Tidak berapa lama kemudian, apabila bilangan pengikut Yesus semakin bertambah, a berlakulah pertengkaran antara orang Yahudi yang berbahasa Yunani b dengan orang Yahudi yang berbahasa Ibrani. c Orang Yahudi yang berbahasa Yunani berkata bahawa balu di kalangan mereka tidak menerima bantuan d wang e sehari-hari. 2 Oleh itu, dua belas orang rasul f itu mengumpulkan semua pengikut Yesus dan berkata kepada mereka, “Tidak patut kami abaikan tugas mengkhabarkan firman Allah untuk mengurus masalah kewangan. g 3 Oleh itu, pilihlah tujuh orang h di kalangan saudara yang dikuasai oleh Roh Allah dan juga bijaksana. Lalu kami akan menugaskan mereka mengurus hal itu. 4 Kami sendiri akan menggunakan masa kami untuk berdoa dan memberitakan perkhabaran daripada Allah.”
5 Semua orang itu bersetuju dengan cadangan rasul-rasul. Oleh itu mereka memilih Stefanus, i seorang yang sangat percaya kepada Yesus dan dikuasai oleh Roh Allah. Mereka juga memilih Filipus, j Prokhorus, Nikanor, Timon, Parmenas, dan Nikolaus dari Antiokhia. k Nikolaus seorang bukan Yahudi yang sudah memeluk agama Yahudi. 6 Tujuh orang itu dihadapkan kepada rasul-rasul. Lalu rasul-rasul berdoa dan meletakkan tangan l ke atas kepala mereka untuk melantik mereka melakukan tugas itu.
7 Dengan demikian perkhabaran daripada Allah semakin tersebar luas dan bilangan pengikut Yesus di Yerusalem pun bertambah-tambah. Banyak imam m juga percaya kepada Yesus.
a Beberapa waktu mungkin sudah berlalu setelah Bab 5 berakhir. Gereja semakin bertumbuh tetapi hal ini menimbulkan lebih banyak kerumitan yang tidak dapat dielakkan dalam gereja (6:17) dan juga di luar gereja (6:8-7:60). Pada peringkat ini, keseluruhan jemaah gereja adalah orang Yahudi. Akan tetapi, terdapat dua puak Yahudi dalam masyarakat tersebut – Yahudi yang berbahasa Yunani dan Yahudi yang berbahasa Ibrani (lihat nota b dan c di bawah).
b Beberapa terjemahan mencatatkan perkataan ‘orang Helenis’. Mereka merupakan Yahudi Helenis atau orang Yahudi yang bertutur dalam bahasa Yunani dan berpengetahuan sedikit atau tiada langsung tentang bahasa Aramaik atau Ibrani. (Aramaik merupakan bahasa rasmi yang digunakan semasa pemerintahan Asyur, Babilonia dan Parsi. Bahasa ini semakin kurang digunakan kerana penggunaan bahasa Yunani yang semakin meluas. Walaupun begitu, bahasa ini masih dituturkan di kalangan orang Yahudi di tiga kawasan, dan salah satunya ialah Palestina. Mereka dilahirkan di luar Palestina dan dipanggil sebagai Yahudi Diaspora (rujuk kepada ‘Diaspora’, ms. 36); tetapi telah kembali menetap di Yerusalem.
Walaupun mereka lebih berkelakuan dan berpakaian seperti Yunani berbanding Ibrani, mereka masih kuat dalam amalan kebudayaan Yahudi mereka. Mereka menghadiri ibadah yang dijalankan dalam bahasa Yunani.
c Mereka adalah orang Yahudi yang bertutur dalam bahasa Ibrani atau Yahudi Palestina yang bertutur dalam bahasa Aramaik atau bahasa Ibrani di Palestina dan mengekalkan adat budaya Yahudi. Oleh sebab itu, terdapat sedikit perbezaan budaya dan sosial di antara dua puak Yahudi tersebut, menyebabkan ketegangan di antara mereka.
d Terjemahan lain mencatatkan ‘makanan’ manakala yang lain sekadar mencatatkan ‘bantuan’. Agama Yahudi mempunyai sistem pengedaran makanan dan keperluan kepada orang miskin dan hal ini diteruskan oleh masyarakat Kristian awal. Ramai Yahudi Diaspora yang alim kembali ke Yerusalem dalam usia lanjut mereka untuk dikebumikan di Yerusalem. Oleh itu, balu-balu mereka tidak mempunyai saudara-mara untuk menjaga mereka seperti balu yang telah lama menetap di Yerusalem. Seiring dengan masa yang berlalu dan orang percaya semakin bertambah, jumlah balu Helenis semakin meningkat.
e Besar kemungkinan pengedaran itu dilakukan oleh orang Yahudi yang berbahasa Ibrani.
f Pada peringkat awal ini, 12 orang rasul bertanggungjawab ke atas kehidupan setiap jemaah gereja secara umum, termasuk pelayanan firman Tuhan dan kebajikan bagi mereka yang memerlukan.
g Versi lain menterjemahkan frasa sebagai ‘melayani di meja’, dimana ‘meja’ mungkin digunakan untuk mengagihkan makanan atau wang untuk membeli makanan.
Dua belas rasul itu sedar bahawa tugas mengajar dan mengatur bantuan kewangan untuk orang miskin adalah terlalu berat untuk mereka.
h Pemilihan tujuh orang berkaitan dengan kebiasaan Yahudi yang selalu menubuhkan jawatankuasa yang mempunyai tujuh ahli dengan tugas tertentu. Walaupun tujuh orang ini digelar ‘deakon’ secara tradisi, Lukas tidak menggelar mereka sebagai deakon. Tugas pelayanan mereka tidak mempunyai nama jawatan yang rasmi. Mereka hanya dipanggil sebagai Penolong Para Rasul (lihat 21:8), sama seperti murid Yesus yang dipanggil Dua Belas Rasul.
i Semua ketujuh nama yang dicatatkan adalah nama Yunani, menandakan mereka dari kalangan Yahudi Helenistik atau Yahudi yang bertutur dalam bahasa Yunani. Besar kemungkinan mereka adalah pemimpim-pemimpin Yahudi Helenistik.
j Nama Stefanus dan Filipus disebut terlebih dahulu kerana mereka adalah individu penting dalam cerita yang seterusnya.
k Antiokhia merupakan kota penting yang terletak dalam wilayah Roma di Siria (lihat Bab 11, nota l untuk maklumat lanjut). Adalah penting untuk melibatkan seorang penganut baru (rujuk kepada ‘Penganut Agama Baru’, ms. 35) dalam senarai tersebut, dan Lukas menerangkan yang dia berasal dari Antiokhia. Injil akan disebarkan di kota ini tidak lama kemudian dan tempat ini juga menjadi ‘pusat’ penginjilan Paulus kepada orang bukan Yahudi.
l Tangan yang diletakkan mengingatkan perbuatan Musa semasa pelantikan Yoshua sebagai penggantinya (Bil 27:18-23). Perbuatan ini menggambarkan penyerahan kuasa, dan di sini ia menggambarkan pembahagian kuasa kepada tujuh orang pembantu kepada dua belas rasul.
m Mereka mungkin merupakan imam-imam yang bertugas untuk Rumah Tuhan di Yerusalem.
Dalam hal melayani Tuhan, Alkitab tidak membezakan apa yang ‘rohani’ dan ‘bukan rohani’. Kita harus memberikan yang terbaik dalam setiap perkara yang kita lakukan untuk-Nya.
8Stefanus sangat diberkati oleh Allah dan diberikan-Nya kuasa untuk melakukan mukjizat. Banyak mukjizat dan keajaiban n yang dilakukannya di kalangan orang ramai. 9Tetapi beberapa orang menentang dia. Mereka anggota rumah ibadat yang disebut Rumah Ibadat Orang Bebas. o Anggota rumah ibadat itu terdiri daripada orang Yahudi dari Kirene p dan Aleksandria. q Mereka dengan beberapa orang Yahudi dari Kilikia r dan Asia s berdebat dengan Stefanus. 10 Tetapi Roh Allah memberi Stefanus kebijaksanaan t untuk berkata-kata, sehingga mereka tidak dapat menyangkal kata-katanya. 11 Oleh itu mereka memberikan rasuah kepada beberapa orang supaya berkata, “Kami mendengar dia menghina Musa dan mengkufuri Allah!” u 12 Demikianlah mereka menghasut orang ramai, para pemimpin masyarakat Yahudi, dan guru-guru Taurat. Lalu mereka pergi menangkap Stefanus, dan membawa dia menghadap Majlis Agama. 13 Kemudian mereka menghadapkan beberapa orang yang memberikan kesaksian palsu tentang Stefanus. Mereka berkata, “Orang ini sentiasa menghina Rumah Tuhan yang suci dan Taurat Musa. v 14 Kami mendengar dia berkata bahawa Yesus dari Nasaret itu akan meruntuhkan Rumah Tuhan dan mengubah semua adat istiadat w yang sudah kita terima daripada Musa!” 15 Mata semua orang yang duduk di Majlis Agama menumpu kepada Stefanus dan mereka nampak muka Stefanus kelihatan seperti muka malaikat. x
n Sebelum bahagian ini, Lukas hanya menceritakan mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh rasul-rasul. Kini, Stefanus juga dikatakan telah melakukan tanda-tanda mukjizat dan keajaiban. Filipus akan melakukan hal yang sama (8:6).
o Terdapat beberapa rumah ibadat di Yerusalem dan beberapa darinya dianggotai oleh orang Yahudi Helenistik yang bertutur dalam bahasa Yunani. ‘Orang Bebas’ merupakan orang Yahudi yang pernah dipenjarakan oleh pihak Roma (atau keturunan bekas tahanan) atau hamba abdi yang telah dimerdekakan. Dalam cerita ini, Orang Bebas yang dimaksudkan berasal dari Kirene dan Aleksandria.
p Kirene merupakan kota utama di Libia dan utara Afrika. Salah satu daripada golongan penduduknya ialah orang Yahudi.
q Aleksandria merupakan ibu kota Mesir dan kedua termasyur selepas Roma di empayar tersebut. Dua daripada lima daerah di Aleksandria didiami oleh orang Yahudi.
r Kilikia merupakan sebuah wilayah Roma di tenggara Asia Kecil bersebelahan dengan wilayah Siria. Siria adalah salah sebuah daripada wilayah di utara Galilea, di mana Antiokhia menjadi ibu kotanya. Tarsus, tempat kelahiran Paulus merupakan pekan utama di Kilikia.
s Asia merupakan wilayah Roma di bahagian barat Asia Kecil. Efesus, tempat pelayanan Paulus selama beberapa tahun adalah ibu kotanya.
t Yesus telah berjanji untuk mengurniakan Roh Allah (Luk 12:12) dan kebijaksanaan (Luk 21:15) kepada murid-murid-Nya apabila mereka dipanggil untuk membela diri. Kita melihat janji itu digenapi apabila Stefanus berdebat dengan orang-orang Yahudi.
u Banyak terjemahan lain menggunakan frasa ‘kata-kata menghujat’. Dalam abad yang pertama, mengkhufur atau menghujat mempunyai erti yang meluas dan bukan sekadar memburuk-burukkan nama Allah. Oleh kerana Stefanus telah menyatakan bahawa penyembahan kepada Allah tidak terhad di Rumah Tuhan sahaja (lihat 7:48-49), mereka memutar-belitkan perkataannya dan menuduh dia menghujat dan memburukkan Rumah Tuhan, Taurat Musa dan ini bermaksud dia menghujat Allah.
v Tuduhan-tuduhan ini sama seperti tuduhan ke atas Yesus (Mat 26:61). Stefanus mungkin merujuk kepada perkataan Yesus (seperti yang dicatatkan dalam Yoh 2:19) dan orang Yahudi mungkin salah faham atau sengaja menyalah tafsir perkataan tersebut.
w Ini mungkin merujuk kepada tradisi lisan (lihat ‘Tradisi Pemimpin Agama’, ms. 29).
x Ini adalah gambaran seseorang yang dekat dengan Allah dan seseorang yang memancarkan kemuliaan-Nya akibat selalu berada dalam hadirat-Nya. Walaupun Lukas tidak mengatakan bahawa Stefanus penuh dengan Roh Allah pada masa itu, penerangan ini mungkin menunjukkan bahawa dia sememangnya penuh dengan Roh Allah.
Copyright © 2020, Pristine World Sdn Bhd.
All rights reserved.