati pintu penjara masih terkunci baik-baik, dan pengawal-pengawal sedang berjaga di pintu. Tetapi apabila kami membuka pintu itu, kami tidak mendapati seorang pun di dalamnya.” 24 Apabila ketua-ketua imam dan ketua pengawal Rumah Tuhan mendengar laporan itu, mereka bingung tentang apa yang mungkin berlaku terhadap rasul-rasul itu. 25 Kemudian seorang lelaki masuk dan memberitahu mereka, “Beberapa orang yang tuan-tuan tahan di penjara sedang mengajar orang ramai di Rumah Tuhan!” 26 Oleh itu ketua pengawal Rumah Tuhan pergi dengan anak buahnya dan membawa rasul-rasul itu kembali. Tetapi mereka tidak menggunakan kekerasan, kerana mereka takut kalau-kalau orang ramai merejam mereka.
27 Mereka membawa rasul-rasul itu ke hadapan Majlis Agama. Lalu Imam Agung berkata, 28 “Dengan tegas kami melarang kamu mengajar berdasarkan ajaran orang itu. Tetapi sekarang lihatlah apa yang sudah kamu lakukan! Kamu menyebarkan ajaran kamu ke seluruh Yerusalem, dan kamu mahu mendakwa kami bertanggungjawab atas kematiannya.”
29 Petrus q dan rasul-rasul yang lain menjawab, “Kami harus taat kepada Allah dan bukan kepada manusia. 30 Yesus yang tuan-tuan salibkan, sudah dibangkitkan daripada kematian oleh Allah yang disembah nenek moyang kita. 31 Allah mengangkat Dia ke tempat yang berkuasa di sebelah kanan-Nya, untuk menjadi Pemimpin r dan Penyelamat, supaya umat Israel mendapat peluang untuk bertaubat dan beroleh pengampunan dosa. 32 Kami menjadi saksi dalam semua perkara ini — kami dan juga Roh Allah, yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang mentaati perintah-Nya.”
33 Apabila anggota-anggota Majlis Agama mendengar kata-kata itu, mereka marah sekali sehingga mereka mahu menghukum mati rasul-rasul itu. 34 Tetapi di kalangan anggota Majlis Agama itu ada seorang Farisi s bernama Gamaliel. t Dia seorang guru Taurat yang sangat dihormati oleh semua orang. Dia berdiri lalu menyuruh orang membawa rasul-rasul itu ke luar sebentar. 35 Lalu dia berkata kepada Majlis Agama itu, “Saudara-saudara orang Israel! Fikirkan baik-baik apa yang hendak saudara-saudara lakukan terhadap semua orang itu. 36 Beberapa waktu dahulu, Teudas u muncul dan menganggap dirinya seorang pemimpin yang besar. Kira-kira empat ratus orang mengikut dia. Tetapi dia terbunuh, lalu semua pengikutnya tercerai-cerai, dan pergerakannya lenyap. 37 Setelah itu Yudas, v orang dari Galilea pun muncul pada masa pembancian. w Dia mempengaruhi banyak orang, tetapi dia juga terbunuh, lalu semua pengikutnya tercerai-cerai. 38 Oleh itu tentang perkara ini sekarang, saya cadangkan supaya jangan ambil tindakan apa-apa terhadap semua orang itu. Biarkan mereka pergi. Jika apa yang dicadangkan dan dilakukan mereka itu daripada manusia, maka semuanya akan lenyap. 39 Tetapi jika semua itu datang daripada Allah, saudara-saudara tidak akan dapat mengalahkan mereka. Malah mungkin akan ternyata bahawa saudara-saudara melawan Allah.”
Nasihat Gamaliel diterima oleh Majlis Agama. 40 Rasul-rasul itu dipanggil, lalu dicambuk, x kemudian dilarang mengajar lagi berdasarkan ajaran Yesus. Setelah itu mereka dibebaskan. 41 Apabila rasul-rasul itu meninggalkan Majlis Agama, mereka bersukacita kerana Allah menganggap mereka layak menanggung hukuman bagi Yesus. 42 Setiap hari, baik di Rumah Tuhan mahupun di rumah orang, mereka tidak berhenti-henti mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa Yesus itulah Penyelamat yang diutus oleh Allah.
m Frasa ‘malaikat Tuhan’ digunakan empat kali dalam Kisah Rasul-Rasul: (i) Stefanus bekata-kata tentangnya (7:30-38) (ii) ia memimpin Filipus (8:26) (iii) ia membebaskan Petrus dari penjara (12:7-10) (iv) ia membunuh Herodes dengan serta-merta (12:23).
n Ini merupakan salah satu daripada tiga kisah ‘membuka pintu penjara’ dalam buku Kisah Rasul-Rasul (12:6-11, 16:26-29).
o Kehidupan dan keselamatan membawa maksud yang sama dalam PB. Sebab itulah malaikat tersebut meminta mereka untuk menyatakan berita keselamatan.
p Pada masa ini, orang Farisi turut hadir, seperti Gamaliel yang berkata-kata untuk menentang keputusan Majlis Agama (ay. 35-39).
q Petrus menjadi jurucakap bagi kumpulan mereka seperti pada hari Pentakosta.
r Beberapa versi mencatatkan ‘Putera’. Allah telah meninggikan Yesus sebagai Putera dan Penyelamat. Ini kali pertama perkataan ‘Penyelamat’ digunakan untuk menggambarkan Yesus di luar konteks Injil.
s Nama ‘Farisi’ mungkin berasal dari bahasa Aramaik yang bermaksud ‘mengasingkan’. Oleh itu, mereka adalah ‘golongan yang diasingkan’, orang-orang yang beribadah sepenuhnya untuk Allah sahaja. Orang Farisi merupakan golongan agamawi, bukan kumpulan politik seperti Saduki yang didedikasikan untuk mengekalkan kesucian Tradisi Lisan dan Taurat (rujuk kepada ‘Orang Farisi’, ms. 34).
t Gamaliel merupakan salah seorang pengajar Yahudi yang terkenal pada zamannya. Dia juga merupakan seorang yang sangat dipandang tinggi oleh orang Farisi. Paulus merupakan salah seorang daripada anak muridnya (22:3).
u Tidak banyak hal yang diketahui tentang Teudas. Terdapat banyak kekacauan yang terjadi setelah kematian Herodes Agung. Dikatakan Teudas merupakan salah seorang daripada ketua pemberontak yang muncul selepas kematian Herodes Agung pada 4 SM.
v Yudas adalah ketua pemberontak yang menentang pemungutan cukai baru yang dilakukan oleh Roma ke atas orang Yahudi apabila mereka mengambil alih pemerintahan di Yudea pada 6 M.
w Ini bukan banci yang pertama oleh Quirinius, Gabenor Siria seperti yang dinyatakan oleh Lukas dalam Injilnya (2:2) tetapi banci kedua yang dilakukan pada 6 SM.
x Ini merujuk kepada hukuman Yahudi ‘dicambuk empat puluh kali ditolak satu’ (lihat 2 Kor 11:24).
Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.